Bab 2

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SEAWAL pagi lagi, aku sudah terpacak berdiri di depan pintu bilik guru kelas. Tiga minit berlalu, dan aku masih lagi menjadi model patung tidak berbayar di tempat sama. Hati berbelah bahagi untuk masuk ke dalam. Tombol pintu juga tiada kekuatan untuk aku pulas. Tindakanku ini mungkin telah membazirkan masa berhargaku yang sepatutnya mengaut ilmu di dalam seminar Pengajian Am yang berlangsung ketika ini.

Kalau ditanya tentang sebab aku dipanggil ke sini, sudah pasti aku sendiri tahu sebabnya apa. Sebelum tanganku kembali memegang tombol pintu, otak cerdasku ini sudahpun menyimpan jawapan untuk diberikan nanti. Dengan lafaz bismillah, aku mula melangkah ke dalam.

"Hah, Arissa Airin. Duduk," suara guru kelasku menyapa bila melihat bayang aku yang mula muncul ke dalam biliknya. Aku akur dengan arahan itu lalu melabuhkan duduk di kerusi guru sebelah yang kebetulan sedang kosong. Suasana bilik kembali sepi melainkan bunyi deruan aircond sahaja yang kedengaran.

"Tahu tak kenapa saya panggil?" Akhirnya Puan Zaida bersuara kembali setelah membiarkan beberapa minit berlalu. Soalan darinya yang aku anggap sekadar berbasa-basi. Permulaan untuk menemu ramah aku sebagai anak di bawah tanggungjawabnya di sekolah. Aku membalas tentangan matanya yang merenung aku menantikan jawapan.

"Tahu, cikgu."

"Satu minggu tak datang. Boleh bagitahu alasan kenapa?" Agak tegang kedengaran suaranya bila menyoal soalan itu. Dadaku mula berdebar. Bimbang guruku ketika ini berada dalam mood kelaut. Tapi aku berani jamin, bila aku memberitahu alasannya nanti, mungkin wajahnya tidak akan setegang ini lagi.

"Saya jaga bonda saya tengah sakit."

"Bonda awak sakit apa?"

"Strok."

Nyata benar telahanku, riak wajahnya terus berubah dengan jawapan itu.

Simpati.

Hanya orang yang tidak punya hati sahaja tidak akan berperasaan begitu. Bondaku memang diserang strok. Ya, itulah kenyataan. Bukanlah sebuah penipuan yang sengaja aku ada-adakan hanya kerana tidak mahu digantung persekolahan. Tidak lama, aku mendengar Puan Zaida mengeluh sebelum kepalanya turun melihat borang putih di atas mejanya. Seperti memeriksa sesuatu.

"Saya tahu awak seorang anak yang baik, Arissa. Rela korbankan masa belajar untuk jaga bonda awak yang tengah sakit. Itu memang satu tindakan yang bagus. Tapi awak tahu kan, beberapa minggu saja lagi peperiksaan semester dua akan berlangsung. Kalau awak tak bagi komitmen yang terbaik dalam peperiksaan nanti, awak berkemungkinan perlu ambil peperiksaan ulangan. Bukan ke itu akan lebih membebankan keluarga awak nanti?"

Aku hanya diam. Tidak dapat kunafikan, kata-kata Puan Zaida memang benar. Peperiksaan penting sudah menghampiri, tapi aku seolah-olah tidak mengambil peduli sama sekali. Bukan aku sengaja, tapi fokusku kini lebih kepada keadaan bonda. Takkan mungkin ada hal lain yang lebih penting berbanding bondaku sekarang ini. Walaupun masa depanku sendiri.

"Satu lagi, saya terpaksa bagitahu tentang yuran yang belum awak jelaskan lagi. Ada banyak benda yang awak belum bayar termasuk yuran PIBG. Dah dua semester kan awak tak bayar?"

Aku mengangguk lemah. Seperti yang sudah aku agak dari mula, ada dua sebab sahaja kenapa aku dipanggil kesini. Nyata kedua-dua alasan itu memang diguna pakai oleh guru kelasku hari ini.

"Berapa tempoh masa yang boleh cikgu bagi?" soalku sekadar berbasa basi.

"Saya tak nak bagi apa-apa tempoh masa pada awak. Sebab saya tahu keadaan awak sekarang ni macam mana. Mesti lebih perlukan duit kan? Jadi saya anggap ni sebagai hutang terlebih dahulu. Tapi sebelum tamat semester tiga nanti, awak wajib kena bayar. Awak tahu kan tak elok hidup dalam keadaan berhutang?"

Panjang lebar jawapannya untuk soalan pendek aku tadi. Kenyataan Puan Zaida itu memang tidak boleh ku sangkal lagi. Manusia mana yang mahu hidup dalam keadaan berhutang? Tidakkah tersiksa jasadnya apabila menemui ajal nanti. Tapi untuk keadaanku sekarang, aku tiada pillihan lain.

"Arissa, awak ada adik kan?"

Wajahku ditenung lama sebelum aku angguk kepala. Kedengaran Puan Zaida menarik nafas panjang dan kembali menyambung ayatnya lagi.

"Tak boleh ke awak bergilir dengan dia untuk jaga bonda awak?"

Diam. Tiada jawapan untuk soalan itu.


WAKTU rehat berkunjung tiba. Pelajar-pelajar lain sedang khusyuk menikmati santapan pagi sedangkan aku pula hanya mengisi perutku dengan memerhati sahaja orang lain yang penuh selera menjamah hidangan. Jujur, aku datang ke sekolah langsung tidak membawa apa-apa not kertas walaupun berwarna biru muda. Simpati? Tidak perlu bersimpati dengan nasibku kerana aku sendiri tidak suka dikasihani oleh sesiapa.

Buku rujukan sengaja kubawa untuk rehat bersama. Sebagai peneman mungkin? Sekurangnya dengan berpura-pura mengkaji pelajaran pada waktu rehat dapat menutup pandangan pelajar lain apabila melihatku nanti. Pasti mereka berfikir yang aku sedang sibuk sehingga tiada masa untuk menjamu apa-apa.

Aku tiba-tiba terfikir akan nasib bonda di rumah. Entah apa yang terjadi ketika ini. Kebimbangan mula menyerbu hati.

"Cha!"

Laju aku berpaling ke arah suara itu. Suara yang memanggil gelaran nama manjaku. Habis segala lamunan menghilang pergi dari kepala. Seorang lelaki berpakaian kemeja kuning sedang berjalan menghampiri ke sini. Tanpa meminta keizinan, dia melabuhkan duduk di kerusi bertentangan denganku. Kami bertentang mata seketika.

Ameer. Rakan baikku merangkap jiran sekampungku. Hanya dia seorang yang menggelarkan aku dengan nama panggilan sebegitu. Satu-satunya rakan lelaki yang paling rapat denganku. Bak kata pepatah, best friend forever! Maklumlah dari umur tiga tahun lagi kami berkenalan. Haruslah rapat sehingga sekarang. Pernah juga orang kata yang kami ini adik beradik kerana wajah kami yang mirip. Mahu tergelak aku mendengarnya.

"Kau tak makan ke?" soal Ameer tatkala melihat meja yang kami duduki sekarang ini hanya dipenuhi buku. Sebelum dia mengangkat kepala memandangku.

"Tak. Diet," balasku ringkas. Mata kembali tertumpu pada buku Pengajian Am yang memaparkan bab Dasar Pembangunan Negara. Ulangkaji untuk peperiksaan yang bakal menjelang nanti.

"Diet apa benda. Badan sekeping macam tu." Hanya ketawa palsu yang mampu kubalas apabila Ameer berkata begitu. Apa lagi alasan yang boleh aku bagi? Mahu meminta wang darinya? Tidak perlu. Mengundang malu saja.

"Nah!"

Aku terpinga-pinga dengan huluran tiba-tiba dari Ameer. Meletakkan sesuatu di atas meja.

"Apa ni?" Naif aku bertanya kepadanya. Walaupun aku sudah ada sepasang mata untuk melihat sendiri.

"Tak nampak ke dia tulis apa? R.O.T.I." Ameer mengeja satu persatu apa yang diberi olehnya tadi. Aku ketawa kecil. Lucu dan terhibur.

"Aku tahu lah ni roti. Tapi kenapa kau bagi dekat aku?" Dalam pada bertanya, tangan lincah jua mencapai lalu mengoyakkan plastik roti. Perutku sejak tadi bergendang minta diisi. Orang sudah bagi, apa lagi. Rezeki tak baik ditolak!

"Sebab aku tahu kau belum makan lagi." Mendengar jawapannya, aku naik terharu. Terhenti seketika suapan roti ke dalam mulut. Aku memandang ke arahnya yang sedang ralit menatap skrin telefon. Dia stalk aku dari tadikah?

"Kenapa tak rehat dengan member kau?" soalku kembali. Roti sudah mencecah ke perut dengan selamatnya. Sekurangnya boleh juga dijadikan alas untuk sementara.

"Sebenarnya aku nak dating dengan girlfriend aku, tapi dia belum habis kelas." Ameer membalas tanpa memandangku. Langsung tidak menyedari yang ada sekeping hati yang terluka ketika ini.

Boleh tak kalau aku cakap, sebaiknya aku tidak mendengar jawapannya itu. Tapi aku tetap terharu kerana pilihan keduanya adalah aku setelah Fasiha, teman wanitanya berbanding bersama teman sejantinanya yang lain untuk meluangkan waktu rehat bersama.

"Betul ke aku dengar bonda kau kena serang strok?" Perhatian Ameer terarah kepadaku kembali. Mujur aku sempat meneguk air botol sebelum Ameer mendadak bertanyakan hal itu kepadaku. Dari riak wajahnya itu, nampak semangat untuk mengambil tahu.

"Kau dengar dari siapa?"

"Orang kampung," balasnya.

"Siapa?" Aku ingin tahu.

"Makcik Zaiton."

Seakan sudah ku agak jawapannya. Kenal sangat dengan si mulut murai itu. Walau segigih mana sekalipun ditutup tentang perkara ini, pasti akan bocor jua akhirnya kerana empunya nama yang disebut Ameer tadi. Duduk di kawasan kampung katakan.

"Kalau kau tahu dari dia, maknanya betullah. Dia tu kan kaki penyibuk hal orang." Dingin aku menjawab. Langsung tidak menafikan soalan yang Ameer ajukan tadi.

"Satu lagi, betul ke aku dengar yang kau pindah duduk rumah Pak Su kau? Then aku dengar lagi yang ayah kau..."

"Meer, semua yang kau dengar tu semua betul." Laju aku memintas tanpa sempat dia menghabiskan ayatnya. Kalau sudah berjumpa si penyebar berita, sudah pasti kesemua berita akan dicerita. Entah apa yang orang kampung sedang bergosip tentang keluargaku ketika ini. Aku pun malas ambil peduli. Lantak pi lah!

Aku mula mengangkat kepala memandang Ameer kembali bila dapat merasakan dia turut memandangku. Nyata benar, dia sedang merenungku dengan riak wajah yang cukup ku kenali. Simpati.

"Kau okey?"

Hujung bibirku sengaja diangkat. Melorekkan satu senyuman kepadanya.

"Mestilah okey. Ada nampak muka aku ni tengah tertekan ke?" balasku. Tidak mahu dia berfikir yang aku akan menjadi seperti yang dia fikirkan. Tambah pula, bila peperiksaan akan menjelang. Dia fikir aku tengah stres kot!

"Cha. Kalau kau rasa nak luahkan apa-apa, kau boleh luah dekat aku. Jangan pendam seorang diri. Aku boleh tolong kalau kau betul-betul perlukan bantuan."

Terpanar seketika. Sekali lagi, aku naik terharu dengan kata-kata itu. Ameer selalu begini. Kenapa dia perlu menonjolkan sikap prihatinnya pada aku? Tidak tahukah dia, aku boleh salah tafsir dengan layanannya yang sebegini.

Hanya seketika kami berpandangan sesama sendiri, bunyi deringan telefon pula menganggu. Terus laju pandangan Ameer jatuh menatap objek di tangan. Melihat siapa gerangan yang menghantar pesanan. Tidak lama, dia terus berdiri. Keningku mula bertaut bila dia berura-ura ingin meninggalkan aku.

"Kenapa?" Ameer memandang aku semula bila aku menyoalnya.

"Girlfriend aku nak jumpa," balasnya mudah.

Bibirku membulat, menandakan aku faham. Orang bercinta, mana boleh diganggu. Dia pun berganjak pergi dariku tanpa sebarang pamitan. Kelibat Ameer yang semakin menghilang hanya mampu ku tatap dari jauh. Tatapan sayu.

Tanpa dia ketahui, jantung aku ini selalu berdetak bila dekat dengan dia. Seperti sekarang ini. Rasanya sudah dapat dibaca apa perasaan itu.

Ya, aku mengaku aku sukakan Ameer. Malah lebih dari seorang kawan.

Tapi Ameer milik orang lain.



SEPULANGNYA ke rumah, aku menarik nafas panjang dahulu sebelum satu persatu anak tangga rumah aku daki. Sekadar untuk mengentalkan jiwa. Bagaikan tiada semangat untuk aku pulang ke rumah. Ungkapan rumahku syurgaku mungkin boleh diguna pakai untuk orang lain, tapi bukan aku.

Bagiku, rumah ini bukanlah syurga tapi tempat mendorongnya aku ke neraka. Kenapa? Kerana setiap kali jasad aku menjejak masuk ke dalam rumah ini, pasti moodku yang sedang baik ini akan menjunam jatuh dari tingkat dua puluh ke tingkat G.

"Dah balik?" Langkah aku terus terhenti di depan muka pintu bila mendengar suara sarkastik itu. Milik siapa lagi kalau bukan suara milik mak saudara kesayanganku yang ku gelar Mak Su. Sudah tahu, tapi bertanya lagi.

"Mak kau tu kencing. Hancing tahu tak." Tambah Mak Su lagi. Seolah sengaja ingin mengundang amarah sekaligus seperti mahu ianya bercampur dengan kepenatan yang aku rasai sekarang ini. Kaki aku orak ke arah ruang tamu yang sedang Mak Su duduki.

"Kalau hancing, kenapa tak basuh?" balasku kembali. Sedingin yang boleh.

Mak Su terus menoleh ke arahku dengan renungan yang tajam menikam. Mungkin marah dengan pertanyaanku itu.

"Tak ada maknanya aku nak basuh. Mak kau kan. Lagipun, menumpang buat lah cara menumpang."

Aku mengetap rahang. Siapa saja yang tak sakit hati bila mendengar kata-kata sebegitu. Memang kedengaran kejam, tapi sejujurnya aku sudah biasa dengan perangai Mak Su. Walau sudah biasa sekalipun, tetap juga akan menghadirkan angin monsun dalam dadaku.

"Aku harap lepas ni kau pulak yang sakit. Biar kau rasa, bila orang pula buat macam ni dekat kau," gumamku perlahan. Tapi aku tahu dia pasti dengar memandangkan tempat aku berdiri tidak jauh pun daripada Mak Su. Kurang ajar memang sifat semulajadi ku. Tidak mampu untuk aku buang. Apatah lagi bila berhadapan dengan orang sebegini.

"Kau doakan aku?" Kan dah kata!

"Haah, kenapa?" balasku kembali.

"Kau ni memang kurang ajar kan?" Mak Su mula mengangkat punggung dari kerusi yang dia duduk. Mungkin mahu menuju ke arahku.

"Apa bising-bising ni?" Datang satu makhluk berabad menaiki kerusi roda ke arah kami. Dua pasang mata kini terarah pada kehadiran seseorang yang menganggu perdebatan kami.

"Tengok dia ni, mak. Ada ke patut dia doakan orang sakit. Jahat betul mulut." Adu seseorang yang umurnya sangat jauh dari aku kepada ibu mertuanya. Rahang aku hampir jatuh.

"Seriously, benda macam tu pun nak mengadu? Maksu ni umur berapa? Kalah budak-budak," sinisku penuh kegeraman. Perangai Mak Su memang begini. Selalu nak membuktikan pada orang lain bahawa dia tidak bersalah dalam setiap pergaduhan. Walhah dia yang memulakan dahulu.

"Budak ni memang kurang ajar pun. Patutlah ayah sendiri menikah dengan orang lain. Isteri sendiri tak reti nak layan suami. Ada anak, biadap nak mati." Makhluk berkerusi roda mula bersuara. Dari segi ayat yang diluahkan, sudah pasti tahu dia menyebelahi siapa. Mari aku perkenalkan nenek yang paling aku sayangi. Sangat sayang sehingga tahap mahu saja aku potong kakinya yang hanya tinggal sebelah sahaja. Biasalah, kencing manis.

"Ayah saya tu anak Nekma jugak. Nekma dah lupa ke yang suami Nekma tu pun berkahwin dua? Eloklah tu, like father like son. Sama-sama gatal. Itulah, Tuhan panjangkan umur suruh banyakkan cari amalan jariah bukannya buat dosa bermarhalah. Nekma ni tak takut kena azab ke?" Entah kenapa, aku sangat suka membalas semula kata-kata mereka. Mungkin kerana dulu aku juara dalam pertandingan berdebat sewaktu di sekolah menengah.

"Kalau tak disebabkan aku duduk atas kerusi roda ni, dah lama aku cilikan mulut kau." Nekma pula naik angin dengan aku. Sampai tahap nak sumbat cili ke mulut aku padahal baru sikit kata-kata yang aku keluarkan.

"Nak buat? Silakan. Kita tengok siapa yang akan tumbang atas lantai nanti." Aku menghamburkan tawa halus sesudah itu. Sengaja mencabarnya.

Kalau nak tahu, sejak aku tinggal disini, mereka menolak sementahnya kehadiran aku dan bonda. Sebab memang dari dulu, aku tahu mereka sangat tidak menyukaiku. Tidak tahu kenapa dan entah apa salahku pada mereka. Jadi, apa yang aku dapat sekiranya aku berbuat baik dengan mereka?

Hormat? Sudah pasti aku akan menghormati mereka kalau mereka sendiri pun menghormati bonda. Hanya bonda sahaja. Mereka boleh benci aku sekalipun. Tapi jangan pada bondaku.

"Kalau aku report dekat suami aku, jangan harap kau boleh duduk sini lama lagi. Kalau dah kena halau nanti, jangan kau terhegeh merayu dekat aku." Ketawa aku pecah lagi. Lucu dengan kata-kata Maksu.

"Bukan sebelum ni pernah report ke? Apa jadi? Rissa masih duduk je dekat sini sampai sekarang. Nak tahu tak kenapa?" Mereka diam menunggu kenyataan seterusnya dari aku.

"Sebab suami sendiri pun tak percayakan maksu," sambungku lagi.

Mana mungkin Pak Su berani mengusirku dari rumah ini. Pak Su itu orang yang sangat baik dan rapat denganku. Malah aku menganggap dia seperti ayahku sendiri. Kadang aku berfikir, kenapa tidak dia saja yang menjadi ayah kandungku.

Mak Su terus mencerlung tajam ke arahku. Menahan marah.

"Eiii, kau ni kan Rissa..."

"Bla, bla, bla." Aku terus berlalu meninggalkan mereka berdua. Malas hendak melayan kerana mungkin bila aku teruskan lagi, aku mungkin kehilangan segala pahala dalam kepala kerana dihimpit dengan dosa.

Masuk sahaja ke dalam bilik, aku merentap kasar tudung dari kepala. Nafasku berombak kencang. Tahap geram tu, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tapi bila aku tenung sekujur tubuh yang terbaring elok di atas katil, kemarahan beransur pergi. Digantikan pula dengan kesedihan yang memaut hati.

Ya Allah.

Luluh hati aku melihat keadaan bonda yang seperti tidak terurus. Dengan tubuh yang dibaluti selimut basah terkena air kencing yang tidak mampu dia lepaskan di kamar mandi. Dengan baju yang tidak disalin sejak pagi tadi. Ini bermakna bonda belum mandi. Makan, apatah lagi.

Ini lah penyebab aku seminggu tidak datang ke sekolah. Dan ini lah sebab kenapa aku tidak sanggup meninggalkan bonda di rumah ini.

Aku melangkah mendekati bonda yang terkebil-kebil memandangku. Mahu menguruskannya.

"Ke..napa Ri..ssa bi.. a.. dap ma... cam tu?" Bicara bonda yang tersekat-sekat angkara bibirnya yang menyenget ke sisi. Pasti tadi dia dengar akan perdebatan aku dan birasnya sendiri.

"Rissa tak tahanlah, bonda. Dengan perangai dua beranak tu. Jijik sangat ke bonda ni sampai tak boleh nak uruskan sekejap? Geram betul lah."

Suara aku mula kedengaran getarnya. Air mataku hampir menitis melihat keadaan bonda seperti ini. Tapi sengaja aku kuatkan hati.

Selimut yang berbau hancing seperti yang dikatakan Mak Su tadi aku alihkan dari membaluti tubuh bonda. Sedaya upaya aku menahan air mata agar tidak mudah gugur di depan bonda. Aku tidak suka bonda melihatku menangis. Kalau diikutkan, sudah selebar empangan kenyir, air mata yang telah aku gugurkan. Hanya kerana bonda!

Aku mahukan bonda yang dulu. Yang ceria menyambut kepulanganku dari sekolah. Yang selalu heboh bercerita dengan aku. Yang selalu masakkan apa sahaja yang tekakku ini inginkan.

Tapi aku tetap bersyukur. Setidaknya Allah masih memberiku peluang untuk bersama dengan bonda walaupun keadaannya sebegini. Kalau bonda pergi, memang aku tidak akan memaafkan perbuatan ayahku sendiri.

Terus terang aku katakan, aku sanggup menghabiskan sisa hidup aku ini hanya untuk bonda. Menjaga dan merawat bonda.

Bonda aku adalah segalanya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro