Bab 15

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Jam sudah menginjak ke angka lima. Selesai menunaikan solat, Hazie kembali ke meja bersama-sama telekung yang masih tersarung di badan. Satu per satu fail perlu dikemas kini dan disemak supaya menyenangkan kedua-dua pihak baik di pihak dia mahupun bos baru.

Sepanjang Hazie bekerja di bawah pengurusan Haji Hanafi, memang tiada masalah. Orangnya sangat merendah diri dan tidak pernah meletakkan status sebagai ukuran. Kematiannya memang mengejutkan semua orang. Bohong kalau tak merasa sedih. Haji Hanafi tu cukup prihatin dan mengambil berat soal kebajikan pekerja-pekerjanya. Kehilangan dia memang sangat dirasakan.

Sehari sebelum menghembuskan nafasnya, Haji Hanafi nampak sihat dan teruja bercerita tentang anak-anaknya. Bila dia bercerita tentang Kimi, boleh nampak yang Haji Hanafi memang mengharapkan sesuatu daripada anak lelakinya itu. Mestilah dia harapkan budak perasan bagus tu ambil alih jaga kilang.

Haji Hanafi ada minta Hazie kembali bekerja di kilang itu tapi Hazie menolak dengan baik. Dia nak cuba berdiri dengan kaki sendiri. Dengan diploma yang di genggaman, pasti ada rezeki kerja untuknya.

Sayangnya, orang sebaik Haji Hanafi pergi begitu awal sekali dirasakan. Untuk seketika, pengurusan di kilang tergendala sekejap. Tetapi tak lama sebab pekerja senior merangkap kawan-kawan Haji Hanafi banyak menolong urusan di kilang. Banyak prosedur biasa yang tertangguh sebelum ini dah kembali beroperasi penuh bila Cikgu Rodziah hadir ke kilang.

Kata-kata daripada isteri Haji Hanafi itu membuatkan semua rasa lega. Sebelum ini memang ada spekulasi, konon kilang akan dijual dan ditutup oleh anaknya. Mujur semuanya tidak betul. Kalau tak, jenuh pening nak fikir di mana pekerja yang ada sekarang nak cari kerja baru pula.

Lain yang dirancang, lain pula jadinya. Hazie bertukar fikiran dan kembali bekerja di kilang tanpa banyak bicara. Sebab apa? Sebab Cikgu Rodziah. Hubungan mereka memang rapat sejak dulu. Orang kata masa yang tepat untuk membalas budi.

Bila Cikgu Rodziah tengah menghadapi detik-detik sukar untuk kendalikan pengurusan kilang, Hazie mula hulurkan tangan. Dia bertekad lalu menolak tawaran kerja sebagai kerani akaun di Kilang Perabot Lordes. Di berjanji untuk tolong Cikgu Rodziah di kilang. Bila keadaan dah stabil, pandai-pandailah dia cari kerja lain.

Kerja dengan Cikgu Rodziah ni memang seronok walaupun dia kerap mengeluh kepenatan kalau kerja-kerja di pejabat bertimbun. Hazielah menjadi tempat Cikgu Rodziah meluah rasa. Anak-anak duduk jauh dan kadang-kadang tidak faham apa yang ibu mereka tanggung.

Sehinggalah insiden dia jatuh dan pengsan tempoh hari, barulah menderu-deru adik-beradik tu balik menjenguk. Alhamdulillah dan diharap berkekalanlah. Bukan apa, kadang-kadang kesian dengan hidup Cikgu Rodziah yang dihujani kesunyian. Kalau berkelapangan, Hazie akan temankan dia. Nak teman selalu tak bolehlah sebab hati Kamisah pun kenalah jaga. Nanti tergores hati salah seorang, payah,kan?

Bila Hazie tahu Kimi akan ambil alih jawatan Cikgu Rodziah, dia macam erkkk! Janganlah. Jangan! Hubungan mereka dah lama 'krek'. Tak pasti apa puncanya tapi Kimi memang satu macam dengan dia. Takkanlah pasal surat yang dulu-dulu menjadi punca?

Sekarang Hazie memang pangkah mamat perasan bagus tu. Dia punya pandangan mata cukup macam menghina pun ada sejak mereka berjumpa di hospital. Terasa sangat, beb. Hazie memang selalu terkena sejak dari sekolah dan sehingga kini, mereka memang tak boleh ngam. Asalkan lalu di tepi kelas, lelaki itu akan merenung dirinya. Macam nak telan pun, ya!

Nak cakap lebih-lebih pun Hazie tak kenal sangat dengan Lutfir Hakimi ni. Dia hanya berani perhatikan Kimi dari jauh. Tahun yang sepatutnya Kimi menduduki SPM, Hazie sudah berhenti sekolah lebih awal. Ayahnya ditimpa kemalangan dan Kamisah pula jatuh sakit.

Apapun Hazie dah tak fikir pasal pelajaran dah masa tu walaupun cikgu-cikgu pujuk supaya jangan berhenti belajar. Waktu itu terasa tertekan sangat. Nak fokus belajar pun tak mampu dan kadang-kadang terpaksa ponteng sekolah sebab nak jaga mak di hospital. Famili paling penting daripada yang lain-lain. Maknya memerlukan perhatian yang lebih selepas ayahnya meninggal dunia. Kesihatan Kamisah makin merosot tapi kini alhamdulillah, dah makin okey sikit. Otak hanya fikir pasal duit, duit dan duit.

Mereka bukan senang manapun. Jadi Haji Hanafi banyak sedekah duit. Mula-mula mungkin rasa lega sebab ramai yang hulurkan bantuan tapi lama-lama akan mula berfikir sampai bila nak harapkan ihsan orang.

Mahu tak mahu, Hazie kena ambil alih tanggungjawab. Sedangkan saiz kasut pun berlainan apatah lagi nasib dan rezeki manusia, kan? Famili mereka memang susah tapi masih ramai lagi di luar sana yang susah. Dia kena cekal dan tabah. Andai rajin berusaha pasti ada rezeki lebih yang sudah tertulis.

Nak harap dengan duit gaji Kamisah memang tak cukup. Mujur Haji Hanafi hulur bantuan sebab arwah ayah Hazie bekerja sebagai pemandu lori yang menghantar stok beras ke kedai-kedai. Dengan duit saguhati itulah, dapatlah mereka dua beranak bernafas sikit. Kamisah ada anak-anak hasil daripada perkahwinan terdahulu tapi semua dah tak pedulikan dia selepas dia berkahwin dengan ayah Hazie.

Hazie bertekad untuk bekerja. Dengan tak ada sebarang kelulusan, dia tebalkan muka berjumpa Haji Hanafi. Pada awalnya Haji Hanafi geleng kepala dan suruh Hazie pulang. Alasannya ialah Hazie perlu kembali ke sekolah untuk tamatkan persekolahan namun Hazie berkeras nak kerja juga. Tak kesahlah bahagian mana asalkan ada duit gaji sendiri. Hmmm, terpaksa.

Takkan nak harap ihsan orang semata-mata. Lagipun kilang tu satu-satunya yang dia nampak boleh bagi duit. Kilang tu paling dekat dengan kampungnya. Jalan kaki jauh sikit aje pun. Dia dah biasa jalan kaki ke sekolah, jadi apa sangatlah setakat jarak ke kilang tu. Alah bisa tegal biasa.

Pucuk dicita ulam mendatang, akhirnya Haji Hanafi tawarkan dia kerja. Haji Hanafi bagi kerja yang senang-senang saja. Pagi cuma perlu kemas pejabat. Kemudian bancuh air jika ada tetamu datang. Ala, lebih kurang macam coffee lady tu. Kadang-kadang Hazie lajak langkah pergi ke belakang untuk membantu kerja-kerja mengira stok beras. Waktu itu Hazie sikit pun tak terfikir tentang SPM. Otak cuma ingat D-U-I-T.

Siapalah tak suka duit, kan?

Dalam dunia ni semua benda pakai duit. Sewa rumah kena bayar dan itu belum termasuk bil api dan air. Nampak aje Hazie macam malas belajar tapi sebenarnya dia memang rindukan sekolah, cikgu dan kawan-kawan. Dia pendam saja semua tu sebab ada perkara lagi penting yang patut diutamakan. Mesti kerja dulu sebelum kembali belajar. Itu janji untuk diri sendiri. Dia mesti genggam sijil SPM walaupun mungkin genggamannya itu agak terlambat.

Dalam dunia ni masih ramai manusia yang baik hatinya. Haji Hanafi dan Cikgu Rodziah itulah orangnya. Mereka paksa Hazie kembali belajar dan ambil SPM. Mereka kata lagi kalau lulus, eloklah sambung belajar. Andai terkandas, dia siap pesan suruh Hazie kembali bekerja di kilang beras tu.

Puas Hazie menolak sebab rasa diri agak terlewat nak ambil SPM pada umur 20 sedangkan kawan-kawan lain ada yang bahagia terbang di dalam IPT. Bila Haji Hanafi sebut pasal impian arwah ayahnya, Hazie tiada pilihan.

Nak memulakan langkah pertama memang perit. Dia pun tak pasti mampu ke tidak kembali jadi pelajar. Selepas habis kerja, dia akan masuk ke kelas malam yang banyak dibuka di kawasan bandar. Bayarannya semua Haji Hanafi dan Cikgu Rodziah yang tanggung. Mereka kata anggaplah sedekah jariah untuk anak yatim. Sebak mendengarnya!

Berkat doa dan usaha, Hazie lulus dalam SPM. Keputusan hanya cukup makan tapi dia tetap berbangga dengan diri sendiri. Mereka suami isteri pun tetap berbangga sebab akhirnya Hazie merasai juga genggam slip keputusan SPM. Bermula saat itu, Hazie mula mengorak langkah menyusun masa depan yang lebih baik untuk dia dan Kamisah.

Selepas Hazie dapat tawaran masuk ke politeknik, Haji Hanafi tersenyum dan menyerahkan sampul surat berisi wang tunai lima ribu ringgit. Jumlah itu sangat banyak untuk orang yang susah macam dia. Dengan duit itulah, dia membeli barang keperluan dan membayar yuran awal pengajian sebelum dapat pinjaman. Alhamdulilah, dia berjaya tamatkan pengajian dalam latihan perindustrian. Dia raikan kejayaan dengan orang-orang yang banyak menyokongnya.

Waktu demi waktu, kehidupan mereka sudah semakin baik. Hazie sudah berjaya membeli kereta terpakai dan boleh bawa Kamisah berjalan-jalan naik Kelisa walaupun kadang-kadang Kelisanya tersidai lama di bengkel mekanik.

Kini, pada usianya sudah mencecah 28 tahun, Hazie sikit pun tak rasa menyesal kembali bekerja di kilang beras ni. Orang lain mungkin berminat nak bekerja di bandar besar tetapi dia lebih selesa bekerja di kawasan ceruk.

Ibarat pepatah Melayu, bagaikan sirih pulang ke gagang. Macam itulah yang dia rasakan. Hazie kembali bekerja di kilang yang sama untuk membalas budi Haji Hanafi dan Cikgu Rodziah. Setidak-tidaknya, biarlah mereka tahu segala sedekah dan bantuan mereka dulu cukup dihargai.

Bermula hari esok, Hazie akan bekerja di bawah Kimi. Dapat bos muda ni kadang-kadang satu bonus sebab selalunya bos muda-muda banyak idea yang canggih-canggih. Manalah tau daripada asalnya cuma keluarkan beras, mungkin selepas ini anak muda itu nak tambah produk terbaru pula.

Itu kalau dia okeylah. Kalau masih acah-acah bagus macam dulu-dulu, mungkin Hazie akan cepat angkat kaki blah dari situ. Suka atau tak suka, terpaksalah hadap muka dia esok! Kalau dulu tugas Hazie membantu Haji Hanafi dan Cikgu Rodziah, kini tiba saatnya untuk Hazie bergadai taat setia untuk anaknya pula.

Mampukah dia berhadapan dengan perangai kereknya tu bila terang-terang Kimi tak sukakan dia? Macam mana mereka nak bekerja di bawah bumbung yang sama? Serabut kepala otak memikir! Memang banyaklah senyuman plastik harus ditayangkan kelak.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro