25. GEDEBE

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


"Barangsiapa yang ditangkap bergelak ketawa dan hatinya terlalu suka maka dia akan ditangkap dan diletakkan dirumah pasung. Hendaklah sekelian hamba rakyat negeri Teringin Rendang bahawa baginda Raja Murung Mahalangsa mengharamkan segala bentuk perkara yang mengundang gelak ketawa."

Begitulah pengumuman yang dibuat oleh sida raja yang membacakan titah ditengah pasar.

Daeng Kelakafani meneruskan perjalanan. Dia dapat melihat betapa rakyat dan seluruh isi negeri muram durja tidak ceria. Semuanya murung. Seluruh pekan, pasar dan kota juga suram dengan warna kelabu, beda dengan pasar negeri jiran lain yang Daeng jelajahi dimana disana sini ada warna warni dan tawa hilai girang riang.

Kasihan negeri ini, kerana rakyatnya berduka tetapi. Daeng Kelakafani adapun bertanyalah orang tempatan apakah sebab dinyatakan bahawasanya haram untuk bergelak ketawa.

"Kerana baginda raja dikatakan langsung tidak boleh ketawa sejak kecil akibat penyakit aneh. Kerana itu dititahkan seluruh rakyat dan isi negeri juga berbuat sama." Kata seorang lelaki.

Dan Daeng Kelakafani pun befikir. Kenapa sang raja tidak pula anjurkan keraian dan pesta gelak tawa, mana tahu dalam ramai-ramai tukang karut dan pak lawak yang ada seisi negeri bisa menghiburkan hati baginda. Lalu didalam ramai-ramai orang Daeng pun bertanya kepada sida raja yang baru selesai menyampaikan titah.

"Apakah wahai sida tiada langsung cara untuk membuat paduka raja itu gembira?"

Sida itu hanya menggelengkan kepala dan berlalu pergi.

Petang itu Daeng dan rombongan wayang kulitnya bersiap-siap dengan layar dan semua kelengkapan di perkarangan tengah pasar. Orang-orang Daeng pun memperkhabarkan kepada semua orang akan persembahan wayang kulit pada malam nanti dan menjemput hadir. Maka berita mengenainya sampailah ke balairong seri istana dan dapatlah ke pengetahuan Raja Murung Mahalangsa.

Baginda mulanya mahu murka, tetapi difikirkan kembali tidak pernah lagi baginda melihat wayang kulit dan tidak ada lagi persembahan sebegitu didalam negerinya.

Lalu baginda pun berkenan mencemar duli.

Malamnya, Daeng sebagai tok dalang, dibantu awak-awaknya memulakan persembahan, tidak menyangka yang baginda raja turut serta.

"Make sebermulo kesoh adopun empat pengasuh Wok Yoh, Said, Samad dan Eteng berjumpe dengan Sanggoro Api untuk bergocoh mahu berebut tuan puteri ." Daeng memulakan permainan wayangnya.

Baginda raja Murung Mahalangsa duduk diam dibalik ramai orang dan tiadalah siapa sedar.

Semua pun tekun mendengar setiap bait tukang karut bilamana empat pengasuh Maharaja Ratu Seri Gemita Alam berdepan dengan Ratu Senggoro Api yang diajak bertempur agar tak mengganggu negeri. Bait-bait dialog yang diutarakan Daeng menggelikan hati tetapi tiada siapa berani untuk gelak apakan pula senyum.

Telatah empat pengasuh mengacah Ratu Senggoro Api mulai menambat hati si Raja Murung Mahalangsa yang tanpa dia sedar telah terukir senyuman.

Bila Said ditampar sehingga pengsan dan berdengung telinga oleh Senggoro Api, kemudian dibalas oleh Wok Yoh yang boleh tahan samsengnya, ia menggelikan hati si raja.

Lalu masuk babak Samad mengacah Senggoro Api dan tertawalah si raja.

Semua yang hadir kehairanan, termasuk juga Daeng si tukang karut yang tetap meneruskan persembahan. Bila segala hamba rakyat melihat raja mereka yang tertawa berdekah-dekah maka gembira giranglah hati mereka yang mana sakit gering si raja sembuh sudah dan bergelak tawalah seluruh negeri pada malam itu bersukaria.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro