Bab 29: Dreselle

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

PUTERI Alyana tersenyum manis apabila melihat kehadiran seseorang yang dinanti selama ini. Dia memeluk erat orang yang dia kasihi untuk melepaskan rindu yang menggunung di dalam hati. Wajah itu direnung dengan kasih sayang. Wajah yang dia rindu siang dan malam. Wajah yang dirindui tahun demi tahun. Akhirnya, kembali kepadanya semula. Hatinya kini rasa lebih bahagia.

“Bonda, anakanda tidak boleh bernafas.”

“Bonda rindu... Anakanda pergi ke mana?”

“Jalan-jalan. Bosan berada di rumah.”
“Bonda suruh tinggal di sini tak nak.” Hidung mancung anaknya dicuit.

“Tak naklah, bonda. Protokol di istana terlalu banyak. Anakanda tidak suka. Macam manalah ayah boleh kahwin dengan bonda.”

Puteri Alyana tersenyum. Kepala si anak sudah direbahkan di atas ribanya. Rambut anaknya yang panjang mengurai dibelai dengan penuh kasih sayang.

“Ayah ajak bonda kahwin lari.”

“Betul ke, bonda?”

“Kalau tidak, sudah lama kita dapat hidup bersama di sini. Selepas peristiwa itu, nenda menyesal kerana tidak menyetujui perkahwinan ayah dan bonda. Sehingga hembusan nafas terakhir, dia tidak dapat maafkan dirinya. Maafkan bonda...” tutur Puteri Alyana perlahan.

“Bukan salah bonda. Kalau bukan pengorbanan bonda, anakanda mungkin tidak dapat bernafas sekarang ini. Anakanda mungkin tidak dapat berjumpa dengan bonda.”

“Esok... Heroic Knight akan datang ke sini seperti tahun-tahun sebelum ini. Anakanda mahu berjumpa dengan mereka?” beritahu Puteri Alyana. Wajah anakandanya yang berubah kelat dipandang.

“Tengoklah macam mana, bonda. Takut nanti anakanda sibuk.”

“Amboi, sibuk buat apa?”

“Berlatih dengan Pierce dan mengajar Zen berlatih.”

“Jangan tegas sangat dengan Zen. Sekali-sekala bawaklah dia datang ke sini.”

“Kalau dia mahu datang sini, dia [erlu datang sendiri. Ah, bonda!”

“Ada apa?”

“Zen!!! Dia ada berada di puncak gunung!”

“Apa yang Zen buat di situ?”

“Anakanda menyuruhnya berlatih memahirkan diri menggunakan ruang dimensi. Nampaknya dia tidak mahir lagi sebab tu ada berada di puncak gunung sekarang. Anakanda perlu pergi dapatkannya kerana Zen tidak mampu pulang dengan sendiri. Ada masa anakanda datang lagi. Selamat malam, bonda.”

“Selamat malam.” Puteri Alyana memerhati anaknya yang hilang dari pandangan mata. Dia tersenyum apabila teringat kembali gelagat anaknya tadi.

“Dia seperti ayahnya.”

“Kekanda, Mytlehel...”

“Sudah lama kekanda tidak melihat adinda tersenyum begini. Adinda kerap kali tersenyum sendiri sejak kebelakangan ini.” ujar Raja Mytlehel.

“Anakanda adinda sudah kembali. Sudah tentu adinda rasa bahagia. Cuma...”

“Jangan risau, adinda. Anak saudara kekanda itu pasti akan mencarinya. Dia tahu siapa tapi menunggu masa yang sesuai untuk bagitahu perkara yang sebenar. Kekanda ingat lagi yang adinda menangis teresak-esak apabila mengetahuinya, kan?” ujar Raja Mytlehel.

“Adinda sangka dia tidak boleh menerima adinda. Ternyata adinda silap.” Senyum Puteri Alyana.

“Dia seorang anak yang baik. Namun, kekanda masih ragu-ragu bagaimana dia mengetahuinya tentang dirinya sendiri.” Raja Mytlehel mengusap janggutnya yang panjang.

“Mungkin darah yang mengalir dalam badannya yang memungkin segala-galanya.”

“Kekanda rasa bangga pula memperoleh anak saudara sepertinya. Boleh menggantikan kekanda nanti.” Raja Mytlehel sudah memikirkan mahu menyerahkan pemerintahan Eatherland kepada anak saudaranya.

“Bagaimana pula dengan Lenhil? Kalau kekanda menyerahkan pemerintahan kepada anakanda adinda, dia pasti tidak mahu. Tinggal di sini pun dia enggan apatah lagi memerintah kerajaan lagilah dia tidak mahu,” balas Puteri Alyana. Dia faham yang anakanda tidak mahu terikat dengan kerabat diraja.

“Lupa pula... Perangainya seperti ayahnya. Taksub dengan kebebasan.” Raja Mytlehel ketawa apabila teringatkan suami adiknya.

“SELAMAT datang, Heroic Knight. Oh, Andrew! Sudah lama tidak berjumpa. Apa khabar?” sapa Raja Mytlehel dengan mesra. Dia menyambut ketibaan Heroic Knight yang diiringi oleh Andrew.

“Baik sahaja, tuanku. Ya, sudah lama tidak berjumpa. Patik sibuk menjalankan misi diraja,” balas Andrew. Dia menundukkan sedikit badannya sebagai tanda hormat.

“Kamu sama sahaja dengan Erena. Sibuk sepanjang masa menjalankan misi. Pulang ke sini hanya sekejap sahaja selepas itu lenyap entah ke mana. Apa tujuan kamu datang ke mari, Andrew?” tanya Raja Mytlehel.

“Patik datang menemani Heroic Knight, tuanku,” balas Andrew.

“Kenapa?” Raja Mytlehel mengerutkan dahi. Seingatnya bukan tugas anak muda itu mengiringi Heroic Knights.

“Lebih baik kita bercakap di tempat yang selesa. Rasa seperti tidak sopan pula.”

“Oh, ya! Baiklah. Kamu semua boleh pergi ke bilik masing-masing. Lenhil, layan mereka semua.”

“Baik, ayahanda!” balas Lenhil.

“Jom kamu semua ikut aku. Aku mahu memperkenalkan sepupu aku.”

“Sejak bila kau ada sepupu, Lenhil?” tanya Haziel.

“Sudah lama sebenarnya. Kalau mahu bercerita memang panjang, sepupu yang dah lama hilang. Aku baru tahu tiga tahun lepas. Tapi sejak kebelakangan ini dia selalu datang sini,” balas Lenhil.

“Jadi, dia tidak tinggal di sini?” tanya Karyle.

“Tidak.”

“Namanya?” tanya Hariel.

“Dreselle. Aku yakin kamu semua pasti gembira jumpa dia. Ha... Itu pun dia sedang berlawan dengan kekanda Erena. Dia memang kuat. Sudah banyak kali aku dikalahkan oleh dia,” beritahu Lenhil.

“Karyle, itukan orang yang...” Freya tidak dapat meneruskan kata-katanya apabila melihat orang yang sama ‘melawat’ mereka dua malam yang lalu. Orang berkerudung hitam.

“Lenhil, betul dia sepupu kau?” tanya Karyle ingin memastikannya.

“Ya... Dia memang suka pakai macam tu.” Lenhil mengangguk pada jawapannya.

“Karyle, dia mempunyai aura yang sama,” beritahu Eidan melalui minda.

“Ya,’ balas Karyle.

“Tapi gaya dia berlawan seperti seseorang,” celah Frielan.

“Siapa?” tanya Eidan.

“Anna. Gaya dia berlawan adalah menari bersama pedang sama dengan Anna,” kata Frielan. Dia memerhati perlawanan Dreselle dengan Erena. Mereka memfokuskan pandangan pada pertarungan yang berlangsung.

AIR teh yang dihidangkan oleh dayang istana dinikmati. Baunya harum dan rasanya seperti mint membangkitkan rasa segar apabila meminumnya. Air teh bunian bukan sekadar air yang biasa. Ianya dapat menenangkan jiwa yang tidak tenteram, dapat merehatkan minda dan menghilangkan tekanan. Bukan itu sahaja boleh digunakan sebagai terapi diri untuk menenangkan hati.

“Apa yang membuatkan kamu mengiringi Heroic Knights datang ke mari?” tanya Raja Mytlehel sambil menikmati air teh.

“Dua malam yang lalu, kawasan Heroic Knight diserang oleh seseorang yang tidak dikenal pasti. Auranya sangat kuat tetapi tidak dapat dilihat. Kuasanya juga bukan sembarangan, tuanku. Jadi, saya mengambil keputusan untuk menemani Heroic Knight ke sini kerana orang itu mungkin akan bertindak untuk menyerang mereka sekali lagi,” beritahu Andrew.

“Bagaimana rupanya?”

“Tidak dapat dilihat kerana dia memakai kerudung berwarna hitam. Pakaiannya juga berwarna hitam. Sebelah tangan kanannya memakai sarung tangan. Itu yang mereka katakan pada patik.”

“Perempuan atau lelaki?” Raja Mytlehel mengerutkan dahi.

“Kami tidak pasti.”

“Apa kuasa yang dimiliki?”

“Kami tidak tahu. Tetapi dia boleh mengklonkan dirinya. Selain itu, dia boleh menyembuhkan Ancient Beast dari dipengaruhi oleh Demonic Spirit,” beritahu Andrew.

“Kalau begitu, dia tidaklah berbahaya kerana dia mampu menyembuhkan Ancient Beast. Raja Sylvania mungkin memerlukannya untuk mendapatkan Chimera kembali. Ah, beta juga memerlukannya untuk pulihkan Cerberus.”

“Tapi Chimera, Cerberus dan Hydra berada di dalam genggaman Nemesis, tuanku.”

“Ya... Sukar sekali untuk mendapatkannya. Kita tidak tahu keberadaan Nemesis. Oh, ya! Andrew, kalau kamu ingin berjumpa dengan Erena, dia ada di tempat pertarungan.”

“Terima kasih, tuanku. Patik meminta diri dahulu.”

Andrew melangkah keluar dari bilik istirehat diraja. Dia menuruni tangga. Sekali-sekala dia menunduk hormat apabila bertembung dengan pengawal istana dan dayang istana.
Langkahnya diatur keluar dari istana menuju ke tempat pertarungan yang dikatakan oleh Raja Mytlehel. Ianya sebuah tempat yang luas seperti padang. Tidak jauh dari taman bunga diraja hanya bersebelahan sahaja. Dia perlu beritahu Erena tentang perkara yang terjadi dua hari lepas.

Apabila sampai di kawasan tersebut, sembilan orang anak muda sudah berkumpul di situ melihat Erena yang sedang berlawan dengan seseorang yang memakai kerudung berwarna hitam. Pergerakan orang berkerudung itu sangat lincah malah sangat tangkas. Caranya yang menyerang Erena sangat mengagumkannya. Hayunan pedangnya tidak dapat dijangka. Sepertinya dia sedang menari. Ya, menari dengan pedang. Bukan satu tapi dua pedang.

“Itulah orang yang muncul pada malam itu,” beritahu Karyle.

Andrew agak terkejut apabila mendengar kenyataan Karyle. Kalau orang itu sangat berbahaya, kenapa dia boleh berada di sini? Dia dapat rasakan aura yang kuat menyelubungi tempat itu. Aura apa ni?

Andrew... Dia yang kamu cari selama ini. Dia ada jawapan yang kamu inginkan selama ini. Segala persoalanmu akan terjawab. Dia juga boleh menolongku. Masaku tidak banyak, Andrew... Aku dapat rasakannya,” kata Nva melalui minda Andrew.

“Nva... Aku akan berjumpa dengannya demimu. Bertahanlah.”

Erena mengangkat tangannya yang memegang pedang apabila pedang orang berkerudung itu berjaya menghunus pedangnya tepat pada lehernya. Ini bukan kali pertama mereka bertarung sudah banyak kali. Tetapi dia tidak menyangka pertarungan kali ini ditonton oleh ramai orang. Dia pula lupa yang hari ini merupakan hari  Heroic Knight akan datang ke Eatherland. Dia tahu yang orang di hadapannya tidak suka orang ramai.

“Satu lagi pusingan? Tanpa pedang?” kata Erena.

“Itu kepakaran saya.” Sepupunya senang hati menyahut cabaran.
Erena dan sepupunya sekali lagi bertarung tanpa menggunakan senjata. Mereka membalas serangan tanpa menghiraukan mata yang memandang.

“Kamu tidak pernah berubah,” beritahu Erena melalui minda.

“Tidak, saya telah berubah sejak tiga tahun yang lalu.”

“Ya, sudah tentu. Kamu sudah berubah menjadi lebih kuat dari dulu. Tapi perangai kamu tidak pernah berubah.”

“Ia bergantung dengan siapa saya berhadapan.”

Erena tersenyum apabila dapat mengalih perhatian orang itu. Kesempatan itu diambil untuk mengilas tangan sepupunya ke belakang. Belum sempat dia mengemaskan kilasannya orang tersebut melepaskan diri dengan melompat ke udara menggunakan teknik back flip tetapi Erena sempat menarik kerudung yang dipakai oleh orang misteri itu. Saat itulah kerudung yang dipakai oleh sepupunya tertanggal dan menampakkan rupa sebenarnya.

“Ini tidak adil.”

“Sampai bila mahu menyembunyikan diri?” kata Erena. Dia mencampakkan jauh kerudung hitam tersebut.

“Saya bencikan mereka.”

Rambut emasnya yang panjang mengurai hampir mencecah lutut diikat seperti ekor kuda. Ia beralun lembut apabila disapa angin. Baju labuh berwarna hitam yang dipakai sebelah tangan kanan pendek dan sebelah tangan kiri pula panjang. Tangan kanannya memakai sarung tangan berwarna hitam. Satu pedang tersisip di pinggang di sebalik baju labuh yang dipakai.

Semua orang yang berada di situ tersebut agak berdebar untuk melihat wajah sebenar sepupu Lenhil yang sedang membelakangi mereka. Walaupun rambut emas milik insan itu mengingati mereka terhadap Annabella, mereka tetap berharap yang orang misteri itu bukan Annabella. Penampilannya sangat berbeza lebih berkeyakinan dan nampak lebih dingin.

“Hai, semua! Kenalkan ini sepupu saya. Sepupu yang sudah lama tidak berjumpa, Dreselle.” Erena memperkenalkan sepupunya.
Orang tersebut memusingkan badannya menunjukkan rupanya yang sebenar. Ternyata Heroic Knight sangat terkejut melihat orang itu termasuk Andrew.

“Annabella...” gumam mereka semua.

Mereka dapat lihat Annabella sekarang ini jauh lebih berbeza dari Annabella yang mereka kenal tiga tahun sebelum ini. Annabella keliharan lebih dingin. Wajahnya sikit pun tidak memberi reaksi apa-apa. Tidak mempunyai perasaan malah pandangan matanya juga kosong.

“Ya, ini Anna! Nama sebenar dia, Annabella Dreselle,” ujar Erena.

Tiba-tiba muncul satu pedang berwarna biru terapung di udara dan perlahan-lahan berdiri di atas tanah. Satu medan magik berwarna biru timbul dengan perkataan purba dan satu imej raksasa muncul pada medan magik tersebut. Angin mula bertiup kencang. Lohong hitam di langit muncul. Keluar seekor rama-rama cantik yang kelihatan lemah. Rama-rama itu terbang di tengah-tengah medan magik tersebut. Lohong hitam mula hilang. Angin yang bertiup kencang mula reda.

Maafkanku kerana muncul secara tidak berhemah di hadapanmu. Masaku sudah suntuk. Aku tidak mempunyai masa lagi,” bicara rama-rama. Ia menundukkan kepala tanpa membuka mulut.

“Nva the Dracaenae... Maaf tidak berjumpa denganmu terlebih dahulu. Ia akan menyakiti kau kerana sudah lama ia bersarang dalam tubuh kau,” kata Annabella.

“Tidak mengapa... Asal aku dapat melepaskan diri dari seksaan ini.”

Annabella meletakkan tapak tangan kanannya di atas kepala rama-rama itu. Perlahan-lahan cahaya menyelubungi badan Annabella dan Nva dan menyinari tempat tersebut. Angin yang reda kembali kencang menyebabkan semua orang yang berada di situ terpaksa mencari tempat untuk berlindung.

Annabella memunculkan satu anak panah yang dihasilkan dari cahaya. Dia mengambil anak panah tersebut lalu ditusuk ke dada rama-rama itu. Raungan Nva itu seperti raksasa yang sedang mengamuk. Perlahan-lahan anak panah dimasukkan di dalam badan rama-rama tersebut menyebabkan raungan seperti raksasa semakin kuat.

Apabila anak panah cahaya masuk ke dalam badan Nva, raungan sang rama-rama itu berhenti. Keluar asap hitam yang tebal dari badan Nva. Dia memunculkan pedang cahaya untuk memerangkap asap tebal tersebut lalu pedang cahaya itu menikam asap tebal tersebut. Asap hitam tersebut mula hilang. Cahaya juga mula menghilang. Tanda permata di dahi rama-rama itu bercahaya terang. Heroic Knight dan yang lain-lain pula terkejut melihat apa yang dilakukan oleh Annabella tadi.

Rupanya kamu mewarisinya. Maafkan aku kerana tidak merasai kehadiranmu selama ini. Pergilah berjumpa dengan abangmu. Dia sudah lama mencarimu,” beritahu Nva sebelum menghilangkan diri.

Pedang itu kembali kepada Andrew yang masih lagi terkejut dan tergamam dengan apa yang berlaku.
Annabella ingin melangkah pergi. Dia tidak suka berhadapan dengan Heroic Knight. Tetapi pandangannya mula kabur manakala langkahnya terhuyung-hayang kerana terlalu menggunakan banyak kuasa. Tubuhnya rebah di atas rumput dan tidak menyedarkan diri.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro