6. Alin

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"KAU menyebabkan aku hilang Alin." Hans mengangkat pandangan, mencerlung ke arah Eli. "Tapi, kau boleh pulangkan balik Alin pada aku. Terima kasih, Eli... sebab wujud kat dunia ni," sambung Hans, kembali tersenyum.

Nampak ikhlas tapi cukup untuk mendatangkan gerun di hati. Eli cuak, sedikit pun dia tidak faham apa yang Hans katakan.

Hans bangkit. Kain lap tadi dibilas di sinki di sudut bilik, diperah dan diletak ke tepi. Pintu dikuak dan dia hilang di sebaliknya. Kedengaran bunyi rantai mangga berat berlaga dikunci dari luar.

Eli pantas berdiri dengan berhati-hati, cuba untuk tidak menimbulkan sebarang bunyi. Dia merapat ke arah tingkap. Langsir diselak luas dan dia memandang ke bawah. Lembik rasa kaki apabila melihat bahagian bawahnya penuh jeriji besi berkarat. Diamati kawasan sekeliling. Nampaknya dia berada di dalam bangunan terbiar.

Pinggir kawasan pembinaan itu dipenuhi semak samun dan kawasan berpokok. Di kejauhan sana barulah ternampak bangunan-bangunan di kawasan bandar.

Eli cuba mengawal nafas. Dia perlu bijak. Dia perlu tangkas. Dia mesti cari jalan keluar. Langit biru dipandang. Lama.. sebelum air mata bergenang.

"Wahai Allah yang Maha Melihat apa yang aku sedang hadapi, bantulah aku... bantulah aku. Aku hanya ada Mu...." Di sebalik jeriji tingkap, dia berbisik penuh mengharap. Terasa derita di hati. Air mata yang hampir jatuh, segera diseka.

"Kau kuat, Eli." Dadanya ditepuk beberapa kali, cuba meraih semangat.

Ketika dia ingin berpaling ke belakang, tubuhnya keras. Terkaku. Melihat sesusuk tubuh di hadapannya, yang pucat dan kelihatan sedih.

"Alin..." seru Eli. Keliru, sebak, kehairanan memenuhi ruang fikiran dan hati.

Alin di hadapannya basah kuyup. Berwajah muram tidak bermaya. Baju kurung yang selalu dipakainya turut kelihatan basah dengan air menitik ke atas lantai.

"Eli." Bibir pucat itu bersuara.

Eli memandang ke segenap bilik. Hairan dari mana munculnya kakak kembarnya itu. Dalam kehairanan, tiba-tiba Alin mendekat. Eli teragak-agak. Sungguh, walaupun dia merindukan Alin namun dia masih tertanya-tanya bagaimana Alin boleh berada di situ secara tiba-tiba.

Tangan Alin yg basah, bergerak dan menyentuh tangannya yang masih terkaku. Mereka bertentang mata. Eli menghela nafas lemah apabila melihat air mata mula berjuraian di pipi Alin. Bibir pucat itu bergerak-gerak seakan mahu berkata sesuatu.

Eli mengeratkan pegangan tangan Alin. Segala kerisauan dan persoalan tadi lenyap. Rasa rindu mengganti. Sudah lama dia menanti saat Alin menerimanya.

"Alin... Eli rindukan kakak." Pecah tangisannya, lantas mereka berpelukan erat. Menangis teresak-esak hingga terduduk bersama.

"Kenapa akak basah macam ni? Kenapa muka kakak pucat? Ke mana kakak menghilang? Kakak tak sayang Eli ke? Marahkan Eli dan mama lagi ke? Kenapa kakak selalu halau Eli pergi setiap kali Eli datang cari akak? Eli rindu dan sayang sangat kakak. Kenapa buat Eli macam ni?" Eli menghambur segala kesedihannya selama ini. Pedih, kecewa, terluka, rindu dendamnya.

Alin tidak berkata apa. Hanya esakan kedengaran, berlagu pilu. Eli mengeratkan pelukan sebelum dirasakan tubuhnya menjadi sejuk dan tiba-tiba sahaja dia tubuh Alin hilang dari dakapannya. Eli menahan badan dari rebah ke lantai dengan tangannya. Tangisannya terhenti. Kepalanya bergerak ke kiri dan kanan mencari kelibat Alin. Sungguh, dia yakin dia tidak bermimpi. Dia merasakan kehadiran Alin tadi bahkan merasai pelukan Alin yg begitu erat tadi.

"Kakak! Kakak! Alin!" Eli memanggil sambil bergerak ke seluruh ruangan yg ada namun hampa. Alin tidak kelihatan. Ketika dia menyelak langsir yg menutupi tingkap kaca, dia terpandang pantulan wajahnya di tingkap kaca itu. Posisi yang sama namun dia nampak wajah Alin di situ.

Bayangannya tidak ada langsung mukanya. Eli mengelipkan mata beberapa kali. Mana tahu, dia tersalah melihat. Namun pantulan bayangnya pada cermin itu jelas menampakkan Alin yang sedang merenungnya dgn wajah yang suram dan kesedihan.

Seolah-olah Alin mengambil alih tubuhnya.

Eli terundur beberapa tapak. Dia mula merasa ketakutan menjalar di segenap urat tubuhnya. Kedua tangannya menekup telinga. Kepalanya menggeleng laju.

"ARGH!"

———————

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro