6 | Hancur

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

      
       "Takkan kita nak hantar dia dalam keadaan macam ni? Dia cedera!" Kedengaran suara Nadene meningkah dari balik pintu.

       "Lagi lama dia di sini, lagi rumit keadaan. Mak ayah dia mesti tertanya-tanya. Kita tak nak libatkan orang luar," balas Zaid.

"HQ dah tanya. Kita kena settle kan jugak malam ni kalau kita nak hantar dia balik," tambah Alex.

Kemudian perbualan mereka tidak lagi jelas. Aku mengeluh berat. Tangan aku masih menggigil antara sakit dan terkejut. Susah payah aku sarungkan baju ganti yang diberi Nadene. Wanita itulah yang merawat kecederaan aku dan aku agak dia jugalah yang membantu Zaid membawa aku pulang dari klinik pada peristiwa malam itu.

Tiba-tiba pintu terbuka. Tergamam aku apabila Alex muncul tanpa sempat aku sarung shawl dengan sempurna. Mujur sudah tertutup seluruh rambutku.

"Sorry." Suaranya sarat dengan kekesalan. Dia berpaling membelakangi aku.

Dengan rasa ralat, segera aku selempangkan shawl dengan sebelah tangan memandangkan tangan kiri aku cedera di bahu dan pergelangan tangan.

"Dah," beritahu aku.

Alex kembali berpusing memandang aku dengan wajah yang nampak keberatan.

"Untuk keselamatan kau dan keluarga kau, kami terpaksa hantar kau balik dalam keadaan macam ni. Aku harap kau dapatkan rawatan yang sebenar di klinik terdekat. Dan aku mohon supaya kau tak ceritakan pada sesiapa tentang semua yang terjadi."

Aku hanya mendengar. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Aku cuma nak balik.

Alex mendekat, berlutut di hadapan aku namun sikit pun aku tak pandang wajahnya.

"Bertahanlah," ucapnya.

Setitis air mata aku jatuh ke riba. Sukarnya untuk menjadi kuat.

"Jom gerak." Zaid muncul di muka pintu. Dia terdiam seketika mungkin kerana melihat wajahku yang basah.

Tolonglah, Cumi! Takkan kau selemah ini!

Alex bangkit, memberi laluan pada Zaid mendekati aku.

"Masa akan berlalu. Lupakan kami. Lupakan semuanya."

Aku mendongak memandangnya.

"Mudahnya awak bercakap, kan? Semudah itu suruh orang lupakan semuanya!"

Zaid tersenyum pahit.

"Ya, melupakan memang tak mudah. Aku minta maaf." Nadanya merendah seolah-olah berkata pada diri sendiri.

"Jaga diri, Ummi."

Aku pejamkan mata mendengar pesanan Zaid.

Kami menaiki dua kereta yang berbeza. Nadene memandu kereta yang dinaiki aku manakala Alex dan Zaid mengekori kami dari belakang.

"Buckle up. Perjalanan ni singkat tapi mungkin tak mudah."

Gentar aku mendengar peringatan dari Nadene. Belum sampai tiga jam pun lagi sejak aku diselamatkan dari geng Jackie, kini aku perlu bersedia untuk dugaan yang seterusnya pula.

Malam pekat tanpa bintang. Ketika kami melalui laluan berbukit menuju ke kawasan kotaraya, kereta kami tiba-tiba dihentam dari belakang. Aku genggam kuat tali pinggang kaledar. Nadene menyumpah geram.

"Kita diekori. Pecut, Nadene! Kami lengahkan mereka!" Suara Alex kedengaran melalui walkie talkie.

Dalam ketakutan, aku mencuri pandang ke cermin sisi kereta. Jelas kelihatan dua buah kereta di belakang kami sedang berselisihan hingga terlihat percikan api apabila mereka saling berlanggar antara satu sama lain.

"Ya Allah... Ya Allah..." Menggeletar bibir aku menyebut nama yang satu itu. Aku menekup mulut apabila kereta kami dilanggar sekali lagi dari belakang menyebabkan kami terpusing. Jeritan aku dan Nadene bersatu.

BAM!

Kami terhentak ke tepi jalan dan kereta terhenti berlawanan arah. Nadene bergelut untuk mengubah kedudukan kami apabila melihat dua buah kereta sedang menuju ke arah kami dengan kelajuan tinggi.

"Tidak!"

Terdengar bunyi seretan yang membingit sebelum Nadene berjaya memusingkan kembali kereta. Serentak dengan itu terdengar bunyi dentuman yang amat kuat. Aku berpaling ke belakang.

"Nadene! Berhenti!" Aku mencengkam bahu Nadene. Jelas di mataku, dua buah kereta itu melanggar pembahagi jalan dan terjunam ke dalam bawah bersama deburan air yang kuat diselangi bunyi letupan yang menggegarkan.

"Kita kena teruskan!"

"Zaid, Nadene! Alex! Kereta mereka terbabas! Berhenti, Nadene!" Aku sudah menggila. Aku tak pasti kereta mana yang meletup dan mana yang tenggelam. Tapi yang pasti, salah satu dari kereta itu adalah kereta Zaid dan Alex!

"Cumi!" Nadene menolak bahu aku dengan sebelah tangan membuatkan aku lemah kerana kecederaan aku ditekan kuat.

"Aku dah janji dengan Zaid untuk pulangkan kau walau apapun terjadi! Kalau kau peduli tentang kami, tolonglah..." Suara Nadene bergetar di hujungnya.

Aku nampak sebelah tangannya mencengkam stereng dengan erat. Aku beralih pula pada wajahnya. Mata itu basah.

Aku tersandar lemah dan esakanku pecah juga akhirnya. Semua ini salah aku. Bermula dari keputusan bodoh untuk mencari telefon pintar aku di klinik, berdegil untuk mencari Zaid di rumahnya dan...

Tak sanggup untuk aku memikirkan yang aku adalah penyebab jika ada sesuatu yang buruk menimpa mereka.

Nadene memarkirkan kereta yang sudah remuk di belakang lorong kedai yang gelap dan kami menunggang motor berkuasa tinggi menuju ke rumah.

"Senyum, Cumi. Hanya kau boleh putuskan samada keadaan akan membaik atau sebaliknya," pesan Nadene ketika kami tiba di perkarangan rumah aku.

Aku ketap bibir, cuba untuk tidak menangis. Membiarkan Nadene merapikan shawl aku dan membetulkan kedudukan baju. Aku perasan tangannya menggigil ketika mengoleskan lipstik miliknya di bibir aku untuk menyembunyikan wajah pucat aku dari dilihat mama dan abah.

"Sampai sini saja. Selamat tinggal, Cumi." Nadene memeluk aku dengan erat.

"Selamat tinggal."


23.03.21
796words
#fragile500meterahead

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro