AM 4

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

ZAHARAH membuang pandangannya ke luar tingkap. Surat tawaran temuduga dari sebuah syarikat terkemuka yang terletak di bandar Kuala Lumpur di tangannya. Jelas tertera nama anak gadisnya di dalam surat. Jari-jemarinya menyentuh setiap patah perkataan yang akhirnya membentuk ejaan nama Ainul Mardhiyah.

Malik datang berdiri disebelahnya, mengambil surat yang ada di tangan isterinya. "Pergilah ucap tahniah padanya sayang, dia anak You... anak yang baik... anak yang pandai." Malik memujuk isterinya. Bahu isterinya di urut perlahan.

"I dah cuba, bukan sekali tetapi banyak kali." Matanya dipejam. Segala memori berkait anaknya bermain di matanya.

"I berbangga dengan dia. I dah banyak kali jumpa cikgunya di sekolah." Zaharah berhenti, menyeka air mata yang mula tumpah di pipinya.

Benar, dia ada berjumpa dengan cikgu-cikgu Ain, tetapi bukan pada hari anugerah atau pada hari penyampaian kad laporan. Dia berjumpa dengan mereka pada hari yang lain. Hatinya memberontak, ingin melihat anak gadisnya mengambil hadiah di atas pentas, mahu melihat senyuman manis anaknya itu.

"Setiap kali I tengok dia, mata birunya... menghantui I." Zaharah berjalan ke arah katil di tengah bilik.

Benci, jauh sekali perasaan itu terhadap anak itu. Sayang, dia amat menyayangi anak itu. Walaupun ibunya, Aminah yang membesarkan anak itu, hakikatnya tetap dia lahir dari rahim Zaharah.

Ibu mana yang boleh benci anak kandungnya sendiri? Walaupun dia lahir dari sesuatu yang begitu dahsyat.

Seringkali dia memasuki kamar tidur anaknya itu, membelai lembut dan mencium dahinya sewaktu anaknya itu lena diulit mimpi. Dia juga tahu, anaknya juga pernah cuba memakai kanta mata berwarna hitam dan mewarna rambutnya.

Apabila usaha Ain itu tidak membuahkan hasil, dia kembali kepada dirinya yang asal.

"I sayangkan dia, melebihi segalanya, tapi mata birunya tu... membuat I teringat kisah malam tu. Kehadiran dia sendiri boleh menimbulkan kembali kenangan... igauan buruk itu."

Suaminya, Malik perlahan-lahan duduk di tepinya. Kepalanya disandarkan ke bahu lelaki yang kini suaminya.

Tanpa Malik di sisinya, dia mungkin sudah membunuh diri.

"Seperti bukan salah You pada malam tu, bukan salah dia juga dilahirkan dengan mata biru. Dia juga tak meminta untuk lahir bermata biru." Malik mencium rambutnya dengan lembut.

Zaharah tahu, memang bukan salah anaknya. Dia juga tidak bersalah pada malam itu, namun masyarakat masih menunding jari kepadanya.

Memandang serong kepada gadis yang menjadi mangsa jenayah seperti rogol. Bukan setakat dia, anaknya juga menerima tempias tuduhan tidak berasas masyarakat.

Bukan sekali atau dua, malahan sudah banyak kali Zaharah pergi ke sekolah Ain. Memberi amaran kepada anak-anak lain seusia dengan Ain yang membulinya. Ibunya, sering memberitahunya tentang perkembangan dan apa jua masalah yang dihadapi oleh anak gadisnya.

Walau kasihnya pada anak itu sedalam lautan biru, Zaharah masih tidak dapat membendung amarahnya bila dia bertembung dengan Ain.

Diri Ain yang berdiri di hadapannya, bukti kejadian malam itu. Bukti jenayah yang dahsyat. Segala kasih dan sayang yang dirasakan terus tenggelam dalam lautan api yang membara. Memori gelap itu terus hidup kembali, lantas membawa sekali api kemarahan bersamanya.

Dia juga tahu, anaknya itu sering berusaha untuk menagih walau secangkir kasih darinya. Ain pernah memukul Danial dengan harapan agar dia datang dan memukulnya. Pernah jua, anaknya itu sengaja gagal dalam semua pelajaran, agar dia datang dan memarahinya.

"Saya ibu dia. I masih ingat semasa dia masih kecil, puas mak memujuknya agar diam. Segala cara sudah dicuba... bila I masuk bilik, I tak pegang pun... hanya masuk sahaja... dan tengok muka dia, terus dia diam dan tidur sampai pagi."

"Itulah hubungan You dengan dia. Dia hanya nak sentuhan You, pandangan You... sudah mencukupi bagi dia." Malik mengusap pipi isterinya dengan lembut.

Zaharah menghela nafas yang panjang seraya menutup matanya. Bilik itu sunyi seketika. Dia bersyukur yang Malik masih tetap disisinya, menongkah arus, berdiri teguh menahan ribut. Dia juga menerima Ainul Mardhiyah dengan hati terbuka dan menyayanginya dengan sepenuh hati. Danial, anak lelaki mereka jua begitu.

Ironinya, mereka berjumpa kerana Malik merupakan doktor pelatih yang sering berulang-alik dari wad di mana Zaharah ditempatkan. Selepas dia keluar pula, mereka sering bertembung bila dia perlu hadir bagi sessi kaunselingnya dan juga rawatan susulan Ain.

"Sayang, You rasa kita patut bagi dia pergi?" Zaharah mengangkat kepalanya dari dada Malik.

"Kenapa?" soal Malik ringkas.

Zaharah teringat malam itu kembali. Dia masih menjadi mangsa walau jarak tempatnya bekerja dengan Bota pada waktu itu tidaklah sejauh Bota dan Kuala Lumpur. Anak perempuannya kini ingin pergi ke bandar.

Kuala Lumpur berbeza sekali dengan Ipoh, apatah lagi Bota. Kota metropolitan itu besar dan juga dipenuhi manusia yang datangnya dari pelbagai pelusuk dunia.

Hatinya berdegup laju. Ketakutan mula meresap ke dalam dirinya. Manik-manik peluh mula terbit di dahinya. Tangannya menggeletar saat dia mengelap peluh.

'Bagaimana jika boss dia lelaki?'

'Bagaimana jika dia ajak Ain keluar?'

"Sayang?" Malik menggoncang lembut bahu isterinya yang seolah hilang dalam khayalannya sendiri. Pandangan kosong isterinya itu amat dikenali. Sudah hampir dua dekad mereka melayari bahtera perkahwinan.

"Dia seorang... perempuan pula tu. Macam mana kalau...?" Zaharah meletakkan tangannya di hadapan mulutnya.

"Saya rasa... jangan bagi dia pergi sayang... bahaya." Zaharah memandang wajah suaminya.

"So, You nak kita kurung dia dalam rumah... tak mahu dia meneroka dunia luar. Danial kita biarkan maju ke hadapan dan anak perempuan kita, dikurung dan disekat kemajuannya?" Malik memegang bahu isterinya.

Zaharah menggelengkan kepalanya. Itu adalah perkara terakhir yang dia ingin lakukan. Dia percaya bahawa perempuan juga boleh maju dan berjaya seperti lelaki.

"Habis tu? Alasan apa yang menyebabkan You tak bagi dia pergi?" Malik bertanya lembut.

"Bandar tu jauh, dia akan jadi seorang diri. Mangsa yang mudah, orang akan mula kacau dia nanti. Minta sahaja dia kerja berdekatan sini," pinta Zaharah.

Malik berdiam diri, cuba menyusun ayat sebaik mungkin.

"Ini temuduga sahaja. Masih tidak pasti dia dapat atau tidak... saya kenal Ain, dia boleh jaga diri dia. Jangan lupa, Danial kan belajar di sana." Malik cuba menenangkan hati isterinya.

"Tapi... ini pertama kali dia nak pergi sana, Kuala lumpur. Dia belajar pun dulu kat Ipoh je." Tangan Zaharah mula mengigil. Entah mengapa hatinya, badannya menggeletar memikirkan yang Ain akan tinggal seorang diri.

"Sayang." Malik memengang tangan isterinya.

"Biar dia pergi dulu. Perkara ini akan kita bincang jika dia dapat kerja tu. Kita tak boleh halang dia. Selama mana kita nak simpan dia dekat? Biar dia pergi, okay." Malik memeluk erat badan isterinya itu.

Zaharah mengangguk. Hatinya masih risau. Sukar bagi dia memahamkan Malik ketakutan yang mula bertiup di dalam hatinya.Walaupun wajah Ain mengundang kebencian dan kemarahan, Ain tetap anaknya.

Warna rambut dan anak mata Ain memang menyebabkan lahar api kemarahan membuak di dalam dirinya. Namun, fakta yang tidak dapat disangkal, darahnya turut mengalir di dalam urat saraf Ain. Darah yang menghubungkan dia dan Ain.

Kasih seorang ibu memaksanya berfikir tentang perkara yang baik dan buruk untuk anaknya.

Jangan lupa tau. Preorder masih dibuka


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro