BAB 46: Pulang

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

🔺 EVERYTHING THAT HAPPENS ON THIS CHAPTER IS FULLY INSPIRED. IT HAS NOTHING TO DO WITH THE ORIGINAL SERIES. 🔻

 

 

 

 

 

 

"BEKAS kena penampar."

Dahi Iman mula merecik. Kotak memorinya terbuka luas, menayangkan beberapa bulan yang lalu, tangannya pernah naik menampar Rudy tanpa kawalan. 

Bulu roma Iman semerta tegak berdiri. Bekas penampar itu daripada dia ke? Berbekas ke?

Memang Iman ada rasa telapak tangannya pedih dan pijar selepas menampar Rudy. Namun tak pernah terdetik pula di fikirannya yang dia telah meninggalkan bekas. 

Iman menggeleng kepalanya secara mental. Cuba membuang pergi memori itu jauh-jauh.

Dia menatal telefonnya kembali. Melihat gambar-gambar Rudy yang ditangkap oleh Jet secara sembunyi. Rupanya bukan setakat gambar Rudy tidur saja yang ada. Gambar Rudy sedang membaca buku. Rudy sedang makan dan sedang termenung pun ada.

Iman tersenyum tanpa sedar. Spontan, dia memandang Rudy yang sedang menahan amarah dengan muka menyampah. Namun, tidak sampai dua saat, mata mereka bersabung.

Terhenti nafas Iman dibuatnya dek terkejut. Hampir mati senyumannya tatkala dia meneguk liur sendiri secara drastik. Jantung Iman juga berdegup begitu laju. 

Belum sempat dia hendak mengalihkan mata, Rudy terlebih dahulu memutuskan pandangan mereka. Merah padam wajah Iman disebabkan itu. 

Dia lantas bersandar pada kepala kerusi. Tangan kirinya membentuk genggaman lalu diletakkan pada dahi sambil menutup mata. Bibirnya digigit lembut sambil memarahi diri sendiri. 

Fikiran Iman kini sarat memikirkan segala kemungkinan yang Rudy sedang fikirkan. Kenapa mesti kena sangat timing dia?

Tak lama mereka akhirnya tiba semula di Akademi. Masing-masing mengambil giliran untuk keluar daripada isi perut feri tersebut.

"Bye, korang! Jumpa esok, jangan tak datang!" jerit Moon penuh ceria. Satu hari suntuk di luar pun masih bertenaga. Banyak betul kapasiti dia.

"Jumpa esok, Ali." Khai menepuk belakang tubuh kawan itu sebelum mempamit pergi.

Ali melambai rakan-rakannya buat kali terakhir sebelum melangkah meninggalkan Akademi. Dia ingin segera pulang ke rumah sebelum masuk waktu Isyak.

"Rudy?" Terkedu dia melihat kawan teras inviso itu sedang duduk penuh selesa sambil bersilang lengan di dalam bullet train.

"Kau nak pergi mana?" soal Ali pula setelah mengambil tempat di hadapan Rudy.

"Keluar." Ringkas saja kawan itu menjawab. Macam dah cukup jelas.

"Tak rehat?"

Rudy sekadar mengangkat bahunya ke atas. Dia kekal memandang luar melihat bawah laut yang tenang. Ali pula hanya memahami dan malas hendak bertanya lebih.

Masing-masing hanya diam sehingga mereka berdua keluar. Ali menepuk bahu Rudy lalu mempamit pergi.

"Bye, Rudy."

Rudy menatap belakang tubuh Ali sehingga lelaki itu sepenuhnya hilang dibalik orang ramai. Tak lama, kakinya juga mengorak langkah ke mana saja yang dia kehendaki.

Jam tangannya dikerling. Baru 8:13 malam. Masih awal kalau dia hendak ke bilik dan berehat pun. Bukan boleh buat apa-apa. Nak sambung tidur pun macam tak sesuai.

Rudy menarik nafas panjang lalu dilepaskan dengan berat. Seakan melepaskan kepenatan yang berat. Penat mental. Dan penat bersosial walaupun dia tak bersosial.

Setelah sepanjang hari dan sepanjang masa juga dia menghabiskan waktu dengan orang, Rudy perlukan masa untuk bersendirian. Dia hanya berjalan di sekitar bandar tanpa reaksi sambil memberi fokus pada keadaan sekelilingnya. 

Lampu jalan kelihatan berderetan di laluan pejalan kaki lalu menerangi malam bandar yang maju ini. Jalan raya yang lebar namun lengang dengan ketiadaan kereta menjadikan malam tersebut sedikit sunyi dan tenang.

Rudy menarik nafas dalam-dalam. Ketika dia melihat sekeliling dengan muka kosong, matanya semerta mendarat pada tubuh kecil yang amat dia kenali. 

Tidak jauh daripadanya. Dan hanya jalan raya yang lebar yang memisahkan mereka.

Tanpa sedar, mata Rudy melekat pada gadis dari seberang jalan yang sedikit tersorok di balik orang ramai. Spontan kakinya melangkah lebih perlahan dari sebelum ini agar dia kekal di belakang.

Gadis itu sedang bercakap di telefon sambil tersenyum dan tertawa. Rudy menghela nafas kecil. Terbit pula rasa tidak senang tatkala melihatnya. Seakan jantung Rudy mula sebu dengan riak ceria dan senyum gadis itu.

Tangannya kekal tersorok di dalam poket hoodie. Memegang satu objek kecil yang telah lama dia niatkan untuk berikan kepada gadis tersebut.

Mata Rudy langsung tidak lepas dari memandang gadis tersebut. Fikirannya semakin berat dengan satu soalan. Kenapa dia jalan balik sorang-sorang malam-malam macam ni?

Ikutkan hati Rudy, mahu saja dia mendekati. Namun dia tahu itu kerja gila. Dan apa yang dia buat sekarang ini pun, lebih kurang saja gilanya.

"Apa benda aku buat ni..." Rudy mendengus kasar, mengusap dahi sendiri.

"Dah macam stalker." Dia mengherdik pula setelah mengeluh.

Baru sahaja Rudy ingin memusingkan tubuh dan menukar langkah, matanya menangkap seorang lelaki melanggar bahu gadis itu sehingga dia dan begnya hampir terjatuh. 

Menyirap terus Rudy melihat semua itu. Terjegil biji matanya. Pemuda tersebut lekas meminta maaf. Gadis itu pula hanya menggeleng sambil tersenyum nipis.

Pada mata orang lain, mungkin pelanggaran itu nampak biasa saja. Tapi pada pandangan Rudy, cara dia langgar sangatlah dirancang.

Tanpa berlengah, Rudy laju menukar tapak. Dia pantas melintasi jalan raya yang lengang dengan kenderaan itu, lalu mengekori pemuda sebayanya dengan langkah yang laju namun penuh senyap.

Desah nafas Rudy semakin berat tatkala sangkaannya tepat. Kini pemuda itu sudah bertemu dengan rakan subahatnya dan mereka sedang bergelak suka di ruang yang terpencil. 

Rudy menyelinap masuk ke dalam ruang kecil dan gelap tersebut. Semakin dia mendekat, semakin kuat suara dua orang lelaki tersebut menerpa gegendang telinganya. 

Sebelum mereka dapat menyedari kehadiran Rudy, dia pantas menendang kasar belakang lutut rakan subahat tersebut sehingga terjelepuk ke tanah.

"Hoi! Apahal..."

Rudy mendiamkan pemuda yang melanggar gadis tadi dengan menghentaknya ke dinding. Hampir terhantuk kepalanya akibat itu.

"Berapa lama kau buat kerja ni?" Rudy mengambil dompet milik gadis tadi dari tangan pemuda tersebut dan simpan ke dalam poketnya.

Dia mengerang penuh berang, cuba memboloskan diri. Namun hanya berjaya setelah Rudy melonggarkan cengkamannya. Kawannya yang tergolek di tanah yang kotor itu pula hanya melihat penuh kecut.

Ini kali pertama mereka ditangkap.

"Suka hati akulah!" Pemuda itu membentak. Dia cuba menolak tubuh Rudy, namun dia pula yang makin sakit. Dia mendengus tak puas hati.

"Kau..." Pemuda itu terhenti secara mendadak. Wajahnya juga turut berubah.

Rudy yang melihat pun terjongket sebelah kening. Hairan. Malas hendak melayan perangai pelik mereka, Rudy berpusing. Kakinya sudah membuka langkah, ingin meninggalkan lorong gelap ini.

"Rudy?"

Kaki Rudy semerta terhenti. Mukanya juga terus berubah. Tiada lagi riak serius dan dingin. Dan tubuh dia langsung terbeku.

Suasana senyap untuk beberapa saat.

"Rudy? Kau ke tu?" Kali ini pemuda yang di atas tanah pula yang memanggil. Perlahan-lahan dia bangkit. Mata tidak teralih langsung daripada memandang Rudy.

Liur Rudy pula yang diteguk kali ini. Separuh badannya dipusingkan, menatap kembali dua lelaki yang lebih kurang sebayanya.

Mata Rudy ditajamkan dengan dahi yang berkerut buat beberapa ketika. Sebelum akhirnya kotak memori dia juga terbuka sendiri.

"Pakeh..." Terpancul nama itu keluar dari mulut Rudy. Dan dia dapat lihat satu senyuman lebar perlahan-lahan terukir pada wajah lelaki itu.

"Weyh, haah la! Rudy!" Tubuh Rudy lantas didakap erat oleh pemuda yang bernama Pakeh.

Nafas Rudy hampir terhenti disebabkan itu. Wajahnya semakin pucat. Sungguh dia tak tahu apa yang perlu dia rasa. Pelukan Pakeh langsung tidak dibalas.

"Hujan! Rudy la, Jan!" Pelukan terus dileraikan. Nadanya Pakeh penuh teruja pada kawannya yang kini juga sudah merapati mereka dengan wajah yang bersinar.

"Kau pergi mana selama ni?" Hujan bertanya. Tiada lagi rasa takut.

"Kitorang semua rindu kau." Pakeh pula menyusul.

"Rambut kau pun dah lain la!"

Rudy melarikan rambutnya daripada diramas Hujan. Dia masih diam seribu bahasa tidak membalas kekata teruja mereka.

"Kau nak?" tawar Pakeh menghulurkan satu bungkus karipap. Dia tahu Rudy suka karipap.

Rudy melihat plastik karipap yang berada di dalam tangan Pakeh. Dia hanya diam buat beberapa saat.

"Mana kau dapat ni?" Akhirnya Rudy bersuara. Namun nadanya begitu mendatar.

"Mana lagi? Pasar la," jawab Pakeh, lalu menyumbat sebiji ke dalam mulutnya.

"Kau beli?"

Pakeh terdiam. Tak jadi ingin menyumbat karipap itu ke dalam mulutnya. Hujan pula semerta berubah wajahnya. Tiada lagi wajah teruja di antara mereka. Mata mereka saling memandang antara satu sama lain.

"Kau mencuri." Rudy menebak dengan nada yang bercampur di antara bertanya dan menyatakan kenyataan.

Melihat kedua-dua reaksi Pakeh dan Hujan diam tidak membalas, tahu sudah Rudy yang tanggapannya benar. Dia menghela nafas berat, lalu mengendurkan wajahnya.

"Pulangkan balik," kata Rudy, suaranya sudah tidak lagi setegang tadi.

"Apahal pulak?" bentak Pakeh, dia pulak yang tegang. Belum sempat Rudy membalas apa-apa, dia terus menyambung.

"Kau lupa ke? Kau yang ajar kitorang semua ni."

Rudy mengacip giginya. Jantungnya berdetak laju semerta. Faham sekali dia dengan apa yang dimaksudkan Pakeh.

"Pickpocket." Pakeh berkata dengan nada sinis, membuatkan dahi Rudy semakin berkerut kerana bersalah.

"Kau yang ajar kitorang dulu. Takkan tak ingat?"

Tangan Rudy menggeletar halus, namun dia segera sorok dengan membentuk genggaman. Dia menarik nafas perlahan cuba bertenang.

"Kau dah besar, Pakeh. Kau boleh pikir mana dosa, mana pahala. Kau..."

"Dosa, pahala?" Pakeh hampir tergelak mendengarnya.

"Kau bukan budak lagi." Rudy dengan tegasnya menyambung ayat yang terpotong tadi. Sehabis baik dia cuba menahan sabar.

"Jadi? Sama juga dengan orang dewasa yang main pusing-pusing dalam parlimen tu. Tubuhkan Yayasan Masyarakat la, Sumbangan Amal, konon nak kasi bantuan. Padahal makan duit rakyat!"

"Cukup, Pakeh." Rudy bersuara di antara dingin dan tegas.

"Mencuri bukan cara kau sara hidup. Kau susah ke tak, salah tetap salah. Banyak lagi benda halal kau boleh buat untuk cari duit. Nak tak nak je."

Pakeh memandang Rudy tanpa riak. Kosong. Dia tidak berkata apa-apa buat 30 saat pertama. Sempat juga dia menguap beberapa ketika. 

Hujan yang bersilih ganti memandang dua rakannya itu hanya mampu diam dan meneguk liurnya. Ketegangan yang dia rasa buatkan dia tak berani nak masuk campur.

"Dah? Habis dah?" Pakeh memerli pedas.

"Senang kau bercakap bila kau dah tak tinggal kat pinggiran lagi."

"Pakeh..." Rudy cuba bersuara namun dipotong lagi.

"Cuba bayang diri kau masih dekat sana dengan kitorang? Rasa-rasa kau buat tak apa yang kau cakap tadi?"

Rudy mengetap rahangnya.

"Ke kau..." Pakeh tergelak kecil. Sinis. "... jadi lagi teruk daripada kitorang?"

Nafas Rudy yang berat ditarik dalam-dalam. Hampir tertimbul urat di sepanjang lehernya namun dia cuba untuk bersabar. Cuba untuk jadi rasional. Walaupun segenap jiwanya setuju dengan apa yang dikatakan oleh Pakeh.

"Aku tak nak gaduh dengan kau, Pakeh..." Rudy bercakap tenang. Dia melangkah mendekati Pakeh dan meraih bahu kawan lamanya itu.

"Pulangkan balik. Kalau kau perlukan duit, aku boleh tolong..."

"Tak payah!" Pakeh merentap kasar lengannya daripada disentuh.

Entah kenapa, hati Pakeh begitu sakit apabila Rudy menunjukkan simpati kepadanya. Seolah dia ini lemah.

Dia sudah hidup di pinggiran tanpa bantuan sesiapa untuk masa yang sangat lama. Tak... dia tak lemah. Dia lebih kuat daripada Rudy. Ya, itu apa yang Pakeh percaya. 

Dosa dan pahala? Untuk apa dia perlu fikir soal itu jika masyarakat sekeliling juga tidak pernah bertanggungjawab? Hidup dalam kelompok yang 'kau-kau' dan 'aku-aku' sangat memenatkan. Membantu orang... bukankah itu fardhu kifayah?

Dosa, pahala konon. Propa sahaja semua itu. Islam la sangat. Jika masyarakat tak mahu membantu dan membelanya, takpa. Biar dia saja yang jaga diri sendiri. Dia pun bukan sesiapa kepada sesiapa.

"Kau tak tahu apa yang aku lalui, Rudy. Jangan judge aku bila kau dah hidup senang." Pakeh mendesis keras. Nadanya bercampur di antara terkilan dan amaran.

"Dan jangan bercakap macam kau pun tahu hidup aku jugak." Rudy pantas membidas dengan tegang.

Pakeh terdiam segera. Rudy dapat kesan rentak mata Pakeh yang sedikit berubah. Mungkin kerana terkesan dengan bidasannya. Rudy menghela nafas kecil.

"Takda siapa yang dapat hidup senang, Pakeh." Dia menyambung pula lebih tenang daripada tadi.

"Kita hidup dekat dunia ni pun... tak sepatutnya senang." Rudy berkata dengan nada yang penuh tersirat.

Rudy faham jika kawan lamanya itu terasa. Tapi itu tak bermakna Pakeh boleh senang-senang fikir hidupnya berubah senang hanya kerana dia diselamatkan dari pinggiran.

Ada banyak lagi halaman dan titik koma yang masih berjalan dalam cerita hidupnya. Dan hampir semuanya berabjadkan luka dan parut.

Pakeh meneguk liur. Jauh di sudut hatinya, dia bersetuju dengan Rudy. Namun rasa sakit dan egonya tika itu mengatasi semua. Mengawal hampir separuh sifat warasnya.

"Apa-apa je la. Selagi kau tak rasa apa yang kitorang rasa, kau takkan faham!" Dia menempelak. Sepertinya dia tak mahu kalah.

"Aku rasa apa yang kau rasa. Aku pun pernah tinggal kat pinggiran jugak." Rudy cuba menenangkan Pakeh.

"Jadi kau mengaku la kalau kau tinggal kat sana lagi, kau akan pickpocket macam dulu?"

Jantung Rudy semakin berdegup kencang. Tidak senang. Tangannya menggeletar lagi dan kali ini sudah sedikit berpeluh.

"Aku budak, Pakeh." Rudy akhirnya bertutur perlahan sedikit bergetar. "Aku fikir pasal nak hidup je dulu."

"Habis aku? Bukan budak?" Pakeh pantas melawan.

Rahang Rudy segera terketap tika dia dapat menangkap nada terkilan pada suara Pakeh. Jelas sekali kawan lama itu tersinggung dengannya.

"Kenapa senyap? Salah ke apa yang aku cakap?"

Rudy menghela nafas berat dan serabut. Dia mahu saja membidas. Dan dia tahu saja ayat apa untuk dilontarkan semula. Cuma Rudy juga memahami.

Walaupun Pakeh bukan lagi budak kecik yang berusia 6 tahun, namun Pakeh akan selamanya dianggap budak jika belum mencapai angka 18 di negara ini.

"Pikir nak hidup konon. Bukan kau nak berlagak tunjuk skil ke?" soal Pakeh, menolak bahu Rudy kasar sehingga tubuh lelaki itu terundur ke belakang.

"Pakeh..."

"Kau diam, Hujan." Pakeh memetir mendiamkan Hujan yang sedari tadi senyap. Dia memandang Rudy semula.

"Kau tahu tak kitorang risaukan kau? Kau hilang macam tu je. Merata kitorang cari..."

"Risaukan aku?" Rudy awal-awal memotong. Kepalanya terdongak membawa mata merahnya menikam Pakeh. 

Dinding kesabaran Rudy semakin terhakis. Gelodak amarahnya semakin terbakar tunggu meletup saja.

"Siapa yang lari, tinggalkan aku sorang-sorang dulu?" soalnya, melangkah setapak lebih dekat.

"Siapa yang biarkan aku kena campak... dan tak cuba tolong?" Nada Rudy meninggi tanpa sedar.

"Itu kau punya masalah la! Nak sangat lawan diorang, apahal? Dah tahu kau kecik, kau lemah!"

"Dan sebab aku lawanlah..." Rudy merentap kolar baju Pakeh dengan kedua-dua tangannya.

"Aku dah tak tinggal dekat tempat yang sama," bisik Rudy penuh geram sebelum dia melepaskan kolar Pakeh dengan kasar.

Rudy mengatup mata sesaat dan menarik nafas dalam-dalam. Dapat dia rasakan desah nafasnya semakin hilang kawalan. Tubuhnya menggigil dengan amarah. Namun Rudy cuba bertenang.

"Kau makin berlagak kan sekarang?"

Pakeh mara ke hadapan. Sedia dengan buku limanya lalu dihayunkan ke muka Rudy. Namun Rudy dengan selambanya menepis. Kolar baju Pakeh sekali lagi direngkuh dengan sebelah tangan. Penumbuk sedia tergenggam.

Seiring dengan rahangnya yang diketap, Rudy menghayunkan buku limanya laju sebelum berhenti betul-betbul beberapa inci daripada muka Pakeh. 

Mata Pakeh lantas terkatup. Menikus terus lelaki itu dengan tubuh yang menggeletar halus di dalam genggaman Rudy.

Rudy menghela rengusan kecil.

"Pengecut."

Perlahan saja dia mencemuh. Namun cukup dingin. Kolar baju Pakeh dilepaskan dengan kasar sehingga rakan itu terjatuh ke tanah. Mengotorkan lagi pakaiannya.

"Pakeh!" Hujan pantas mendapatkan rakannya.

"Buang masa." Rudy berdesir. Dingin. Pandangannya juga langsung tidak lagi berperasaan. Dia memusingkan tubuhnya lalu membuka langkah ingin beredar.

Hujan menggenggam penumbuk. Setelah tiga saat, dia berlari ke arah Rudy.

"Kau dah melampau, Rudy." Jan menolak tubuh Rudy dari belakang.

Aku?

"Pakeh... kitorang... betul-betul risau pasal kau. Kitorang cari kau sampai tak rehat." Hujan bersuara pula setelah lama dia berdiam diri.

"Jadi? Ada aku mintak?"

Pakeh mengacip rahangnya kuat. Jawapan Rudy... nada lelaki itu... darah Pakeh mendidih semakin panas dari dalam sarafnya.

"Kau memang dah lupa siapa kau dulu, kan?" bisik lelaki itu penuh amarah.

"Kau nak sangat lawan? Sinilah!" Pakeh meluru lalu melayang ke muka Rudy.

Rudy mengelak tumbukan yang dilayang satu persatu. Dengan wajah penuh keletihan, Rudy cuba bertenang.

Pakeh mendengus tak puas hati. Setiap kali dia serang, setiap kali itu juga la Rudy elak. Menunjukkan yang hanya dia saja yang beria.

"Mesti seronok, kan?" Pakeh bersuara dengan nada sinis, ingin provok.

"Lepas dah kena kutip."

Mendengar ayat itu terlucur keluar, Rudy tersentap. Dan akhirnya, penumbuk Pakeh mendarat pada wajahnya. Berdesing telinga Rudy untuk beberapa ketika.

"Kau memang suka."

Satu lagi penumbuk dilayang ke mukanya. Rudy menangkap dengan kemas. Dan dalam sekelip mata, telapak tangannya meluru laju. Terus menetak dada Pakeh sehingga lelaki itu tertolak belakang dan terbatuk kuat.

"Huh." Pakeh tergelak sinis, mengusap dadanya yang terasa sesak dan lemas.

"Tak berubah pun kau rupanya," ejeknya dengan senyuman senget dan menghiraukan perutnya yang senak. 

Dan dengan bongkak, Pakeh mengepal penumbuk dan dilayang ke arah Rudy lagi. Hujan pula hanya berdiri saja memerhari dengan tubuh yang menggeletar halus.

Rudy pula tidak menunjukkan apa-apa petanda ingin berhenti. Lukanya yang hampir sembuh, hampir terbuka semula. Tapi dia tak peduli. 

Dan apa yang terjadi selepas itu, sudah tak dapat Rudy fikir lagi. Namun beberapa minit selepas itu, dia terdengar suara lunak dari belakang. Menjerit. 

Memanggil namanya.

 

═ ∘◦❦◦∘ ═

 

"PENAT la kak harini."

Suara lelah Firdaus menyinggah telinga Iman dari hujung telefonnya.

"Jetlag lagi ke tu?"

"Jetlag habis dah. Penat training je ni. Sebab kena buli dengan Rumi tu. Dasar betul budak kecil tak sedar diri."

Iman tertawa saja mendengar adiknya membebel.

"Suka sangat panggil Rumi. Nama dia Cahaya la."

"Nama dia Cahaya ar-Rumi. Sama je. Cahaya tak sesuai dengan dia yang ganas. Rumi okey sikit, nama jantan."

Iman menggeleng perlahan. Diorang dua ni memang asyik sangat bergaduh.

"Daus jangan nak kutuk sangat Cahaya tu. Tak pasal-pasal dia jodoh kamu, mana tau? Gaduh la kamu dua dalam bilik."

"Eee, apa benda akak ni? Bapak geli!"

Iman tergelak lagi. Kali ini lebih besar. Boleh dia bayang macam mana bahu adiknya menggeliat dengan bulu roma yang meremang.

"Okey la, kak. Ayah nak cakap dengan akak pulak. Akak jaga diri elok-elok tau. Orang bagi gula-gula jangan ambik."

Iman berdecit kecil sambil menjuling ke atas dengan nasihat tak masuk akal Firdaus.

"Tapi kalau ada orang bagi duit, akak amik je. Akak pun bukan ada apa."

"Banyak la kamu!" Iman menempik perlahan. Dapat dia dengar adiknya terkekek-kekek ketawa sebelum telefon bertukar tangan dengan ayahnya pula.

"Assalamualaikum," ucap gadis itu sebaik suara orang tuanya bergema di hujung sana.

"Waalaikumussalam. Iman habis dah?"

"Sudah, ayah."

Dia mengaduh kecil apabila seorang lelaki melanggarnya.

"Oops! Sorry, sorry!" pohon lelaki itu pantas.

Iman menarik nafas dalam-dalam sambil mengetap rahangnya. Darahnya menggelegak dari dalam.

Jalan punyalah besar. Sungguh Iman tidak selesa sekarang namun dia memasang juga senyuman palsunya.

"Takpa." Iman menggeleng perlahan dan terus mengorak langkah. Dia mengemaskan kedudukan tali tote bag yang sedikit terjuntai akibat berlanggar tadi.

"Kenapa tu?"

Terdengar dengan jelas suara milik lelaki awal 40-an di hujung talian. Iman segera membawa telefonnya ke cuping telinga.

"Takda apa. Ada orang salah jalan tadi, terlanggar Iman."

"Oh... Iman jaga diri baik-baik. Jalan dengan siapa balik tu?"

"Jalan sorang je, ayah. Nak sampai rumah dah pun," jawab Iman. 

Dapat dia dengar ayahnya menghela berat, sangat tidak suka mendengar anaknya berjalan sorang-sorang malam begini. Iman hanya tertunduk sambil tersenyum kecil.

"Yalah. Lepas ni jangan jalan sorang-sorang. Ayah tak suka."

"Okey, ayah." Iman mengangguk kecil akur.

"Kunci pintu rumah, pintu dapur, tutup tingkap. Bukak je lampu malam-malam pun, jangan tutup."

"Ya, ayah... Iman ingat." Tergelak kecil dia dengan pesanan tak putus ayahnya. Rasanya ini sudah berapa kali diingatkan ini.

"Okey... jaga diri baik-baik. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam." Iman terangguk kecil lagi sambil tersenyum kecil. Tak sampai sesaat, panggilan sudah dimatikan.

Iman sekarang seorang diri tinggal di rumah kerana kedua-dua ibu bapanya di luar negara. Ayah menguruskan para peserta pertandingan wushu tahun ini yang mana diadakan di Singapura. Adiknya, Firdaus antara salah seorang peserta untuk kategori duilian dan taijiquan.

Ummi pula sibuk menguruskan kursus yang diadakan surau di kejiranannya. Memandangkan ummi juga ialah ajk surau tersebut, maka memang ummi takkan berada di rumah la buat beberapa hari ini.

Tinggallah Iman seorang saja dan tiada siapa yang tahu. Kata ayah, kalau duduk sorang-sorang dalam rumah, jangan beritahu sesiapa walaupun kawan baik. Dan Iman akur.

Iman meletakkan telefonnya ke dalam beg. Keningnya bertaut tika dia merasakan begnya terlebih kosong. Totebag itu diselak untuk melihat isinya. Tak sampai sesaat, matanya terbuntang.

"Ya Allah!" Kaki Iman segera berhenti dari menapak. Tangan disumbat masuk ke dalam beg lalu digagau dengan kasar.

"Ah, sudah. Ah, sudah... ya Allah, ya Allah. Janganlah macam ni."

Sah hilang.

Dompetnya hilang.

Iman cuba bertenang. Namun jantungnya semakin kencang berdetak. Kakinya dipusing pantas. Berpatah semula ke jalan yang dia lalui tadi. Semua Iman jalani sehingga kotak fikirannya teringat akan sesuatu.

"Ini mesti lelaki yang langgar aku tadi," tebak gadis itu.

Tak guna! Iman mencarut di dalam hati melepaskan geram. Mana mungkin dompetnya tercicir di dalam feri kerana dia sendiri ingat dompet itu masih ada dengannya semasa dia berpisah dengan Moon dan kawan-kawan yang lain.

"Ya Allah... Ya Allah... matilah aku kalau ayah dapat tahu..." omel Iman sendirian melajukan langkah kakinya.

Bukan setakat duit. Kad pengenalan, kad debit, kad ahli kelab. Segala macam kad la yang ada yang dompet itu. Hilang semua itu, maka hilang jugak la nyawa Iman kalau Tok Guru dapat tahu.

Tapi apa yang lebih memedihkan, kunci rumah juga Iman simpan dalam dompet itu. Kalau tak jumpa dompet itu, tak dapat masuk rumah la jawabnya.

"Tapi macam mana pula dia curi dompet dalam beg macam ni?" Iman bercakap sendiri sedikit berang. Riaknya jelas menunjukkan yang dia serabut.

Iman meratip istighfar sambil menggaru kepala kasar. Sudah tidak peduli kalau tudungnya hancur.

Ya Allah ujian apakah ini? Tolonglah... aku tak nak kena marah. Hati Iman berdesir, memanjatkan doa kepada Tuhan.

Sedang Iman berjalan dengan meliar ke sekeliling, telinganya sayup-sayup terdengar satu erangan. Iman hanya abaikan. Kakinya terus melangkah. Dompetnya yang hilang yang lebih penting sekarang ini.

Namun sekali lagi terhenti tika mendengar erangan yang lebih kuat. Nafas Iman menjadi semakin berat. Dia cukup kenal dengan bunyi erangan itu. Dan datangnya dari satu lorong yang kecil dan gelap dari belakangnya. 

Iman menghela nafas berat dan memberanikan diri dan masuk ke dalam perlahan-lahan. Semakin dia mendekati, semakin kuat bunyi orang bertumbuk menyinggah gegendang telinganya. 

Terus jantung Iman hampir gugur takpa melihat dua orang budak lelaki saling bertumbuk manakala seorang lagi berdiri dengan tubuh.

"Rudy?"

Mata Iman terbuntang. Terkejut. Pantas kakinya yang sedikit menggeletar membuka langkah besar, mendekati lelaki tersebut.

"Rudy!" Kali ini Iman berdiri betul-betul di belakangnya. 

"Awak... bertenang." Lengan lelaki itu cuba dicapai. Suara Iman kedengaran sangat terdesak dan berat.

Namun Rudy buat tak peduli. Dan itu membuatkan Iman semakin geram.

"Sudah, berhentilah! Awak ni kenapa?" Kali ini bahu Rudy pula yang ditarik dengan kuat.

"Argh!! Bukan akulah!" tempelak Rudy, menggeliat bahunya dengan kasar.

"Dia ni yang mulakan dulu. Acah hebat sangat. Sekali aku hentak, baru nak ada akal. Sakai!"

"Hei! Apa awak ni? Cukuplah!" Meletup Iman sebaik melihat Rudy tidak menentu begini.

"Arghh, lepaslah!" Rudy menolak kasar tangan yang cuba menahannya.

"Ahh!" Iman sebaik ter terjatuh. Totebag pada bahunya juga terjatuh ke tanah.

Sesaat, tanpa bunyi. Nafas Rudy terasa terhenti semerta. Seolah tersedar dengan apa yang telah dia buat, Rudy berhenti secara mendadak dan separuh tubuhnya pantas berpaling. 

Rentak wajah dan pandangan lelaki itu juga lantas berubah. Segala sendi dan otot fiber lelaki itu tidak lagi sekeras dan setegang tadi.

Rudy tergamam. Akalnya mula kembali ke bawah relung sedar. Dadanya turun naik melihat gadis itu rebah di atas tanah dengan muka yang berkerut. Menahan sakit.

Iman...

"Bangun cepat, Pakeh. Kita pergi!"

Dapat Rudy mendengar suara Hujan dengan jelas biarpun pandangannya masih tertacap pada Iman. Dari sisi matanya, Rudy dapat melihat mereka berdua sudah berlari. Meninggalkan hanya dia dan Iman di situ.

Tangan Rudy masih menggeletar halus. Dia melihat beg Iman yang jatuh ke sisi. Terus jantung berdenyut sakit. Nafas ditarik perlahan. Sedikit bergetar. dia beranikan diri melangkah lalu mendekati gadis tersebut.

Beg Iman yang jatuh ke sisi, dia ambil. Lututnya dibengkokkan di hadapan Iman, lalu totebag gadis itu dihulur.

Iman masih mengerang halus sambil mengurut tangannya yang terseret pada tanah yang berbatu. Tika hujung matanya menangkap tangan Rudy dengan tali begnya, wajahnya bertukar redup perlahan-lahan.

Iman memandang begnya buat beberapa saat sebelum akhirnya dia menyambut tanpa sebarang kata.

Mulut Rudy sedikit terbuka. Nampak seperti dia ingin berkata sesuatu. Namun lantas tertutup semula. Liurnya diteguk. Nafas berat dihela kasar dan dia bangkit.

"Kejap." Iman mencapai hujung hoodie Rudy.

Jantung Rudy berdegup pantas sekali lagi tatkala Iman berbuat demikian. Pandangannya kembali menatap wajah gadis itu. Namun mata gadis itu tidak tertumpu kepadanya. 

Pandangan Rudy lantas turun melihat ke tempat yang mata Iman mendarat. Perlahan-lahan, lelaki itu menghelakan nafas halus.

"Awak terluka."

Bicara Iman membuatkan Rudy mengangkat tangannya, melihat kekura sendiri yang pecah. Rudy diam seribu bahasa.

Sungguh dia tak rasa apa-apa. Darah yang sedikit kering itu dipandangnya dengan tatapan kosong. Semerta Rudy mendesis kecil. Refleks tangannya pantas menekap luka di tepi perut. 

"Rudy." Suara cemas Iman menyinggah ke telinga.

Rudy menghela nafas berat, menahan sakit. Sekarang barulah dia nak rasa pedihnya. Tadi masa bertumbuk sakan buat tak peduli saja.

"Rudy..." Sekali lagi suara Iman menerpa. Cuma kali ini sedikit tenang berbanding tadi.

Kepala Rudy segera diangkat melihat wajah Iman. Pandangan mata Iman redup menatapnya. Tiada secalit senyuman pada wajah gadis itu, namun cukup untuk membuatkan jantung Rudy berdegup dengan kencang.

"Kita rawat, ya?"

 

 

 

 

 

 

 

 

 

═════════
[AKAN DIEDIT]
Total words: 4k

Dapat pun update. Huh! 😭

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro