BAB 9 | PERGI

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

PUSAT beli-belah Pavillion itu kelihatan agak sesak dengan manusia-manusia yang terdiri daripada keluarga berada dan kaya raya. Fasha melangkah malas. Kalau diikutkan, dia mahu sahaja lari pergi dari situ dan sambung tidur sahaja di rumah.

Tetapi, apabila terfikirkan mamanya yang menumpang keretanya, Fasha terus membatalkan niat. Kesian pula meninggalkan Puan Sri Elivia keseorangan.

Mereka masuk ke dalam restoran La Bodega. Restoran yang terkenal dengan hidangan Western, Seafood, Spanish dan European. Sebaik sahaja mereka masuk, tiada satupun pelanggan yang berada di situ kerana Puan Sri Elivia telah menempah khas keseluruhan restoran tersebut.

Seorang pekerja wanita terus menunjukkan meja. Puan Sri Elivia dan Fasha terus duduk. Jam di tangan diperhati. Dia merungut.

"Kenapa tak sampai-sampai lagi? Kata pukul 12."

"Ish! Kamu ni. Sabarlah! Kita pun baru sampai," kata Puan Sri Elivia. Fasha sudah tidak berpuas hati.

Setelah hampir 15 minit berlalu, kelihatan seorang wanita dan lelaki masuk ke dalam. Fasha sudah tidak senang duduk apabila melihat senyuman Rayyan itu. Dia berasa sangat tidak selesa.

"Maaf lambat, Elivia. Jalan jammed tadi," kata Puan Sri Tiara. Mereka berdua terus melabuhkan duduk. Fasha tergelak sinis. Alasan!

Dia bernasib baik kerana Puan Sri Tiara sibuk berbual dengan mamanya. Hanya Rayyan yang mendengar. Fasha dipandang. Gadis itu mengukirkan senyuman sinis.

"Fasha, sihat?" tanya Puan Sri Tiara. Ramah. Fasha hanya mengangguk.

'Kalau aku tak sihat, tak adanya aku di sini,' bisik hati kecil Fasha. Moodnya sudah hilang entah ke mana disebabkan kehadiran Rayyan.

"Kamu dan Rayyan macam mana? Okey?"

Fasha hanya tersenyum. Soalan bonus. Dia memandang Rayyan dengan pandangan tajam. Jejaka itu juga sudah tidak senang duduk. Puan Sri Tiara memandang Fasha dan anaknya silih berganti. Begitu juga Puan Sri Elivia. Pelik.

"Kami okey je," kata Rayyan.

"Tak. Saya dah putus dengan Rayyan," Sambung Fasha tanpa perasaan.

Puan Sri Elivia dan Puan Sri Tiara terkejut. Mereka memandang Rayyan yang turut sama tergamam. Secara tiba-tiba Puan Sri Tiara ketawa. Mereka bertiga terus memandang hairan.

"Apa maksud kamu? Kamu putus dengan Rayyan? Pandai betul kamu buat lawak, Fasha," kata Puan Sri Tiara. Ketawanya masih bersisa. Puan Sri Elivia juga ketawa. Terpaksa.

"Saya tak buat lawak, aunty. Saya betul-betul serious dan maksudkannya," kata Fasha. Ketawa Puan Sri Elivia terus terhenti.

"Apa semua ni, Elivia?" Puan Sri Tiara terus bertanya. Puan Sri Elivia kelihatan gugup.

"Err... Sebenarnya-"

"Saya dah tak cintakan dia lagi. Dan saya pasti, Rayyanpun dah ada orang lain." Fasha bangun. Sinis sahaja kata-katanya. Mereka saling berpandangan. Tajam. Puan Sri Tiara terus memandang anaknya, Rayyan.

"Apa maksud dia, Rayyan? Betulkah apa yang mama dengar ni?" Soalan Puan Sri Tiara dibiarkan tidak berjawab. Jejaka itu hanya menahan geram.

"Mama sambung jelah temu janji ni. Just teruskan. Fasha tak ada selera. Fasha tunggu di dalam kereta ya " kata Fasha.

Dia terus berlalu pergi. Lidah Puan Sri Elivia menjadi kelu. Dia tidak sempat menghalang anaknya itu. Hanya pandangan yang mampu diberikan.





















•¤•





















IMBAS kembali,

Tinggal seminggu sahaja lagi peperiksaan pertengahan tahun akan bermula. Para pelajar sibuk membuat persediaan dengan mengulangkaji pelajaran terutamanya subjek killer seperti Matematik Tambahan.

Setiap kali waktu rehat, Fasha pasti akan mengambil kesempatan untuk mengasingkan diri daripada orang ramai termasuk kawan-kawan baiknya. Dia hanya membawa bekal dari rumah.

Waktu rehat digunakan sebaik mungkin untuk membuat latih tubi. Hampir tiga buah buku telah dihabiskan. Selaku pelajar terpandai, itu bukan alasan untuknya mengulangkaji kembali topik yang telah dipelajari walaupun dia sudah mahir dan handal.

Hari ini, Fasha mengambil keputusan untuk membuat latihan Chemistry di tepi padang sekolah. Salah sebuah meja diduduki. Alat tulis dikeluarkan lalu buku turut dibuka. Dia terus fokus membuat latihan.

Rayyan, Fikri dan Zaki baru sahaja turun dari kelas untuk ke kantin. Mereka sekadar berbual kosong. Tidak semena, mata Rayyan terpandangkan kelibat seorang gadis yang sangat dia suka. Dia tersenyum. Perbualan mereka sudah tidak diambil kisah.

"Eh... Rayyan. Kau pandang siapa tu?" tanya Fikri. Pelik. Fikri dan Zaki terus memandang arah yang sama. Setelah itu, mereka terus berpandangan. Fikri terus menepuk bahu Rayyan. Dia ketawa.

"Laa! Patutlah tersengih-sengih macam kerang busuk. Nampak crush rupanya. Hahaha!" usik Fikri. Zaki pun tidak kurang juga.

"Kalau dah suka tu, mengaku je lah. Pikatlah dia." Rayyan hanya menggaru pipi dan dia hanya tersengih. Mungkin sedikit malu dengan usikan rakan-rakannya itu.

"Err... Aku dah cubalah," jawab Rayyan. Dia sudah cuba bermacam cara. Beri hadiah, bunga, ayat manis dan coklat. Namun, semua usahanya itu langsung tidak meninggalkan kesan terhadap gadis itu.

Fikri dan Zaki terus berpandangan. Mereka mengukirkan senyuman yang sukar untuk ditafsirkan. Kedua-dua belah bahu Rayyan diraih. Jejaka itu hanya membiarkan.

"Bro, hati perempuan ni, pada mula je keras macam batu. Tetapi, lama-kelamaan akan lembut juga," kata Fikri.

"Ya. Sebenarnya, kalau kau fikir ayat manis dan usaha kau selama ni tak beri kesan kepada dia, sebenarnya kau dah silap. Luaran dia mungkin beku. Reaksi mukanya juga mungkin kaku. Tetapi, hati ais batunya tetap akan mencair suatu hari nanti." Zaki bermadah kata.

Otak Rayyan terus memproses kata-kata rakannya itu. Agak bersastera dan gramatis tetapi masih boleh difahamkan. Pesanan daripada dua orang rakannya itu berdasarkan pengalaman. Maklmumlah, playboy. Bermacam jenis perempuan mereka sudah berjumpa.

"Sekarang, kau pergi dekat dia. Pastikan kau selalu ada dengan dia. Beri dia perhatian. Comfirm, kau akan berjaya punya," kata Fikri pula.

"Korang pernah ke try dia?" Soalan maut itu membuatkan Fikri dan Zaki terdiam untuk seketika.

"Tak," jawab mereka berdua serentak. Rayyan terus menjongket kening.

"Bagi aku, Fasha tu mungkin tak pandang kitorang sebab yelah, antara aku dan dia, dia lebih kaya. Pasti dia tak kan terima," ujar Zaki. Fikri mengangguk.

"Ya. Sebab tu ah dia tak pandang. Tapi kalau kau, aku rasa kau akan berjaya," kata Fikri.

"Sebab?"

"Sebab kau pernah belajar di New York. Pastilah kau kaya," ujar Fikri lagi.

"Okey. Sekarang, baik kau pergi. Pikat dia," kata Zaki. Tubuh Rayyan ditolak. Jejaka itu terdorong ke hadapan.

"Haah. Pergi jelah. Kalau kau perlukan apa-apa, tanya je kitorang. Bye and good luck!" Fikri melambai tangan. Rayyan hanya menggelengkan kepala. Perlahan-lahan langkahnya mendekati gadis itu.

"Ehem! Ehem!" Rayyan terus berdehem setelah berada di hadapan gadis itu. Fasha terus mengangkat muka.

"Kau buat apa di sini?" Terus terang Fasha bertanya. Tegas.

"Boleh aku duduk?"

"Tak boleh!" Larangan Fasha tidak diendahkan. Dia terus duduk. Fasha terus berpeluk tubuh. Mungkin geram dengan Rayyan.

"Awak nak apa lagi, Rayyan? Tak cukup lagi ke saya tolak awak? Awak tak faham bahasa ke?" Keras sahaja suara Fasha.

"Saya dengar, awak pelajar terpandai di sekolah ni. Tak sangka pula saya." Kata-kata Fasha tidak dipedulikan. Buku latihan Fasha dipandang. Dia terus mengambil buku itu.

"Hey! Awak buat apa ni? Tak nampak ke saya buat latihan?" marah Fasha. Rayyan tersenyum. Tangan ditongkatkan ke dagu. Dia merenung setiap inci muka gadis itu.

"Awak marah pun tetap cantik." Fasha terkedu. Dia memandang Rayyan dengan riak muka yang tidak percaya.

"A-apa kau cakapkan ni?"

Rayyan bangun. Dia bergerak mendekati Fasha. Dia menundukkan sedikit badan. Wajah mereka sangat rapat. Fasha menjadi kaku. Masa seakan-akan terhenti.

"A-apa awak bu-buat ni, Rayyan?" Fasha semakin gagap. Rayyan menaikkan tangannya lalu dia menyentuh rambut Fasha.

"Ada daun kecil gugur jatuh atas rambut awak." Daun yang baru sahaja diambil itu ditunjukkan kepada Fasha. Memang benar sekali kata-kata lelaki itu.

"Oh... Te-terima kasih..." kata Fasha. Perlahan. Rayyan masih tidak mahu mengalihkan wajahnya. Untuk seketika, mata mereka bertembung.

"I really love your beautiful eyes. And I love you too," kata Rayyan. Romantik.

Lidah Fasha menjadi kelu. Dia terkaku. Jantungnya mula bermain rentak. Perlahan-lahan terdapat satu perasaan aneh yang menjalar ke dalam lubuk hatinya. Dia tertanya-tanya. Perasaan apakah ini?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro