Bab 16

Mร u nแปn
Font chแปฏ
Font size
Chiแปu cao dรฒng


DAUN kering berguguran ke atas tanah bila dihembus bayu yang bertiup lembut. Koklea menanti jawapan dari si gadis yang sedang menatap penuh persoalan. Kening bertaut lama, bibir diketap lembut. Bait-bait bicara yang terucap terasa sukar untuk dipercaya.

Sebahagian dalam hidup?

Berkongsi suka, dan duka. Melalui jalan yang berduri bersama-sama. Mencari erti bahagia yang tak dapat dibeli dengan kemewahan. Terasa ringan di bibir, tetapi hendak melakukan terasa payah.

Qaf alih pandangan. Langit yang tadi berwarna jingga mula dihiasi kepulan mendung hitam yang membawa takungan hujan. Sepantas itu langit berubah. Pawana bertiup membawa mendung gelap dari arah timur. Air yang ditakung menunggu masa untuk menumpahkan isi ke atas tanah. Pepohon kayu bergoncang hebat dan ada yang menjatuhkan buah. Sebuah layang-layang berwarna kuning terbang tinggi membelah udara. Qaf lipat tangan di dada. Tenangnya bak tiada apa yang baru berlaku.

"Maksud encik? Saya tak faham."

Rasa malu menguasai diri Qaf. Keberanian hilang ditenggelami awan hitam. Senyum yang terukir tulus di bibir itu, pudar dan tak muncul-muncul. Kening lebat digaru. Janggal.

Sesaat... baru Oja dapat menangkap apa yang Qaf maksudkan.

"Aku ini dahlah tak ada apa-apa. Sekolah pun tak habis. Apa yang kau nampak dekat aku?"

Dari 'Saya, ke 'Aku, Kau.'

Intonasi suara berubah. Keterujaan untuk mencari tahu terbang jauh-jauh. Di antara mereka, ada dinding yang memisahkan. Jarak mereka dekat. Tetapi dipisahkan kerana darjat.

Oja tunduk sambil memintal baju Ajinomoto. Sedar diri tak punya apa-apa dan belum tentu layak mendapat bahagia. Bahagia yang belum dia miliki.

"Bukan itu yang aku maksudkan, Afiyyah."

Cepat-cepat Oja pusing kepala menghadap Qaf. Darimana dia tahu nama sebenar Oja?

"Kejap..."

"Nek Som dah cerita semuanya dekat aku. Nak harapkan kau buka cerita, belum tentu aku akan tahu fasal kau." Qaf berjauh hati. Senyum dikoyak.

"Eh, bukan itu yang aku maksudkan." Oja cuba menjelaskan.

"Sebenarnya aku tak terfikir pun nak buat macam ini. Tapi dengan kau, aku berani. Malu aku hilang. Dah macam jual diri sendiri pula..." Qaf menyinis di hujung kata.

"Kau pun tahu keadaan aku macam mana. Dan, tak mungkin kekurangan aku akan diterima dalam keluarga kau." balas Oja.

"Sebab itu aku ajak kau kahwin dengan aku. Aku tak nak kau tanggung kesakitan itu seorang-seorang, fiyyah." Qaf pandang lama wajah Oja.

Oja menggeleng. Nikah koboi? Oh, tidak. Cukuplah orang tuanya dulu yang nikah koboi hingga tidak berkesempatan mengurus surat-menyurat.

"Ta... tak. Aku tak mampu. Macam mana dengan Mak, bapa kau? Apa yang dia orang akan fikir fasal aku?"

"Dia orang akan ok. Selain nek som, kau dah tak ada sesiapa dalam dunia ini. Kau cuma ada aku, fiyyah. Dan, aku akan lengkapkan apa yang kurang dalam hidup kau. Termasuklah dalam hati kau. Tempat tu... cuma aku seorang saja yang boleh masuk."

Oja terdiam. Cepat-cepat dia ambil buku lukisan dan menutupi dadanya. Mata lelaki boleh tembus! Tak kira tebal mana yang dipakai.

Qaf tergelak hambar. Kepala diangkat lagi memandang langit.

"Orang senang macam kau ini patutnya cari orang yang sama taraf dengan kau. Bukannya kutip sampah tepi jalan macam aku. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba ajak kahwin. Cepat, cakap dekat aku sekarang. Apa yang kau mahukan dari aku?"

"Aku takkan datang ke sini kalau aku tak rindu dekat kau," Laju Qaf membalas. Dia bingkas bangun dari tempat duduk dan menyeluk saku seluar.

Kertas berwarna biru cerah yang dilipat menjadi bentuk bintang dihala ke langit gelap. Butiran bintang yang amat berharga baginya. Tika menjalankan misi, dada langit menayangkan bintang sedang menari sekaligus menghibur hati tika sunyi. Indah ciptaan Allah SWT mampu membuat sesiapa saja yang memandang berasa tenang. Ingin digapai, tangan tidak sampai. Cuma dilihat dari jauh, dan disemat dalam ingatan.

Keindahan itu harus dihargai sebelum ia hilang.

Qaf pusingkan tubuh semula ke arah Oja. Oja yang ternanti-nanti apa yang Qaf hendak lakukan berdiri menghadap lelaki itu.

"Apa..."

"Tangan kau." pinta Qaf.

Oja hulurkan tangan. "Kau nak..."

Qaf meletak kertas bintang di atas telapak tangan Oja.

"Kau dah terima lamaran aku, fiyyah."

Membulat terus mata Oja. Kertas bintang diserahkan semula kepada Qaf.

"Apa ini encik? Saya tak cakap pun saya terima." luah Oja.

"Tapi kau tak cakap pun yang kau tolak. So, kau pun naklah jadi isteri aku, kan?" Qaf kenyit mata.

Rantai besi dikeluarkan dari dalam baju lalu dibuka.

"Satu lagi..."

Oja diam tidak bergerak bila Qaf mengambil tangannya sendiri. Jari-jemari yang digenggam, dibuka satu persatu.

"Aku bukannya nak letak bom cincin kat tangan kau pun." sindir Qaf sambil geleng kepala.

Seutas rantai berwarna perak diletak atas telapak tangan Oja. Kepingan besi yang terukir nama seorang perajurit negara. Andai kata suatu hari nanti nama itu akan gugur di medan perang. Dan, kepingan besi itu akan menjadi tanda pada diri mereka.

"Jaga macam kau jaga hati aku, boleh?"

Oja terdiam. Automatik darah merah naik ke kepala. Nafas tersekat di kerongkong. Air liur terasa perit hendak ditelan. Bagai ada duri-duri halus yang tumbuh. Rentak jantung bertambah laju bila Qaf hadiahkan senyum bersama lesung pipit mahalnya.

Oja menggeleng. "Maaf, aku tak mampu." tolak Oja.

"Kenapa?"

"Sebab aku rasa diri aku tak layak pun untuk kau." jawab Oja sambil menyerahkan semula rantai itu kepada Qaf.

"Kalau yang ini?" Qaf hulurkan bintang cerah itu kepada Oja. Oja pandang lama huluran itu.

"Mungkin, boleh."

"So, kau dah terima kan?" soal Qaf lagi. Teruja.

"Terima apa?" tanya Oja. Buat-buat tak tahu pula.

Qaf bongkokkan tubuh dan dekatkan mukanya ke arah Oja.

"Lamaran aku." bisik Qaf. Perlahan.

Oja menampar buku lukisan pada bahu Qaf. Qaf mengadu kesakitan dan tersenyum kecil apabila Oja berlari mendaki tangga ke rumah.

Curahan air hujan membasahi halaman luas. Qaf menengadah ke langit. Membiar titik demi titik membasahi mukanya. Entah apa yang dia rasakan. Serasa bahagia itu semakin mendekat. Dan, ribut juga mengekor rapat di belakang.

"Dah buang tebiat ke apa kamu ini? Buat apa berdiri kat situ?" Nek Som menegur dari beranda rumah.

Qaf tayang sengih. Hati melonjak gembira seperti ingin tercabut dari soketnya. Tetapi sedaya upaya dikawal dengan tayangan muka tenang tanpa biasan emosi. Menjadi Mr. Cool Guy bukanlah mudah.








APLIKASI Instagram dibuka oleh Armel. Pemilik akaun Raykal_z ditekan olehnya. Hampa. Ruangan posting dihiasi gambar nikah yang ditangkap pada dua tahun lepas. Hati Armel terdetik menekan ruang komen. Komen pertama yang dia jumpa undang tawa halus di bibir.

Zafrul_Pochinki44x : Lepas ini dah tak boleh tidur sekatil dengan adik. @Cool_guyz

Nama pengguna Instagram Cool_guyz menarik perhatian Armel untuk melawat profilnya. Tanda follow ditekan. Sayang... akaun Instagram yang dimiliki oleh adik Qaf Raykal private pula. Armel follow saja akaun kosong tanpa postingan gambar. Pengikutnya pula mencecah ke angka dua puluh ribu. Femes sangatkah adik Qaf Raykal itu? Kacak sangat sampaikan meraih ramai pengikut dilaman sosial? Bibir Armel sumbing sebelah.

Mana mungkin. Mukanya saja tak pernah nampak. Jika dibandingkan kekacakannya dengan gambar Qaf Rayyan yang dilihat semasa lulus latihan asas dan jejaka misteri yang ditemui di kedai kek. Armel lebih memilih jejaka misteri itu.

Kalau dapat bakal suami macam dia pun, tidak terkira bahagia Armel. Ah! Rentak jantung bertambah laju. Ingatkan si jejaka misteri, buatkan Armel naik gila sendiri.

Armel menekup bantal dan menjerit semahunya. Gembira di hati bak hendak melompat dari tingkat atas ke tingkat bawah. Tak tinggi manapun rumah yang diduduki Armel di Amerika. Paling teruk, patah kaki sajalah dan ditahan berminggu di hospital.





Kepergian Qaf dipandang lama dari jendela terbuka luas. Sepasang mata sepet menghantar tubuh tinggi lampai itu masuk ke dalam kereta. Hendak melambai, tangan terasa berat. Mulut pula tidak berdaya untuk berkata. Tetapi jantung berdetak laju. Bayangan kereta berwarna hitam menyala mula meninggalkan perkarangan rumah. Bahasa tubuh Oja seakan memberi tanda bahawa dia akan merindu kepergian lelaki itu.

Rasa asing yang dia tak pernah alami sebelum ini kian bercambah di hati. Semakin lama semakin memutik dan mekar.

Adakah pilihannya itu tepat? Adakah dia berhak untuk bahagia? Masih adakah sinar di balik jalan yang gelap?

"Fikirkan buah hati lah tu..." tegur Nek Som dari belakang. Dia ketawa halus.

Anak muda zaman sekarang, malu hendak meluahkan perasaan. Tetapi bila bersatu, manisnya mengalahkan madu.

Qaf berani betul menyatakan hasrat sebenar kepada Nek Som semalam ketika Oja sedang tidur. Kalau iya, biarlah mereka disatukan dengan ikatan perkahwinan. Tidak elok berlama-lama, takut menjadi buah mulut orang kampung. Macam dia tidak tahu, Seroja Ainul gadis idaman gang Makcik-makcik. Sering diintai untuk dijadikan menantu, tetapi Nek Som bersyukur kerana kawan baiknya itu menolak mentah-mentah.

Bukan dia yang mahu kahwin, kenapa dia pula yang tentukan dengan siapa Oja akan berkahwin?

Dia punya pilihan. Dia punya hak. Dan, dia punya bahagia.

"Nek..." panggil Oja. Perlahan.

"Betul ke apa yang Oja buat ini?"

Tubuh Nek Som dipeluk erat. Hamburan air mata membasahi baju Nek Som. Nek Som melepas keluhan kecil. Ainul Afiyyah sudah dewasa. Dia bukan lagi Oja si tukang mengecat, tukang buat reban ayam. Kini, Ainul Afiyyah selangkah ke hadapan dan akan bergelar isteri kepada Muhd Qaf Rayyan.

Nek Som tumpang gembira. Kalau Zubaidah ada, dialah orang yang paling sibuk. Doanya termakbul. Niat di hati, hendak menyaksikan mereka bersatu. Tetapi tidak kesampaian. Allah lebih menyayangi Nek Bedah.

"Kau dah besar, sayang. Kau berhak buat keputusan sendiri. Kalau itu yang kau mahu, aku tak boleh nak halang. Aku tumpang gembira atas kebahagiaan kau, Ainul Afiyyah." Jemari berkedut menyeka air mata Oja.

Oja tersenyum sambil menayang gigi. Harap-haraplah bahagia yang dia cari, akan muncul selepas itu. Kalau ditampar ombak, dan tersadai di tepi pantai, dia tak punya kekuatan untuk menolak perahu kembali ke bibir laut. Kekuatan yang dia ada, belum tentu cukup untuk menempuhi pahit manis berumah tangga. Bertambah-tambah dengan api kemarahan jika kehadirannya dalam keluarga Qaf tidak diterima. Ke mana dia akan pergi?

Menaruh harapan pada manusia, manusia akan mati. Menaruh pada Tuhan, Dia takkan khianati.

Tetapi, mampukah dia?











Happy reading:)

Bแบกn ฤ‘ang ฤ‘แปc truyแป‡n trรชn: Truyen2U.Pro