9. Dari Satu Sisi

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

TANGAN yang basah dengan darah pekat itu digenggam erat. Balasan genggamannya cukup lemah. Bajunya juga sudah dicemari warna merah. Kecederaan pada tubuhnya sendiri sudah dilupakan.

"Maafkan aku, Jae. Engkau pulak terlibat dalam masalah aku. Bertahanlah, kawan." Lirih Radhi bersuara.

Wajah Jae semakin pucat. Bibirnya yang mula kebiruan bergerak-gerak. Radhi mendekatkan wajahnya.

"Ss... sejuk..." Antara dengar dan tidak, Jae susah payah bersuara.

Radhi segera membuka kemejanya meninggalkan tshirt putih nipis di di badan. Kemeja itu diletakkan di atas tubuh Jae. Tidak sedar, air matanya turut bersatu dengan peluh yang merenik di wajah. Tidak tegar melihat Jae nampak menahan sakit yang teramat sangat.

Pihak perubatan meminta Radhi ke tepi namun Jae menahan dengan menggenggam lengan Radhi.

"Terima kasih... Radh. Beritahu Hannah... aku minta maaf..."Jae terbatuk halus. Dia cuba bersuara lagi walaupun payah. "Kau dan Eli tolong dia...terima kasih Radh... jadi kawan aku."

Pegangan mereka terlepas saat Jae dibawa pergi oleh pihak perubatan masuk ke dalam ambulan. Radhi menekup mulut dengan lengannya. Cuba menahan sebak. Mengalir juga air matanya saat terpandangkan tubuh Eli pula yang dibawa pergi.


DIA berjalan sendirian menelusiri laluan taman permainan itu. Buaian kosong diduduki. Hujung kaki menginjak tanah dengan perlahan, menggerakkan rantai besi berkeriut berhayun ke hadapan dan ke belakang.

"Eli."

Dia menoleh ke sisi apabila namanya diseru. Wajah Alin lembut dengan senyuman menyapa mata. Alin duduk di buaian kosong sebelahnya. Seketika mereka diam, menikmati angin yang berhembus lembut, membawa memori lara pergi.

"Maafkan Abang Hans ya." Suara Alin mengendur.

Hayunan Eli terhenti. Tidak terkeluar perkataan di bibir. Perbuatan Hans padanya, tak mungkin dia lupa. Dia memandang Alin yang menekur memandang tanah. Tabahnya Alin. Menerima keperitan lebih dari apa yg dia terima. Tapi Alin mampu memaafkan bahkan mampu untuk meminta maaf bagi pihak Hans.

"Dia baik. Cuma dia tersilap memilih dadah sebagai penyelesaian masalahnya. Jujurnya, dia memang baik dan akak sayangkan dia. Cuma, keadaan mengubah apa yg sedia ada. Maafkan dia ya, Eli?" Alin memandangnya.

Eli cuba mengukir senyum biar terasa pedih.

"Akak minta maaf atas segala yang berlaku. Atas dendam akak yang dahulu. Akak sayangkan Eli, mama dan ayah..." Alin mula sebak.

"Tiada siapa yg bersalah." Eli memintas kata. Tidak mahu Alin terus menerus menyalahkan diri. "Eli akan terus menyayangi akak."

Alin tersenyum hambar dalam kesedihan. "Kita lahir bersama, hidup berbeza. Tapi, akak takkan lupakan Eli."

Eli bangkit, menghampiri Alin dan memeluk kakaknya itu. Tangisannya pecah, sedu sedan menahan sebak.

"Eli."

Sentuhan di pipi membuatkan dia membuka mata yang terasa berat. Tangan hangat itu digenggam erat. Seketika dia terdiam. Memandang wajah di hadapannya. Bukan lagi Alin tapi Radhi. Dia meluaskan pandangan, serba putih suasananya.

"Mana Alin?" Wajah Radhi dipandang penuh soalan.

"Mimpi Alin ke?" Radhi membalas.

Eli menahan hiba. Akal warasnya cuba menimbang seluruh peristiwa yang berlaku. Seakan masih terasa genggaman Alin menariknya dari Hans yang terjatuh ke belakang akibat terlanggar timbunan batu bata. Dia tahu, Alin sebenarnya sudah tiada. Siapa Alin yang dia dan Hans nampak pada malam itu... tiada jawapannya.

Eli membiarkan Radhi menggenggam kuat tangan sebelum ditarik ke dalam pelukan. Nafas ditarik sedalamnya sebelum dihembus perlahan. Pecah tangisan di bahu Radhi. Terngiang-ngiang 'pertemuan'nya dgn Alin tadi. Seakan benar.

Dalam kepiluan, dia bersyukur kerana Radhi hadir tempat menumpang sandaran hati.

Radhi mengemaskan pelukannya, turut sebak. Sebenarnya ada satu lagi berita yang hendak disampaikan namun hatinya tidak tertahan. Masih belum mampu menerima dan pasti akan menambah kesedihan di hati Eli.

'Jae.. aku masih perlukan kau.' Hatinya berbisik menangisi pemergian Jae pada malam itu. Jae meninggal dunia tidak lama selepas tiba di hospital kerana kehilangan terlalu banyak darah. Sungguh, dia sendiri masih terkejut dan belum percaya.

Waktu berdetik, mereka berkongsi kesedihan, kehilangan orang yang mereka sayangi.



KEHADIRAN tetamu diterima dengan senyuman walaupun ianya cukup hambar. Ada juga beberapa orang wartawan yang hadir namun aku masih belum bersedia untuk hadapi mereka. Wajah mama dan umi yang berpelukan, membuatkan rasa sebak bertalu-talu menyerang ketenangan. Mama-lah yang paling kehilangan. Anak perempuannya hilang tanpa khabar berita sedang sudah lama tak berjumpa tapi begini pula pertemuan mereka. Saat segalanya terlambat utk ditebus semula.

Tangga aku daki, pintu bilik utama yang tidak bertutup rapat, aku tolak perlahan. Suara tangisan sayu memenuhi ruang bilik. Suara halus milik Hannah. Eli yang turut basah pipinya sedang mengusap perlahan belakang wanita itu. Aku sendiri sebak, apalagi Hannah.

Semalam, baru aku tahu, Jae sebenarnya mengidap kanser hati. Kritikal. Setelah sekian lama menanti cahaya mata, dia dikhabarkan mungkin tidak dapat bertahan sehingga anaknya lahir nanti.

Sungguh aku tak tahu. Sedikit pun aku tak perasan wajahnya yang memucat, tubuhnya yang semakin kurus. Dengan batuknya yg kedengaran keras. Teruknya aku, sibuk dengan masalah sendiri. Jae pula tanpa mengharap apa-apa, selalu ada di sisi aku, membantu dan menjadi pendengar yang setia.

Malam peristiwa itu berlaku adalah hari Jae
menerima berita itu. Dia cuba melupakan lara di jiwa. Aku mengerti, tentu dia merasa pilu apabila memandang isteri dan bakal anaknya yg kian membesar. Mungkin dia mahu melarikan diri dari rasa kecewa untuk sementara. Mengalihkan perhatiannya dengan membantu aku.

Aku tahu, Eli merasa bersalah di atas kematian Jae. Berkali-kali aku mendengar Eli menuturkan kemaafan.

Aku juga. Rasa bersalah bagaikan hantu yang bertenggek di bahu. Akulah yang mengheret Jae ke dalam masalah ini. Mana tahu, jika sebenarnya Jae mampu hidup sehingga dapat melihat sendiri anaknya.

Menyedari kehadiran aku di situ, Hannah menahan hiba dan mengelap air matanya. Dia menggenggam tangan Eli dan memandang aku yang masih berdiri.

"Korang tak bersalah. Bukan kita yang tentukan hidup mati seseorang, kan?" Hannah bersuara.

Eli menekur memandang lantai. Aku? Hanya mampu mengetap bibir.

"Sekurang-kurangnya Jae tak 'kalah' dgn penyakit dia, kan?" ujarnya lagi.

Aku tahu Hannah cuba utk menghilangkan rasa bersalah kami namun dia juga sedang memujuk hatinya. Kami diam, sediam-diamnya. Hanya penghawa dingin mendinginkan suasana, seredup cuaca hari ini.

AKHIR

Suara Aizat ketawa menggamatkan suasana. Bayi itu memang ceria. Wajahnya mirip Hannah namun dia mewarisi anak mata dan kening Jae yang tebal. Eli memandang Radhi yang bersungguh mengagah si kecil itu.

Dalam dukungannya sendiri, Aira lena tidak berkutik. Nampak selesa dan bahagia dibedung dengan kain lembut. Kembar Aizat itu berlainan dengan abangnya yang lebih aktif. Dia lebih banyak tidur dan kurang meragam. Memandang Aira yang merah bibirnya, menggamit ingatan pada Alin.

Selepas peristiwa tragis malam itu berakhir dengan kematian, dia berhenti mengalami perkara-perkara aneh dan menakutkan. Dia tidak lagi keliru dengan identitinya sendiri. Proses pemulihan dari koma dahulu nampak semakin baik.

Kata Mak Jah dan Pak Jaiz, mak dan ayah angkat Alin, mereka mengambil berat tentang Alin selepas Alin selalu datang mengadu permasalahan rumahtangganya. Dan ketika Eli sedang koma, Alin juga terlantar tidak sedarkan diri di hospital yang lain akibat kecederaan ketika jatuh ke dalam air selepas menyelamatkan Eli.

Alin, dia juga koma. Dan Hans melarikan Alin dalam keadaan Alin tidak berdaya hingga membawa kepada kematiannya. Mungkin Alin cuba mencari Eli di sebelah 'sana'. Cuba menembusi hijab hingga Eli terdedah pada satu 'dunia' yang begitu asing baginya. Cuba memberi amaran tentang Hans. Cuba meminta bantuan.

Dan mungkin juga Alin yang Radhi jumpa ketika menjaga Eli koma dahulu, hanyalah bayangan kehadiran Alin sahaja. Mak Jah memberitahu, Alin bersungguh melindungi dia dari Hans. Mereka sebagai orang yg sudah tua dan tidak lagi mempunyai sumber kekuatan lain, tidak mampu membantu. Kata Mak Jah juga, ada ketika dalam komanya, Alin menyeru nama Eli.

Mungkin kerana itu identitinya terkeliru dengan identiti Alin. Berderau darah Radhi apabila mengetahui umur Hans 34 tahun dan lahir pada bulan Ogos. Tarikh Eli menyambut hari lahirnya sebelum ini.

"Eli."

Panggilan Hannah mematikan lamunan Eli. Dia melemparkan senyum, malu apabila ramai orang memandangnya. Pasti Hannah sudah memanggilnya beberapa kali. Dia mendekat apabila Hannah menggamitnya.

"Terima kasih banyak bantu saya," ucap Hannah sambil memegang tangan Eli, kemudian dia memandang Radhi pula.

"Lepas ni selalulah datang. Bila-bila masa korang nak ambil Aira dan Aizat, ambillah bawa diorang jalan-jalan," sambungnya.

Eli dan Radhi memandang tanpa berkelip ke arah Hannah. Ahli keluarga Hannah dan arwah Jae yang menghadiri majlis cukur jambul itu turut memandang mereka berdua dgn senyuman. Masing-masing sudah maklum sebelum majlis bermula lagi Hannah memberitahu ingin menjadikan Eli dan Radhi sebagai ibu bapa angkat kepada Aizat dan Aira.

Eli membalas genggaman Hannah dgn wajah terharu. Ada air yg bergenang di pelupuk mata. Radhi mengeratkan pelukannya pada Aizat yg mula mengantuk, menggosok-gosok kelopak matanya yang kecil. Ada bahagia, sebak, terharu bermukim di dada.

'Kau jangan risau, Jae. Aku akan jaga anak-anak kau semampu aku. Terima kasih, kawan.' Hati Radhi berbisik sebak.

Eli merapat pada Radhi. Lelaki itu memaut bahunya, saling bersandar dengan rasa yang mekar di hati. Jauh di sudut hati Radhi, akan dia tebus segala kesalahannya yang lalu. Tiada jaminan mereka akan hidup selamanya. Selagi ada peluang bersama, dia akan belajar untuk menghargai.

Air mata dalam senyuman. Eli memandang ke luar sana. Seakan ternampak Alin melemparkan senyum padanya. Eli mengucap syukur di hati.

Apa agaknya khabar Alin di sana?

TAMAT

Kehidupan ini satu perkongsian. Kamu dan kita terkait bersama.
Kematian bukan pengakhiran tapi satu permulaan.
Kehilangan bukan terhapus tapi cebisan kenangan.
Kesedihan bukan kepedihan tapi sebuah cerita.
Rasa yang semua ada dalam satu sisi, di dalam hati kita.

Hargailah semua yg wujud bersama kita.
Nur Alina dan Jawwad Azhar.

Al Fatihah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro