5T5B: WB |Bab 11

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


"Sudahlah, lepaskan semua. Ku yakin inilah waktunya."
-Peterpan

--------------------

SEKEJAP dia ke sana. Sekejap dia ke sini. Kadang-kadang selimut diselak. Kadang-kadang dia menolak tepi bantal kepalanya. Sekejap itu juga dia meraup-raup wajah, mengcengkam rambutnya kasar.

"Hish!" Desisnya di situ.

Apa yang tak kena dengan dirinya, dia juga tak tahu. Tapi, sejak kejadian tempoh hari setelah Hana meninggalkannya, dia cukup tak senang duduk. Fokusnya di tempat kerja pun terganggu. Haru-biru semuanya.

Fahrin menelentangkan tubuh, memandang siling. Nafas ditarik dalam sebelum dihela panjang, cuba meredakan dirinya.

Dahinya ditepuk-tepuk. Jauh memikirkan permintaan Hana pada hari tersebut. Jauh memikirkan sejauh mana relevannya untuk dia berbuat keputusan sekarang.

Ah, tak guna. Tak pernah-pernah dia rasa runsing macam ni sekali. Sumpah, dia sendiri dah tak faham dengan diri sendiri.

Kenapa dia macam tertahan-tahan untuk buat keputusan? Teragak-agak, tanpa langsung ada keyakinan? Otak bahagian mana dalam kepalanya yang cuba menghalang mindanya membuat pilihan ni?

Kepalanya ditoleh, memandang telefon pintarnya yang masih ada di atas meja.

Tiada dering dari wanita tersebut, dia tahu. Tak guna juga dia menunggu panggilan itu. Tak guna juga dia seringkali membahaskan dalam mindanya bahawa Hana hanyalah bermain-main apabila berkata demikian tempoh hari, seperti selalunya dia suka bergurau.

Sekarang ini, dia nak telefon Hana pun dah tak ada guna. Mesti tak akan diangkat macam sebelum ini. Apatah lagi, Hana yang memutuskan dahulu untuk mereka tidak lagi berhubungan.

Ketika asyik mengelamun demikian, Fahrin terdengar dering telefonnya. Refleks, dia bangun dan membaca mesej yang tertera.

'Fahrin, busy ke sekarang? Jom lunch sama-sama, nak?'

Tentunya Sarrah yang menghantar itu padanya.

Fahrin menghela nafasnya. Pantas tangannya menaip sesuatu sebagai membalas mesej itu.

"Sorry, Sarrah. I ada meeting harini."

Ketika dia mula mahu menekan pilihan 'hantar' itu, geraknya terus berhenti.

Sesaat dua berfikirkan sesuatu, Fahrin lantas memadam kembali mesej tersebut dan menukar responsnya kepada bersetuju.

Apabila mesej kemudiannya dihantar, Fahrin bergegas bangun dari katilnya dan bersiap.

------------------

SEKARANG, dia dah memang ada dengan Sarrah. Ini dah bagus buatnya. Ada sumber maklumat yang boleh dia cari gali melalui wanita itu.

Tapi, masalahnya, sekarang ini dia sendiri tak tahu macam mana nak menyelitkan satu nama itu dalam perbualan mereka.

"Nanti adalah muka I untuk cover majalah bulan ni!"

"Penat betul shooting tu. Memang dia nak tengok sudut wajah yang elok-elok. Herot-herot muka I kena buat itu ini."

Sebabnya, Sarrah ni tak habis-habis bercerita tentang kerjanya sejak mereka berjumpa tadi. Langsung tak terkeluar topik. Tersasar sedikitpun tidak. Mungkin sebab terlalu teruja dengan tawaran model kali ini.

Ok, Sarrah, ok. Bila boleh berhenti ni? Bisik hati Fahrin.

Makanan depan tu pun tak bersentuh langsung. Nak tunggu musim salji baru nak dijamah ke?

"Nanti kalau you ada masa, kita pergi studio sama-sama, eh? I kenalkan you dengan kawan-kawan I." Ujar Sarrah, masih melayan terujanya.

"Hmm, ok." Hanya mengiyakan. Kalau tak dilayan nanti apa pula yang jadi.

Sarrah tersenyum lebar menatap wajah Fahrin yang asyik menjamah, tunduk memandang pinggannya.

"You nampak ok hari ni." Kata Sarrah.

Fahrin mengangkat wajahnya, memandang Sarrah. "Hmm?"

"Sejak belakangan ni, you nampak macam moody. Ada masalah kerja ke?" Soal Sarrah.

"Oh, tak. Mungkin cuma penat." Balas Fahrin sambil kembali memandang pinggannya.

Sarrah mengangguk-angguk. "Itulah. Mungkin you kena kurangkan stress. Keluar dengan kawan-kawan ke." Pesan Sarrah.

Fahrin hanya mendengar.

"Atau mungkin you kena berkebun, atau tanam bunga, macam Hana."

Terus Fahrin berhenti menjamah. Wajah Sarrah dipandang buat kesekian kali.

Akhirnya, nama itu disebut jua.

"Hana?"

Sarrah mengangguk-angguk. "Hana suka tanam pokok bunga. Tak tahu ke?" Soal Sarrah.

Fahrin hanya menggeleng, berpura-pura tak tahu.

"Dia suka tanam bunga apa?" Peluang bertanya. Meskipun nampak bodoh juga soalannya.

Dah suka tanam bunga, ada ke orang memilih macam nak beli baju? Sapu je la semua jenis bunga, kalau dah namanya suka jaga pokok. Apa bendalah soalan kau ni, Fahrin.

"Hmm, dulu dia tanam je apa yang dia suka. Tapi sekarang, kat rumah dia banyakkan bunga yang berbau kuat. Katanya, supaya hidungnya lebih sensitif dengan bau. Sebab dia dah tak...."

Sarrah kelihatan terus diam di situ. Hampir tersasul. Baru teringatkan janji yang Hana pinta padanya agar merahsiakan keadaannya pada semua orang.

Wajah Sarrah ditatap. "Tak apa?" Soal Fahrin.

"Tak suka bunga yang bau busuk, maksud I."

Fahrin mengerutkan keningnya seketika. Bila masa Hana ada citarasa macam tu?

Melihat wajah Fahrin demikian, Sarrah mula membuka mulutnya.

"Fahrin, you dengan Hana rapat macam mana?" Soal Sarrah.

"Hmm? Kenapa tanya?" Soal Fahrin pula.

"Sebab, I masih rasa nak tahu hubungan sebenar kalian. Tak puas hati, tak tahu kenapa. Mungkin sebab terasa pelik." Ujar Sarrah dalam tawa kecil.

"Pelik kenapa?"

"Sebab you dengan dia nampak lainlah. Macam bukan kawan biasa. Hana pun tak pernah pun sebut tentang you kat I."

"Em, sebab kenal sekejap, mungkin. I tolong dia sikit-sikit kat sini dulu. Dia ok?" Soal Fahrin, sengaja 'mencucuk' perihal Hana lebih lagi.

Sarrah mengangguk. "Ok je. Sihat macam biasa."

Fahrin hanya mengangguk tanda faham. Ye la, dah bahagia lepas tinggalkan aku. Dasar perempuan. Angin kepala selalu datang tanpa isyarat, mengalahkan monsun tenggara. Angin monsun pun boleh dijangka ikut musim.

Eh, yang aku nak emosional tiba-tiba ni kenapa?

"Sepanjang you kawan dengan Hana, Hana ada cerita apa-apa pasal dia?" Soal Sarrah.

Fahrin memandang wajah Sarrah sebelum menggeleng.

"Kenapa?" Soal Fahrin.

Sarrah menghela nafas kemudiannya.

"Banyak benda yang jadi sejak kami berpisah. Kadang-kadang, terlalu drastik untuk I tahu semua ni, sampai rasa sarat sangat. I tak tahu Hana macam mana harungi semua ni sendiri. Dia terlalu bionik."

Fahrin mendengar dan diam sejenak sebelum bertanya. "Maksudnya?"

Sarrah tersenyum nipis. "Ibu bapa kami meninggal dua tahun lepas dalam kebakaran tiba-tiba, disebabkan litar pintas. Waktu tu, I dah tinggal sini. Hana cerita, masa kebakaran jadi, Hana masih ada dalam rumah. Cuma dia tak dapat selamatkan sesiapa selain diri dia sendiri sebab terlalu cepat api marak. Lepas dua-dua dah meninggal, Hana cuma tinggal sendiri sebelum dia pilih untuk datang sini semula dan cari I." Balas Sarrah.

Wajah Fahrin terus berubah. "Kebakaran?" Soalnya.

Sarrah mengangguk. "I, I cuma tak mampu bayangkan dengan umur Hana muda masa tu untuk hadapi semuanya sendiri. Tanpa keluarga terdekat, dalam keadaan dia hilang ingatan sebab kemalangan." Kata Sarrah.

Mendengarkan itu, Fahrin terus menyepi. Tiba-tiba, dia teringat akan mimpi Hana dahulunya ketika di hospital.

"Where's Dad...! Save him! Mum!"

Terus Fahrin terasa jantungnya bagai direntap ketika itu.

Kerana itukah? Hal kebakaran itukah?

"Sebab itu ke dia cari you balik tahun ni? Sebab dia dah tak ada keluarga? Dia tinggal sendiri sepanjang lepas semua meninggal tu?" Bertubi-tubi Fahrin bertanya itu.

Sarrah hanya tersenyum nipis dan mengangguk. Tatkala itu, Sarrah menelan liurnya.

"I...buat kesilapan besar dalam hidup I. I buat dia takut, I tinggalkan dia. Dia terlalu takut keluarga dia hancur, sampai sanggup sampai sini cari I. Umur dia baru setahun jagung waktu tu, sangat muda untuk melilau tanpa hala tuju ke tempat ni." Dalam getar suara dia berkata-kata itu. Namun segera ditutup ketar suara itu dengan berpura-pura sibuk menjamah.

Fahrin diam. Masih cuba menghadam semuanya.

Dia memang tahu, Hana memang pertama kali berada di rumahnya tanpa dirancang adalah ketika dia baru berumur 20 tahun. Lebih kurang lima bulan kemudian, mereka bernikah.

Cuma, kisah yang semakin lama semakin tersingkap, lebih-lebih lagi tentang ibu bapa mereka—juga mertua Fahrin sendiri secara teknikalnya, membuatkan Fahrin cukup kaget di situ.

Hana hanya bersendirian melalui semuanya. Selama ini. Tak mustahil jika perihal itu masih melekat dalam mindanya, menjadi raungan dan mimpi buruknya pada waktu tertentu.

"Hana tak ada trauma ke? Maksud I, you tahu, sebab kemalangan, kehilangan ahli keluarga semua tu?" Soal Fahrin.

Sarrah diam seketika, berfikir. "Tengok dari cara, macam tak. Dia pun tak murung. Ceria macam selalu."

"Tak mimpi buruk?" Soal Fahrin lagi.

"Mimpi buruk? Tak ada pula. I pernahlah juga bermalam di rumah dia, tapi tak pernah pula dia mengigau." Balas Sarrah.

Fahrin sepi seketika, terus membuang pandang menembusi luar dinding kaca itu. Apabila dirasakan cahaya matahari mula terik di luar, Fahrin tiba-tiba teringatkan sesuatu.

"Lampu." Katanya sendiri.

"Hmm?"

Dia terus memandang Sarrah. "Hana, dia memang takut gelap ke? Tak boleh tidur kalau lampu tak tutup?"

Sarrah kelihatan mula meletakkan sudu dan garfu itu sebelum memandang Fahrin, sedalamnya.

"Kenapa you tanya macam you dah sangat-sangat kenal dia, dan tengah risaukan dia?"

----------------

TANGANNYA disua ke udara, merasai haba yang menggigit kulitnya di tepi tingkap itu.

"Sudah tengahari." Kata Hana dalam senyumannya.

"Ya, Cik Hana. Pukul 12.30." balas Adira yang sedang membersihkan bilik Hana.

Hana mengangguk tanda faham. Kaca tingkap itu disentuh sebelum tangannya menyentuh kembangan bunga hidup yang ditanam di tepi tingkap itu.

Sengaja dia minta bantuan Adira untuk meletakkan deretan bunga di situ untuk dirinya. Dia hanya mahu, kalau boleh, menikmati sedalamnya bau setiap bunga tersebut.

Kerana setiap bauan itu, adalah yang tidak terlepas mengingatkannya kepada Fahrin. Tentang pertemuan terakhir mereka tempoh hari.

Dan, kalau boleh juga, dia tidak mahu luputkan memori itu.

Mengingatkan Fahrin, serta-merta Hana teringat perkara lama. Tentang bagaimana pendiamnya Fahrin satu ketika setelah Hana kembali ke sini buat kali kedua. Yang hanya bersuara dengan amarahnya apabila Hana mengganggunya di bilik air sedang dia bersendiri. Menyangkakan Hana sengaja memperalatkannya di situ.

Tapi, adakah Fahrin mengetahui bahawa dia sengaja melakukan demikian? Sengaja melangkah masuk mendapatkan Fahrin, kerana mengetahui Fahrin cuba melemaskan dirinya di situ?

Ya, Fahrin tak akan tahu itu. Dia tak akan pernah tahu yang Hana memerhati semua yang berlaku di rumah itu dan juga dirinya.

"Mahu melihat sama ada Valak merasuk kamu melalui nadi atau tidak."

Hana hanya selalu membelek pergelangan tangan Fahrin bukan sebab itu.

Dia sebenarnya takutkan kalau-kalau Fahrin cuba mengelar tangannya.
Jadi, pergelangan itu selalu diperhatikan sekiranya dia tersedar ada yang berubah. Yang menandakan mungkin depresi Fahrin sudah tidak terkawal.

Melalui pergelangan tangan yang masih biasa itulah Hana menyedari bahawa niat Fahrin bukan untuk membunuh dirinya. Ubat-ubatan yang diambil secara berlebihan, semuanya hanya kerana dia terlalu bergantung kepada 'kebendaan' untuk memulihkan patah hatinya. Sedangkan rohaninya hanya kosong semata-mata.

"Kamu tahukah, Adira..."

"Ya, Cik Hana?"

"Saya begitu takutkan saya buta dahulu." Kata Hana.

Adira diam di situ. Hana menyambung lagi.

"Saya takut saya terlupa apa yang saya pernah lihat. Warna, bentuk, rupa. Sejauh mana saya cuba mengingati setiap benda dahulunya, akal saya masih terbatas."

Hana terus menyambung.

"Saya takutkan kalau ada seseorang yang terluka atau mencederakan dirinya tapi saya langsung tak menyedarinya. Hanya kerana saya tak mampu melihat."

Adira diam sejenak sebelum mendapatkan Hana dengan senyuman nipisnya. Bahu Hana disentuh lembut.

"Jangan risau, Cik Hana. Kan kita masih ada doa?" Soal Adira.

Hana pula mendiamkan diri di situ, sebelum senyumannya terukir kemudian.

"Ya, Adira. Kita ada doa. Mengapa saya hampir terlupa hal ini?"

Pembantunya itu mengukir senyumannya.

"Cik Hana ada teringatkan seseorang?" Soalnya.

"Saya sentiasa cuba mengingati semua yang ada di sekeliling saya. Termasuk kamu." Balas Hana.

"Bukan itu, Cik Hana. Maksud saya, seseorang yang sangat istimewa." Balas Adira.

Ketika itu, diserahkan buat Hana sekeping gambar yang dikutipnya di bilik itu.

Hana meraba kepingan segi empat tersebut. Senyuman diukirkan, Hana menyentuh perlahan gambar tersebut.

Hana tertawa sendiri kemudiannya.

"Saya rasa saya tidak mampu menyembunyikan terlalu lama dengan kamu. Kamu pasti tahu semuanya." Kata Hana.

Adira tertawa juga. "Maaf, Cik Hana. Tak berniat nak ambil tahu urusan Cik Hana. Terjatuh tadi."

"Tidak mengapa. Bukan salah kamu."

Senyuman Adira ukirkan, seraut wajah dalam gambar yang diusap Hana itu ditatap kemudiannya.

"Terlalu istimewa?" Soal Adira.

Hana mengangguk. "Dia rapat dengan saya."

"Jadi, dia di mana sekarang?"

"Sudah bersama pilihan hatinya." Balas Hana.

"Oh."

Hana termenung seketika sebelum tersenyum sendiri.

"Dia ada kehidupannya sendiri. Saya cuma sahabatnya."

Tangan Adira perlahan digenggam.

"Terima kasih, Adira. Sudi membantu saya." Ujar Hana.

"Jangan cakap macam tu, Cik Hana. Ini memang kerja saya." Kata Adira.

"Tapi, kamu tidak akan lakukan sesuatu yang kamu tidak suka. Kamu tidak akan mahu menjaga orang buta kalau kau tidak sukakannya. Sedangkan ketika saya sihat, tetap ada yang tidak mahu menjaga saya." Kata Hana pula.

Sepi sejenak. Hana umpama cuba menelan ayatnya sendiri.

"Saya terfirkan sesuatu, Adira."

"Apa dia, Cik Hana?"

"Mungkin, saya menjadi buta untuk mengelakkan hati saya lebih sakit, melihat sesuatu yang saya tak mahu tapi terpaksa melihatnya."

Tangan Adira semakin erat digenggam.

"Mungkin, sesuatu seperti majlis pernikahan seseorang yang saya cintai dengan orang yang lainnya." Ujarnya, perlahan.

Dalam fikirannya tatkala itu, jelas wajah Fahrin yang membayangi. Senyuman Hana terukir kemudiannya apabila terasa genggamannya dibalas.

"Adira, saya mahu mendengar ayat suci Al-Quran."

Mahu menenangkan hatinya sendiri, kerana tatkala itu tak mampu dia nafikan, dia terasa sesuatu yang cukup menusuk hatinya.

"Ya, ya. Cik Hana ikut sini. Hati-hati."

------------------

RAKANNYA itu diperhatikan agak lama.

"Hei." Sapa Joel.

Fahrin masih termenung jauh begitu. Joel lantas mengetuk-ngetuk meja sebelum kelihatan Fahrin terus sedar dari lamunannya.

"Kau kenapa ni?" Soal Joel.

"Kenapa?" Soal Fahrin pula.

Nafas Joel hela. "Kau ada masalah apa lagi ni? Kerja kau teruk sangat ke?"

"Oh, em, tak. Aku ok." Ujar Fahrin.

"Ok apa dia? Kau mengelamun sejak dalam mesyuarat tadi. Lepastu, tu ha, botol apa tu yang kau pegang sejak tadi? Azimat?" Joel menjuihkan bibir kepada botol ubat kecil yang dipegang Fahrin.

Fahrin yang melirikkan matanya kepada botol itu lantas meletakkannya ke atas meja. Terus dia menyandarkan tubuh ke kerusi sambil memejamkan matanya.

Joel mencapai bekas tersebut lalu dibeleknya.

"Maddy Fine ni apa?" Soalnya, pelik. Berkerut wajahnya melihat tulisan yang tertera di situ.

Fahrin mencelikkan sebelah matanya. "Gula-gula."

"Eh, dah kenapa letak dalam ni? Kan ini botol ubat? Kau punya kerja ke?" Soal Joel, semakin pelik. Semakin berkerut wajahnya.

"Taklah." Balas Fahrin, sepatah. Dia ni, banyak tanya betullah. Jemah tak sudah.

Joel terus membelek botol itu sesaat dua sebelum kembali meletakkannya di atas meja itu. Fahrin mula diberi perhatian kini.

"Kau ada masalah yang sama lagi ke?" Soal Joel, mula serius.

"Masalah sama apa?" Soal Fahrin, mendatar.

"Masih rindukan orang lama." Balas Joel.

Fahrin pantas menggeleng. "Aku dah tak kisahlah hal tu."

"Habis? Fahrin, beberapa bulan ni, nampak dah kau ok sikit. Dah nak bercakap dengan pekerja kat sini. Tak sengaja sibukkan diri kau sampai tengah malam kalau tak ada hal. Kadang-kadang, nampaklah kau senyum sekali dua. Tapi sekarang jadi macam dulu balik." Ujar Joel.

Sepi. Fahrin masih termenung jauh, umpama menghadam kata-kata Joel.

"Aku tak suka perasaan ni."

Tiba-tiba Fahrin berkata itu.

Joel memandang Fahrin yang masih tidak memandangnya.

"Aku tak sepatutnya rasa bersalah untuk benda yang tak patut. Aku tak sepatutnya rasa tak yakin. Aku tak ada rasa sayang, aku tak pernah rasa suka, tapi kenapa aku kena rasa serba tak kena, rasa ragu-ragu? Sebab aku takut tak tunaikan tanggungjawab aku? Sebab aku pentingkan diri sendiri?"

Luahan itu tiba-tiba kedengaran dari mulut Fahrin. Membuatkan Joel terus diam seribu bahasa.

Suasana sepi seketika. Akhirnya, Joel membuka mulutnya.

" "Orang" tu, yang haritu pernah datang bawa kereta kau ke?"

Terus Fahrin terdiam di situ. Agak lama. Nampaknya Joel pintar juga menebak.

Joel menarik nafasnya dan menghela perlahan.

"Kau serik, mungkin. Paranoid nak mulakan langkah sebab kau taknak dikecewakan lagi atas sebab sama." Ujar Joel.

Fahrin terus menyepi. Tiada lagi kata-kata yang keluar dari mulutnya. Joel terus berkata kemudiannya.

"Apa-apa pun, kau kena ingat, jangan terlalu buru-buru buat keputusan, jangan terlalu berlengah. Kenapa takut patah hati kalau kau luahkan perasaan? Lebih baik kau takut tak terluah pada dia. Itu lebih menyesal."

Bukan main lagi Joel berkata-kata. Sekadar menyedapkan hati atau sememangnya bermaksud sedemikian, Fahrin juga tak pasti.

Tapi, Fahrin tak sebut pun masalah sebenar dia pada Joel. Nampak sangat tahap ke'bawang'an Joel memang tak terhingga.

Tapi jua, memandang sudut positifnya, bagus juga. Tak perlulah dia terlalu membuka cerita. Dia bukannya jenis selalu bercerita hal peribadi sejak dahulu.

Wajah Joel dikerling sekilas. Senyuman secalit nipis terukir. Tanda 'terima kasih', andai Joel sedar akan itu.

Joel terus menepuk-nepuk bahu Fahrin, memberi semangat.

"Ha, lupa nak tanya. Hari tu lepas kau pengsan, doktor kata kau kena buat pemeriksaan lagi. Kau dah jumpa doktor balik?" Soal Joel, mengingatkan insiden lalu ketika Fahrin tiba-tiba jatuh pengsan di hadapannya.

Fahrin hanya mengangguk.

"Ada apa-apa masalah ke?" Soal Joel.

"Tak keluar lagi apa-apa keputusan."

"Oh, ok. Tapi kau baik-baik je, kan?" Soal Joel lagi.

Fahrin mengangguk lagi sekali.

"Em, oklah kalau macam tu. Kalau ada apa-apa, kau cakaplah dengan aku. Mana yang boleh, aku tolong. Ok?"

Anggukan diberikan sekali lagi sebelum Joel menepuk lagi bahunya lalu berlalu pergi. Masih banyak urusan yang harus diselesaikan.

Melihat langkah Joel yang berlalu, Fahrin mula menghela nafasnya. Umpama mengeluh.

"Kenapa you tanya macam you dah sangat-sangat kenal dia, dan tengah risaukan dia?"

"Mungkin cuma perasaan you."

Begitu tenang dan bersahaja dia membalas itu. Meskipun dia tersedar akan perubahan pada wajah Sarrah di situ ketika bertanya soalan awalnya.

"You kenapa takut sangat kalau I memang ada sesuatu dengan adik you?"

"T...tak. Bukannya takut, I cuma rasa tertanya-tanya."

"Sebab?"

"Em, entah."

Kenapa, terkadang, setiap saat yang dialami sekarang adalah tanda untuk mendekatkan diri kepada Sarrah?

Kenapa dia sendiri terlalu sedaya upaya menjaga hati wanita itu, dalam pada dia sememangnya boleh saja berterus-terang kepada Sarrah? Kenapa perasaan wanita itu juga yang difikirkannya?

Fahrin bersandar lalu memejamkan matanya.

Haish. Apa benda kau ni, Fahrin. Masalah dengan Hana tak habis lagi ni.

Dia mencelikkan matanya. Botol yang berisi gula-gula itu menjadi tatapan.

Kau, Hana, selama ni anggap aku sebagai apa sebenarnya?

Dan kau, sejauh mana kau bahagia sekarang bila aku dah tak wujud depan mata?




-------------

Pendek, sebab upcoming chapter kita panjangkan lagi. Tak sesuai masuk sini. Herher.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro