2 | Penasaran

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

      

        "Cumi tu perempuan. Abang Miqdam dengan Zaid tu lelaki bukan muhram. Semua staf lelaki kat klinik tu pun sama. Jangan selesa sangat sampai melangkaui batas."

Aku angguk. Walaupun pedih kena tegur tapi aku bersyukur masih punya abah di bawah bumbung yang sama untuk tegur aku yang berperangai tak semenggah ni. Kononnya anak bongsu, ekstra mengada sikit.

       "Ingat, walaupun abang ipar dan kawan, atau dah kenal lama, dah terbiasa, itu bukan subsidi untuk dosa pahala."

       "Okey, abah. Orang minta maaf. Terima kasih, abah." Aku ulang skrip lama.

Nak cakap apalagi? Memang aku salah sebab anggap Abang Miqdam dan staf-staf dia macam keluarga kandung. Akrab terlebih. Dah aku tak ada adik beradik lelaki, rasa macam merekalah abang-abang aku.

Mesra ada batasnya. Aku selalu lupa yang itu.

       "Cumi, minggu depan ambil cuti. Keluarga Redza nak datang."

       "Hah?" Aku telan air liur. Kelat. Aku tahu aku tak boleh mengelak lagi. Dah dua kali aku minta mereka tangguhkan tarikh.

       "Abah tak paksa pun. Cuma, hajat orang nak bertandang, tak manis menolak. Bukan bagi kata putus pun, hanya kenal saja." Lembut abah memujuk.

       "Awak menangguh tarikh lagi, ma suruh abah azan balik kat telinga awak!" Mama muncul dari dapur dengan peluru butir di mulut.

       "Iqamat la, ma. Orang ni kan perempuan." Aku tersengih, bertahan dengan serangan mama.

       "Ha, eloklah perangai tu! Patut ma bedung awak sampai darjah satu!" Mama naik angin. Abah gelak je?

        "Ma tak sedih ke kalau orang kahwin. Kak Long dah pindah, nanti orang pulak pindah." Aku mencebik sedih.

       "Rumah akak awak tu perumahan sebelah je, buntat!" Ma baling bantal kecil tapi sempat aku mengelak. Mama tak tahu ke aku mewarisi perangai suka mengelak mama?

"Orang pindah jauh nanti, ma."

"Pindahlah. Muak dah hadap perangai awak dari kecik lagi. Dah berapa lama tinggal dengan ma, ada hati nak berlama-lama lagi." Mama main kasar. Tak aci.

"Awak nak cakap kat saya ke ni?" Eh, tiba-tiba abah sentap. Mama pandang abah terkelip-kelip.

"Iyalah, awak hadap saya dari kita sekolah rendah sampai anak habis study dah. Muak dah ke tengok rambut beruban saya."

Aku tak tahu nak nangis ke nak gelak bila abah buat muka sedih. Siapa cakap pasal dia? Mama pulak dah tak keruan. Terus capai tangan abah minta ampun. Abah pulak ambil kesempatan tu kenyit mata pada aku sambil buat isyarat suruh lari ke tingkat atas.

Sepantas kilat aku melarikan diri. Terima kasih, abah!

• • •

Sabtu.

Aku sibukkan diri bantu Abang Miqdam buat operasi pembersihan klinik semata-mata nak mengelak soalan mama pasal peminangan Redza. Mama suruh aku bagi kata putus tapi aku tak tahu nak cakap apa.

"Awalnya dia..." Suara Abang Miqdam penuh dusta apabila Zaid baru tiba saat semua orang sudah mula bergerak dengan tugas masing-masing.

Zaid tersengih-sengih muka minta penampar. Aku agak dia suka tersengih sebab nak tunjuk lesung pipit dia yang tak berapa nak nampak tu.

"Jangan marah-marah, doktor. Nanti hilang pancaran ong kat muka doktor, serba salah pula saya. Dalam hidup saya, cuma ada mak ayah saya, doktor dan klinik ni..." Zaid terhenti memandang aku yang lalu di belakang Abang Miqdam.

"...dan Cumi," sambungnya. Eh, aku pulak?

"Hai, Cumi! Meh saya tolong angkat baldi tu." Tergesa-gesa dia mendekati aku. Nampak sangat nak gunakan aku sebagai alasan supaya tak kena marah dengan Abang Miqdam. Dasar!

Lepas tolong angkatkan baldi, menonong dia tinggalkan aku macam tu saja. Eee...

"Tak ada upah tau," tegur Abang Miqdam yang menjengah di pintu bila tengok aku beria-ia mop lantai di ruang wad haiwan. Aku diam tanpa menjawab. Hidung yang berair aku lap dengan saputangan yang setia tergantung di saku baju. Entah sebab sedih ke apa, rasa nak menangis pun ya jugak.

Bunyi kecoh di ruang pemeriksaan menarik perhatian. Ketika aku sampai, mereka sedang bergelut dengan seekor kucing hitam yang terlepas dari pegangan. Ke sana sini dia melompat dah gaya Spiderman berbulu.

"Tahan, tahan!" Seorang staf memberi arahan, cuba untuk tidak menjerit. Iyalah, nanti pelik pulak pelanggan kat ruang menunggu dengar keributan macam ni. Mujur hari Sabtu khusus untuk pelanggan yang membuat temujanji khas. Jadi tak ramai sangat berbanding hari biasa.

Entah bagaimana aku rasa nak terbersin, spontan langkah terundur dan melanggar sesuatu hingga aku terduduk di atas lantai. Terasa ada tangan melekap di belakang kepala. Baru aku sedar, hampir-hampir sahaja kepala aku menghentam bucu meja. Aku terbatuk perlahan, rasa sukar untuk bernafas.

Kejap.

Macam kenal bau wangian ni.

Dalam lelah nafasku, aku mendongak ke sisi. Seketika, kekecohan terasa lenyap apabila aku sedar Mr. Oren berada di sisiku, masih menahan belakang kepala aku yang dilapisi pashmina. Baru aku sedar, anak matanya coklat kehijauan, redup dengan kening yang rapi, garis wajahnya maskulin dengan kumis nipis. Wajahnya tenang, tidak terusik dengan suasana kecoh dalam ruangan yang dah bersepah ni.

"Boleh bangun?" Suara garaunya menerpa pendengaran membuatkan aku tersentak kembali ke alam nyata. Aku bingkas berdiri namun tidak lama, tubuhku menyenget apabila dada terasa sempit. Sebelah tangan memegang hujung meja, menahan tubuh.

"Cumi!" Suara seorang staf terdengar dalam gelap pejaman mataku.

"Tu kenapa tu? Terkena panahan cinta ke?" Suara Zaid pula meningkah. Mungkin sebab dia nampak Mr. Oren yang masih setia di sisi aku.

Cis! Rasa nak bergaduh tapi badan rasa tak bermaya. Lantak engkaulah!

"Beritahu abang, orang balik dulu," balas aku pada Zaid. Biarlah dia menang kali ni. Mesti seronok malukan aku depan Mr. Oren.

Baru aku berpusing ke pintu, tiba-tiba bahuku dipaut erat. Dalam keadaan menunduk, aku nampak kaki Mr. Oren beranjak sikit berganti kaki Zaid yang bersarung sneakers. Ah, chukka boot tu betul-betul buat hati aku huru hara. Aku nak tolak tangan Zaid tapi rasa tak berdaya. Sekali lagi aku terbersin dan terbatuk keras.

"Eh, Cumi. Kau tak sihat ni! Muka sembab, mata merah. Pergi klinik jom."

"Sini kan klinik."

"Kau tu mengkarung ke nak buat rawatan kat sini?"

Terdengar tawa staf di belakang kami. Aku sempat hadiahkan jelingan pada Zaid yang pantas menarik kembali tangannya apabila tersedar dia sedang menyentuhku.

Dia mengkarungkan aku?

• • •

Aku pun lupa aku ada alahan. Hasilnya terpaksalah bertapa kat rumah selama dua hari. Tapi sebab aku sakit, mama tak adalah nak tanya banyak-banyak pasal Redza.

"Cumi ada orang lain ke dalam hati tu, sampai susah nak bagi jawapan?"

Itu soalan mama tapi macamana aku nak jelaskan? Masalahnya aku asyik teringat kat Mr. Oren. Aku rasa dia bukan lelaki Melayu asli. Warna anak mata dia asyik mengganggu lenaku. Selama ni aku hanya pandang dia dari jauh. Itulah kali pertama aku dekat dengan dia dan masih jelas bagaimana dia bantu menahan kepala aku dari tercedera.

Malam itu aku tak lena tidur. Telefon pintar aku hilang. Aku agak tercicir di ruang pemeriksaan waktu aku jatuh tu tapi mama tak benarkan aku keluar dari rumah. Kata mama, nanti dia pesan pada Abang Miqdam. Masalahnya, malam ni dah masuk hari ketiga, tak nampak jugak bayang abang ipar aku tu.

Aku pandang jam. Hampir 10.30 malam. Cadang nak menyusup ke klinik lepas Maghrib tadi tapi sebab aku terlelap, dah lewat pulak rasanya. Tapi aku terdesak nak dapatkan telefon aku semula. Dalam masa yang sama, aku nak ke kedai 7-Eleven. Nak beli jajan. Boleh tahan bosannya makan makanan orang sakit.

Dan akhirnya sekarang, aku tercegat di pintu belakang klinik. Aku memang ada kunci pendua sebab Abang Miqdam memang tinggalkan pada abah kalau-kalau kunci dia hilang. Berbekalkan simbahan cahaya lampu jalan, perlahan-lahan aku melangkah masuk ke dalam klinik yang gelap gelita.

Pintu dikunci semula. Teraba-raba aku menuju ke ruang pemeriksaan. Hampa terasa apabila bilik itu berkunci. Sudahlah gelap. Nak kena cari kunci yang betul dalam gugusan kunci yang banyak ni.

Bunyi semak dilanggar sesuatu membuatkan bulu roma meremang di tengkuk. Kawasan klinik ni memang dikelilingi pokok hiasan dan beberapa pokok yang merendang. Bila sunyi macam ni, memang jelas terdengar bunyi dedaunan dan ranting bergerak. Aduh, rasa menyesal datang sini di malam hari.

Tapi dah alang-alang sampai ke sini, aku berusaha juga sampai terbuka pintu tu. Aku jengah ke ruang pemeriksaan yang mempunyai 4 tingkap kaca tinggi antara lantai dan siling. Ternampak bayang pokok bergerak sedikit di lantai bilik. Sekali tengok macam hidup pulak bayang tu.

Aku merangkak, meraba di bahagian bawah kabinet yang bersusun.

PRANG!

Satu terjahan di tingkap kaca mengejutkan aku. Serpihan kaca bertaburan di lantai sedangkan aku tergamam, terlalu terkejut sampai tak terkeluar suara. Tubuhku menggeletar hebat seiring jantung yang berdetak laju.

Apa patut aku buat?
Apa yang sedang berlaku?

       "Ergh..."

Suara erangan itu buatkan aku terjerit kecil dan tersandar di kabinet. Baru aku sedar benda yang melanggar tingkap kaca itu adalah manusia! Dan manusia tu sedang terbaring betul-betul di depan aku!

Aku berdiri perlahan-lahan, merapat ke dinding. Cuba menghadam perkara yang sedang berlaku.

Tiba-tiba lenganku ditarik seseorang. Aku ingin menjerit namun mulutku ditekup kuat hingga terhentak tubuhku ke belakang.

       "Shh! Ini aku!"

Aku amati wajah di hadapan mata. Zaid? Perlahan-lahan dia turunkan tangannya.

       "Jangan buat bising."

Aku mengangguk laju dengan air mata yang entah bila sudah membasahi pipi. Sungguh, aku takut! Aku ingatkan ada perompak tadi nak bunuh aku.

Dengan tangkas, Zaid membuka jaketnya dan dihamparkan ke lantai. Kaca yang bertaburan di tolak ke tepi lalu dia menghampiri lelaki yang terbaring itu.

       "Tolong aku!"

Bagai orang yang dipukau, aku menonong ke hadapan dan membantu dia mengangkat lelaki yang terbaring tadi. Erangannya kedengaran lemah. Terhuyung hayang aku memapah hingga ke bilik rawatan.

Zaid bergegas menutup semua tingkap dan pintu sebelum membuka lampu kecil di ruangan itu. Cahayanya cukup-cukup untuk kami melihat sekeliling bilik.

Saat itu jugalah aku tergamam apabila melihat wajah yang terbaring di situ. Mr. Oren!

Aku angkat tangan yang menggeletar. Rasa basah melekit berwarna kemerahan.

      "Darah!" Nafas terasa pendek. Aku betul-betul takut.

      "Tenang, Cumi. Tenang." Zaid menghampiri aku. Aku memandang wajahnya berbalam-balam sebelum semuanya menjadi gelap.


22.03.21
1607words
#pandaismytwinsister

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro