BAB 1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


"SUSAH betul nak yakinkan Tan Sri Nazin untuk buka peluang dekat kita. Gagal lagi kita nak supply bahan binaan tu pada Zin Corporate, tuan." Farouk, si pembantu peribadi mengeluh.

Berkerut dahi Leo mendengar kata-kata Farouk. Sudah masuk lima kali mereka hantar kertas kerja dan memohon untuk kerjasama antara syarikatnya dan empayar milik Tak Sri Nazin. Memanglah jika dibandingkan dengan empayar Tan Sri Nazin, perniagaan Leo langsung tidak setanding. Tetapi tidak sepatutnya Tan Sri Nazin memandang rendah terhadap keupayaan syarikat kecil miliknya.

"You kata adik you orang kuat Tan Sri Nazin? Kenapa dia tak tolong pujuk Tan Sri Nazin untuk berurusan dengan kita?" Leo mengetuk meja dengan kelima-lima jarinya. Sebelah lagi tangan tergenggam erat seperti sedang menahan sabar. Rasa tidak puas hati menyesak di kepala.

Dia ada mendengar cerita-cerita daripada rakan perniagaan terdekat tentang pemilik Zin Corporate yang agak cerewet. Kerana itu dia menawarkan urus niaga yang paling terbaik kepada Tan Sri Nazin. Tapi cadangannya ditolak mentah-mentah!

"Katanya, Tan Sri Nazin langsung tidak berminat dengan urus niaga kita. Lagipun mereka sudah ada connection tetap dengan syarikat lain."

"You dah offer duit pada dia?" soal Leo dengan nada yang rendah.

Farouk terdiam sebentar. Dia mengangguk. "Farish kata, Tan Sri Nazin terus turn off sebab kita nak rasuah dia."

Tegak kepala Leo mendengar kata-kata Farouk. "Rasuah? Itu hadiah, bukan rasuah." Rahang Leo bergerak-gerak menahan marah.

"Kira sogokan juga, Tuan Leo. Kami orang Islam memang sensitif bab-bab begini. Apabila seseorang tu ambil hadiah, tetapi dalam masa yang sama kena bersetuju dengan syarat yang diberikan oleh pemberi hadiah, itu dikira sebagai wang sogokan. Rasuah."

Mencerlung Leo memandang Farouk. "Datuk Haikal pun Islam, dia terima aje hadiah yang I bagi?"

Farouk menggaru kepala yang tidak gatal. Entah bagaimana mahu membuat lelaki yang berada di depannya ini faham.

"Begini, tuan. Tak Sri Nazin dan Datuk Haikal tak sama. Datuk Haikal tu gengster sikit. Tan Sri Nazin pula mempunyai pegangan prinsip yang kukuh. Jadi Tan Sri Nazin tak terpengaruh ke arah jalan yang salah dalam perniagaan dia."

"Jadi cara I salah, maksud you?" Semakin tinggi nada suara Leo.

Farouk tersentak. Gerun kerana dia pernah menyaksikan Leo mengamuk. Cara Leo mengamuk bukan cara yang biasa-biasa. Lelaki itu ada cara yang tersendiri untuk melepaskan kemarahannya. Dulu, hampir-hampir sahaja Farouk mahu berhenti kerja apabila mendapat tahu Leo menggoda isteri Datuk Haikal setelah orang tua itu menolak untuk bekerjasama dengan RG Trading. Leo marah kerana Datuk Haikal sudah menerima wang sogokan, tetapi selamba saja 'cancel' mereka sebagai pembekal.

Akhirnya, isteri Datuk Haikal cair dengan godaan Leo. Serasa Farouk, baru seminggu Leo menjalinkan hubungan cinta dengan Datin Fina, Datuk Haikal sudah mendapat tahu tentang perkara itu. Dan Datuk Haikal terpaksa meneruskan kerjasama dengan RG Trading gara-gara tidak mahu orang ramai tahu tentang kecurangan isteri sendiri. Walaupun Leo tidak pernah membawa isteri Datuk Haikal ke bilik tidur, tetapi Farouk pernah ternampak Leo meraba-raba perempuan separuh abad itu. Naik mual Farouk mengenangkan kejadian lama.

Dia sendiri tidak tahu kenapa dia kekal bertahan bekerja di bawah bos psiko seperti Leo. Memang dia tertarik dengan gaji yang agak lumayan yang ditawarkan oleh Leo. Cuma jika sampai ke tahap boleh membahayakan dirinya, berbaloikah untuk berkhidmat dengan Leo? Mujur sahaja Datuk Haikal tidak mengambil apa-apa tindakan setelah mendapat tahu helah Leo. Bukan Farouk tidak tahu yang Datuk Haikal itu gemar memeras ugut orang lain dengan cara yang keji.

"Bawa bertenang, Tuan Leo. Kalau Tuan Leo betul-betul nak dapatkan tender Zin Corporate Sdn. Bhd tu, ada caranya..." Kata-kata itu terhenti di situ. Tidak sampai sesaat, Farouk menyesal mengungkapkan kata-kata itu.

"Apa dia?" Mata Leo semakin tajam menatap wajah Farouk.

Jika idea Farouk itu akan memberikan dia benefit, Leo tidak akan menolak. Tapi kalau setakat idea main-main, dia juga tidak teragak-agak untuk menempelak pembantu peribadinya itu. Jangan menambah minyak ke dalam api yang sedang marak!

Farouk terkebil-kebil. Wajahnya sedikit pucat. Terngiang-ngiang cerita Farish sebelum ini. Tapi adakah perkara itu akan membuatkan Leo tertarik untuk melakukan sesuatu demi perniagaannya?

"Tan Sri Nazin ada cucu perempuan. Dia yang jaga cucu perempuannya itu sejak kecil lagi. Tan Sri Nazin memang sayang cucu perempuan dia. Farish kata, Tan Sri Nazin sedang cari calon suami untuk cucu dia tu."

"You nak I kahwin dengan cucu dia?" Kening Leo terangkat. Biarpun dia licik dalam mempergunakan orang lain, tetapi belum terlintas dalam kepalanya untuk berkahwin. Sedangkan dengan teman wanitanya saja dia belum terbuka hati untuk membuka topik perkahwinan, inikan pula dengan wanita yang dia tidak kenali dan berbeza agama.

Farouk tersengih lebar. "Itulah... tak logik langsung, kan. Lagipun cucu perempuan Tan Sri Nazin tu buta." Farouk menambah lagi.

Leo kerutkan kening.

Buta? Hati Leo berdesis.

"Kenapa dia buta?" soal Leo ingin tahu.

Farouk menggaru kepala yang tidak gatal.

"Kalau tak silap, dia terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan parents dia. Yang lain meninggal serta-merta, tapi cucu Tan Sri Nazin survive. Cuma sampai sekarang dia tak dapat melihat kerana kecederaan pada matanya."

"Tan Sri Nazin banyak duit, kenapa tak fix aje mata cucu dia tu?"

"Tak tahulah, Tuan Leo. Mungkin susah nak cari penderma...."

Farouk pun tidak bertanya lebih lanjut kepada Farish tentang keadaan cucu perempuan Tan Sri Nazin. Tiada apa-apa kepentingan untuk dia mengetahui lebih lanjut tentang cucu Tan Sri Nazin itu.

"I nak tahu tentang cucu perempuan Tan Sri Nazin tu."

Farouk terkedu. Apabila dia melihat renungan tekad di mata Leo, dia tahu Leo benar-benar memaknakan kata-katanya. Reaksi jejaka berketurunan Iban-Cina itu membuatkan Farouk meremang bulu roma. Takkanlah.... Setahunya, Leo sudah punya kekasih hati. Kekasih Leo bukan main cantik lagi. Mandy namanya. Datang dari keluarga kaya raya. Mungkin lebih kaya daripada Tan Sri Nazin kerana setahu Farouk, keluarga Mandy punya perniagaan di Hong Kong dan Macau.

"Errr, nak tahu tentang apa?" Farouk tiba-tiba jadi bodoh sesaat. Dia tidak tahu skop tugas yang perlu dia lakukan untuk memenuhi kehendak Leo.

"I want to talk to her." Tajam mata sepet itu membuang pandangan ke arah kaca lutsinar yang mempamerkan keindahan pemandangan kota raya.

Mata Farouk terkelip-kelip. Talk? Talk untuk apa? Takkan sebab tak dapat memanipulasikan Tan Sri Nazin, Leo nak guna cara pujuk cucu tan sri untuk kepentingan perniagaannya? Tapi macam mana pula nak pujuk cucu tan sri? Budak tu buta. Dah jelas, pasti cucu tan sri hanya terperuk di dalam rumah.

Minda Farouk bekerja keras menjawab teka-teki sendiri. Meneka tindakan yang bakal dilakukan oleh bosnya buat kesekian kali. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro