5T5B: WB |Bab 2

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


"Hearts can break. Yes, hearts can break.
Sometimes I think it would be better if we died when they did, but we don't."
— Stephen King

——————————

SEBELUM jamnya berbunyi lagi, dia sudah dikejutkan dengan ketukan pintu biliknya.

Terpisat-pisat Fahrin bangun. Dalam keadaan mamai, tanpa berfikir panjang, dia terus mengatur langkah ke pintu bilik.

Ketika Fahrin membuka pintu, dilihatnya sesuatu yang serba putih terpacul di hadapan biliknya.

Huish!

Setapak Fahrin langkah ke belakang. Dadanya terus dipegang. Terkejut!

"Mengapa kamu begitu?" Soal Hana yang lengkap bertelekung itu.

Fahrin lantas menggosok-gosok matanya sebelum dia menatap wajah itu.

Lah, si minah Western ni rupanya. Tak guna. Aku ingat orang hantar saka tadi.

Fahrin menguap seketika. Melayan mamainya.

"Kiblat di mana? Saya mahu bersolat Subuh."

Terus celik Fahrin dibuatnya. Wajah Hana mula ditatap dalam sedar.

Solat? Hana bersolat?

"Jangan terkejut begitu, Fahrin Wildan. Tunjukkan saya kiblat di rumahmu." Kata Hana yang sempat menjulingkan matanya ke atas.

Kaku sejenak. Tanpa bersuara, Fahrin terus berlalu ke bilik Hana. Teknikalnya, bilik sementara Hana.

Sejadah dicapai lalu dibentangkan. Agak lama juga dia membetulkan kedudukan sejadah itu. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Sekejap, diluruskannya. Sekejap, digaru-garu pula kepalanya.

Ketika dia menoleh, dilihatnya Hana sudahpun bercekak pinggang berdiri di belakangnya.

Terkejut Fahrin dibuatnya. Minah ni, macam hantu betullah. Ish!

"Kamu pasti ini kiblatnya?" Duga Hana.

"Hmm." Balas Fahrin, sepatah.

Hana menjeling. "Tidak nampak yakin. Seperti tidak pernah bersolat saja sebelum ini." Katanya yang mula mengangkat takbir kemudiannya, tanpa mempedulikan Fahrin di situ lagi.

Fahrin terus terdiam mendengarkan itu. Terasa.

Tubuh Hana yang membelakanginya itu dipandang, agak lama.

"Kamu tahukah solat lima waktu?" Soal Hana ketika mendapatkan Fahrin yang menonton televisyen.

"Tahulah. Kacang je." Balasnya, bersahaja.

"Boleh ajarkan saya?" Pinta Hana.

"Buat apa? Kau masuk Islam bukannya sebab nak mendalami agama ni pun." Balas Fahrin dengan selamba sambil mencapai mug dan dibawa ke bibir.

Hana, tanpa menunggu, terus menolak bawah mug itu.

"Ouch! Aduh!"

Bibir terus digigit. Air panas itu sungguh membuatkan bibirnya terasa pijar.

"Itu baru panas dunia. Panas neraka sebab tidak bersolat lebih teruk lagi."

"Berapa lama kau masuk Islam yang kau nak ajar aku pulak ni, haa?"

Telinga Hana lantas dipulas.

"Aduh! Aduh! Hahahaha! Sorry, sir!"

Sudahnya, wanita itu hanya dibiarkan sendirian tak dibimbing.

Sedangkan dia sendiri tak bersolat, sebenarnya.

Dia pun tak tahu dengan siapa Hana mula belajar solat. Sejak bila, macam mana, semuanya hanya menjadi tanda tanya.

"Kamu tidak solatkah?" Soal Hana dahulunya.

"Aku sibuk."

Hana mencebik.

"Katanya mahu membina masjid bersama Raihana. Manakan boleh bina masjidnya kalau tiangnya juga langsung tiada."

"Apa kau kata?"

"Solat itukan tiang agama. Tidak fahamkah? Hanya orang Dyslexia yang sukar memahami sindiran." Kata Hana, begitu selamba.

Dahi Hana dijentik kuat.

"Aduh!"

"Ha! Cakap lagi benda macam tu!"

Di belakang pengetahuan Hana, Fahrin hanya menunggu dia bersolat dua rakaat di situ. Hinggalah Hana memberikan salam yang terakhir, Fahrin mula beredar pergi.

Berserta nafas yang dihela panjang, entah kenapa.

---------------

SEPI. Barangkali bunyi jarum jatuh juga mampu kedengaran.

Fahrin seperti biasa, dengan sifat pasifnya. Dalam jarak beberapa jengkal, Hana pula menikmati sarapan pagi bersamanya.

"Kamu benarkah Fahrin Wildan?" Soal Hana, tiba-tiba.

Fahrin menjeling Hana sekilas.

"Mengapa kamu begitu aneh melayan saya? Seperti tidak pernah berjumpa. Dirasuk Valak?"

Fahrin hanya diam tak membalas, namun menjawab juga dalam hati.

Habis, kau nak macam mana lagi, perempuan.

Hana berfikir sejenak sebelum terus bersuara.

"Hmm, mengapa saya mahu menikahi kamu? Kita benar- benar jatuh cintakah? Tapi, hmm, mustahil. Kamu bukan citarasa saya."

Fahrin hanya menahan sabarnya. Dia ni kan, dah hilang ingatan pun perangai masih tak berubah.

Hana memainkan jemari pada hujung dagunya. Berfikir seketika akan itu.

"Pelik betul. Adakah kerana terpaksa? Harta? Kerana pangkat? Atau...."

Hana mula memandang Fahrin yang secara tak langsung juga memandangnya dengan ekor mata.

Meja terus dihentak. Mengejutkan Fahrin daripada mula mengangkat cawan kopi dari atas meja itu.

"Oh! Oh!"

Mata Hana terus dibulatkan. Sengaja.

"Adakah kerana kita.... sudah terlanjur?"

Mulutnya yang terbuka berpura-pura ditutup dengan tangannya. Perutnya mula disentuh-sentuh.

Fahrin mula mengerutkan dahinya. Apahal pulak! Aku tak pernah 'sentuh' kau pun la!

"Saya sudah ada anak berdarah orang Asia? Adakah dia sekacak artis Korea?" Soal Hana.

Fahrin hanya sepi, menahan sabar sebenarnya.

Mana datang muka Korea kalau muka sendiri pun dah Melayu tulen? Muka kau pun muka mat salleh. Aduhai!

Melihat wajah Fahrin yang menegang itu, Hana tiba-tiba ketawa. Sudu di sebelah cawan mula diraba-raba, mencari kedudukannya.

"Hmm?" Hana mengecilkan mata dan mendekatkan wajahnya.

Fahrin hanya melihat perlakuan itu. Silih berganti matanya memandang Hana dan sudu yang walhal berada betul-betul depan matanya.

Dah kenapa dia ni?

Secara tiba-tiba, sudu tersebut tertolak oleh Hana lalu terjatuh ke lantai.

Hana lantas merendahkan badannya, cuba mencapai sudu tersebut. Tangannya mula diraba-raba ke sekitar lantai.

Tanpa terduga, Hana hampir gagal mengawal tubuhnya.

Terkial-kial Hana cuba menahan diri dari terjatuh. Segera tangannya mencapai hujung meja dan berpaut kuat. Tubuhnya terus ditegakkan.

Fahrin juga sebenarnya terkejut dengan insiden itu.

"Fuhh! Hampir saja saya bayangkan kematian tadi!" Katanya yang kononnya sangat terkejut dengan insiden itu.

Fahrin mengetap bibirnya, menahan sabar.

Yang kau dari tadi main-main sangat siapa suruh? Bisik hati Fahrin dalam geram.

Nafas dihela deras. Tanda tak puas hati.

Tak pernah-pernah selama ini sarapan paginya jadi kecoh begini. Hei, serabut betul.

Hana mula turun dari kerusinya, mencari sudu tersebut sebelum berlalu ke sinki dan membasuhnya.

Dalam diam, mata Fahrin mengekori pergerakan Hana. Dalam pada itu, dia melihat Hana yang tiba-tiba termenung di tepi sinki tersebut.

Ketika demikian, Hana tiba-tiba menoleh ke arah Fahrin.

Segera Fahrin mengawal riaknya, kembali memandang telefon pintarnya. Sengaja cawan itu dicapai buat kesekian kali, cuba menyembunyikan kegelabahannya.

"Adakah mungkin kita dapat anak seperti orang Korea?"

Berkerut wajah Hana bertanya itu.

Terus tersedak kecil Fahrin dibuatnya. Pantas dia berdehem buat kesekian kali, mengekalkan raut wajah tegangnya.

Apabila dijeling dengan ekor mata, dilihatnya Hana umpama menanti jawapan dari dia.

Haish. Pening betullah kepala aku dengan dia ni!

"Kenapa saya harus fikirkan benda remeh ini? Sungguh membuang masa." Sempat Hana berkata pada diri sendiri sebelum terus berganjak dengan nyanyian kecil.

Fahrin mengetap bibirnya.

Kenapalah kau baru sedar, wahai manusia!

Nafas dihela, agak deras.

Susah betullah macam ni.

Walhal, niat asal dia membiarkan Hana duduk di sebelahnya adalah dengan harapan Hana dapat memberitahu perkara yang terjadi sepanjang kehilangannya dahulu.

Kalau macam nilah gayanya, sampai bila-bila dia tak akan tahu apa-apa. Dahlah dia memang malas nak bertanya terus.

Bukan malas, tapi terasa sangat anti dengan kaum hawa sekarang. Atau lebih tepat, serik.

Tapi, kalau dah macam ni, apa yang boleh dia dapat?

Jam direnung sekilas. Dia lantas bangun dan mula bergerak menuju ke pintu rumah sebelum lantas mencapai kasutnya.

"Kamu tidak menaiki keretakah?" Soal Hana yang tiba-tiba terpacul di muka pintu.

Fahrin menggeleng kecil sambil terus menyarung kedua-dua kasutnya. Malas melayan.

"Wah, menyahut seruan negara untuk kurangkan pencemarankah? Atau terlupa menservis kereta?" Soal Hana.

Hana hanya dijeling sepintas. Banyak mulut betul. Cili karang, baru tahu.

Ketika Fahrin sudahpun menegakkan tubuhnya, dia terasa kemudiannya ada tangan yang dihulur kepadanya.

Terkejut juga Fahrin di situ. Lebih terpana apabila Hana meraih tangannya lalu mengucup lembut kura tangan kekarnya itu.

"Hati-hati, ya?" Pesan Hana dalam senyumannya.

Wajah Hana menjadi tatapannya, agak lama. Sebelum segera dia berpaling dan berlalu.

Mungkin sebenarnya ada sesuatu perasaan yang menjalar, tapi segera dimatikan yang selain daripada hati kerasnya itu.

Hana melambaikan tangannya sehinggalah Fahrin berlalu pergi dan hilang dari pandangannya sebelum Hana mula memusingkan badan.

Tatkala itu, sempat juga dia memandang kereta milik Fahrin yang hanya tersadai di laman rumah itu.

Hana berfikir sejenak di sebelah kereta tersebut.

"Ke, dia lupa bayar cukai jalan?"

------------------

DI RUMAH malam itu, Fahrin melangkah sendirian ke dapur. Bayang Hana tidak pula kelihatan di mana-mana.

Dia melihat sekeliling sekilas sebelum menuju ke kabinet dapur itu. Pintunya dibuka, dan Fahrin mula mengeluarkan beberapa botol ubat-ubatan dari dalam kabinet tersebut.

Tanpa berlengah, pil-pil itu ditadah oleh tangannya sebelum dia menelan semuanya tanpa berbaki.

Fahrin mengambil pula sepapan ubat yang lain dari kabinet sebelum dia membelek-beleknya.

Beberapa biji ubat tersebut diletakkan atas tapak tangan sambil dia menimbang-nimbang ubat tersebut, berkira-kira akan sesuatu.

Tiba-tiba, dia terdengar nyanyian kecil Hana yang semakin hampir ke dapur. Segera Fahrin menelan ubatan tersebut dan mengemas botol-botol yang lain.

"Kamu buat apa?"

Hana mula menghampiri Fahrin ketika Fahrin sibuk menyembunyikan ubatannya kembali ke dalam kabinet.

Fahrin lantas cuma berlalu meninggalkan Hana tanpa sebarang suara.

Hana bercekak pinggangnya.

"Pelik betul perangainya. Valak benar-benar berjaya merasuknyakah?"

Kepala digeleng-geleng sebelum bahu diangkat.

"Apa boleh buat? Baik cari Maggi." Katanya sebelum berlalu ke kabinet lainnya sambil menyanyi kecil.

Di ruang tamu, Fahrin mengambil duduk di atas sofa. Kepalanya diletakkan di atas kepala sofa sambil mula memejamkan mata.

Sambil itu, nafas cuba ditahan selama mungkin.

Ingin berasa apakah sebenarnya perasaan jika mati menjemput diri.

Ketika itu, dia terasa seseorang mengambil tempat di sebelahnya. Hana, pastinya.

Fahrin membuka matanya dan menjeling sekilas kepada Hana. Hana yang mengunyah mi segera itu sempat menoleh kepada Fahrin dengan kening diangkat berkali-kali sebelum terus menonton tanpa mempedulikan Fahrin lagi.

Fahrin menjeling Hana sekilas. Dia ni, sejak dulu suka betul makan Maggi. Tak berubah langsung.

"Kamu tahu, sebenarnya ada yang saya mahu bincangkan." Kata Hana.

Fahrin hanya menyepi. Cuma dalam hatinya menjawab.

Tahu. Kau dah cakap sejak semalam.
Yang kau pergi tidur terus tu kenapa?

Hana menghabiskan kunyahan dalam mulutnya sebelum berkata.

"Saya mahu tahu masa silam saya. Apa yang saya lakukan bersama kamu. Mengapa saya meninggalkan kamu, semuanya. Kamu harus membantu saya." Ujar Hana.

Suasana sepi seketika. Fahrin hanya mendengar tak membalas.

Hana terus menyambung.

"Kawan saya katakan saya datang ke sini dahulunya adalah kerana mencari kakak saya."

Fahrin hanya mendengar sambil matanya sengaja memandang hadapan, berpura-pura tidak memasang telinga.

Wajah Fahrin ditatap.

"Oh, apapun, kamu jangan khuatir. Saya tidak lama di sini. Saya sedang mencari tempat baru." Kata Hana.

Dia terus menikmati mi segeranya tanpa berkata apa-apa lagi. Hanya memfokuskan diri pada siaran yang terpapar tanpa mempedulikan Fahrin di sisinya.

Fahrin melirik kepada Hana dalam diam bersama keningnya yang ternaik.

Ek? Itu je dia nak cerita?

Mana cerita yang lain, yang aku langsung tak tahu dan nak tahu?

Aduhai minah Western ni. Kenapalah buat benda sekerat jalan?

Riak wajah terus dikawal sambil mata Fahrin memandang skrin televisyen seperti yang Hana lakukan.

Sudahnya, hanya suara dari siaran tersebut yang kedengaran. Dan juga tawa Hana apabila dirasakan ada babak-babak yang mencuit hatinya.

Fahrin menghela nafasnya dalam diam dan perlahan. Meluahkan rasa tidak puas hati dengan cerita separuh jalan Hana itu dalam diam.

Tak boleh diharap langsung minah Western ni.

-----------------

PINTU bilik air ditolak perlahan-lahan. Kakinya berjalan sendirian menuju ke tab mandi yang tersedia penuh berisi air di situ.

Sebelah kaki dicelup perlahan. Sebelah lagi menyusul pula kemudian. Akhirnya, bahagian bawah tubuhnya sudahpun direndamkan ke dalam tab itu.

Dalam pada itu, Fahrin termenung agak jauh. Memikirkan satu persatu kisah lama yang terjadi.

Dan, tentunya rasa perit itu sentiasa menerjah kembali dalam jiwanya.

Dia merapatkan lututnya perlahan-lahan ke dada. Air yang tenang itu dimainkan perlahan, sebelum kemudian matanya mula dipejamkan.

"I love you, Fahrin."

Mengapa terlalu susah baginya untuk melupakan semua ini?

Fahrin mula merebahkan tubuh, menenggelamkan seluruh badannya. Hanya membiarkan bahagian wajah tidak disapa air.

Nafas ditarik sedalamnya sebelum dia terus tenggelam hingga ke dasar.

Sunyi. Sepi. Dia sukakan begini. Ini bagaikan ketenangan buatnya.

Fahrin mula menghitung nafasnya yang masih berbaki.

Perlahan-lahan matanya dibuka dalam air itu. Ingin melihat siling melalui sudutnya berbaring.

Ketika itu, dia terlihat satu bayang hitam di depan matanya.

Mata Fahrin terus membuntang luas. Nafasnya mula tak keruan. Terkapai-kapai Fahrin mencapai sisi tab mandi itu dan menegakkan badannya.

"Hahh! Hahh!" Deras nafas Fahrin jadinya.

Hana yang sedari tadi umpama sudah mengagak, pantas menebarkan tuala dengan dua tangannya agar dapat menghalang dari basah air ketika Fahrin menggelupur dalam tab itu.

Dia memandang Fahrin yang mengurut-urut dadanya, cemas.

Fahrin yang masih tercungap-cungap itu menyapu wajahnya sebelum memandang wajah Hana.

"K...kau buat apa, hah?" Kasar nada Fahrin berkata kepadanya. Tak tertahan lagi.

Sumpah dia terkejut bukan kepalang.

Mana taknya, boleh pulak Hana membongkok memandang dia dari sisi tab mandi dengan rambut panjang Hana yang dilepaskan macam hantu. Gila!

"Sepatutnya saya yang bertanya kamu. Apa yang kamu lakukan berendam begitu? Menjiwai watak duyung?" Soal Hana.

"Aku mandilah! Kau buat apa masuk dalam bilik air aku ni!" Bidas Fahrin. Terlupa sudah akan dirinya yang sebelum ini tidak banyak berkata-kata dengan perempuan.

"Mandi atau bunuh diri? Mengapa kamu tidak tanggalkan seluar? Tak tahan terkencing lalu terus berendam dalam air?" Soal Hana lagi.

Mata Fahrin membuntang luas. Eh, dia ni, kan!

Rahang digerak-gerakkan, tanda menahan marah. Pandangan lantas dialihkan.

Hana menghela nafas sambil memutarkan bebola matanya.

"Bertenang sekejap, boleh? Bukannya haram buat saya melihat tubuhmu. Saya juga tidak tergiur dengan kamu. Usah risaukan itu." Katanya, bernada biasa. Tenang.

Yang membuatkan Fahrin terus tersedar dari kelakuannya. Segera dia berlagak biasa.

Ish, kau ni pun. Cuak sangat.Bukannya hantu betul, marah Fahrin kepada diri sendiri.

Pun begitu, Fahrin masih menjeling dengan ekor mata sambil mula berpeluk tubuh.

"Saya panggil di luar bilik, tapi kamu tidak menjawab. Jadi saya terus saja masuk. Ada hal yang saya mahu katakan padamu." Ujar Hana.

Terus Hana keluarkan beberapa not RM100 dari poketnya.

Wang itu diletakkan pada satu rak berdekatan tab mandi itu.

"Ini untuk sehingga hujung bulan ini. Sekiranya saya masih tidak menemukan tempat tinggal baharu, saya akan membayar lagi untuk bulan berikutnya. Saya harap ia tidak menyusahkan kamu." Tuturnya.

Fahrin melihat not-not tersebut. Secara kasar, ada lima keping semuanya.

Hana memandang Fahrin.

"Saya akan asingkan barangan saya dan kamu, termasuk makanan kering dan lain-lain. Saya akan jaga dan kemaskan rumah, dan masakkan untuk kamu jika kamu tidak berkerja. Harapnya memadai." Tambahnya.

Wajah Fahrin yang cuma berdiam diri itu dipandang sebelum tuala itu diletakkan atas kepala Fahrin.

"Jangan mandi begitu lama malam-malam begini. Tidak bagus untuk kulit kamu, juga kesihatan kamu." Pesan Hana sebelum berlalu pergi.

Fahrin hanya melihat bayang itu berlalu pergi, disusuli dengan wang yang diletakkan pada rak itu buatnya.

Sempat Hana memandang sinki bilik airnya. Sempat juga dia mendengar kata-kata halus dari Hana kemudian.

"Walaupun memakai pencuci muka, masih saja wajahnya nampak kusam. Ambil wudhu tidak sempurnakah?"

Fahrin lantas menjeling.

Eh, sempat lagi dia ni. Aku tepuk mulut tu karang.

Apabila Hana sudah tiada di situ, Fahrin lantas menghela nafas sebelum meletakkan kepala pada sisi tab mandi itu.

Kenapalah dalam banyak-banyak tempat, mesti Hana datang jumpa aku? Kenapalah dia terfikir nak duduk sini?

Serabut hidup jadinya terpaksa melayan minah Western ni.

----------------

DARI tadi sebenarnya Fahrin menahan rasa geramnya yang bertalu-talu.

Mana tidaknya, sedang dia nyenyak tidur pada pagi yang cerah itu, terdengar pula suara seseorang yang menyanyi dengan kuat di hadapan bilik tidurnya.

"Kasihku, jika kau lihat pada bintang....!"

Dahlah lagu jiwang zaman dulu-dulu, tak sedap, lepastu nak memekik pulak tu. Apa jadah perempuan tu waktu hujung minggu macam ni memekak tak berhenti!

Fahrin mencapai bantal lalu menekup telinganya. Namun, makin lama dirasakan makin kuat pula nyanyian Hana jadinya.

Ah, tak guna betullah!

Dia mengiring ke kiri dan ke kanan. Cuba memekakkan telinganya.

Sehingga sampai saat apabila sabarnya mula hilang, Fahrin lantas bangun dari katilnya dan meluru ke pintu bilik.

Pintu itu dibuka kasar. Dari jarak itu, dia dapat melihat Hana yang sedang membelakanginya sambil memegang sesuatu. Headphone wanita itu dilihat.

Fahrin mendengus. Tak guna betul!

Dengan perasaan membaranya, dia melangkah ke arah Hana. Mahu menyambar headphone yang dipakai itu. Tanpa juga Fahrin sedari bahawa lantai di hadapan biliknya licin selepas dicuci.

Tanpa diduga, dia jatuh tergelincir dan terduduk di situ.

"Arghh!"

Terus Hana menoleh, memandang Fahrin yang sudah terduduk itu. Headphone segera ditanggalkan dan disangkut ke leher.

Langkah diatur kepada Fahrin. Melihat Fahrin demikian, Hana mula berkata.

"Kamu ini memang hidup dalam kelam-kabutkah? Perkara seperti ini juga tidak boleh berjaga-jaga. Apa nak jadi." Sempat pinggangnya dicekak sambil dia menggeleng-geleng kepalanya.

Fahrin mengetap bibirnya. Menahan marah.

Kau tak nampak ke aku tengah sakit ni? Nak membebel apanya lagi!

Sempat juga dia memandang batang mop yang dipegang Hana.

Kurang asam betul. Bukan nak beritahu dia mengemas ke apa ke.

Hana mula merendahkan tubuhnya.

"Perlu bantuankah?" Soal Hana dalam senyumannya.

Fahrin yang mengusap-usap pinggangnya sambil berkerut menahan sakit menatap sekilas wajah Hana. Jelingan diberikan tajam.

Bersusah-payah Fahrin bangun sendiri, dalam sakitnya. Pelawaan Hana langsung tak dihiraukan.

Tak guna punya perempuan. Semua sebab kau, tahu tak!

Ketika Fahrin bangun dan melangkah dengan perit menuju ke dalam biliknya, Hana mula mendekatinya.

Pinggang Fahrin terus dicucuk dengan dua jarinya.

"Arghhh!"

Makin kuat gema erangan Fahrin. Meliuk-liuk tubuhnya menahan sakit. Mujur juga sempat berpaut pada hujung katil.

"Padahal memang sakit, tapi masih mahu menyombongkan diri. Mari sini, saya papah kamu." Kata Hana yang sempat menjeling Fahrin.

Fahrin tak bereaksi, hanya mampu melayan sakitnya yang tak terhingga kini. Namun, sempat juga tangannya menepis Hana yang mula menghulurkan bantuan.

Hana sempat bercekak pinggang apabila melihat Fahrin begitu.

Dia ni, kenapa sombong sangat.

Wanita itu terus berlalu keluar, mahu mengambil peti pertolongan cemas. Serasanya dia pernah terlihat bekas itu di bahagian dapur.

Gaya macam terburu-buru, tapi sebenarnya tak. Langsung. Bahkan, Hana sempat menyambung lagunya yang tergantung kerana insiden tadi.

Di rak kabinet yang bersusun itu, Hana mencari-cari bekas tersebut dengan teliti bersama siulan kecilnya, bersahaja.

Apabila berada di depan bilik Fahrin, ketika dia mula memulaskan tombol pintu, dia terasa pintu itu sudahpun dikunci dari dalam.

"Marah benarkah?" Soal Hana sendiri dalam senyuman mengejeknya.

Mengingatkan wajah Fahrin sebentar tadi, Hana mula ketawa. Lawak betul!

Dia lantas berlalu ke bawah dan meletakkan semula peti pertolongan cemas di tempatnya.

Rak-rak di kabinet berderetan kemas itu ditatap, umpama berfikir sesuatu.

Langkah kemudian dilalukan ke ruang tamu. Sempat juga dia berhenti setapak dan kembali memandang bahagian tangga menuju ke bilik Fahrin, disusuli kawasan dapur itu.

Pastinya, ada sesuatu yang Hana fikirkan.

"Maggi saya tinggal berapa bungkus, ya?"

Dia terus berpatah balik ke dapur, bersama nyanyian kecil.

Tak ambil peduli langsung dengan amarah Fahrin padanya.

---------------

SEJAK tadi, Fahrin tak langsung memunculkan dirinya dari dalam bilik. Entah apa yang dibuat.

Hana yang tadinya hanya mahu membasahkan tekaknya mula terpandangkan bilik Fahrin yang masih terang melalui ruang bawah pintu itu.

Masih sakitkah? Bisik hati Hana sendiri.

"Tidak padan langsung. Badan nampak maskulin, tapi tidak juga mampu menghadapi rintangan mudah." Ujar Hana sendiri.

Dia berjalan menuju ke bilik Fahrin. Diketuknya pintu itu perlahan.

"Fahrin Wildan?" Panggil Hana.

Tidak berjawab, seperti yang diduga.

Hana mengetuk lagi pintu tersebut sebelum dia cuba memulas tombol pintu.

Oh, tak berkunci rupanya.

Pintu lantas dibuka. Kelihatan Fahrin yang masih berada di atas katil, terus menarik selimut, membungkusi seluruh tubuhnya.

"Kamu sakit lagikah? Perlukah ke klinik?" Soal Hana yang mendekatinya.

Fahrin tak menjawab. Masih berselubung.

"Hei, Fahrin Wildan. Saya bertanya ni." Ujar Hana lagi.

Selimut itu pantas ditarik. Namun, cepat pula Fahrin merenggut kembali selimut tersebut. Tarik-menarik mereka jadinya di situ.

"Kau tak payahlah sibuk!"

"Kamu ini mengapa sebenarnya?" Soal Hana yang masih bergelut begitu.

Selimut itu ditarik kasar lalu dicampak tepi. Menampakkan seluruh tubuh Fahrin yang masih berbaring itu.

Fahrin memandang Hana, mengetap bibir.

"Keluarlah."

Hanya itu yang diungkap Fahrin tatkala matanya memandang tajam kepada Hana, tak berkalih.

"Saya harus tahu keadaanmu sebelum itu. Kamu fikir saya begitu mahu berada satu bilik denganmu?" Balas Hana, berani.

"Keluar."

"Sekurang-kurangnya jawab saya adakah kamu baik-baik atau tidak! Mengapa terlalu melayan egomu jika memang....."

"Keluarlah!!! Keluar sekarang!!!"

Bergema bilik itu dengan tengkingan oleh Fahrin. Bergerak-gerak rahangnya ketika itu.

Hana memandang Fahrin, agak lama. Terpana, langsung tak berganjak.

Wajah mendungnya mula kelihatan tatkala itu.

"Kamu.... menengking saya?" Soal Hana, rendah suaranya. Tidak bernada biasa.

Fahrin terus melarikan pandangannya.

"Kamu tahu begitu sukar buat saya berbicara denganmu, bertanyakan hal kamu, dan ini yang saya dapat?"

Nada itu sudah bergetar. Wajah Hana sudah sepenuhnya berubah.

Dan, sememangnya perubahan itu disedari Fahrin yang memandang Hana melalui ekor mata apabila wanita tersebut mengungkap demikian.

Fahrin masih dengan raut wajah tegangnya, cuma hatinya tiba-tiba tidak tenteram mendengar suara itu.

"Sampainya hatimu. Begitu sekali kamu..."

Ayat itu termati.

Dari sudut itu, Fahrin lihat Hana mula menekup tangannya ke mulut, menahan esaknya.

Terus Hana berlari keluar pintu dan dihempas tanpa mempedulikan Fahrin lagi, umpama begitu kecewa dengan sikap Fahrin.

Riak Fahrin terus berubah.

Sumpah, dia sebenarnya tak ada niat pun nak tengking Hana macam tu. Jujur, itu bukan niatnya!

Fahrin memejamkan matanya. Nafas ditarik dan dihela perlahan.

Mendengarkan tangisan dari luar itu, hati Fahrin mula tak tentu arah.

Ini memang bala. Sangat bala.

Ish! Ish! Ish!

Hana di luar pintu, semakin mengesak kuat. Pintu ditoleh seketika sebelum dia mengesak lagi dan terus berlalu ke biliknya.

Sempat dia menoleh ke arah bilik Fahrin dengan wajah keruhnya di hadapan pintu buat kesekian kali sebelum dia meluru masuk ke biliknya.

Secara tiba-tiba, Hana mula melutut di tepi katil.

"Cinta....dekatkan hatiku...! Tak mahu sesuatu merenggut engkau...!" Terus Hana menyanyi lagu 'Cinta' nyanyian Melly Goeslaw di situ.

Matanya dipejamkan, umpama menghayati lagu tersebut sepenuh hati.

Kemudian dia bangun berdiri dan membetulkan suaranya, berdehem sebentar beberapa kali.

"Sama seperti rancangan TV3 yang saya tonton semalam. Berjaya juga saya menjayakan watak utama yang dramatik itu. Pencapaian yang bagus, Hana." Puji Hana akan dirinya sendiri. Terasa bangga pula.

Dia terus menyentuh barang-barang di biliknya sebelum mula teringat sesuatu.

"Oh ya, tadi sebenarnya saya mahu ke dapur, bukan?"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro