8. NAGA

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


Bilamana portal dimensi menghubungkan Bumi dan Dika terbuka di Laut China Selatan secara tidak sengaja oleh cendekiawan sejarah dan persuratan Melayu yang bernama Professor Natasha, ia meleburkan rantai pasungan Seri Gumum dan Seri Kambhuja, dua makhluk petaka jahat lagi durjana - naga dua beradik yang dikurung didunia Dika oleh Sang Malim Deman untuk menghentikan kerosakan yang dibuat oleh makhluk tersebut dimuka Bumi.

Terlepasnya Seri Gumum dan Seri Kambhuja menandakan malapetaka bakal menimpa semenanjung emas.

Armada tentera laut tewas dilanggar makhluk petaka tersebut apabila cuba menghalang keduanya dari mara menuju ke tanah besar. Segala senjata tidak sedikitpun melukakan Seri Gumum,yang sisiknya bertatah lapis lazuli dan siripnya tebal bersadur emas suasa. Apatah lagi Seri Khambuja yang nafasnya berapi dan pergerakannya lincah bak halilintar.

Lalu keduanya mengamuk seluruh negeri, membantai dan membakar hangus hampir semua bandar dan pekan. Tiada apa yang tinggal melainkan puing dan kematian.Apa sahaja yang bergerak, dihambat Seri Gumum dan dibelitnya sampai hancur lebur tidak bersisa manakala apa yang bernyawa dan bernafas diratah Seri Khambuja seperti kerasukan darah.

Sepurnama makhluk petaka itu melanggar negeri pantai timur lalu ia pun mahu mencari negeri baru untuk dihancurkan. Berjalanlah kedua naga itu kehulu Sungai Pahang menuju Titiwangsa. Dipertengahan jalan kedua naga itu ditahan oleh seorang lelaki tua.

"Kamu naga dua beradik, cukuplah perjalanan kamu sampai disini. Titiwangsa ini milik aku dan kamu aku tak benarkan melintasinya. Aku penjaga disini, menjunjung perintah daulat raja tanah ini." Tok Puteh melaung kepada dua makhluk itu.

"Berambus kau. Kau beruntung aku tidak ingin membunuh si tua yang menunggu masa bertemu ajal. Ketepi." Seri Khambuja membalas.

Tok Puteh sudah lama memerhati secara diam perilaku kedua makhluk petaka itu sejak ia muncul di Laut China Selatan. Kemusnahan dan kedurjanaan yang dibawa Seri Gumum dan Seri Khambuja menggentarkan manusia biasa dan mereka ketakutan untuk melawan makhluk durjana itu. Senjata konvensional manusia tidak lut dek kesaktian naga purba yang wujud sejak sebelum sumpah Sang Sapurba dituturkan di Bukit Siguntang. Tok Puteh sudah puas melihat dan merasa kejahatan dan kemusnahan kemana saja naga dua beradik itu pergi.

"Aku bukan sebarangan si tua, kerana aku lebih lama lagi wujud dari kamu dua beradik. Pulanglah ke Dika tempat asalmu." Tok Puteh menyeru lagi.

Seri Gumum yang berang meluru kearah Tok Puteh, cuba menghambur bisa tetapi gagal dek kelincahan Tok Puteh. Seri Khambuja turut serta mengejar dan menghela nafas api, membakar tanah negeri Pahang sampai hangus tidak berbekas. Tok Puteh pantas meluncur kesana kemari, menyerang balas dengan menikam naga dua beradik itu dengan keris Petalawangsa. Ditikam sisik Seri Gumum yang bertatah lapis lazuli sampai hancur satu demi satu lalu terhambur darah membasahi tanah. Seri Khambuja yang pantas itu pula mengejar Tok Puteh dan saling bertukar jurus api dan petir sampailah tidak sedar oleh naga itu dirinya terbelit sendiri.

Tok Puteh si purba tadi berubahlah menjadi buaya putih bernama Seri Pahang, lalu membaham kedua Seri Gumum dan Seri Khambuja menjadi makanannya. Maka matilah naga dua beradik itu dan tanah air kembali aman sentosa hasil tangan Tok Puteh, Buaya Puteh Seri Pahang yang perkasa.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro