Teaser 4 EBOOK ANNYEL

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Teaser 4 annyel

L
ISA berjalan sendirian di bawah sinaran bulan purnama. Dia sendiri tidak pasti dia sedang berada di mana. Yang pasti sekitarnya itu dipenuhi mawar putih. Kawasan itu pula dilitupi kabus putih yang tidak terlalu tebal. Lisa masih boleh melihat suasana di sekeliling.

Malam itu sungguh sunyi. Lisa yang agak penakut, berasa hairan  bagaimana dia bisa terdampar di situ. Kepalanya tertoleh-toleh ke kiri dan kanan. Namun, dengan tidak semena-mena…

Wush…

Tiba-tiba Lisa dikejutkan dengan deruan angin yang sederhana kuat datang menyapa ke wajahnya. Apakah ia? Lisa tidak keruan apabila menyedari tiada sesiapa di situ, melainkan dirinya sendiri. Saat itu jantungnya berdebar semacam.

Wush!

Arus  udara yang sederhana kuat itu menjengahkan diri sekali lagi menampar belakang batang tubuh Lisa pula membuatkan budak perempuan itu tersentak. Lantas tubuhnya dipalingkan ke belakang demi menyaksikan sendiri, apakah ia?

Langkah Lisa terhenti apabila terasa seperti ada seseorang sedang berdiri tidak jauh darinya. Dengan takut-takut berani, Lisa berkalih posisi dengan perlahan ke sisi sebelah kirinya. Ya, di dalam kesamaran cahaya bulan purnama malam itu, Lisa terlihat susuk tubuh seseorang sedang memerhatikannya dari jauh.

“Si... siapa tu?” soal Lisa ingin tahu.

Sepi. Tiada sahutan dari orang itu. Lisa mula berasa  tidak sedap hati. Dia cuba mendekati susuk itu.

“Cik? Encik? Si... siapa tu? Ja... jawablah. Kalau kau manusia, jawablah aku. Barulah aku tak takut sorang-sorang kat sini.”  Tergagap-gagap Lisa hendak menyoalnya. Gugup semua ada.

Bulu romanya sudah mencacak naik. Meremang. Lisa pelik tubuh itu masih tidak bergerak ke mana-mana. Budak itu melangkah mendekati  susuk itu kerana perasaan ingin tahu lebih mengatasi perasaan takutnya.

Langkahnya semakin hampir dengan susuk  yang seakan manusia di hadapannya. Degupan jantung berdetak semakin laju.

Kini, dia sudah pun berdiri hampir dengan susuk tubuh itu dengan jarak tiga langkah kakinya sahaja. Namun begitu, figura itu tetap tidak dapat dilihat kerana dilindungi kegelapan malam.

Lisa cuba memberanikan diri untuk menegurnya.

“Ma... maaf, tuan puan?  Boleh saya tanya, saya ada dekat mana? Apa nama tempat ni? Dan siapa Encik? Cik? Tuan? Puan?” Nadanya  masih  tergagap  seperti  tadi kerana gementar dan risau jika orang di hadapannya itu adalah orang jahat dan berniat tidak baik dengannya.

Masih sepi. Tiada jawapan darinya membuat Lisa rasa gerun. Dia membuat keputusan untuk berpatah balik dan pergi dari situ. Elok sahaja Lisa berpaling dan melangkah dua tapak, tiba-tiba sesusuk itu menegurnya dengan nada suara yang sungguh gemersik.

“Nanti!”

Ya, dia tak pernah mendengari di mana-mana suara segemersik itu. Kalah penyanyi tersohor. Suara itu seakan suara lelaki. Siapakah dia? Langkah Lisa terhenti dan menoleh kepala dengan perlahan.  Ternganga mulut Lisa apabila mendapati susuk itu sudah tiada di situ.

Zas!

Tiba-tiba Lisa terasa ada kelibat melintas di belakangnya. Terasa dingin tubuhnya. Dingin yang luar biasa sehingga membuatkan tubuh budak perempuan itu seakan mahu membeku. Pantas tubuh itu mula menggigil resah.

Dia melingas pandang ke kiri dan kanan. Malangnya, tiada sesiapa yang berdiri  di situ. Lisa menjadi geram dan sakit hati apabila terasa dirinya seakan dipermain-mainkan oleh susuk  tadi. Apakah  dia manusia? Atau... Lisa mereguk liur.

Lisa mulai berasa ada sesuatu yang aneh. Namun, dia tidak berani menyebutnya. Waima di dalam hati.

“Siapa tu? Muncullah! Bagitau aku apa kau nak? Kenapa kau bawak aku datang ke sini? Jangan takutkan aku. Aku nak balik!”  Lisa berteriak dek bengkak hati dalam ketakutan.

“Lisa...” Kedengaran pula suara seruan seseorang.

Lisa tergamam saat mendengar namanya diseru dan mata terbuntang luas. Debaran menghenyak dada.

“Suara tu... suara yang sama seru nama aku tiap-tiap malam. Suara tu... ya, suara yang sama. Aku pasti.” Lisa yakin suara yang sama menyeru namanya setiap malam.

Dia mula mengundur sedikit. Serentak dengan itu, Lisa terbau haruman mawar  putih  menyengat rongga hidungnya. Sungguh kuat sehingga membuatkan dia hampir sesak nafas.

“Kenapa  kuat sangat bau haruman mawar putih ni? Tadi, tak bau kuat macam ni pun. Walaupun kawasan ni dipenuhi mawar putih. Oh, pening.” Lisa terasa pusing kepala dengan semena-mena.

Dalam keadaan berpinar-pinar, Lisa meneruskan juga perjalanannya untuk mencari jalan pulang. Dia tidak mampu lagi untuk terus menunggu di situ. Jika dia tidak bertindak pergi dari situ segera, entah apa-apa lagi yang akan mengganggu dirinya.

“Lisa...” Suara itu masih memanggil namanya.

Lisa tidak peduli dengan seruan namanya itu lagi. Dia tak boleh menunggu lagi dan terus berlari dari situ.

“Herh!”

Terdengar pula satu suara dengusan kasar dan kuat seakan dekat dengan gegendang cuping telinga Lisa.

Selagi kau terus berlari
Selagi itu kukan menghantui
Kerna engkau telah kumiliki
Mawar putih sebagai saksi
Cinta hakiki telah dipatri...
Kau kan sentiasa di sisi
Abadi denganku sampai mati
Itulah sumpah dan janji
Dari seorang lelaki yang kau benci
Namun dia juga yang kau sayangi
Dia membutakan mata hati
Demi mengejar cinta hakiki
Si gadis meminta hantaran yang tinggi
Demi berjanji setia sehidup semati
Sang serunai malam dia datangi
Merayu memohon sebuah pertolongan
Dan terciptalah sebuah perjanjian
Serunai malam telah dicuri
Demi mencapai apa dihajati
Gara-gara sifatnya keji
Amarah bermaharajalela di hati
Hingga kini tidak dikembalikan
Sang serunai malam masih menantikan
Penantian demi penantian...
Hati ini tidak menahan lagi
Dan dirimulah sebagai ganti

Syair malam bersenandung  indah. Penuh dengan maksud yang tersirat. Malangnya, Lisa hanya seorang kanak-kanak perempuan yang baru berusia 12 tahun. Jadi, apa yang dia tahu tentang syair itu? Dia hanya tahu rasa takut dan seram dengan syair yang didendangkan. Meskipun, ianya cukup merdu untuk didengari.

“Dia buat lagi. Syair lagi. Lagi dan lagi!” Berkaca jernih bola mata milik Lisa menjadi takungan.

Kakinya masih ligat berlari tanpa henti. Entah ke mana hala tujunya, dia sendiri tidak tahu. Apa yang penting dalam fikirannya adalah selamatkan diri.

“Kenapa kau lari? Jangan lari!”

Suara ghaib itu menahan Lisa dengan sergahan suara yang cukup kasar. Tidak segemersik selalu yang didengari. Kedengaran seperti makhluk itu benar-benar marah padanya.

“Pergi! Jangan ganggu aku!” jerit Lisa.

“Herh!”

Sekali lagi suara dengusan kasar mencucuk gegendang telinganya. Sungguh mengerikan  membuatkan Lisa terkejut besar.

“Mama! Papa! Bawa Lisa keluar dari sini. Tolong! Tolong  Lisa! Ada sesiapa tak? Tolong  saya!” Jeritan dan tangisan Lisa langsung tiada guna kerana tiada siapa yang berada di situ melainkan hanya dia dan juga suara ghaib itu.

“Lisa... mari. Ikut aku...”

Lisa yang mendengar suara ghaib yang menyeru namanya lagi itu menekup telinga dengan kedua-dua telapak tangannya.

Dalam berlari, dia tertoleh-toleh ke belakang. Risau jika susuk tak bertuan itu mengejar dirinya. Mujur tiada apa-apa yang mengejar. Dia kembali memandang ke hadapan dan…

“Hargh!”

Suara sergahan yang  teramat kuat hingga menggegarkan tanah itu  benar-benar memeranjatkan Lisa. Tanpa sedar dia terjatuh pengsan. Tidak sempat hendak menjerit meminta tolong. Apa sudah jadi? Oh tidak.



https://www.youtube.com/watch?v=JxqhcMGebrc

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro