BAB 28 | DOA

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"FASHA!" panggil seseorang. Fasha terus berpaling. Kelihatan Wardina sedang berjalan ke arahnya. Fasha hanya berdiri di situ, membiarkan gadis itu sendiri yang datang. Kejamnya Fasha!

"Awak panggil saya?" tanya Fasha. Dia tahu yang soalan itu bodoh. Namun, dia sengaja bertanya juga.

"Siapa lagi selain awak yang berdiri di sini," kata Wardina. Awning tudungnya dibetulkan sedikit.

"Ehh ada. Fahrin." kata Fasha. Selamba. Wardina terus memandang Fasha.

"Fahrin? Siapa tu? Lelaki yang baru je tinggalkan awak tadi tu ke?" tanya Wardina dengan terkejut. Matanya membulat.

"Ya. Kenapa?" ujar Fasha sambil mengangkat kening.

Alahai, diapun sudah terpengaruh dengan perangai Fahrin yang satu itu. Manalah dia tidak cair! Wardina terus menutup mulut.

"Seriously? Dia teman lelaki awak ke? Ke tunang awak?" tanya Wardina.

"Dua-dua tak. Saya je yang bertepuk sebelah tangan," keluh Fasha.

"Fasha, awak ambil jurusan apa?" tanya Wardina secara tiba-tiba.

"Undang-undang. Kenapa?" Sekali lagi Wardina terkejut.

"Awak tahu tak yang dia yang akan jadi pensyarah awak?" kata Wardina. Fasha terus membulatkan matanya. Dia memang tidak percaya!

"Seriously?"

"Iye. Kenapa saya nak menipu awak pula. Saya nampak nama dia dalam senarai pensyarah bahagian undang-undang," kata Wardina. Fasha terlalu terkejut. Terus dia ingin berpatah balik. Namun, Wardina segera menghalang.

"Ehh? Awak nak pergi mana?"

"Saya nak tengok senarai tu lah," kata Fasha.

"Tak payahlah. Mereka dah buang tadi," ujar Wardina.

"Cepatnya. Tak kan dah buang."

"Iye. Betullah. Saya baru nampak tadi," kata Wardina dengan yakin. Fasha mengeluh.

"Tunggu sekejap! Macam mana awak boleh tahu dan ingat nama dia sedangkan awak baru je tahu nama dia sekarang?" soal Fasha.

"Apalah awak ni. Kalau awak nak tahu, saya ni seorang yang mudah menghafal tau. Sebab tu saya boleh ingat," ujar Wardina. Fasha hanya mengangguk. Ada betulnya juga.

"Jomlah kita balik. Kemas apa yang patut. Dengarnya, esok pagi akan ada sesi orientasi," kata Wardina.

"Okey. Jomlah. Baju saya pun tak kemas lagi. Gara-gara awaklah yang nak pergi shopping tadi," kata Fasha. Wardina hanya sengih.

"Hehe. Nasib baik awak ingatkan. Barang shopping awak tadi, ada dalam kereta saya. Mari kita ambil dulu," ujar Wardina bersama senyuman comelnya. Kunci kereta dikeluarkan. Fasha hanya tersenyum.











•¤•











SETIBANYA di sepertiga malam, Wardina terus terjaga dari tidur dengan sendirinya. Dia menyelak selimut lalu menggeliat kecil. Mata digosok perlahan. Cuba untuk menghilangkan rasa mengantuk. Setelah memastikan dia sedar sepenuhnya, Wardina segera bangun dari katil lalu menuju ke katil untuk mengambil air wudhuk.

Kemudian, telekung putihnya diambil lalu disarung. Sejadah dibentangkan. Solat sunat tahajud segera dilakukan diiringi dengan solat sunat taubat dan hajat. Setiap pergerakannya dilakukan dengan penuh kusyuk dan toma'ninah. Setiap bait perkataan bacaan solatnya dihayati dengan penuh takjub dan rasa rendah diri.

Selesai sahaja memberikan salam, dia segera beristighfar perlahan. Amalan yang dilakukannya sekarang telah dipraktikkan sejak kecil lagi. Umi dan abinya sangat menitik beratkan soal agama walaupun mereka mewah dengan harta.

Dia dan abang-abangnya diberikan didikan agama dengan secukupnya. Abinya selalu berpesan yang harta tidak akan pernah dibawa mati melainkan amalan baik yang kita kerjakan selama ini. Setelah beristighfar, Wardina segera mengangkat tangan. Pesanan uminya terlayar di fikiran.

"Sayang, bagi setiap tangan yang ditadahkan, Allah tak kan biarkan ia kosong. Setiap permintaan yang kita mahukan pasti Allah akan tunaikan. Itulah janji Dia. Dan Allah tak kan pernah memungkiri.

Tapi, kita kena tahu tiga perkara. Pertama, doa kita akan ditunaikan sekarang. Kedua, mungkin pada masa akan datang. Pada hari yang lebih baik. Dan yang ketiga, Allah akan beri perkara yang lain.

Perkara yang lebih baik daripada apa yang kita minta. Jadi, jangan sesekali mengeluh dan berputus asa. Teruskan berdoa kerana doa itu senjata orang-orang yang beriman."

Wardina yakin yang doanya ini pasti akan ditunaikan suatu hari nanti. Dan Allah tidak akan sia-siakan permintaan hambaNya yang sentiasa mengingati Dia.

'Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Kau perkenankanlah doa hambaMu yang hina ini Ya Allah. Kau lembutkanlah hati Fasharina Haura agar menerima agama kau sepenuhnya. Jadikanlah dia seorang muslimah yang baik budi pekertinya Ya Allah. Jadikanlah dia seorang muslimah yang baik akhlaknya Ya Allah.

Jadikanlah dia seorang wanita yang menutup aurat dan menjaga maruahnya Ya Allah. Dia seorang yang baik. Cuma, keadaan persekitarannya sejak kecil yang mempengaruhinya Ya Allah. Jadikanlah dia seorang hambaMu yang sentiasa memperjuangkan agama Mu. Ampunkanlah semua dosa-dosa aku dan dia walaupun ia setinggi gunung dan seluas lautan. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.'


Doanya itu diaminkan dengan penuh pengharapan. Air matanya yang menitis dikesat perlahan. Sebagai seorang sahabat, dia benar-benar berharap doanya itu termakbul.

Di sebalik kegelapan bilik yang hanya disinari cahaya bulan itu, Fasha fokus memandang Wardina. Mendengar sahaja bunyi air, dia terus terjaga. Hasratnya untuk tidur kembali. Namun, apabila melihat gadis itu memakai telekung, matanya terus segar bugar. Pergerakan solat gadis itu dipandang.

Dia tertanya-tanya, solat apakah yang dilakukan gadis itu? Setahunya, bukankan solat hanya ada lima waktu saja? Doa gadis itu turut bisu.

Kelihatan seperti Wardina mengambil sebuah buku yang tebal. Lampu mejanya dipasang. Dengar sahaja bait ayat pertama, barulah Fasha tahu yang gadis itu sedang membaca Al Quran.

Alunan suara Wardina yang merdu dan fasih itu membuatkan Fasha terbuai dan berasa tenang walaupun dia tidak tahu apa maksud bagi setiap perkataan. Tidak lama kemudian, dia sudahpun diulit mimpi.




•¤•







SEAWAL pukul 8:00 pagi, Wardina dan Fasha sudah bersiap-siap. Hari ini, Fasha mengenakan tudung bawal berwarna merah jambu. Sesuai dengan kulitnya yang putih. Dia kelihatan menyerlah.

Wardina yang sedang membetulkan awning tudungnya itu dipandang. Gadis itu sememangnya manis dan sangat cantik.

"Wardina, boleh saya tanya sesuatu?" tanya Fasha. Wardina terus memandang.

"Tanyalah. Awak nak tanya tentang apa?" Cermin di hadapannya dipandang. Tudung labuhnya dibetulkan sedikit agar nampak lebih kemas.

"Awak sembahyang apa malam tadi?" Soalan Fasha membuatkan pergerakan Wardina terus terhenti. Fasha dipandang.

"Tak apalah. Mesti awak tak nak jawab kan? Ya, saya tahu. Saya bukannya baik sangat. Saya jahil. Saya tak layak berkawan dengan orang yang baik macam awak," kata Fasha sambil menunduk. Wardina segera menghampiri Fasha. Tangan gadis itu dicapai bersama senyuman.

"Mana ada. Saya tak bermaksud macam tu. Saya tak pernah nilai dan pandang awak macam tu. Kita semua manusia. Ada dosa dan pahala. Begitu juga saya."

"Ya. Tapi, saya ni tak tahu pun tentang agama. Sejujurnya, saya tak datang bulan pun semalam. Saya cakap macam tu sebab saya tak reti solat," kata Fasha perlahan.

"Jangan risau. Awak boleh belajar. Asalkan awak ikhlas dan bersemangat nak berubah," kata Wardina lagi.

"Awak tak rasa hina ke berkawan dengan saya. Saya ni jahil. Mesti Allah tempatkan saya di neraka kan?"

"Fasha. Tak baik awak cakap macam tu. Kita semua tak tahu pengakhiran kita macam mana. Ada orang yang dia ahli maksiat, tapi pengkhirannya baik. Allah beri dia Syurga. Ada yang ahli agama pada awalnya baik. Tapi pengakhirannya teruk. Akhirnya, Allah tempatkan dia di Neraka. Semua orang boleh berubah menjadi lebih baik. Allah sentiasa bantu kita," nasihat Wardina. Fasha sekadar mengangguk.

"Sudahlah. Mari kita bersarapan. La Tahzan. Innallahama'ana. Saya akan bantu awak berubah."

"La Tahzan?" tanya Fasha. Pelik.

"Jangan bersedih kerana sesungguhnya Allah bersama kita," kata Wardina. Bahu Fasha dipeluk.

"Oh ya. Malam tadi awak doa apa? Saya tak dengar pun," ujar Fasha.

"Adalah. Rahsia," kata Wardina bersama senyuman. Mata dikenyitkan. Dia segera keluar dari bilik. Fasha hanya senyum.


























Kalau saya ada salah, tolong tegur dan perbetulkan ya. Kita baiki sama-sama. Saya pun manusia juga. Pasti akan buat kesilapan. 😌❤

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro