BAB 6

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


HAWA ternanti-nanti Farish, pembantu peribadinya. Farish berkhidmat untuk arwah Tok Zin. Selepas arwah Tok Zin meninggal, tiada perkara yang berubah. Farish membantu Hawa menguruskan perniagaan. Memang benar sejak arwah Tok Zin pergi, perniagaan Zin Corporate tidak lagi seperti dulu. Hawa berusaha untuk mengekalkan segalanya seperti biasa tetapi dia memang banyak kekurangan. Dia bukan seperti arwah Tok Zin. Biarpun ijazahnya adalah dalam bidang perniagaan, tetapi dari segi membuat keputusan dan tindakan lainnya, Hawa masih terkial-kial kerana Hawa tidak punya pengalaman menguruskan perniagaan besar. Hawa memang tidak pernah bekerja sejak dia menamatkan pelajaran. Dia lebih banyak terkurung di dalam rumah. Bukan mudah untuk Hawa menerima perubahan drastik dalam hidupnya. Tapi dia enggan berputus asa. Sesukar mana pun, dia perlu juga membuat keputusan, mengetuai mesyuarat, mencari tahu projek dan bajet yang bakal dan sedang berlangsung. Untungnya empayar arwah Tok Zin sudah memiliki orang-orang kuat yang boleh dipercayai.

"Mak Inah, Cik Hawa kat mana?" Suara Farish dari luar rumah kedengaran.

"Ada kat dalam. Lambat encik ambil Hawa hari ini."

"Saya ada urusan sikit, Mak Inah."

Hawa bangun dari duduk. Dia perlu segera mengikut Farish untuk ke pejabat seperti kebiasaannya. Kerana terburu-buru, kakinya tersandung di kaki meja. Aduh, bagaimana dia boleh lupa dengan kedudukan meja itu?

Hawa menyeringai kecil sebelum kembali menyambung jalannya. Tongkat di laci meja berhampiran pintu keluar rumah diambil.

"Maaf cik, saya ada hal sikit tadi sebab tu lambat sampai."

Mendengar suara Farish, Hawa tahu lelaki itu berada di muka pintu.

"Tak apa," balas Hawa pendek. Dia bergerak menuju ke rak yang menempatkan kasut-kasutnya.

"Cik nak pakai kasut apa? Saya ambilkan."

"Tak apa, Encik Farish. Saya ambil sendiri."

Dia bukan menyombong, tapi itu rutin. Hawa lebih selesa menguruskan keperluan peribadi sendiri dan tidak mahu bergantung harap pada orang lain. Selagi tempat yang disusun itu sama, tidak menjadi masalah buat Hawa untuk bersiap sendiri.

Sampai di kereta, Farish buka pintu untuknya.

"Pulang nanti pukul berapa, Encik Farish?" tanya Mak Inah ketika Hawa sudah masuk ke dalam kereta.

"Lebih kurang pukul 5.30 ke pukul 6 petang macam tu. Kadang-kadang jammed, jadi lambat sikit."

"Tak boleh ke pulang lebih awal sikit? Selalu pukul 4 Encik Farish dah bawa Hawa pulang ke rumah," ujar Mak Inah lagi.

Farish menilik jam di tangan, cuba berkira-kira dengan jadual kerja Hawa dan juga dirinya. "Kalau mesyuarat lembaga pengarah habis awal, saya hantar cik puan pulang awal."

"Tak apalah, Mak Inah. Kalau Hawa balik lewat, Mak Inah makanlah dulu," sampuk Hawa mesra. Dia mengukir senyum tipis.

"Isy, Mak Inah risau Hawa tersangkut kat jammed lama-lama. Nanti Mak Inah tunggu Hawa, ya?"

"Kalau lambat, Mak Inah jangan tunggu. Risau sakit perut. Hawa boleh makan kat luar."

"Yelah..." jawab Mak Inah akur dan segera pintu kereta Hawa ditutupnya.

Farish pula sudah mula bergerak ke tempat duduk pemandu. Sekali lagi dia menoleh ke belakang memandang gadis buta yang sedang duduk tenang di kerusinya. Rasa kasihan menyentuh hati kecilnya. Arwah Tan Sri Nazin meninggalkan perniagaan yang terlalu besar untuk Nur Hawa Khadijah sedangkan cucu perempuan arwah tidak mampu menggalas tugas yang terlalu berat.

"Cik Hawa..." Farish menegur saat kereta yang dipandunya berhenti di simpang empat jalan.

"Kenapa?" soal Hawa. Kepalanya ditegakkan ke arah suara Farish.

"Ni, sebenarnya ada sesuatu yang saya nak beritahu pada cik." Farish tertelan air liur.

Entah kenapa dia tiba-tiba seakan rasa bersalah untuk mengungkapkan kata-kata yang bakal keluar daripada bibirnya. Tapi mengenangkan kata-kata Farouk semalam, ada benarnya juga. Sampai bila empayar Zin Corporate ada ketua yang buta. Bukan dia mahu merendahkan golongan kurang upaya. Tetapi realitinya, banyak perkara yang perlu difikirkan. Lebih-lebih lagi Hawa seorang perempuan dan tidak punya pengalaman.

"Apa dia?"

"Cik, sebelum arwah tan sri meninggal, arwah ada janji sesuatu pada orang."

Hawa menghela nafas panjang. Entah kenapa hatinya berbisik resah. Nada Farish berbaur serius. Bimbang hatinya tidak mampu lagi memikul bebanan baru yang bakal diletak di atas bahu.

"Arwah tan sri dulu ada janji dengan seorang cikgu kat Maahad Iman, untuk dijadikan suami kepada Cik Hawa. Dah hampir setahun arwah tan sri tak ada. Saya cuma cakap aje. Keputusan ada di tangan Cik Hawa."

Jantung Hawa berdegup laju. Dia teringatkan seseorang.

"Cikgu Asyraf?" Nama itu meniti di bibir Hawa.

Farish berdeham kecil. Serba-salah juga mahu mengiakan. "Ya...."

Hampir setahun berlalu. Hawa sudah lupa dengan lelaki itu. Dulu, dia pernah menyimpan perasaan terhadap lelaki itu. Tapi sekarang suara Cikgu Asyraf pun dia tidak ingat. Cuma jantung Hawa berentak serupa seperti kali pertama dia berbual dengan Cikgu Asyraf apabila mendengar Farish mengiakan tekaannya.

"Janji yang bagaimana arwah tok buat dengan Cikgu Asyraf?" Dia perlu betul-betul memastikan kata-kata Farish itu membawa ke arah yang sama dengan kefahamannya saat ini.

"Encik Asyraf setuju nak kahwin dengan Cik Hawa."

"Encik Farish tak tipu, kan?" soal Hawa. Dia jadi hairan. Tidak mungkin baru sekali pertemuan, Asyraf terus bersetuju untuk berkahwin dengannya. Hampir setahun berlalu, tidak pernah sekali pun Asyraf muncul dan menuntut janji.

"Hmmm... terpulanglah pada Cik Hawa. Saya hanya sampaikan hajat arwah tan sri yang nakkan Cik Hawa berkahwin dengan pilihan arwah. Tapi segala keputusan terletak pada Cik Hawa sendiri." Farish sekali lagi tertelan air liur.

"Kata arwah tok, Cikgu Asyraf nak sambung belajar."

Farish mengerutkan kening. Aduh. Apa lagi penipuan yang bakal lahir dari bibirnya selepas ini? Dia takut kata-katanya itu bakal mengundang malapetaka.

"Err, memang Encik Asyraf ada sambung belajar. Tapi dia balik ke sini bila tahu arwah tan sri dah meninggal. Kalau Cik Hawa tak nak, saya beritahu aje pada Encik Asyraf yang..."

"Encik Farish pasti ke Cikgu Asyraf nak kahwin dengan saya?" soal Hawa memotong kata-kata Farish.

Farish menghela nafas berat. Terasa tidak tergamak untuk menipu. Dia mengamati wajah Hawa dengan perasaan belas. "Ya, Encik Asyraf memang nak kahwin dengan Cik Hawa."

Serentak itu, Hawa menoleh ke sisi. Biarpun dia tidak dapat melihat dengan pandangan yang sempurna, dia perlu membuang segala resah di hati ke luar sana. Hidupnya seperti berada di atas kapal. Terumbang-ambing. Ombak selalu mengganas menghempas kapal sehingga Hawa terasa hidupnya tidak lagi tenang. Bila-bila masa saja dia bakal lemas dibawa arus ombak yang ganas. Tapi, selagi dia mampu berpaut pada dinding kapal itu, dia mahu teruskan hidupnya tanpa memikirkan masa depan. Sudah musnah, apa lagi yang perlu dia takutkan?

Tiada siapa yang faham.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro