BAB 33

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Haidar dan Rayyan berpisah haluan. Haidar dan dua lagi pegawai polis akan memasuki tingkat bawah manakala Rayyan bersama tiga lagi pegawai polis meneruskan langkah ke tingkat satu bangunan sekolah yang telah ditinggalkan itu. Semasa mereka memasuki perkarangan sekolah, dua orang pengawal keselamatan telah diikat dan mulut mereka disumbat dengan kain. Kata pengawal keselamatan itu, semasa mereka sedang berbual sesama sendiri, terdapat beberapa orang lelaki yang tiba-tiba datang dan membuat kecoh. Belum sempat mereka berbuat apa-apa, lelaki-lelaki tadi memukul dan mengikat mereka di situ.

Haidar memerhatikan seorang pengawal yang sedang berjaga di pintu masuk hadapan sambil memegang sepucuk pistol. Lelaki itu sedang leka berjalan ke kiri dan kanan memberikannya petunjuk bahawa penjahat di dalam bangunan sekolah terbiar itu masih belum menyedari akan kehadiran mereka.

Haidar berjalan perlahan-lahan menghampiri lelaki itu tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Tatkala lelaki itu menyedari kehadirannya, kanan tangannya cekap singgah di batang leher lelaki itu dan pengsan di situ. Taktik untuk menumpaskan pihak musuh yang dia belajar semasa latihan dahulu digunakan dengan sebaik mungkin.

Dua orang pegawai polis tadi sudah tidak kelihatan. Nampaknya selepas ini dia perlu lebih berhati-hati kerana bersendirian. Langkah diteruskan lagi ke tempat lain. Keadaan di situ berselerakan dengan kerusi dan meja yang tidak disusun dengan kemas dan teratur. Ada juga tumbuhan meliar yang tumbuh di sekitar bangunan.

"Berhenti atau aku tembak!" sergah satu suara garau dari belakang. Belakang kepalanya dapat merasai kehadiran satu objek keras. Pistol diacukan ke belakang kepala Haidar.

"Campak pistol kau dan angkat tangan ke atas. Kalau tak, aku tembak!" Arahan kasar dari penjahat itu Haidar patuhi. Kepalanya ditunjal dengan objek keras itu. Pistol yang dibawanya sebagai senjata terpaksa dilempar ke bawah. Penjahat itu meraba di sekitar badan Haidar untuk melihat jika ada senjata lain yang boleh membahayakannya.

PAP

Alisa mengetuk kepala lelaki itu dengan sebatang kayu yang di jumpai sebelum masuk ke sini. Hanya dengan sekali pukulan, badan lelaki itu jatuh menyembah bumi.

Terbutang mata Haidar melihat penjahat itu jatuh melorot ke kakinya. Darah mengalir keluar dari kepala lelaki tadi. Dengan pantas, dia berpusing ke belakang. Apa yang lebih memeranjatkannya ialah kelibat Alisa yang sedang tersengih seperti kerang busuk.

"Kau buat kat sini?" Keras suara Haidar memarahi Alisa. Mahu tercabut jantungnya melihat tindakan berani mati Alisa. Buat membazir air liur saja bila dia bersungguh berpesan kepada gadis itu agar tidak masuk ke dalam kawasan bahaya ini.

Alisa menarik muncung. Terasa hati dengan respon yang diberikan oleh Haidar. "Orang dah tolong dia bukannya nak ucap terima kasih. Sepatutnya aku biar je dia kena tembak tadi," gumamnya perlahan. Tidak betah dia hendak berlama di situ. Belum sempat dia kembali semula ke tempat menunggu tadi, Haidar segera memaut lengannya.

Tergamam dia di situ. Matanya tertancap memandang tangan Haidar di lengannya. Lama juga mereka berkeadaan seperti itu.

"Maafkan aku," pinta Haidar setelah menyedari akan ketelanjurannya memegang gadis itu meskipun berlapik.

"Aku nak kau ikut aku. Aku tak yakin yang kau akan selamat kalau kau keluar seorang diri," ujar Haidar memberikan arahan.

"Ok...okey," tergagap-gagap Alisa menjawab. Apasal dada ni tiba-tiba buat hal? Tangannya mula bergerak mengipas muka yang terasa berbahang.

"Kau ikut aku. Kita naik atas. Ingat pesan aku tadi," tutur Haidar tegas. Dia tidak mahu mana-mana nyawa yang tidak bersalah melayang.

Alisa mengangguk berkali-kali. Apabila Haidar mula bergerak naik ke tingkat atas, dia mengekori lelaki itu rapat.

Bang

Bunyi tembakan dari tingkat atas memeranjatkan mereka berdua. Masing-masing saling berpandangan. Haidar memandang wajah Alisa yang mula bertukar pucat. Dia yakin ini kali pertama gadis itu berdepan dengan situasi seperti ini.

"Kau okey tak?" tanya Haidar risau.

Alisa teragak-agak untuk mengangguk. Ini kali pertama dia berasa dalam situasi seperti ini. Kalau tadi dadanya berdebar kerana kelakuan Haidar tapi kali ini lebih kepada rasa takut.

"Percayakan aku. Aku akan pastikan kau dengan kawan kau selamat," balas Haidar kepada Alisa. Walau apapun yang terjadi, dia akan pastikan gadis itu keluar tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Alisa hanya mengikut arahan Haidar tanpa sebarang bantahan. Rasa gembira yang bertandang di hati kerana sikap mengambil berat lelaki itu dia terpaksa ketepikan. Bahaya ada di mana-mana. Tidak mustahil juga ada peluru sesat. Mereka berdua mempercepatkan langkah.



Aisyah membuka matanya perlahan-lahan. Kenapa dia tidak langsung merasai kesakitan selepas ditembak? Matanya terbuka luar saat terpandang Sayfiq yang sedang terbaring di depannya dan berlumuran dengan darah. Darah? Tapi, bukankah tadi lelaki itu juga turut diikat kaki dan tangan sama sepertinya?

"Syafiq, ban...bangun. Kenapa kau selalu lindungi aku?," soal Aisyah pada Syafiq yang sedang berkerut menahan sakit akibat terkena tembakan di bahu kanan. Air mata semakin lebat menuruni lekuk pipi.

"Janji... den... gan...aku... kau... akan bahagia,"

"Jangan tinggalkan aku Syafiq!" raung Aisyah sambil menggelengkan kepala. Dia tidak sanggup kehilangan seorang lagi sahabat sama sepertimana dia kehilangan Dian.

"Jangan bergerak. Anda telah dikepung," arah seorang anggota polis. Konco-konco Wani ada yang cuba melarikan diri tetapi sempat diberkas oleh pihak polis. Dalam keadaan yang panik itu, mata Wani terpandang Aisyah yang sedang memanggil Syafiq. Kalau tadi tembakannya tersasar, kali ini Aisyah perlu mati. Itu janjinya.

Rayyan ternampak Wani yang sedang mengacukan pistol ke arah Aisyah. Aisyah sama sekali tidak sedar bahawa dirinya dalam bahaya.

"Aisyah!"

Rayyan berlari ke arah Wani dan kakinya lantas menyepak tangan Wani yang sedang mengacukan pistol ke arah Aisyah. Pistol terpelanting jauh dari situ.

"Arghhh." Wani mengerang sakit. Berkerut mukanya menahan sakit. Dia memandang Rayyan yang sedang membelakangi Aisyah untuk melindungi gadis itu.

"Kau pun sukakan perempuan tu kan? Apa yang kau pandang sangat pada dia? Macam-macam aku dah buat untuk tambat hati kau tapi kau masih sukakan dia?" hambur Wani tidak berpuas hati.

"Sebab dia tak berdendam macam kau. Insaflah Wani. Sampai bila kau nak biarkan diri kau terus tenggelam dalam lautan dendam? Kau berhak bahagia," nasihat Rayyan. Sedih apabila melihat bekas rakan sekerjanya seperti itu.

"Kau tak faham apa yang aku rasa. Lagipun, kau rasa dia akan balas cinta kau? Dalam mimpilah Rayyan. Dia langsung tak hiraukan kau tapi boleh menangis untuk lelaki tu. Kau mesti rasa tercabar kan," ejek Wani. Kalau dia tak dapat musnahkan Aisyah, dia akan tetap memastikan orang-orang sekeliling yang ingin melindungi gadis itu musnah. Aisyah tak berhak untuk bahagia.

"Aku tak kisah pasal tu. Kalau aku dengan dia tak berjodoh sekalipun, itu bukan urusan kau," cantas Rayyan. Dia tahu rentak permainan Wani. Mata wanita itu hanya dipenuhi dengan dendam.

Anggota polis kemudiannya menahan Wani atas tuduhan menculik dan cubaan membunuh. Kedua-dua belah tangganya ditarik ke belakang dan digari.

"Ingat atuk kau Wani. Kau masih boleh mengecapi bahagia bersama dia," pesan Rayyan buat kali terakhir.

Sebenarnya, Tengku Omar, atuk Wani yang telah mendedahkan tempat persembunyian kes penculikan Aisyah. Dan sekarang ini, dia juga telah menyerahkan diri kepada pihak polis. Kemungkinan besar hukuman yang dikenakan ke atasnya akan dikurangkan. Wani hanya mendengar pesanan itu seperti angin lalu. Dia hanya tersenyum sinis memandang Rayyan sementara pegawai polis tadi memakaikan gari di tangannya.

"Aku takkan pernah bahagia," getus hatinya.

3 bulan kemudian,

Rayyan memandang Aisyah yang sedang melayan Syafiq di bawah khemah tidak jauh dari tempat dia berdiri. Bahu kanan lelaki itu nampaknya sudah sembuh sepenuhnya akibat terkena tembakan yang dilepaskan oleh Wani ketika kejadian penculikan Aisyah tempoh hari.

"Eh bro. Bila sampai?" sapa Haidar sambil menepuk bahu kanan Rayyan. Matanya tertangkap tingkah Rayyan yang sedang leka memerhatikan Syafiq dan Aisyah dari tempat dia berdiri.

"Kau tak move on lagi ke?" tanya Haidar prihatin. Wajah mendung Rayyan dipandang lama. 

#satu perkataan utk penulis 👉👈

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro