໑ : 9

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

TANGAN di seluk ke dalam tote bag. Buku yang dicarinya dibawa keluar dari beg. Buku itu dibuka pada helaian yang masih kosong. Pen hitam di tangan, bersiap sedia sambil menanti mana-mana pelajar yang lalu di hadapannya.

"Awak! Awak!" Ammara mengangkat tangan memanggil seorang pelajar yang sedang berjalan sambil makan roti di tangan.

Pelajar itu terhenti langkahnya. Apabila matanya terpandangkan buku dan pen di tangan Ammara, terus dia melangkah semula meninggalkan Ammara.

Ammara mengeluh perlahan. Dah agak pasti tiada yang ingin membantunya. Kaki melangkah ke sebuah bangku yang didudukinya tadi.

Kepala laju menggeleng. Tidak. Dia tak boleh putus asa. Pasti akan ada seseorang yang baik hati ingin menolongnya.

Kebetulan ada pelajar yang baru keluar dari tandas berdekatan dengan bangku itu. Lantas Ammara bangun dan mengejarnya. Bahu lelaki itu ditepuk dengan buku. Lelaki itu terus memusingkan tubuhnya menghadap Ammara.

"Eh, Hayyan?" Terkejut Ammara apabila pelajar yang ditegurnya ialah Hayyan.

"Ya, Mara? Ada apa?" Soal Hayyan sambil tersenyum manis. Mata mengerling sekilas ke arah buku dan pen di tangan Ammara. Hayyan tergelak kecil. Dapat dia baca fikiran Ammara ketika ini.

"Er..."

"Boleh. Alang-alang saya tengah tak ada kelas, tak ada masalah kalau awak nak saya ajar," ujar Hayyan tanpa menunggu permintaan Ammara.

Ammara sudah tersengih-sengih. Macam tahu-tahu aje Hayyan ni.

Ammara membuntuti Hayyan yang menuju ke arah perpustakaan. Sebolehnya dia tak mahu ke perpustakaan bersama Hayyan. Takut digosip dengan senior lain kerana berjalan dan duduk bersama Hayyan. Tapi dah Hayyan sukarela ingin menolongnya, tak mahulah dia susahkan Hayyan.

Pintu perpustakaan dibuka. Hayyan menahan pintu itu dan memberi laluan kepada Ammara untuk masuk terlebih dahulu. Usai mengucapkan terima kasih, baru Ammara masuk.

Tempat duduk yang agak tersorok dipilih Ammara. Begnya diletakkan di atas kerusi bersebelahan kerusi yang dia duduk. Hayyan pula melabuhkan punggung di kerusi hadapan Ammara.

"Mara, awak tak selesa ke?"

Ammara tersentak dengan soalan Hayyan.

"Tak adalah. Kenapa awak tanya macam tu?" Nafi Ammara sambil kepala digeleng laju.

Hayyan tertawa kecil melihat reaksi Ammara. Rasanya soalan dia tadi bukanlah soalan maut.

"Dari tadi awak tengok sekeliling. Kalau awak tak selesa, kita boleh pergi tempat lain," cadang Hayyan, risau yang Ammara tak dapat tumpukan perhatian semasa dia mengajar nanti.

Ammara menggeleng.

"Tak apa. Saya okey je."

Hayyan mengangguk, mengalah. Buku yang dipegang Ammara ditariknya. Beberapa soalan yang ditulis di atas permukaan kertas itu dilihat.

"Awak nak suruh saya tengok mana salah ke?" Tulisan di kertas itu dibaca berulang kali.

Ammara mengangguk laju. Walaupun dia sudah mahir bab itu, tapi dia masih mahu ulang buat soalan sebegitu.

"Eh, Mara. Bukan ke ni soalan waktu semester 1 punya?" Keningnya bertaut apabila melihat soalan.

Ammara menggigit bibir.

"Awak kena repeat?"

"Eh, tak adalah! Saya saja ulang buat soalan yang sama. Saya dah mahir cuma kadang saya masih cuai, jadi saya nak tengok kalau-kalau cuai saya tu dah berkurang atau tidak," jelas Ammara sambil tangan naik menggaru kepala.

Hayyan mengangguk faham. Jarang dia jumpa pelajar yang mengulang kaji soalan dari semester 1 punya.

Mata memerhati setiap perkataan dan nombor yang ditulis. Cuba mencari apa-apa kesalahan.

"Mara, yang dividen 2018 tertunggak ni sepatutnya 100,000×6%×2.50. Awak silap dekat 2.50." Pen di atas meja diambil lalu kesalahan itu dibetulkan.

"1.80 ni pula macam mana?"

Hayyan menggeleng.

"Awak kira balik dividen 2019 semasa ni. Situ pun silap juga sebab awak letak 1.80," terang Hayyan sambil pen di tangannya menulis semula bagi memudahkan kefahaman Ammara tentang salahnya.

Ammara mengangguk perlahan. Dia berdecit apabila sedar yang kecuaian dia masih belum berkurang.

"It's okay, Mara. Silap tu biasa, janji awak sedar silap awak." Lembut Hayyan menuturkan pesanan.

Ammara senyum malu. Malu pula bila dipesan sebegitu.

Bunyi telefon yang tiba-tiba berdering memeranjatkan dirinya. Lekas-lekas dia bawa keluar telefon dan mematikan bunyi deringan telefon tersebut. Sengihan dihulurkan kepada Hayyan sebelum panggilan di angkat.

"Ada apa kau call aku ni? Aku tengah sibuklah." Rasa mahu mengamuk aje dengan Airel yang mengganggu waktu dia sedang sibuk.

"Kalau kau nak mengamuk, nanti je la. Sekarang ni kau datang hospital. Nayra kena tahan wad," maklum Airel sebelum meletakkan panggilan. Nadanya kedengaran tegas dan hal itu sudah cukup membuatkan degupan jantung Ammara berdegup kencang.

Hampir saja telefon di tangannya melorot jatuh. Lantas buku dan pen di atas meja disumbatkan ke dalam beg.

"Sorry, Hayyan. Saya kena balik sekarang, adik saya masuk wad." Tanpa menunggu balasan dari Hayyan, terus dia melangkah keluar dari perpustakaan dan menuju ke perhentian bas.

Jam di tangan dikerling. Menyesal dia tak menaiki kereta hari ni. Entah mengapa rasa malas mahu pandu kereta menjadi-jadi. Tak pasal-pasal waktu kecemasan macam ni kena naik bas.

Ammara tak mampu duduk diam. Dia berjalan mundar-mandir. Tak dapat bas, naik teksi pun jadilah.

Apabila mata ternampak sebuah teksi di atas jalan, tangan diangkat bagi menahan teksi. Hampeh. Teksi itu tidak berhenti. Ammara merengus geram.

Nak tak nak, nombor Airel didail.

"Kau nak apa?" Soal Airel di hujung talian.

"Tolong ambil aku dekat perhentian bas ni. Aku tahan teksi, bukan teksi nak berhenti pun." Sempat Ammara membebel.

"Kereta kau mana? Yang kau bodoh sangat tak naik kereta kenapa? Tak pasal-pasal kau menyusahkan orang. Tunggulah kau sana, nanti aku suruh siapa-siapa ambil kau," bidas Airel.

Tut!

Ammara memandang skrin telefonnya. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya tadi. Dia betul-betul keliru. Anayra tu adik Airel atau adiknya?

Baru saja Ammara ingin beredar dari situ, dia terdengar bunyi hon kereta. Kepala disengetkan melihat nombor plat kereta Jaguar F-Type yang berhenti di hadapannya. Setahu dia ini bukan kereta milik Airel.

Tingkap kereta itu diturunkan. Ammara berdecit apabila melihat gerangan manusia yang dihantar Airel untuk mengambilnya. Hairannya cepat betul dia datang untuk ambilnya.

"Masuk." arah Noah tanpa memandang Ammara.

Ammara menggulingkan biji matanya. Pintu kereta dibuka lalu dia masuk ke dalam. Kalau tak disebabkan dia terdesak, tak ada maknanya dia nak masuk.

Tangan disilangkan di dada. Kereta meluncur laju di atas jalan raya. Ammara berpaling melihat ke luar tingkap. Dalam hati tak habis-habis dia menyumpah seranah si Airel.

"Aku tak ikhlas tumpangkan kau." Dingin nadanya bersuara. Noah cuba membuang rasa tidak selesa yang memenuhi ruang keretanya.

Laju Ammara memalingkan wajahnya memandang Noah yang sedang memandu. Tak dapat dinafikan lelaki itu kelihatan tampan dengan kaca mata hitam di batang hidung dan tangan sebelahnya yang mengawal stereng kereta.

Pap!

Pipi ditampar perlahan. Mungkin dia terlalu risaukan Anayra hinggakan fikirannya jadi tidak betul.

Noah perasan Ammara memerhatinya dan kemudian menampar lembut pipinya. Tersungging senyum tipis di bibir. Namun hanya untuk beberapa saat saja apabila dia mula tersedar.

"Awak cakap apa tadi? Tak ikhlas? Hei, hello! Saya pun tak naklah naik dengan awak." Ammara masuk ke mod ingin-cari-gaduh. Kalau boleh menyingsing lengan bajunya, dah lama dia buat. Demi menunjukkan rasa ingin belasah muka Noah itu.

"Then, keluar." Kelajuan keretanya sengaja diperlahankan.

Ammara mula cuak. Mulutnya ditekup agar tidak bersuara lagi. Takut kalau dia tersilap cakap lagi. Kang tak pasal-pasal Noah tinggalkan dia di tepi jalan.

"Saya tak fahamlah. Kenapa dalam banyak-banyak orang, awak jugalah Rel minta tolong. Awak ni dahlah annoying, tak reti mengaku salah, kerek dan hah banyak lagilah!"

"Oh?"

Ammara tidak puas hati dengan Noah yang membalasnya sepatah kata saja.

"Awak ni mesti dulu pernah bisu kan? Tiba-tiba boleh bercakap balik, tu yang cakap sepatah-sepatah je."

"Kau nak aku cakap apa?" Kening dijongketkan.

Ammara mengangkat bahu.

"Apa-apa je la. By the way, awak sedar tak awak mendatangkan masalah dekat saya?"

Noah mengerling ke arah Ammara sekilas. Keningnya berkerut sedikit apabila dituduh sedemikian.

"Motif kau salahkan aku?"

Ammara memicingkan matanya memandang Noah di sebelah. Dia boleh pula tanya apa motifnya.

"Eh, hidup saya aman je tau selama ni. Jadi awaklah yang patut saya salahkan!"

"Benda ni berpunca dari kau juga. Tak habis-habis cari gaduh dengan aku," balas Noah tenang. Langsung tak memandang wajah Ammara yang sudah kemerahan.

"Tengok tu! Dah salah tak nak mengaku, alih-alih saya yang kena!" Tangan naik memeluk tubuh.

Noah terdiam sejenak sebelum membalas bebelan Ammara.

"Kau ni mulut murai kan?"

Hanya sebaris ayat saja, namun dapat mengunci mulut Ammara. Ammara menggigit bibirnya. Pandangan dihalakan pada pemandangan di luar tingkap.

Terjongket kening Noah dengan Ammara yang tiba-tiba diamkan diri. Noah memusingkan kepalanya memandang Ammara sekilas. Keluhan dilepaskan.

"Mara."

Diam.

"Mara..."

Tiada sahutan.

"Ammara Tasneem." Kali ni, Noah memanggil dengan lebih tegas.

"Apa?!" Kasar Ammara menyahut panggilan Noah. Orang tengah sedih dipanggil mulut murai, dia boleh kacau kesedihannya.

"Kau marah?" Soal Noah sambil mata masih fokus memandang jalan.

Ammara menjeling tajam.

"Taklah. Saya tengah senyum ni, tak nampak?" Senyuman palsu diukir.

Noah memandang senyuman yang dilemparkan itu. Dia cuba menahan diri dari melepaskan tawa.

"Buruklah kau buat macam tu," komen Noah sengaja menambahkan kemarahan Ammara.

"Kau cakap aku apa?" Ammara memicingkan matanya. Tangan ditahan dari mencekik Noah.

"Aku cakap kau buruk."

"Apa? Aku tak dengar. Ulang balik!"

"Kau buruk."

"Apa?" Suara semakin dikuatkan.

"Kau cantik, Mara."

Ammara mati kata. Mata langsung tidak berkelip.

Noah yang dapat merasakan pandangan milik sepasang mata Ammara terus memalingkan mukanya ke arah Ammara. Membiarkan mata mereka bertemu.

"You're so damn beautiful, Mara, and you keep hurting me with your beauty..." Tangannya cuba mencapai tangan Ammara namun bunyi hon yang kuat menyentakkan mereka berdua.

Pin! Pin!

"Noah!"

"Close your eyes, Mara!" Tangan naik menutup kedua mata Ammara sambil sebelah tangannya memusingkan stereng. Sedaya upaya Noah cuba mengawal stereng namun nasib tidak memihak kepada mereka.

Bam!

Mara tak rajin.. yang rajin authornya. suka betul buat soalan" dari sem 1 punya

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro