BAB 5

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Bammmm! Bang!

" Arghhhhhh!" jerit Lisa yang terasa dirinya ditembak dengan senapang dua das tanpa henti. Terasa gelap matanya.

"Lisa! Lisa!"

Pada waktu yang sama, kedengaran suara seseorang menyeru namanya berulangkali. Terasa bahunya di kocok-kocok.

"Arghhhhhh! Aku dah mati! Tidak!" Lisa masih menjerit melalak seakan ternampak hantu sahaja gayanya.

Pang!

Sepi. Perit terasa di pipi akibat dari terkena satu tamparan yang hinggap di pipi Lisa. Dengan perlahan Lisa meraba-raba permukaan pipinya.

"Lisa? Are you okay?" Seseorang mengocok bahunya lagi mahu memastikan Lisa dalam keadaan yang baik.

Lisa mula membuka matanya tatkala mendengar satu suara yang sangat dikenalinya. Wajah Zain Khairin yang terpacul di hadapan wajahnya tika itu telah memeranjatkan Lisa. Lantas dia mengurut dadanya. Bagi menenangkan hatinya sendiri.

"Kai? Kau rupanya." Lisa kembali beriak normal setelah memastikan lelaki itu benar-benar Zain Khairin. Bukan makhluk lain.

"Ya, aku. Kau okey tak? Risau pulak aku tengok keadaan kau ni." Jelas riak kerisauan terpancar di wajah Zain.

Anak mata Lisa melingas ke arah sekelilingnya. Ternyata dia sedang berada di sebuah taman. Bagaimana dia boleh berada di situ? Dia tak sedar. Dia tersedar apabila terasa dirinya di tembak dan di hempap oleh sesuatu yang agak berat. Itu yang dia musykil. Sungguh dia tidak mengerti apa yang terjadi sebenarnya.

"Lisa? Aku tanya ni, kau okey tak? Kenapa kau jerit macam orang kena rasuk aje? Kau nampak benda tu lagi ek?" tanya Zain lagi. Dia benar-benar ingin tahu.

Lisa membetulkan tudungnya yang sedikit senget. Dia menghela nafas berat. Kemudian, merenung ke arah pepohonan bunga mawar putih di hadapannya. Pipinya yang masih terasa sakit kesan tamparan tadi di usap-usap lembut. Cuba mengurangkan rasa.

Zain yang melihatnya rasa serba salah.

"Maafkan aku. Aku terpaksa tampar kau. Kalau tak, kau takkan sedar dan terus menjerit. Kau buat aku takutlah tengok keadaan kau jerit tadi. Maafkan aku, Lisa." Lisa memandang ke arah Zain sekilas seraya menggelengkan kepalanya dengan perlahan.

"Tak apa. Kau tak salah pun. Aku yang patut berterima kasih dengan kau sebab kau dah selamatkan aku dari terus di tembak dengan benda apa entah. Lepas tu , dia hempap aku lagi. Kalau kau tak tampar aku, memang aku takkan sedarlah yang aku ada kat taman ni," balas Lisa dalam nada mendatar.

Zain mengangguk faham. Dia sudah mengagak. Pasti ada sesuatu yang mengganggu Lisa.

"Jadi, benda apa yang tembak dan hempap kau tadi?" soal Zain. Serius benar riak wajahnya. Ya, perkara mistik seperti itu memang Zain ambil serius.

Lisa tidak terus menjawab. Dia berjeda beberapa saat. Memikirkan perkara apa yang mengganggunya tadi.

"Entah. Aku pun tak tahu. Dah lama ke kau datang sini?" Lisa pula mengajukan persoalan terhadap Zain membuatkan Zain berubah riak hairan.

"Aku datang dengan kau tadi. Kau dah lupa ke?" Apa yang diberitahu Zain itu membuatkan Lisa terkedu.

"Ha? Kau datang dengan aku? Eh, aku rasa aku tidur aku mimpi. Lepas tu, rasa diri di tembak dan di hempap pulak tadi. Dan tiba-tiba aje bila aku sedar aku dah berada dekat sini? Aku betul-betul tak faham. Apa dah jadi dengan hidup aku? Oh aku pening." Lisa mencengkam kepalanya dengan kedua belah tangannya.

Dia tak faham. Terasa seperti dia hidup dalam sebuah ceritera novel atau komik sahaja gayanya. Yang jalan ceritanya sudah pun di karang oleh penulisnya. Dan tugas dia hanyalah menjadi satu watak sebagai penggerak ceritanya sahaja. Sama ada ceritanya ke arah kebahagiaan atau kesedihan, itu semua sudah tertulis. Ya, itu yang sedang berlegar di dalam kotak fikiran Lisa tika itu. Biasalah budak seusianya pasti akan berfikiran ala-ala komik.

"Biar betul kau tak sedar langsung apa yang terjadi dengan diri kau? Takkan kau tak ingat langsung apa yang kau buat hari ni?" Zain seakan tidak percaya dengan apa yang diceritakan oleh Lisa.

Lisa hanya menjawab dengan gelengan kepala. Ya, dia tak ingat apa yang terjadi hari itu.

"Takkan langsung tak..." Belum sempat Zain menghabiskan ayatnya, kedengaran suara budak perempuan memanggil nama Lisa dari arah belakang mereka.

"Kak Lisa! Kak Lisa!"

Lisa dan Zain berpaling serentak ke arah belakang mereka. Kelihatan wajah Jannah a.k.a Jennie sedang berdiri tercegat sambil menggamit Lisa agar datang kepadanya.

Lisa yang terlihatkan wajah Jennie yang terpacul di situ terus mengalihkan pandangannya. Jennie yang melihat kakaknya memalingkan wajahnya sedikit terasa hati. Namun, biasalah. Budak-budak yang baru berusia 8 tahun sepertinya itu, apalah yang dia tahu. Gadis itu membencinya atau tidak, dia takkan tahu. Malah, dia mendekatkan diri ke arah Lisa.

Zain tersenyum pada Jennie. Dia tidak mahu Jennie terasa hati dengan kedinginan Lisa.

"Hai, Jennie. Kenapa cari Kak Lisa?"
Zain melembutkan gaya tuturan bahasanya dengan adik kepada rakan sekelasnya itu.

Jennie membalasnya senyuman budak lelaki yang lebih berusia darinya itu.

"Mama suruh panggil Kak Lisa balik rumah sebelum papa balik," beritahu Jennie jujur.

Zain menganggukkan kepalanya sedikit tanda dia faham. Kemudian, dia memandang ke arah Lisa.

"Lisa? Mama dah panggil kau balik tu. Jum lah balik. Lagipun, dah senja ni." Zain mengajak Lisa pulang ke rumah bersama. Zain sudah bingkas bangun dari duduknya.

Lisa masih tak berganjak. Diam tak berkutik.

"Kak Lisa? Mama panggil balik." Jennie pula bersuara lagi setelah mendapati Lisa masih tidak berganjak dan tiada tanda-tanda mahu mengikutnya pulang ke rumah.

Lisa memandang ke arah Jennie yang sedang berdiri di sebelahnya itu. Dia mencerlung tajam ke arah Jennie. Marah benar lagaknya.

"Kau baliklah dulu. Tak payah nak sibuk pasal aku. Aku tahulah nak balik sendiri nanti," balas Lisa dan terus berlalu pergi meninggalkan Jennie dan Zain terpinga-pinga di situ.

"Abang Kai? Kak Lisa nak pergi mana? Mama pesan dekat Jennie suruh bawak Kak Lisa balik. Kalau tidak nanti papa pukul Kak Lisa. Jennie takut kalau papa pukul Kak Lisa lagi. Jennie nak Kak Lisa balik bersama Jennie." Jelas riak sugul terpamer pada seraut wajah Jennie tika itu.

Zain bersimpati dengan Jennie. Lantas kepala Jennie yang tidak bertudung itu di gosoknya perlahan.

"Tak apa. Jennie balik dulu. Biar Abang Kai yang pergi pujuk Kak Lisa. Nanti Abang Kai akan hantar dia balik ke rumah. Jadi, Jennie jangan risau lagi tentang Kak Lisa. Abang Kai akan pastikan dia tak dipukul oleh papa Jennie okey?" pujuk Zain tidak mahu Jennie bersusah hati memikirkan Kak Lisa nya.

Jennie berubah riak ceria setelah mendengar pujukan Zain sebentar tadi.

"Okey. Janji bawak dia balik?" Jennie mengangkat jari kelingkingnya di hala ke arah Zain, tanda mahu lelaki itu tunaikan janjinya.

Zain tersenyum lagi. Lantas dia menyangkut jari kelingkingnya ke jari kelingking Jennie.

"Ya, Abang Kai janji akan bawak dia balik ke rumah dengan selamat dan cepat." Jennie tersengih suka.

"Okey, Jennie balik dulu. Jumpa esok dekat sekolah. Bye, abang Kai!" Sempat Jennie melambai tangan ke arah Zain sebelum berlalu dari situ.

Zain membalas lambaian Jennie dengan mempamerkan riak ceria seiring dengan keceriaan yang dipamerkan Jennie tika itu.

Sejurus itu, Zain terus pergi mencari Lisa. Kelihatan Lisa sedang berjalan sendirian di tepi jalan yang bukan menghala jalan pulang ke rumahnya. Tetapi, jalan lain. Zain pelik. Ke mana Lisa nak pergi? Zain tak boleh membiarkan Lisa pergi sesuka hati. Dia mesti memujuk Lisa agar kembali ke rumahnya.

"Lisa, tunggu!" Zain menyergah Lisa dari belakang membuatkan langkah Lisa terhenti dan berpaling ke arahnya.

Zain mendekatinya.

"Lisa, kau nak pergi mana? Mama panggil baliklah." Lisa meneruskan langkahnya tatkala Zain mengutarakan persoalan tentang dia hendak ke mana dan ayat akhir itu membuatkan dia tidak betah untuk melangkah pulang. Berat hatinya untuk kembali ke rumah itu lagi.

Zain yang melihat Lisa seakan tidak mengendahkan arahan mamanya yang mahu dia pulang, segera berlari anak menyaingi Lisa dan menghadang gadis itu dari hadapan. Situasi itu sekali lagi membuatkan langkah Lisa terhenti. Dia melepaskan keluhan berat.

"Kau nak apa? Kau baliklah. Jangan ikut aku. Nanti ibu dengan ayah kau salahkan aku pulak punca kau balik rumah lambat. Dah, balik." Lisa menyuruh Zain pulang terlebih dulu.

Ya, dia tak mahu dipersalahkan nanti. Cukuplah dia digelar budak berhalusinasi oleh kedua orang tua Zain. Dia tak mahu dirinya di hina lagi dan di dakwa yang bukan-bukan lagi oleh mereka. Cukuplah baginya.

Zain masih tidak berganjak.

"Lisa, dengar apa aku nak cakap. Aku tahu semua tak percaya dengan apa yang kau cakap tentang gangguan tu. Tapi, aku... aku tak macam dia orang. Aku percayakan kau. Kau tak payah nak risau pasal kedua ibubapa aku. Kau kena risaukan diri kau sendiri. Kau tahu kan yang kau sering diganggu? Sekarang ni, waktu senja. Waktu setan tengah berkeliaran. Kejap lagi azan maghrib. Setan akan berlari bertempiaran untuk selamatkan diri dari hangus terbakar. Tetapi, kalau kau masih berkeliaran dekat luar waktu-waktu macam ni... tak mustahil benda yang ganggu kau tu akan merasuk tubuh kau. Tambahan dengan tubuh kau yang lemah ni, lagi mudah untuk dia masuk ke dalam badan kau. Merasuk kau. Lagi parah hidup kau. Kau nak ke jadi macam tu?" Zain cuba menasihati Lisa sambil memujuk mahu Lisa kembali ke rumah.

Lisa berfikir sejenak. Namun tidak lama, tetiba dia tersengih sendiri.

"Apa bezanya kalau aku balik ke rumah? Benda tu tetap ganggu aku. Aku rasa di rumah atau di mana-mana tempat pun dah tak selamat untuk aku. Aku memang dah tak boleh elak dari benda tu. Dia tetap akan datang cari aku. Dahlah, kau baliklah. Kau tak perlu risaukan aku. Aku dah terbiasa dengan gangguan semua ni. Nak tak nak aku kena laluinya jugak. Sebab dia dah sebati dengan aku. Jadi, aku mintak kau baliklah sekarang sebelum ibu dengan ayah kau datang cari kau. Aku tak nak dia risaukan kau disebabkan aku." Lisa meneruskan langkahnya tanpa menghiraukan Zain yang masih termangu di situ memikirkan cara lain untuk memujuk Lisa pulang.

Pada waktu yang sama, Zain terlihat satu kelibat di sebalik pohon besar di hadapan tidak jauh dari mereka. Seakan kepulan asap hitam sedang berlegar-legar. Matanya membulat besar. Dia pasti, benda itu sedang menanti masa untuk mengganggu Lisa lagi. Tanpa menunggu lagi, dia terus mendapakan Lisa. Lengan Lisa ditarik dan diheret bawa berpatah balik dengan segera tanpa sepatah kata. Lisa terpinga-pinga dia di heret sebegitu. Lantas dia meronta-ronta minta di lepaskan.

"Lepaslah. Kenapa dengan kau ni, Kai? Kenapa kau heret aku macam ni? Aku tak nak baliklah!" Lisa membentak geram dia di paksa balik ke rumah.

"Baik kau ikut aje aku balik. Jangan banyak tanya kalau kau nak selamat." Zain tertoleh-toleh ke belakang. Kepulan asap hitam itu semakin hampir dengan mereka.

Zain tidak menunggu lagi, terus membawa Lisa lari dari situ dengan sepantas yang mungkin. Lisa terkial-kial berlari kerana diheret oleh Zain.

Zaasss!

Terasa ada sesuatu terbang di atas kepala mereka berdua. Automatik membuatkan larian Lisa dan Zain termati serta merta kerana terkejut apabila tersedar ada sesuatu yang sedang melintas di atas kepalanya.

Lisa dan Zain berpandangan sesama sendiri. Mereka berdua meneguk air liur serentak. Debaran terasa di hati masing-masing. Apakah benda yang terbang di atas kepala mereka tadi? Lisa dan Zain mengangguk kepala dua kali tanda mereka akan mendongak ke langit bersama dengan serentak. Kalau terkejut pun sama-sama pengsan. Lisa yang mulai menggigil dan rasa keseramannya itu terus memaut lengan Zain cuba mengawal perasaan takutnya sehabis mungkin. Dengan memaut lengan Zain, dia berharap keberaniannya akan bertambah kuat. Iyalah, semangat lelaki bukankah kuat? Itu yang berada di dalam fikiran Lisa saat itu.

Zain yang menyedari Lisa memaut lengannya hanya membiarkan. Dia tahu, gadis itu tak akan menyentuh dirinya sesuka hati jika tanpa sebab atau darurat. Jadi, dia relakan jika itu mampu menguatkan semangat Lisa.

Dengan kiraan satu, dua... tiga! Kedua-dua mereka mendongak ke langit dengan serentak. Terbuntang mata kedua-duanya tatkala mendongak ke atas. Apa yang mereka lihat?

"A... apa tu? A... apa tu?" Lisa tergagap-gagap hendak bertanya pada Zain. Zain sudah terkaku tidak terkata apa.

Apa benda?

Zaasss zusss zaappp

Ternyata kepulan asap hitam yang Zain lihat tadi sedang berlegar-legar di ruang udara. Bukan satu. Tetapi, banyak. Keadaan itu membuatkan Lisa dan Zain benar-benar terkejut. Hendak lari selamatkan diri terasa kaki sudah kaku bagaikan di gam ke jalan tar pula.

Zassss zusss

Bertambah terkejut Lisa dan Zain apabila mendapati kepulan asap hitam yang berlegar di udara tadi semua turun dan semua menuju ke arah mereka berdua. Lisa dan Zain sudah gelabah.

"Kai? Macam mana ni? Aku tak boleh lari!" Lisa mencengkam kuat lengan Zain ketakutan.

Zain memaut tangan Lisa. Dia turut gelabah.

"A... aku tak tahu. Kaki aku pun tak boleh bergerak ni. Tiba-tiba aje jadi macam ni." Tergagap-gagap Zain dibuatnya.

Dalam waktu yang sama juga, otaknya ligat memikirkan cara untuk menghidari gangguan kepulan asap hitam itu. Sebenarnya ia bukan kepulan asap hitam yang biasa seperti asap orang bakar sampah. Tetapi, ini kepulan asap hitam yang dikandungi oleh ribuan iblis di dalamnya. Siapa yang terkena kepulan asap hitam itu, sudah pasti dia akan di rasuk dengan teruk. Dan berubah sikap serta merta. Susah untuk di ubati jika is datangnya dengan sendiri dari hutan-hutan. Tetapi, jika ia datangnya dari manusia, kepulan asap hitam itu boleh di hantar semula kepada tuannya.

Zain mulai teringatkan sesuatu. Nasihat ayahnya. Jika diganggu atau terlihat perkara yang tidak diingini dan sepastinya ia bukan manusia, laungkan azan sahaja dengan sekuat hati menghadap kiblat. InshaAllah, semua gangguan itu akan hilang dengan izin Allah. Ya, Zain tidak melengahkan masa lagi terus melaungkan azan sekuat hatinya. Walaupun suaranya seakan disekat oleh sesuatu.

Kini, kepulan asap itu sudah mendekati mereka dan mengelilingi mereka berdua. Zain tidak hilang pedoman. Dia meneruskan juga azannya tanpa menghiraukan gangguan itu. Lisa bersembunyi di belakang Zain.

"YaAllah selamatkan kami berdua. Aku takut..." Lisa merintih memohon kepada yang Esa agar selamatkan mereka berdua.

Elok sahaja kepulan asap hitam itu mahu masuk ke dalam tubuh Lisa dan Zain, tiba-tiba satu cahaya terang benderang turun dari langit membuatkan Lisa dan Zain kesilauan yang terlampau hingga kedua-dua mereka terpaksa memejamkan mata dengan serapatnya dan tidak mampu untuk membukanya. Terasa seperti tubuh mereka terapung ke udara. Lisa membuka matanya. Terjatuh rahangnya tatkala menyedari mereka sedang berlegar di langit malam. Di pagari bintang-bintang dan juga bulan yang besar menerangi mereka berdua. Zain pula masih memejamkan matanya.

"Kai? Buka mata kau. Tengoklah kita dekat mana sekarang!" jerit Lisa dengan nada suka.

Zain membuka matanya dengan perlahan. Dia tersentak dan pelik bagaimana mereka boleh terapung di situ. Dia memandang ke arah Lisa di sebelahnya. Lisa sedang memusing-musingkan tubuhnya sambil ketawa riang. Suka kerana dapat terbang dan terapung di langit tinggi. Dapat menyentuh bintang-bintang. Akhirnya, Zain terukir senyuman melihat kegembiraan Lisa untuk pertama kalinya.

"Ini pertama kali aku melihat senyuman keceriaanmu Lisa. Aku..." Tak sempat Zain menghabiskan ayatnya, kedengaran suara seruan nama Lisa di panggil berulangkali membuatkan kedua-dua mereka yang tengah bergembira di atas itu tersentak.

"Lisa!"

"Kak Lisa!"

"Lisa! Bangun!"

Bertukar-tukar suara memanggil nama Lisa. Sepastinya mereka mengenali suara-suara itu.

Lisa dan Zain berpandangan sesama sendiri. Lama begitu. Namun, dengan tidak semena-mena sahaja tubuh mereka terasa bagai di tarik oleh magnet dari bumi. Laju mereka di tarik ke belakang hingga menyebabkan kedua-duanya terjerit sekuat hati kerana gayat campur takut. Dan...

Buk!

Kedua-dua mereka tersenak tubuh akibat hempasan kuat di atas sesuatu dalam keadaan telentang.

Bushhh!

Tiba-tiba Lisa dan Zain terlihat air dari mana datang menyambar mereka berdua. Dan lemas. Terkapai-kapai mereka meminta bantuan. Malangnya tiada siapa mahu membantu. Dan akhirnya kedua-dua yang kelemasan tidak sedarkan diri kerana kehabisan tenaga.

"Lisa...!" Suara sergahan yang maha kuat hingga terasa bergegar tubuhnya dan seluruh kawasan itu telah mengejutkan Lisa. Automatik matanya terbuka dan terus terbangun duduk dalam keadaan tercungap-cungap.

Basah kuyup tubuhnya.

"Dah bangun pun. Susah sangat nak di kejutnya. Dasar pemalas!" Suara bebelan itu amat dikenali Lisa. Lantas dia memanggungkan kepalanya mahu melihat si empunya suara dan penyebab dia basah lencun sebegitu rupa.

Sudah di agak. Wajah papanya terpampang di hadapannya untuk menjadi tatapannya tika itu. Lisa terus meronyokkan rambutnya. Berang dengan sikap papanya yang suka menyimbahkan air padanya jika terlewat bangun pagi.

"Papa ni... apa ni simbah air dekat Lisa? Habis lencun!" omel Lisa dengan bibirnya memuncung ke hadapan.

"Kamu tu nak sekolah. Takkan dah besar macam ni pun masih lagi tak boleh nak bangun sendiri? Tengok Jennie tu, tak payah papa kejutkan pun boleh bangun sendiri. Boleh siap sendiri. Lisa ni, papa tak fahamlah. Dari kecik sampai ke besar, maintain dengan lembab dia tu jugak!" bebel Encik Khalid berjela membuatkan Lisa membuat muka tak puas hati.

"Tak habis-habis dengan Jennie. Huh! Papa... Lisa ni budak lagi. Baru 12 tahun. Normal lah budak-budak malas bangun pagi macam Lisa ni. Lagipun, papa pun tahu kenapa Lisa selalu bangun lewat kan? Lisa tak boleh tidur malam. Diganggu benda tu. Jennie tak apalah. Dia tak diganggu macam Lisa. Dia bolehlah tidur awal. Bangun awal." Lisa menjawab bagi membela dirinya. Memang itulah kebenarannya.

Encik Khalid terus bercekak pinggang.

"12 tahun Lisa kata? Ni mesti berhalusinasi lagi, kan?"

"Apa pula berhalusinasi? Betullah Lisa baru 12 tahun. Kenapa dengan papa ni? Umur anak sendiri pun dah tak ingat ke?" Encik Khalid geram dengan Lisa yang seakan masih berkhayal dengan dunia kanak-kanaknya itu terus mencapai lengan Lisa dan dibawa turun dari katil.

"Apa ni, papa?" Tercengang Lisa dengan tindakan papanya itu.

Encik Khalid tidak menjawab persoalan Lisa. Malah, dibawa anaknya itu ke meja solek. Dan diletakkan anaknya itu berdiri betul-betul di hadapan cermin besar meja solek tadi. Lisa masih merenung seraut wajah tegang papanya itu.

"Tengok! Ini ke budak 12 tahun? Bagitau papa, sekarang." Berkerut kening Lisa dengan arahan papanya. Pelik. Mengapa pula papanya bersikap seperti itu?

Namun begitu, Lisa menurut jua arahan papanya. Dan melihat wajah sebenarnya pada cermin di meja solek. Terbuntang matanya saat melihat wajahnya sendiri. Terlohong mulutnya dek kerana terkejut dengan perubahan pada dirinya. Dia meraba-raba ke seluruh anggota tubuhnya yang basah kuyup. Sungguh dia tidak percaya dengan apa yang berlaku terhadap dirinya.

"Apa dah jadi? Kenapa Lisa berubah jadi remaja pulak ni? Oh, tidak. Lisa tak percaya. Ni mesti hanya bermimpi." Lisa menampar kedua belah pipinya berulangkali. Namun, masih terlihat wajahnya yang sama di cermin.

"Tak! Cermin ni menipu. Lisa baru berusia 12 tahun. Tidak! Tidak!" Lisa mengundur setapak demi setapak.

Encik Khalid segera menahan Lisa. Risau anak gadisnya itu akan lari lagi.

"Lisa! Stop it! You dah besar okey. Bukan budak-budak lagi. Please, behave yourself! Papa dah cakap, jangan terlalu banyak berhalusinasi. Papa takut jadi macam ni lah. Inilah diri Lisa. Boleh tak sedar dah umur meningkat. Sampai bila papa kena kawal Lisa macam ni? Dengan keadaan Lisa yang tak terurus macam ni. Now, papa tak nak cakap banyak. Pergi mandi. Pergi sekolah. Jangan ponteng lagi. Pelajaran Lisa dah hampir merosot sekarang ni. Mulai hari ni, Kai yang akan datang ambil Lisa dan hantar Lisa balik rumah. Papa dah suruh dia jagakan Lisa dekat sekolah untuk papa dengan mama. Jadi, Lisa dah tak boleh buat sesuka hati lagi dekat sekolah macam sebelum-sebelum ni. Faham?" tegas Encik Khalid. Malang sekali, kata-kata ibarat angin lalu sahaja pada Lisa.

Kerana yang lebih menarik perhatiannya kini dengan perubahan pada dirinya sedrastik itu. Sungguh dia tidak mengerti. Terasa seperti baru semalam dia bersama Zain terbang naik ke langit. Masa itu, baru usia 12 tahun. Dan sekarang? Sudah jadi budak remaja? Berapa usianya sekarang?

"Papa? Berapa umur Lisa sekarang?" soal Lisa ingin tahu umurnya terkini.

"17 tahun. Dah nak exam SPM tahun ni. Jadi, tolong jangan buat perangai. Pergi mandi! Sebelum papa bawak kayu dekat sini. Makin lama makin degil Lisa sekarang. Papa pun dah pening kepala dengan sikap Lisa ni! Haisy... Papa bagi masa 15 minit saja untuk bersiap semua. Kalau dalam masa 15 minit masih tak siap dengan seragam sekolah menengah, awas Lisa! Papa akan tarik balik semua pemberian papa pada Lisa. Termasuk kad kredit tu!" Usai memberi amaran keras, Encik Khalid terus berlalu keluar dari kamar beradu anak gadisnya itu. Tergeleng kepalanya runsing dengan sikap Lisa sejak akhri-akhir ini semakin menjadi-jadi degilnya. Perangai pelik dan berhalusinasi semakin tinggi. Hingga mereka tak mampu untuk mengawalnya.

Lisa pula sudah tidak keruan. Dia jatuh terduduk. Sungguh tidak percaya.

"Tak... aku tak percaya aku boleh jadi remaja secepat ni. Baru semalam aku berumur 12 tahun. Dan harini dah 17 tahun? Sungguh tak masuk akal. Tidak! Aku tak percaya!" Lisa menafikannya. Ya, dia yakin. Itu semua hanya bermimpi.

Dalam Lisa tengah gundah dan runsing memikirkan perubahan mendadak terhadap dirinya, kedengaran pula alunan serunai merdu seawal pagi itu menyentakkan lamunan Lisa. Datangnya dari arah jendela. Dia bangun berdiri dan mendekati jendela itu walau dalam keadaan takut-takut berani.

Dikala malam tiba
Sang serunai malam menjelma
Melihat dirimu mendampingimu
Kehadirannya mahu menuntut janji
Janji ayahmu sejak azali
Janjinya yang masih belum terpatri
Demi mengejar cita dan harta
Serunai malam jadi miliknya
Perjanjian hanya seketika cuma
Pulangkan serunai ke tempat asalnya
Bila masanya sudah tiba
Hingga melepasi pada waktunya
Serunai malam tiada ditempatnya
Beginikah sikap semua manusia
Bila mereka telah berjaya
Mencapai cita-cita dunia
Mudah alpa dan terleka
Sang serunai malam
Hadir tanpa dipinta
terus menanti akan janjinya
Jika masih tidak tertunai
Anak gadis galang gantinya...

Si pendusta
Tidak layak memiliki permata
Permata anugerah yang Esa
Si permata anak yang jelita
Si jelita untuk si sempurna rupanya
Tegap tubuhnya
Bundar matanya
Biru cair anak matanya
Lunak suaranya
Gemersik siulan serunainya
Janji tidak ditepati
Si jelita pasti dimiliki
Tiada yang mungkiri
Kerana itu yang pasti
Cinta yang hakiki bakal terjadi
Itulah padahnya
Bila janji tak dipatri...

Syair itu bersenandung lagi. Syair yang sama yang sering di dendangkan seperti malam-malam sebelumnya. Lisa tidak jadi hendak ke jendela. Dia mengundur setapak demi setapak.

Semakin meningkat usiamu
Semakin dekat kau denganku
Deruan nafasmu adalah milikku
Detak jantungmu irama syairku
Akanku salurkan rasa cintaku
Mengalir ke dalam urat sarafmu
Menjadi sebati dengan darahmu
Agar engkau tidak melupakanku
Kerana kau milikku sejak azali
Ini bukan mimpi
Namun ia realiti
Kau ku cintai sampai mati
Suatu saat aku pasti
Cintamu kan tersemat abadi
Bersamaku hingga nafasmu terhenti
Itu janji yang telah dipatri
Tanpa engkau menyedari
Akulah kekasih yang kau cari...

https://www.youtube.com/watch?v=1nD3Sp_saz4

Lisa jatuh terduduk saat mendengarkan ayat-ayat syair itu. Sungguh dia takut dan tak mahu ia terjadi. Lisa menerkup telinganya dengan kedua-dua belah telapak tangannya.

"Aku tak cari engkaulah! Aku tak nak jadi milik kau! Pergi! Jangan ganggu aku. Hik hik hik..." Lisa ketakutan diiringi tangisan kecil.

"Lisa! Cepatlah! Dah lambat ni. Lagi 5 minit. Ingat amaran papa tadi. Jangan buat hal!" Terdengar suara laungan papanya dari luar kamar.

Lisa yang mendengarnya terus berpaling dan merangkak pantas ke arah pintu. Malangnya, dengan tidak semena-mena kakinya di tarik kasar oleh sesuatu dan di campak ke dinding. Lisa jatuh ke atas lantai kayu jati, dan pengsan.

Ktak!

Pintu dibuka dengan seluasnya oleh Jennie. Untuk melihat keadaan kakaknya yang lama berkurung tidak keluar dari kamarnya sejak semalam.

Alangkah terkejutnya dia tatkala melihat keadaan kakaknya sudah terbaring kaku dengan ada tompokan darah pada kepalanya.

"Kak Lisa!" Jennie terus berlari mendapatkan kakaknya.

"Papa! Mama! Cepat! Kak Lisa..." Jennie memanggil kedua orang tuanya naik ke situ dengan segera.

  Jennie memangku kepala Lisa di atas ribanya. Tanpa sedar air matanya sudah menitis ke atas permukaan wajah pucat Lisa. Sungguh dia risau dan takut akan kehilangan kakaknya.

"Kak Lisa, jangan tinggalkan Jennie. Bangun, Kak. Jennie dah tak ada sesiapa lagi. Bagitau Jennie apa yang mengganggu Kak Lisa? Kenapa sampai boleh jadi macam ni?" Jennie meratap sedih.

Encik Khalid dan Puan Nurin bergegas naik ke kamar milik Lisa setelah terdengar jeritan anak mereka Jennie. Mereka turut terkejut apabila melihat keadaan Lisa. Tercengang kedua-dua di muka pintu. Apa akan jadi?

_Kookie24
adilahzaini460
AmjoyGhani
darwinaaljamin_
SyafiqahNurienna
hudakhasha
annecayunk

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro