BAB 45: Berbaik

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

DIA mengerling sekilas Ejen Leon dari tepi. Entah kenapa, dia tak selesa tatkala mentor itu meninggikan suara sebegitu rupa pada Iman di hadapan orang.

Rudy berdiri sambil bersilang lengan. Dia membawa matanya pada Iman yang terlihat sangat kecil di bawah sana.

Semerta dahinya berkerut tatkala perasaan aneh mula menyelinap ke dalam hatinya. Dia tergenggam kecil bahu di bahagian lengannya. Mengetahui dengan jelas perasaan apa yang menjalar hebat tanpa dipinta ini.

Rudy menghelakan nafas berat, cuba mengendahkan.

 

═ ∘◦❦◦∘ ═

 

IMAN menarik nafas perlahan sambil mengatup kelopak matanya.

"Allahumma salli'ala sayyidina muhammad. Bismillahirrahmanirrahim."

Selawat dan basmalah yang menjadi ajaran ayah sejak kecil, dibaca perlahan. Tak lama, mata Iman dibuka semula.

"Saya nak minta maaf!" pekik gadis itu lantang. Membuatkan semua yang mendengar tersentak.

"Dulu, masa saya awal-awal jadi ejen, saya tahu saya banyak bagi tekanan pada mentor dan rakan-rakan semua! Saya banyak buat silap dan banyak kali misi gagal disebabkan saya," sambung gadis itu.

"Saya kurang keyakinan diri, sebab saya tak kuat macam Mika! Tak hebat macam Chris!" luah Iman membuatkan dua rakan kombatnya itu tergamam.

"Saya selalu teragak-agak walaupun dah terima arahan dengan jelas! Dan itu buatkan semua orang bergerak perlahan dan beri impak negatif pada pasukan! Saya sedar kelemahan dan silap saya, jadi saya minta maaf!"

Suasana bertambah hening dek bicara Iman. Sehingga bunyi ombak yang agak jauh pun berjaya menampar gegendang telinga masing-masing.

Mereka senyap bukan kerana sepenuhnya terpempan atau terkedu. Tapi kerana mereka faham.

Biarpun wushu bermakna 'seni mempertahankan diri', wushu juga dikenali rapat sebagai sukan kombat. Lebih-lebih lagi sejak kerajaan Cina memperkenalkan wushu sebagai sukan moden.

Setiap koreo, formatif, dan latih tubi yang diajar, adalah khas untuk persembahan dan hiburan. Yang mana sangat berlainan dengan matlamat kungfu, taekwondo, dan karate mahupun silat. Iaitu pertahanan.

Berbeza dengan mana-mana seni mempertahankan diri, wushu ibarat keluarga gimnastik. Iaitu sukan. Dan Iman ialah atlet sukan wushu.

Jadi memang agak sukar untuk Iman menyesuaikan diri dalam membentuk pertahanan pasukan memandangkan asas praktik wushu Iman adalah untuk sukan, bukan untuk berlawan.

"Maaf sebab tak dapat jadi pelajar yang bagus! Minta maaf sebab saya tak dapat nak puaskan hati mentor semua! Saya akan cuba jadi ejen yang terbaik tapi saya minta, jangan letakkan harapan yang tinggi!"

Pandangan Ejen Geetha bertukar redup dan hangat. Hatinya terasa sayu namun dalam masa yang sama terharu.

"Terima kasih sebab rekrut saya! Terima kasih sebab selalu bersabar dengan saya! Tak pernah tinggalkan saya dan selalu beri semangat dekat saya! Saya dapat jadi ejen pun sebab mentor semua!"

Ejen Leon mengetap bibirnya lalu menarik nafas panjang. Jangan tunjuk sebarang emosi, Leon! Sementara Ejen Karya pula sekadar bersilang lengan dan tersenyum nipis.

"Ejen Bakar!"

"Ya!" sahut Ejen Bakar, tidak sedar dirinya sudah tersenyum lebar.

"Terima kasih sebab latih saya dan selalu percaya dengan saya!"

"Ohoh... sama-sama!"

Alicia memejamkan matanya saat Ejen Bakar menjerit betul-betul di sebelahnya. Gegar otak.

Iman menurunkan bendera dan menenangkan jantungnya yang berombak kencang. Tak semena, angin pantai menderu kuat sehingga termasuk ke dalam matanya. Iman spontan menggaru mata kerana gatal.

"Weyh, weyh, weyh. Iman menangis, Iman menangis."

"Seriuslah?"

"Mana ada!" Tempelak Iman dari jauh.

"Alamak, alamak. Dia dengar, dia dengar."

Iman memasang wajah cemberut. Dia menikam Jet dari jauh dengan pandangannya. Cakap tu tak boleh kuat lagi ke?

"Okey, Iman. Boleh naik," beritahu Ejen Geetha melalui walkie-talkie dan Iman segera akur.

"Setakat ni, Iman sorang je minta maaf. Kita semua pergi sana kecam member." Roza berkata sinis, menyindir semua termasuk dirinya. Hampir kesemua pelajar di situ membalas dengan tawa.

"Okey, Moon. Awak..."

"Saya nak jadi orang terakhir, boleh?" pinta Moon.

"Tapi..."

"Saya tak tahu lagi nak cakap apa. Kita kasi Rudy dengan Jet dulu, boleh?"

Fisha memandang Danny dan lelaki itu memberi isyarat ringkas. Fisha pantas mengerti.

"Rudy? Kamu tak kisah?" soal wanita itu dan Rudy sekadar menggeleng kecil.

"Okey, kamu boleh pergi dulu." Fisha tersenyum ringkas.

Iman berjalan naik ke atas. Terkejut dia melihat Rudy yang menghampirinya dan bukan Moon. Iman segera memberikan bendera kecil itu pada Rudy dan lelaki itu pun menyambut dan berlalu tanpa sebarang kata.

"Okey, boleh mula."

Rudy mengerling walkie-talkie pada tiang kayu di sebelah. Dia menghela nafas kecil sebelum memulakan bicara.

"Aku tak tahu nak cakap ap..."

"Gapo dio?" Chris mula mengusik dari atas. Tangan diletak ke telinga dan acah mendekatkan diri.

"Tak dengar!" Jet juga join sekaki.

Berderau darah Rudy semerta. Terus berubah wajahnya sambil mengetap rahang sendiri.

"PEKAK KE?!"

"Ahahaha..." Serentak dua orang rakan itu tergelak perlahan. Takut la pulak.

"Kau nak cakap apa?" soal Roza memberi ruang.

"Banyak benda aku nak cakap!" tempelak kawan itu. Dah tak boleh bertenang.

"Banyak benda dan ramai orang buat aku tak puas hati. Tapi JET!"

Tersentak Jet tatkala namanya ditempik sebegitu rupa. Berderau hormon adrenalinnya sekelip mata.

"Kau paling banyak buat aku sakit hati!" luah Rudy tanpa selindung.

"Kau... tak guna! Kerek! Acah bagus!"

"Woi, woi! Sikit-sikit sudah!"

"Tak reti bagi arahan dengan jelas! Selalu main-main!" Rudy tetap menyambung walaupun Jet melarang.

"Paling aku geram!" Rudy berhenti seketika ingin mengambil masa.

"Kau tak pernah perasan yang aku suka lepak dengan kau!"

Terkedu.

"Haa?" Jet ternganga. Apakah?

Terdiam. Semua orang pun tergamam.

"Dia cakap apa?" Khai menyoal. Tangannya spontan memegang palang.

"Aa... aku... aku..." Rudy terhenti saat suaranya menggeletar dengan sendirinya. Dia mengetap bibir tatkala meneguk liur.

"Aku cemburu dengan Chris!" luah Rudy akhirnya sekuat hati.

"Sebab kau lagi rapat dengan dia! Semua orang suka dia!"

Tercengang. Chris sampai terkebil-kebil dan ternganga mulutnya. Apa?

"Jangan rapat sangat dengan Chris kalau korang dua ada depan aku! Aku tak suka!" Rudy terus meluahkan sepenuh hati.

"Aku suka bersendirian! Tapi aku pun suka bila kawan aku ajak aku lepak!"

"Jangan palau aku! Aku bukan tipikal introvert yang ada dalam kepala kau!"

"Betul punya marah dia tu." Bulat berkata di tengah sunyi.

"Sssshhhhh!" Serentak Mika dan Roza menyuruh Bulat diam. Situasi menarik ni.

"Bukan kau tak suka aku ke?" soal Jet dari atas. Menjerit sama.

"Aku tak pernah cakap semua tu!"

"Tapi kau selalu cakap kasar dengan aku! Kau tak pernah hormat aku! Aku lagi tua!"

"Sebab kau selalu usik aku! Memang taklah aku nak cakap baik-baik!"

"Aku guraulah!" Jet kekal melawan.

"Aku tak suka!"

"Semua benda kau tak suka!"

"Kau ingat aku suka kalau kau asyik usik aku pasal perempuan!"

Jet tersentak. Wajah dia terus berubah tatkala jantungnya mula berdegup laju. Hening kembali memenuhi ruang, menambah kecanggungan di antara mereka.

"Perempuan?" Perlahan-lahan kepala Ejen Geetha memusing memandang Jet.

"Asal nampak aku je, perempuan! Asal mesej aku je cakap pasal dia! Bukan nak tanya latihan aku macam mana, aku dah makan ke belum, aku rehat cukup ke tak, harini aku okey ke apa!"

Jet terpempan. Bahunya dipukul dari belakang dan segera dia menoleh.

"Rudy nak orang ambil berat pasal dia la... kau ni." Roza berkata tanpa memandang wajah Jet. Mesti Rudy rasa Jet tak ikhlas berkawan dengannya.

"Dan aku boleh cakap bagi pihak perempuan tu, dia pun tak selesa!"

Jet mengetap bibirnya. Sentap. Dia terdiam sendiri. Mungkin apa yang Rudy katakan itu benar. Nampaknya, dia tak la pandai membaca sikap seseorang seperti yang dia banggakan selama ini.

Jet sedar gurauan dia mengenai perempuan yang dikatakan itu agak melampau. Dan siapa lagi perempuan yang dimaksudkan Rudy kalau bukan Iman. Tapi Jet enggan mengaku yang itu salahnya seratus peratus.

"Apapun aku nak minta maaf kat korang!" Rudy menyambung pula.

Dia diam buat beberapa ketika. Nafasnya ditarik dalam-dalam agar jantungnya lebih bertenang.

Namun setelah hening pula yang dia dapat sebagai balasan, Rudy mengetap rahang sendiri.

"Aku minta maaf sebab aku selalu terlepas cakap. Aku sakitkan hati korang tanpa aku sedar. Aku tak pandai bagitau apa yang aku rasa dan itu selalu buat orang tersinggung! Aku tak pandai buat orang faham aku, jadi aku minta maaf!" Macam pelesit Rudy melepaskan semuanya.

Segan, weyh. Segan.

"Tak apa!"

Jantung Rudy kembali kencang tatkala Ali menjerit.

"Kitorang faham!" Roza menyusul.

"Maaf jugak sebab tak cuba faham kau!" Mika pula menyambung.

"Rudy!!!"

Mata Rudy terpejam lagi menahan segan apabila semua kawannya memanggil dia dengan serentak begitu.

"Kitorang maafkan kau!"

Dahi Rudy berkerut menahan malu. Kalau bukan sebab jarak mereka yang jauh, pasti mereka sudah nampak wajahnya yang merah padam.

"Okey, Rudy. Dah boleh naik." Suara Ejen Geetha berbunyi daripada walkie-talkie.

Rudy mengerling walkie-talkie itu sekilas. Dapat dia menangkap sisa tawa halus Ejen Geetha. Nampaknya wanita itu terhibur juga, ya. Rudy lantas melangkah kembali naik ke atas.

"Jet, kamu pu..."

Belum sempat Fisha menghabiskan ayatnya, Jet terlebih dahulu berlari ke bawah. Mendapatkan kawannya. Daripada jauh dapat mereka melihat Jet menarik Rudy ke dalam pelukan.

"Sorry. Aku tak pernah tahu," pohon Jet sebaik meleraikan pelukan mereka.

"Hmm..." Rudy hanya menggumam perlahan.

"Sayang kau."

"Blah la! Nah amik." Rudy memberi bendera kecil pada Jet dengan kasar sehingga tertolak sedikit kawan itu ke belakang.

Jet tersenyum melihat muka malu dan merah padam Rudy. Kakinya terus melangkah ke kayu yang ditegakkan. Sebaik dia melihat Rudy selamat sampai ke atas, Jet pun terus memulakan bicaranya tanpa sempat Ejen Geetha memberi apa-apa arahan.

"Korang!" jerit Jet pula sepenuh hati. Teruja sangat gamaknya.

"Aku mengaku aku memang tak guna kadang-kadang!"

"Bukan kadang-kadang!"

"Selalu."

Jet menyengap tatkala Moon dan Roza membetulkan ayatnya.

"Apa-apa jelah! Apa pun aku minta maaf!" pohon lelaki itu.

"Tapi bukan salah aku kalau korang sendiri yang bosan dan sensitif! Gurau sikit pun tak boleh. Menyedihkan!" sambung Jet lagi membuatkan semua orang memasang wajah toya.

Jet memang tak guna.

"Dan Rudy! Aku tujukan benda ni khas untuk kau!"

Nafas Rudy seakan terhenti beberapa saat. Kali ini giliran dia pula yang meriding.

"Aku tahu aku salah! Tapi bukan semua tu salah aku sorang! Sebab kau pun, Rudy... kau pun banyak jugak salah! Kau pun tak layan aku. Kau selalu palau aku!" luah Jet sepenuh hati. Dia berhenti seketika sebelum menyambung lagi.

"Aku pedulikan kau, Rudy! Aku ambil berat. Aku bukan saja-saja buat kau menyampah sebab nak cari gaduh. Buat kau menyampah cumalah satu-satunya cara supaya kau bukak mulut dan bercakap dengan aku! Jangan salahkan aku kalau kau sendiri tak layan aku dulu!"

Rudy tersentap. Matanya terkelip-kelip seakan tidak percaya. Jet mencari pasal dengan dia... sebab nak ajak bersembang?

Rudy mula diharung rasa bersalah. Ingin menyangkal, tak boleh. Kerana apa yang dilepaskan Jet itu benar semuanya. Rudy tak pernah sedar yang dia sering palau Jet kecuali lelaki itu membuatnya marah atau menyampah.

"Tapi aku minta maaf kalau cara aku tu salah! Aku janji aku ajak kau lepak lepas ni. Aku ajak kau main game sekali dengan kitorang! Jadi jangan merajuk, Rudy!"

Rudy menggerakkan rahangnya sambil menunduk. Dia mengeluarkan dengusan kecil tanpa sengaja. Bila masa aku merajuk?

"Dan sebelum kita balik, aku ada nak buat satu pengakuan!" pekik Jet lagi.

"Rudy! Ingat tak masa kau tinggal dekat rumah aku dulu? Masa kau tak sihat?"

Kepala Rudy terangkat semula. Sebelah keningnya dinaikkan spontan. Mendengari.

"Aku nak minta maaf! Masa kau tidur, aku ada curi-curi tangkap gambar kau!"

Mata Rudy terus terbuntang mendengar pengakuan itu. Tertegak tubuhnya berdiri.

"APA?!" Semua rakan di situ terjerit hampir serentak.

"Aku siap buat video lagi!"

Makin luas rahang mereka jatuh. Termasuk barisan mentor juga. Sebahagian ejen wanita ada yang sampai menekup mulut sendiri.

Sangat berani Jet.

"Kau!" Rudy segera turun ke bawah ingin mengejar Jet. Namun terhenti saat melihat Jet hendak melarikan diri.

Tergelak cuak Jet melihat reaksi Rudy. Mujur saja Rudy tidak memilih untuk mengejarnya satu pantai. Sudahlah dia takda jetpeck sekarang ini. Tak boleh terbang.

Dada Rudy turun naik terbayangkan semua gambar yang ditangkap Jet. Entah elok entah tidak, Ya Tuhan... memang mintak kaki sungguh la.

"Jet! Share kat aku!"

Kepala Rudy terus berpaling memandang Roza dengan mata terjegil.

"Aku pon! Share kat aku jugak! Senang nanti nak wish birthday!" Moon menambah juga.

"Tak payah!" pekik Rudy dengan muka garangnya. Membuatkan mereka semua tergelak.

"Rudy! Aku SORRY!"

Rudy mengacip rahangnya.

"Jangan sepak aku!" Jet menyambung lagi.

Nafas kasar dihela kuat oleh Rudy. Penumbuknya digenggam erat menahan sabar.

"Hahah... janganlah marah sangat, Rudy. Dia saja gurau tu," kata Ali lalu menepuk-nepuk bahu Rudy.

"Jangan sentuh aku."

"Okey." Ali pantas mengangkat tangannya semula.

 

═ ∘◦❦◦∘ ═

 

"SHH... sini, sini."

Berat nafas Rudy lepaskan dengan mata yang terkatup.

"Haa, tengok tu... abang Rudy kita tengah tidur."

Merah padam mukanya sehingga ke telinga. Kalau dia boleh jadi burung unta, sudah lama dia tanam kepala ke dalam tanah.

"Kesian dia penat. Tengok tu, kat muka tu. Bekas kena penampar."

Makin bertambah kerutan pada dahi Rudy tatkala letusan tawa menghentak gegendang telinganya. Jet tak guna.

"Uish nak masuk asar. Tak boleh jadi ni. Weyh, Rudy. Bangun, bangun."

"Mmnn... nak apa?" Rudy bersuara dalam mamai.

"Kau tak makan pun lagi. Pergi la makan sikit."

"Mmhhmm... jap lagi la..."

"Ahah... comellah kau ni." Moon berkata langsung tidak mengalihkan mata daripada skrin telefon sendiri.

Kelopak mata Rudy terbuka lalu memandang Moon penuh musykil. Comel? Aku? Landak mungkin comel. Aku ejen muda inviso yang paling cemerlang di Akademi Cyberaya. Aku TAK comel!

"Aku ada lagi video kalau korang nak. Kejap aku cari," kata Jet dengan senyuman yang besar.

"Jangan bunuh aku, Rudy. Ini demi mengeratkan ukhuwah," sambung lelaki itu lagi sambil menahan tawa.

Rudy memandang Jet yang duduk di sebelahnya dengan pandangan yang tajam seakan pemangsa yang menahan rasa untuk menikam. Sangat lama pandangannya sehingga membuatkan Jet sendiri berpaling.

"Nasib baik ada banyak mata kat sini, kau faham tak?" kata Rudy sepatah-sepatah sebaik mata mereka bersabung.

Jet tergelak sendiri. Dapat dia lihat dengan jelas percikan api yang marak pada iris mata Rudy.

"Jet..."

Jet laju menoleh memandang Roza yang memanggilnya.

"Allah melindungi kau, Jet," ujar Roza membuatkan hampir semua di dalam feri itu tergelak.

"Alhamdulillah, Ya Rabbi." Jet mengucap hamdalah sambil meraup wajahnya.

Rudy mendengus kasar. Nampaknya terpaksalah dia menahan rasa sehingga mereka tiba di Akademi semula. Rudy menjuling ke atas lalu mengalihkan pandangannya sehingga dia sendiri terkedu.

Matanya tak semena bersabung dengan Iman. Pantas jantungnya berdegup laju tanpa dia mahu.

Riak wajahnya juga terus berubah. Sebelum Iman bertindak mengalihkan pandangan, Rudy terlebih dahulu berbuat demikian.

Rudy menyandar pada kepala kerusi. Liur banyak kali dah diteguk. Jantungnya masih berkencang hebat.

Satu rasa yang Rudy sedar tatkala dia tahu Iman sedang memandangnya. Perasaannya bercampur antara suka dan gembira... dan segan.

Rudy mengetap rahangnya. Dia tak faham perasaan rumit apa yang bermain di dalam hatinya.

"Gila..."

 

 

 

 

 

 

 

 

 

═════════
[AKAN DIEDIT]
Total words: 2.3k

Tokojod tiba double update

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro