5T5B: WB |Bab 22

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

As much as it seems like you own my heart,
It's astronomy, we're two worlds apart.
—Conan Gray

-------------------------

"SAYA pulang dulu. Esok saya datang lagi." Ujar Hana buat kesekian kali, bagaikan empunya badan yang terlantar tu bisa menjawab.

Tangan itu diraih lalu dikucup lembut. Memberi sepenuh penghormatan.

Hana namun tidak memilih untuk terus pulang. Bahkan dia mengatur langkah menuju terus di taman dalam kawasan hospital itu.

Sedang dia mengambil duduk di sebuah bangku dan lantas termenung jauh, dia terlihat bayang Daniel yang merapatinya.

Daniel pula tanpa berfikir panjang terus mengambil tempat bersebelahan Hana. Mungkin cuba menemani.

"Mahu melawat Fahrin Wildan?" Soal Hana, berbasa-basi. Sedangkan sudah tahu jawapannya jelas.

Daniel masih menggangguk meskipun tahu itu hanyalah sekadar soalan bagi memecahkan suasana sepi.

"Fahrin masih belum ada tanda-tanda positif?" Soal Daniel.

Gelengan kecil diberikan Hana sebelum dia termenung.

"Daniel..."

"Hmm?"

"Doktor beritahu saya yang Fahrin Wildan hanya akan menggunakan non-invasive ventilation seperti sekarang." Ujar Hana.

Yang pada logiknya, melalui kaedah tersebutlah sebenarnya paling wajar dilakukan kepada pesakit kritikal. Apatah lagi untuk pesakit yang tidak mempunyai sebarang respons seperti Fahrin.

Daniel dan Hana saling berpandangan.

"Awak maksudkan..." Sememangnya Daniel dapat menangkap maksud Hana itu. Dulu, ketika dia bergelut dengan sakitnya, dia tahu persis akan prosedur pesakit kritikal yang berlaku.

Hana mengangguk. "Hmm. One way extubation. Disebabkan Fahrin tiada tanda-tanda positif. Mereka mahu cabut mesin pernafasan Fahrin yang sedia ada tanpa pasangkannya semula. Dan kalau Fahrin Wildan masih bergantung dengan mesin itu, kalau mesin itu dicabut, dia akan...."

Hana mematikan kata. Tak mampu mengungkapkan satu perkataan itu.

Wajah Daniel terus berubah.

"Hana, tak mungkin...."

Hana mengukir senyuman pahit dalam genangnya. "Dialisis tidak membantunya. Mereka sudah pasangkannya kembali tapi dalam seminggu ini, keadaan Fahrin Wildan makin teruk. Seharusnya dialisis itu boleh membantunya kembali stabil tapi....tidak berjaya baginya. Jadi, itu yang doktor sarankan."

Daniel meraup-raup wajahnya, kesal. Penuh hampa.

Sejujurnya, memang inilah yang Fahrin telah lama bayangkan. Yang waktunya akan semakin dekat. Sememangnya telahan Fahrin begitu tepat, dia takkan mampu bertahan sebulan dua ini. Mungkin Fahrin sendiri menjangka dia akan terlantar sakit, dan hanya bergantung harap kepada mesin pernafasan itu hingga ke hari ini.

Begitu sarat hatinya mendengar keadaan Fahrin demikian.

"Maaf, Hana."

Lemah suara itu bertutur demikian.

Hana memandang Daniel. "Kenapa?" Soal Hana.

"Saya tak dapat buat apa-apa untuk Fahrin. Untuk selamatkan nyawa Fahrin. Sedangkan Fahrin banyak berkorban untuk saya dan keluarga saya. Tapi saya masih tak buat apa-apa walaupun dah lama saya tahu dia tak sihat." Luah Daniel, cukup kecewa.

Gelengan diberikan. "Saya sebenarnya lebih terkejut dia pernah cuba untuk sembuhkan sakit sendiri."

Daniel lantas memandang Hana. "Maksudnya?"

"Kamu ingatkah sebelum ini saya pernah katakan tentang dos ubat berlebihan? Yang saya awalnya cuma kata yang dia mungkin ketagihan." Balas Hana.

Daniel mengangguk. Pastinya dia mengingat semua itu. "Tapi, saya tak faham. Kenapa terkejut kalau Fahrin cuba sembuh?"

"Saya tipu. Dia bukan ketagih, tapi memang cubaan bunuh diri. Ambil pil tahan sakit berlebihan sampai rosakkan buah pinggang sendiri. Jadi sepatutnya dia cuma terima akibatnya, daripada teruskan dialisis untuk cuba sembuh."

Daniel terkejut. Riaknya langsung tak terkawal.

"H... Hana, maksud awak, sakit buah pinggang dia tu disebabkan makan dos ubat berlebihan?"

"Kamu tidak tahukah punca asal dia sakit buah pinggang? Apa yang dia ceritakan pada kamu?" Soal Hana pula, tertanya-tanya.

"Dia cakap yang dia sakit sebab keturunan. Tak ada kaitan dengan punca lain. Buah pinggang dia dah tak boleh rawat sebab lambat diagnosis, dah kritikal tahap akhir."

Hana lantas menggeleng. Menafikan pernyataan itu.

"Dia sihat saja sebelum mula ambil pil berlebihan itu. Tapi bila dia tahu buah pinggangnya rosak, tiba-tiba dia cari penderma. Banyak kali, tapi gagal. Dia teruskan dengan dialisis sampai akhirnya dialisis tak mampu membantu. Akhirnya dia hentikan semua rawatan serta-merta. Dia tiada semangat lagi untuk teruskan hidupnya atau tidak peduli lagi sakitnya, saya tidak tahu." Perbetul Hana.

"M..mana awak tahu semua ni, Hana?" Soal Daniel.

"Doktor yang pernah merawatnya. Fahrin Wildan tidak tahu yang saya pernah berjumpa doktornya." Balas Hana.

Daniel bersandar pada bangku tersebut sambil menghela nafas panjang. Wajahnya diraup perlahan.
Jujur, dia tak pernah tahu punca Fahrin mendapat penyakit demikian yang sebenar-benarnya.

Wajah Daniel dipandang sekilas sebelum Hana menyambung tanpa bertoleh. "Saya tahu semua sejak awal tentang sakit yang dialaminya dan perkembangan sakitnya. Sejak dia ambil dos berlebihan untuk bunuh diri, sampailah akibat dari itu. Saya terlalu ingin bantu pulihkan keadaannya tapi saya lebih hormati keputusannya. Jadi, yang terakhir saya boleh lakukan adalah membiarkan dia sekurang-kurangnya bahagia dengan seseorang yang berada di hatinya."

Mata Daniel kelihatan bergenang mendengarkan semua pengakuan Hana itu.
Sangat, tersangat mustahil Daniel tak dapat menebak punca kejadian semuanya. Fahrin terlalu patah hati dek kisah silam. Dia tahu akan itu.

Meski Hana menafikan dahulunya semuanya berpunca dari patah hati, tapi hati Daniel kuat mengatakan hidup Fahrin memang berubah disebabkan kegagalan perhubungannya.

Hana lantas menyambung.

"Fahrin Wildan dan kakak saya yang pernah kamu berjumpa di depan hotel lima tahun lepas, bukan macam yang kamu fikirkan, Daniel. Fahrin Wildan tidak curang dengan Raihana untuk bersama Sarrah. Fahrin Wildan sangat mencintai Raihana."

Daniel hanya mendengar ayat Hana. Dahulunya, dia pernah diberitahu Fahrin sendiri akan hal yang pernah terjadi antara Fahrin dan Sarah hanyalah salah faham.

"Masa dulu, Fahrin dengan Sarrah memang bukan betul-betul bercinta, kan?" Soal Daniel, perlahan suaranya.

Hana mengangguk.

"Mereka waktu itu tiada apa-apa hubungan istimewa. Hanya jumpa secara kebetulan. Cuma kakak saya sengaja menguji Fahrin Wildan secara berlebih-lebih, sampai terjadi kisah yang menjadi salah sangka itu. Fahrin Wildan terperangkap, kerana dia kasihankan kakak saya yang hidup sendirian di sini. Dan, mungkin namanya jodoh, mereka bertemu kembali. Orang yang sama yang kamu lihat menjaganya di hospital sebelum ini."

Daniel terus mati kata. Terkejut sebenarnya apabila mengetahui hal sebenar. Tidak menyangka bahawa situasi Fahrin lebih teruk dari yang disangka.

Masih terbayang saat dia melayangkan tumbukan bertalu-talu kepada Fahrin, dan bahkan ketika Fahrin mula memberitahunya hal yang sebenarnya terjadi pun Daniel begitu sukar mempercayai kata-kata dari mulut itu.

Oh Tuhan, Fahrin sesungguhnya sangat menanggung derita begitu lamanya. Atas salah yang bukan berpunca darinya langsung.

Dan Hana, Fahrin masih tak pernah luahkan perasaan kepada Hana sedikitpun....? Fahrin tetap masih mencipta penipuan antara dia dengan kakak Hana sendiri? Agar Hana semakin menjauh dengannya?

Semakin bergenang mata Daniel dibuatnya.

Dia jauh menyepi sebelum mula bersuara.

"Hana, macam mana awak boleh terima semua ni, semua keadaan dia ? Apa awak rasa dengan semuanya?" Soal Daniel, rendah suaranya. Sedangkan dia yang mendengar segalanya juga begitu dimamah sejuta perasaan.

"Saya tidak tahu apa yang sepatutnya saya rasa."

Hana mengukirkan senyuman pahitnya, yang jelas diperhatikan Daniel ketika itu.

"Tapi yang saya tahu, saya rindukan dia, Daniel." Ucap Hana, pilu. Bersama genang di matanya.

"Hana."

Hana kemudian menoleh kepada Daniel. " Merindukan orang yang hatinya bukan milik saya. Teruk betul, kan?" Soal Hana dalam tawa palsunya.

"Hana, dia suami awak."

"Tapi saya dan Fahrin Wildan bukan suami isteri yang normal. Kamu juga tahu. Dan kamu juga pasti diberitahu Fahrin Wildan siapa di hatinya." Kata Hana.

"Awak tak pernah beritahu dia isi hati awak? Depan dia sendiri? Yang awak sayangkan dia?"

Geleng. "Saya pernah mahu cuba. Tapi terpaksa diamkan sebab ketika itu saya baru tahu yang dia ada Sarrah. Dan dia pernah kata pada saya yang dia pilih Sarrah. Jadi, saya lupakan saja semuanya."

Daniel mendiamkan diri, sebelum terlihat dia menghela nafas panjang dan kembali meraup wajahnya.

Sebelum kemudian, dia mengeluarkan satu bekas kecil kepada Hana.

"Sebelum Fahrin koma, dia sempat bagi saya kad memori ni. Dia suruh bagi pada awak. Katanya penting. Cumanya, dia suruh beri pada awak cuma kalau lepas dia dah meninggal." Kata Daniel.

Hana memerhatikan kad memori tersebut sebelum terdengar Daniel menyambung lagi.

"Katanya ini pasal pembahagian harta dia untuk awak kalau dia dah tak ada. Jadi dia suruh awak cepat-cepat dengar lepas dia meninggal. Tapi, saya rasa ada patutnya awak dengar sekarang, kalau awak ada masa." Saran Daniel.

Wajah Daniel ditatap sekilas sebelum kad memori itu diambil dan disimpan. "Terima kasih." Ucap Hana.

Daniel hanya mengangguk. Masing-masing membiarkan suasana sepi seketika.

"Fahrin tu, 'bahasa' dia tak sama dengan kita." Kata Daniel tiba-tiba.

Hana menatap Daniel tanpa menyampuk apabila melihat Daniel mula membuka mulut lagi, melanjutkan bicaranya.

"Makin awak nampak dia garang dengan awak, makin maknanya dia peduli. Itu cara dia. Mungkin juga sebab patah hati lepas jadi dia banyak sembunyi perasaan dia." Sambung Daniel.

"Maksud kamu, apa?" Soal Hana.

Daniel membalas pandangan Hana dengan senyuman sendunya.

"Awak orang yang paling dia peduli, Hana."

Terpempan.

"A..apa maksud kamu? Bagaimana kamu tahu?" Soal Hana, gugup.

Daniel mendiamkan dirinya.
Mengimbau kembali saat Fahrin tersedar setelah kejadian pembedahan itu. Beberapa hari sebelum Fahrin terlantar koma sehingga kini.

"Kau tak bagitau dia, kan?"

Geleng. "Aku ikut apa kau suruh."

Sepi. Fahrin hanya mengukir senyuman nipis. Tangan lemahnya dihulur kepada Daniel.
Daniel yang tidak menangguh lantas menyambut tangan itu sebelum digenggamnya.

"Daniel."

"Hmm?"

"Aku teringatkan Hana."

"Boleh nampak." Kata Daniel, halus.

Wajah Daniel ditatap. "Dia beritahu kamu?" Soal Hana, begitu ingin tahu.

Daniel hanya mengukirkan senyuman nipisnya. Tidak menjawab, sambil mindanya asyik bermain-main dengan situasi lampau. Lebih-lebih lagi ketika saat-saat akhir sebelum pembedahan transplantasi itu dilakukan.

"Kau memang taknak buat pilihan lain selain ni? Kau masih ada masa, kau tahu kan?"

Fahrin tertawa palsu. "Aku dah tak lama, tak apa. Hana lagi penting. Perjalanan dia masih jauh. Lagipun, dia memang nak sangat sembuh, nak hidup macam biasa."

————-

SEPULANGNYA Hana dari bertemu Daniel petang tadi, dia langsung tak berlengah untuk melihat kandungan yang diberikan Daniel kepadanya.

Bersama komputer ribanya, Hana mula memasangkan kad memori itu. Dia jua turut mengambil tempat di hadapan skrin itu.

Tidak lama selepas dia memilih fail yang tertera namanya sendiri sebagai tajuk itu, terpampang jelas di skrin komputer riba itu akan wajah Fahrin sedang duduk di atas sebuah kerusi, memandang tepat kepada kamera. Seakan memandang Hana tepat ketika itu.

Hana terkelu seketika. Tekun dirinya memerhati Fahrin yang sedang menyelesakan tempat duduknya bersama kedudukan kamera sebelum Fahrin mula tersenyum kecil di hadapan kamera itu.

Senyuman yang sangat jarang Hana lihat selama ini.

"Hai, Hanani Mansoura a.k.a Hana Joseph."

Sapaan itu membuatkan jantung Hana berdegup agak laju. Dirasakan suasana ketika itu sangat lain dan tidak seperti biasa.

Fahrin dalam video itu terus menyambung.

"Kau mesti dah tak ingat, tapi Hanani Mansoura ni nama Arab yang kau nak sangat guna lepas tukar agama. Kita pernah lawan mulut sebab aku rasa tak perlu pun kau tukar nama. Bagi aku, kau tukar agama, bukan bangsa. Tapi kau nak juga nama baru. Masa tu, kau tak bagi aku panggil kau 'Hanani' sebab kau nak orang istimewa je panggil kau Hanani. Nak panggil 'Mansoura' pun kau cakap kena itu la, ini la. Sudahnya, aku tetap panggil 'Hana' sebab kau banyak songeh."

Terlihat senyum kecil Fahrin dalam bercerita sebagai pembuka kata.

Hana, yang sempat tersenyum dalam pada masih tergamam dengan pernyataan Fahrin itu, terus membiarkan setiap saat klip video itu dimainkan. Jujur, dia sudah tidak ingat langsung akan detik itu. 

"Hana, aku tak tahu dari mana aku perlu mula. Sebab aku ada banyak benda nak beritahu, tapi mungkin satu video ni tak cukup. Apa-apa pun, yang pasti, masa kau dapat tengok video ni, aku dah tak ada."

Jeda seketika sebelum Fahrin dalam video itu menyambung. "Kalau Daniel tak bagi awal la. Bukan boleh percaya sangat dia tu." Terdengar halus tawa Fahrin di situ.

Hana turut tersenyum. Memang jelas tak boleh percaya betul Daniel.

"Apa-apapun, Hana, aku minta maaf sangat-sangat. Sebab aku gagal. Bila aku sedar semua yang aku patut buat dari dulu, semuanya dah terlambat."

Fahrin di dalam video itu menyepi seketika. Liur ditelan sebelum dia menyambung ayatnya.

"Aku sangat ralat sebab aku tak temankan kau waktu kau susah dulu. Aku tak jaga kau elok-elok. Dan aku bodoh sebab aku lambat faham apa hati aku sendiri nak."

"Aku ada cari kau masa kau menghilang lima tahun lepas. Berminggu-minggu aku pergi tempat yang aku rasa kau mungkin pergi sebab yakin kau belum balik US. Cuma aku tak jumpa. Tapi, aku fikir kau dah jumpa kakak kau. Kalau aku tahu kau tengah ada masalah masa tu, aku mesti bawa kau balik rumah aku, tengokkan kau..."

Diam. Fahrin di situ tidak menyambung ayatnya. Kamera juga tidak dipandangnya untuk seketika.

"Ada masa, aku tak tahu kenapa tapi bila kau tak ada, aku tercari-cari. Termasuklah masa kau menghilang dulu. Bila aku patah hati, aku gagal fikir orang lain selain kau. Entah kenapa aku harap kau datang. Yang bodohnya, aku fikir itu tanda aku selesa sebagai kawan. Padahal rupanya itu tanda buku baru yang aku ada. Seseorang yang datang untuk ubatkan aku, tolak tepi orang lain yang bukan mutlak milik aku."

Mata Hana mula bergenang.

"Kau tahu, Hana, dalam hubungan kita, bukan Sarrah halangan besar aku dengan kau untuk bersama. Dia bukan orang ketiga yang halang aku dengan kau untuk hidup sama-sama. Bukan Rai juga, walaupun hubungan yang gagal tu punca utama aku takut nak bercinta lagi."

"Tapi, ego dan rasa risau aku buat semuanya haru-biru. Buat aku rasa, walaupun aku terlalu nak bahagiakan kau, ada baiknya aku biar kau fikir aku tak suka kau. Dan, itulah penipuan yang sengaja aku buat untuk kau patah hati. Termasuklah hubungan aku dengan Sarrah yang sebenarnya tak ada apa-apa pun. Yang sejak awal aku dah cakap dengan dia, aku langsung tak ada perasaan untuk dia."

Fahrin kelihatan mengukir senyuman nipisnya.

"Sebab hati aku, dah ada dengan kau."

Mendengarkan itu, Hana terpana. Cukup terkedu Fahrin meluahkan sebegitu.

Apakah?

"Aku cuba buka buku baru dengan kau. Sebab makin lama, kau tahulah kan perasaan tu macam mana. Aku nak teruskan hubungan dengan kau sebelum kau ada orang lain, walaupun aku tak pasti apa kau rasa pasal aku. Sebab tu aku tak fikir nak ceraikan kau. Cuma, aku terus terhenti sebab dapat tahu sakit buah pinggang aku mula melarat. Yang puncanya cuma painkiller overdose, sakit yang aku sendiri mula."

Kedengaran Fahrin mengukir senyuman nipis namun sinis. "Bunuh diri, konon. Konon mati awal lebih baik. Telan ubat lebih-lebih sebab nak mati cepat." Bagaikan tempelak dirinya sendiri.

"Menyesal sebenarnya sebab kalau tak, semua ni takkan jadi. Jadi, aku cuba lawan sakit aku. Awal-awal, aku buat dialisis. Tak lama tiba-tiba, doktor cakap, kalaupun dialisis, peluang aku umur panjang tu tipis. Doktor kata, jalan terbaik cuma transplantasi. Cuma aku rasa kau pun tahu, nak cari penderma susah. Setiap hari aku rujuk hospital tapi hampa. Sampailah dialisis dah mula tak beri hasil. Aku cuma bertahan sebab aku nak sangat ada dengan kau.

    Bila semua rawatan dah tak ada hasil, aku mula berhenti. Aku jarakkan hubungan aku dengan kau semata sebab taknak kau risau. Aku susah hati bila kau risau. Lagipun, aku fikir tak adil aku biar kau tetap ada perasaan dalam perkahwinan ni sebab aku sangat awal akan tinggalkan kau. Kau masih muda. Kau layak dapat cinta lain yang lebih baik."

Jeda seketika.

Dalam sepi itu, Hana melihat wajah Fahrin yang tersenyum sayu memandang kamera dalam genang matanya.

"Tapi aku rasa Tuhan memang nak ajar aku. Bila kau sendiri nak keluar rumah, Tuhan bagi kau cacat kekal. Bukan cuma uji kau, tapi aku. Sejauh mana kebodohan aku biarkan kau lagi macam lima tahun lepas. Tapi, mestilah aku dah tak duduk diam. Jadi, aku terus dapatkan kau. Jaga kau. Sampailah pakar dah kata nyawa aku sipi-sipi sangat, baru aku pergi."

Dalam video itu, Fahrin jelas menarik nafas. Yang Hana tahu, lelaki itu sedang menahan segenap perasaan dalam hatinya.

"Hana, sebenarnya, aku sengaja ikut hantar barang ke rumah baru kau sebab taknak putus hubungan. Aku nak tahu kau duduk mana. Aku rancang nak ulang-alik rumah kau sebelum tahu kau buta lagi. Sebab tu selalu aku tiba-tiba datang. Alasan aku bagi yang Sarrah suruh, Sarrah kirimkan makanan, semuanya tipu. Aku yang nak datang sendiri.

    Aku cuma mula menyepi sebab aku tertekan, kecewa sangat bila tahu penyakit aku tak boleh nak sembuh. Aku pernah telefon kau cakap pasal aku pilih Sarrah, semua tu semata sebab aku gagal kawal emosi aku masa dapat tahu aku tak boleh hidup macam biasa. Aku jadi hilang arah bila rancangan aku jadi lain. Aku tak pernah ada niat nak bercinta dengan Sarrah."

Riak wajah Hana tak dinafikan, terlalu mendung mendengar itu. Terlalu luluh mendengar penjelasan hubungan Fahrin dan Sarrah.

Tak menyangka segala yang berlaku bukan apa yang selama ini difikirkannya.

Fahrin dalam klip itu terus tersenyum sayu. "Macam tak ada makna apa pun, tapi aku harap kau halalkan semua yang aku buat. Sebab aku nak kau tahu, kalau diberi lagi lima tahun mahupun lima bulan, aku tak akan lepaskan kau cara tak habis macamni. Aku nak hidup dengan kau, macam suami isteri biasa."

Dalam video itu, Fahrin berhenti seketika sebelum mula menarik nafas lebih dalam.

"Hanani Mansoura, aku sayang kau. Aku harap kau tahu. Sebagaimana maksud nama kau, macamtulah yang aku fikir tentang kedudukan kau. Yang dalam hati aku, kau sepenuhnya kesayangan aku. Kecintaan aku."

Terus berderai pecah empangan mata Hana mendengarkan pengakuan itu.

Akhirnya.
Akhirnya itu yang diungkapkan Fahrin.

Air mata Hana kian gugur, membasahi pipinya dengan sangat pilu.

Fahrin kelihatan dalam video itu menahan sebaknya. Terdiam dia sebentar sementara menahan perasaan sendiri.

"Aku tak tahu sejak bila. Mulanya aku biar kau depan mata semata-mata rasa bersalah sebab aku tak ada waktu kau susah dulu. Aku fikirkan tugas sebagai suami semata. Tapi lama-lama, rasa sebenar tu datang. Dan, kau tak pernah paksa aku layan macam isteri. Bila tak memaksa, tak desak tapi dalam masa yang sama kau tetap tolong aku, hati aku tanpa sedar terbuka untuk kau. Walaupun masa tu aku belum lagi tahu apa perasaan kau pada aku.

Maybe that's what people called as love. That it just naturally happens.

    Dan aku simpan, sebab aku taknak luahkan dulu disebabkan sakit aku. Aku tekad nak sembuh dulu. Aku nak mulakan hidup baru dengan kau. Tapi maafkan aku sebab kita tak sempat sampai situ. Maafkan aku tak jujur, dan tak tunjuk sampai kau salah faham. Maaf sangat-sangat untuk masa yang suntuk untuk jelaskan semua. Dan masa yang suntuk untuk kita bina apa yang kita hilangkan."

Air mata Hana semakin deras mengalir. Bibir digigit menahan esak yang mula kedengaran.

Dan, air mata Hana semakin membanjiri apabila mendengar barisan pesanan terakhir Fahrin di hujung video itu.

"Hanani Mansoura, apa-apa pun yang jadi, jangan hilang punca. Dan selalu, selalu buka hati untuk seseorang baru yang bukan lagi aku lepas ni, ya? Ingat, manusia tak ada yang kekal. We could always start new love, let it die or let it grow. Jangan risau. Aku sebagai suami kau, selalu sokong kau. Aku cuma nak kau bahagia. Sebab sejak pertama kali kau ajar aku berdoa semula, aku tak pernah berhenti doakan kau.

Jaga diri baik-baik, kesayanganku. Jangan sedih-sedih tau. Allah selalu ada. Doa aku, sebagai suami kau akan selalu ada."

Kelihatan dalam video tersebut Fahrin mula mendekati kamera, seperti menekan butang 'Henti' merakam. Tak lama selepas itu, skrin mula gelap, menandakan klip itu sudahpun tamat.

Di situ, sendirian, Hana mula menangis teresak-esak sambil menutup wajah dengan tangannya.

Sesungguhnya, dia tersangat menyesali setiap hal dan insiden yang langsung tak dapat dibacanya, tentang segala yang Fahrin telah lakukan untuknya. Yang dia cuma fikir perhatian Fahrin kepada Sarrah mengatasi perhatian Fahrin kepada dirinya sendiri.

Dan, jawapan itu. Jawapan sebab-sebab Fahrin melakukan semuanya sangat jelas.
Ketika dia masih menyayangi Fahrin, lelaki itu jua telah lama sayangkannya.
Perasaan yang hadir secara tiba-tiba hanya untuk Fahrin, sebenarnya sudah lama berbalas.

Hatinya luluh, hancur, cukup berduka. Sepertinya dunianya terlalu gelap dirasakan tatkala itu. Dadanya terasa begitu penuh dan sarat, umpama dihimpit dengan batu-batuan yang begitu berat hingga terasa sesak yang tak terungkap.

Bisakah kiranya ada kesempatan mereka memulakan semuanya? Bisakah kiranya mereka memulai semua dari awalnya?

Hana hanya membiarkan skrin itu bergelap demikian. Bersama esak yang semakin kuat bergema memenuhi ruang biliknya. Tidak mempedulikan apa jua yang berlaku di sekelilingnya.

Yang dia tahu, episod kisah cintanya harus berakhir dengan cara begini.

Yang meski hatinya merayu kepada Tuhan agar diberikan detik demi detik lagi, namun dia juga jelas, tidak pernah bisa melawan takdir.

Freeze, frame, pause, rewind, stop
And get back to the old familiar thoughts
Can we just freeze, frame, pause, rewind, stop
And get back to the feelings we think we lost?
For now?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro