Bab 4

Mร u nแปn
Font chแปฏ
Font size
Chiแปu cao dรฒng

Tangan yang lincah bergerak mengupas kulit bawang di dapur berhenti. Makcik Dayana mencuri pandang ke arah Oja yang baru saja selesai memasang kanopi di luar rumah dan ke dapur untuk mendapatkan segelas air sejuk. Sempat mata mereka bertembung arah dan saling berbalas senyuman buat seketika, sebelum Oja meminta diri untuk masuk ke dalam.

"Inilah anak si Ramli tu. Aku suka tengok si Seroja ni. Pandai berdikari, ringan tangan, suka bekerja keras. Huh... kalau saja anak aku bujang memang dah lama aku masuk meminang ni." Makcik Dayana memuji.

Sejuk hatinya melihat Oja. Kalaulah anak tunggalnya itu tidak berkahwin, sudah lama dia pinangkan Oja buat Samsul.

"Aku setuju sangat. Rupa tu aku tak kisah. Tapi Seroja tu cantik juga, biar dia tak pandai nak urus diri. Orang kata... kecantikan itu tak dinilai dari rupa. Tapi dari hati." tambah Makcik Fina. Makcik Dayana angguk setuju.

Ramai yang terjatuh hati dengan keperibadian Oja. Tetapi keinginan mereka untuk memperisterikan Oja ditolak mentah-mentah oleh Nek Bedah. Soal itu... biarlah Oja yang tentukan sendiri. Dia tak suka memaksa. Dan, dia tahu Oja tak suka dipaksa.

Terbantut langkah Balqis, isteri kepada Samsul ke dapur. Apabila dia mendengari nama Seroja disebut- sebut.

Terasa ingin tahu apa yang dibualkan oleh Ibu mentuanya dan Makcik Fina. Balqis pasang telinga di tepi pintu.

Tetapi, apa yang di dengari oleh Balqis cukup melukakan hatinya. Dia sudah berkahwin dengan Samsul. Dan, dikurniakan dua cahaya mata. Takkan itu tidak cukup puaskan hati Makcik Dayana?

"Aku tak tahulah ilmu apa yang Balqis guna sampaikan Samsul terhegeh-hegeh nak dekat dia. Kalau bukan dia yang kandungkan cucu aku, isteri kepada anak aku. Aku tak pandang lah si Balqis tu." luah Makcik Dayana penuh rasa kecewa.

Makcik Fina hanya mendengar luahan Dayana. Macam dia tidak tahu Balqis curi-curi dengar ditepi pintu. Tetapi Makcik Fina diamkan saja. Bukan hal dia nak sibuk. Selamatkan diri sendiri lah katakan.

"Walaupun kau berkeras nak jadikan si Seroja tu menantu kau. Tapi kau kena ingat... si Bedah tu ada. Berapa banyak pinangan yang dia tolak semata-mata nak biarkan Seroja buat pilihan sendiri?" Makcik Fina menggeleng kepala.

Tahu benar dia tak suka dengan Balqis. Dicampak, dihumban, dibuat macam mana sekalipun. Balqis, isteri sah kepada Samsul. Ibu kepada Farhan dan Fareed.

"Kau tak payah nak sibuk nasihatkan aku, Fina. Aku tahu apa yang aku buat." balas Makcik Dayana. Masih berkeras dengan keputusannya.

"Cuba kau bayangkan, kau dekat tempat Balqis. Mak mentua kau tak sukakan kau, dan berniat nak kahwinkan anak dia dengan orang lain. Apa kau akan rasa?" soal Makcik Fina.

Riak muka Makcik Dayana berubah masam. Ada saja yang dijawab oleh Fina.

Balqis menarik nafas lega. Mujur ada Makcik Fina.

"Mak, ada apa-apa yang saya boleh bantu?"

Makcik Dayana terkejut dengan kehadiran Balqis secara tiba-tiba di hadapan pintu. Harap-harap dia tak dengar apa yang dibualkan oleh mereka tadi.

Makcik Dayana ukir senyum dibuat-buat. Cuba menutupi rasa gementarnya. Takut-takut kalau Balqis tahu, dan mengadu kepada Samsul. Habislah dia nanti.

"Eh, tak ada. Lagipun tak lama lagi nak habis ni." Makcik Dayana tayang sengih sambil menyiku lengan Makcik Fina.

Makcik Fina angguk saja. "Hmm... tak ada apa-apa yang perlu kamu buat, Balqis. Pergilah berehat dekat dalam." ujar Makcik Fina, cuba menyedapkan hati Balqis.

Berpuas hati. Balqis masuk ke dalam.

Makcik Dayana menjeling ke arah Makcik Fina. Hampir-hampir dia ketahuan.

Hanan, Ilyani, dan Farah. Mereka bertiga berjalan mendekati Melati dan Seroja yang sedang duduk di pangkin. Niat di hati ingin mengacau, dan mengusik budak busuk di sebelah Melati.

"Eh, melati. Kau tak malu ke kawan dengan perempuan busuk tu?" sindir Hanan dan tertuju kepada Oja yang sedang duduk di sebelah Melati.

"Busuk kau cakap? Aku tak salah dengar kan?" Melati menyoal.

Apalagi yang lipas kudung ini mahukan dari mereka?

"Haah. Kau tak salah dengar. Memang perempuan tu busuk." tambah Ilyani sambil menutup hidung.

Semakin berasap telinga Melati. Mereka tidak mengacau, tetapi mereka pula yang dikacau.

"Cakap. Apa yang kau nak dari kita orang? Apa yang kau tak puas hati sangat bila aku berkawan dengan Seroja?"

"Aku tak puas hati sebab perempuan ni buruk! Busuk, hati hitam." Hambur Hanan.

Farah yang tidak mahu terlibat melambai ke arah Oja ketika mata mereka sempat bertembung. Oja lemparkan senyum, begitu juga dengan Farah.

"Ewah, ewah! Pandai pula nak cakap hati kawan aku hitam sangat. Habis itu, hati kau suci lah? Bersih sangat hati kau?" Melati dekatkan diri kepada Hanan.

"Kalau... kalau hati kau bersih. Kau takkan cakap macam ini dekat Oja. Kau takkan sakitkan hati dia. Tapi aku tahu, hati kau lebih hitam berbanding arang." balas Melati.

"Dah, jom balik. Tak kuasa aku duduk lama-lama dekat sini, boleh tumbuh bisul nanti."

Sempat dia menjeling ke arah Hanan. Di mana-mana tempat, hanya muka-muka mereka saja yang dilihat.

Minggu lepas, kenduri kesyukuran. Ada tiga ekor lipas kudung itu juga. Melati tak tahu nak sorok dekat mana lagi muka-muka itu. Dia berasa sangat rimas apabila Hanan dan Ilyani suka sangat mencari pasal dan membuat kecoh. Tetapi tidak bagi Farah. Gadis itu baik, lembut saja ketika bercakap. Entah kenapa boleh tersesat dalam geng lipas kudung itu.

Qaf kenal gadis comot yang sedang mengusap seekor kucing dewasa di beranda rumah Kak Wani. Dia kenal warna baju yang dia pakai.

Digomol, dicium berkali-kali, sebelum di bawa ke dalam pelukan dan dihidu bau kucing setahun dua bulan itu. Qaf tergelak.

Teringin juga nak berkenalan dengan awek kucing. Terasa diperhatikan dari bawah, Oja liarkan pandangan. Cuma ada dua orang lelaki yang sedang berbual.

"Qaf, angkat meja ini ke depan." arah Zafrul. Tiba-tiba muncul bersama alas meja.

Qaf angguk saja. "Macam ini ke?"

"Senget. Tolak ke kiri sedikit." arah Zafrul. Qaf betulkan kedudukan meja panjang yang senget. Meja itu akan diguna untuk meletak lauk pauk yang dimasak esok.

"Dah, okey?"

"Boleh lah." jawab Zafrul pendek.

Qaf angkat kepala. Matanya terarah tepat ke beranda rumah, tetapi gadis comot itu telahpun hilang. Ke mana perginya?

Rasa ingin tahu membuak-buak dalam dirinya. Ada sesuatu yang menarik perhatian Qaf, tetapi dia tidak tahu itu apa.

"Qaf."

Qaf menoleh ke kiri bila namanya dipanggil oleh Zafrul.

"Betul ke kau akan kahwin?"

Qaf diam. Kemudian dia angguk.

"Kenapa kau tak beritahu aku?"

"Sebab perkahwinan itu diatur oleh Mama aku. Dan, aku tak tahu dengan siapa aku akan berkahwin. Aku tak pernah jumpa dia, tukar nombor, aku tak pernah buat semua tu."

Tidak berkedip mata Zafrul dibuat oleh Qaf. Antara percaya atau tidak, Zafrul pilih untuk tidak percaya.

"Zaman sekarang masih wujud rupanya lelaki macam kau ini. Pemalu sangat!"

"Kau baru tahu?" Bibir Qaf bergerak mengukir senyum.

"Jangan hairanlah kenapa Aunty Sofia berkeras sangat nak aturkan jodoh kau. Sebab kau ini pemalu! Tak pandai nak urat perempuan. Kerja dia cuma tembak musuh, masuk hutan, jalankan misi. Tapi pikat hati anak orang nombor uncit." Zafrul menggeleng kepala.

Tidak percaya kawannya itu akan melangsungkan perkahwinan tiga minggu dari sekarang.

"Tapi kau jangan marah aku. Aku nak cakap something ini..."

Qaf sedia menanti. "Cakap lah."

"Kalau... kalau suatu hari nanti kau dengan bakal isteri kau tidak berjodoh. Apa kau akan buat?"

Qaf kekal tenang. Zafrul tidak dapat baca riak mukanya. Jangan hairan dia diberi gelaran Cool guy. Selain berwajah kacak, dingin, dan pemalu. Qaf juga dikenali dengan perwatakan tenang walau berada dalam situasi yang menegangkan.

"Terima sajalah. Nak buat macam mana? Dah orang tak nak dekat aku. Cinta tak perlu paksaan, cinta hadir atas kerelaan."

Zafrul tepuk tangan. "Bagus! Ini yang aku suka. Bertuah siapa yang jadi isteri kau nanti. Full package. Rupa ada, duit ada, semua lengkap. Tapi kau rasa... mampu ke dia nak terima orang macam kau ini? Mampu ke hidup dengan orang hutan?"

"Pandai-pandailah dia. Kalau dia tak terima aku, tak apa. Boleh belajar. Aku tak paksa,"

Qaf senyum saja.



Pokok mangga berbuah lebat terlakar indah di atas kanvas. Seperti dibisik, tangan Oja bergerak melukis pokok mangga berhampiran rumah Nek Som. Entah mengapa dia rasa ada mata yang memerhati dari kejauhan.

Berus lukisan direndam dalam balang air. Oja mengeluh kecil. Lukisan. Salah satu cara untuk dia luahkan rasa sedihnya ketika bendera merah berkibar dengan jaya.

Cuti yang diberi sepatutnya diguna untuk merehatkan tubuh dari bekerja. Tetapi Oja tak betah berdiam diri di rumah. Ada saja yang dia lakukan. Hari esok, dia akan bekerja seperti biasa di kedai Uncle Muthu.

"Oja..."

"Ya, nek. Ada apa?" sahut Oja. Pintu yang tidak terkatup rapat di buka.

Nek Bedah muncul bersama baju kurung Pahang yang sudah siap digosok.

"Jangan tak pergi esok." katanya lagi.

Dia malas mahu berjalan ke mana-mana hari esok. Ada Oja, hantar wakil sajalah.

"Tapi kan nek..." Bahu Oja jatuh.

Macam dia tak ambil hati apa yang dikatakan oleh Hanan. Dia manusia. Dia punya hati dan perasaan.

Nek Bedah masuk ke dalam. Kerusi ditarik lalu duduk di sebelah Oja.

"Kenapa ini? Kenapa cucu aku yang cantik ni monyok?" Bahu Oja diusap.

"Oja terasa hati dengan apa yang Hanan cakap dekat Oja, nek."

Nek Bedah melepas keluhan kecil. "Sabarlah. Kita tak boleh nak paksa orang untuk sukakan kita. Kalau Oja balas, Oja tak ada beza dengan dia orang. Lagipun sabar itu sebahagian dari Iman. Biar orang buat kita, kita buat nasi lemak sajalah." pujuk Nek Bedah, cuba menenangkan hati Oja.

"Nenek ni!"

Oja sandarkan kepala di bahu Nek Bedah. Selain Neneknya itu, dan Melati. Tiada sesiapa yang mahu berkawan dengan Oja. Hanya kerana dia cetek ilmu pengetahuan, tidak tahu apa-apa, sekolah setakat darjah tiga saja, dan ketinggalan fesyen zaman kini. Baju-baju yang dia dapat hasil jual murah dari pasar malam. Adapun diberi oleh Mak saudara, sudah koyak, dijahit. Selagi boleh pakai, dia pakai.





Ringan tangan - Suka menolong orang, rajin, suka bekerja keras

Uncit - Perkataan Uncit dalam bahasa harian di Sabah bermaksud kedudukan paling akhir, atau terbelakang dalam sesuatu.

Maafkan saya atas kesilapan sepanjang penulisan QRU. Kalau ada salah dan silap jangan segan silu nak tegur. ^^

Bแบกn ฤ‘ang ฤ‘แปc truyแป‡n trรชn: Truyen2U.Pro