Bab 4

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

BEG SANDANG aku campak ke atas meja bangku. Kepala masih rasa berdenyut sakit. Soalan yang keluar tadi, sejujurnya sangat sukar. Tapi mujurlah aku dapat mengingat kembali segala ilmu yang aku raih sepanjang berada di dalam kelas. Memang tadi, aku perah otak aku gila-gila!

Minggu ini adalah minggu peperiksaan STPM semestar dua. Jadi aku mahu memberi fokus sepenuhnya kerana tidak mahu mendapat keputusan yang rendah dan mengecewakan semua orang.

Pelajar-pelajar lain sedang sibuk mengemas peralatan dan memasukkannya ke dalam beg. Manakala pandangan mataku sedang tertumpu pada seseorang. Orang yang sedang menjawab panggilan. Agak lama, dan aku sendiri tidak sedar tingkahku sehingga aku terasa bahuku disentuh lembut.

"Kenapa kau tenung dia macam tu?"

Aku berpaling ke sisi. Azyyati bersama reaksi tertanya-tanya. Kemudian, dia turut serta menatap orang yang kurenung. Mahu mencari apa yang menarik sampai aku pandang dia sebegitu rupa.

"Tak adalah. Mira tu kaya betul. Setahu aku, dia bukannya orang berada. Tapi boleh pula dia pakai fon mahal macam tu," balasku.

Sebenarnya bukan Mira yang menjadi tatapanku. Tapi telefon di tangannya. Tiga bulatan dan semestinya jenama epal yang digigit. Aku tahu design itu adalah keluaran paling latest di Malaysia. Semestinya harga ribu riban. Untuk orang yang seperti Mira, agak aneh apabila dapat menggunakan gajet semahal itu. Bukan aku mahu memperlekehkan Mira, cuma tidakkah dia rasa itu adalah sebuah pembaziran?

Mira anak sulung. Ayahnya seorang penoreh getah manakala ibunya sudah lama tiada. Bayangkan, ayah Mira harus menanggung lima orang anak yang masih bersekolah termasuk Mira. Sudah pasti keluarga mereka mempunyai masalah kewangan. Malah sejak awal kemasukan kolej ini lagi, pemakaian Mira sendiri menceritakan nasib hidupnya. Segalanya lusuh dan selekeh sampaikan tiada orang yang mahu berteman dengan Mira.

Tidak setaraf agaknya. Kesian Mira.

Namun sejak belakangan ini, penampilan Mira berubah mendadak. Memang jauh berbeza dari dulu. Semua baru-baru. Ada juga dengar desas-desus yang dia sekarang sudah pakai barang branded. Perubahan yang mengejutkan sehingga menghadirkan rasa cemburu oleh sesetengah pelajar disini.

Azyyati merapatkan kepalanya ke arahku. Mahu membisikkan sesuatu.

"Aku dengar cerita, dia jadi escort girl."

Automatik dahiku mula berlapis.

"Escort girl? Apa benda tu?" soalku. Ingin tahu maksudnya. Tanpa sedar, suaraku melebihi paras yang sepatutnya.

"Shhh... kau ni perlahan lah suara tu sikit!" Azyyati terus meletakkan jari telunjuk ke bibirnya. Menegur tindakanku lantas kepalanya melingas memandang sekeliling. Mujur tak ada yang terdengar!

"Escort girl tu gadis pengiring upahan. Perempuan yang ditugaskan untuk teman seseorang. Biasanya orang VVIP akan guna perkhidmatan escort girl ni untuk datang majlis yang grand-grand. Sebagai teman katakan. Tapi... kalau urusan lain tu, aku tak tahulah," jelas Azyyati.

Oh! Baru aku mengerti maksudnya. Memang aku langsung tidak tahu apa-apa mengenai pekerjaan itu. Wujud juga eh? Tapi, tertanya-tanya juga...

"Berdosa tak?"

"Kau ni, sah-sah lah berdosa."

"Kenapa? Kalau seseorang tu terdesak perlukan duit sampai perlu gunakan cara macam tu, hukumnya masih berdosa ke?"

Bukan apa, aku sekadar mahukan kepastian. Mindaku sedang tertanya-tanya. Cuma gadis pengiring. Tugasnya hanya jadi peneman. Makan. Minum. Berbual. Dan selepas dapat bayaran, sudah boleh balik. Mungkin hanya itu saja.

"Aku rasa sebaiknya pergi tanya ustazah. Sebab aku pun tak tahu hukumnya. Tapi apa yang aku tahu, berduaan dengan lelaki yang bukan muhrim boleh mendatangkan fitnah dan orang ketiga. Kau faham-faham sendiri lah kan," balas Azyyati. Ya, ada benarnya juga.

"Lupakan pasal dia. Sekarang aku nak tanya, kenapa blok sebelah tu ditutup?"

Aku kini mematikan topik tadi. Kami berdua memandang ke arah blok yang diletakkan beberapa kon. Pelajar tingkatan enam disini dilarang memasuki kawasan blok tersebut buat sementara waktu. Tujuannya kenapa, aku tidak tahu. Banyak kali ponteng sekolah katakan. Jadi, aku banyak ketinggalan berita.

"Kau tak tahu ke? Sekolah kita nanti akan jadi tempat shooting drama apa benda entah."

Mataku membulat besar. Teruja.

"Serius lah? Gempak gila!" Macam tak percaya kolej ini dijadikan sebagai tempat penggambaran. Pasti famous nama kolej ini nanti. Tapi bila sebut tentang penggambaran, aku tiba-tiba teringat momen di warung Mak Cik Zaiton. Adakah mereka semua adalah team produksi yang sama? Maknanya...

"Pelakon dia siapa? Nama hero dia?" Entah kenapa, rasa ingin tahu mencanak naik. Siapa tahu ada kaitan dengan jejaka yang kujumpa beberapa hari lepas.

"Tak tahu. Tapi geng-geng kelas kita bagitahu heroin dia mungkin Seri Hidayah. Sebab dia ada post dekat instastory yang dia ada dekat sini."

Siapa pula tu?

"Aku tak kenal..." Sedikit kecewa dengan diri sendiri yang banyak ketinggalan berita.

Tanpa dipinta, Azyyati mengeluarkan telefon dan menekan sesuatu pada skrin. Setelah itu, dia menghalakan objek itu ke arahku. Gambar seseorang yang dipost di instagram kini menjadi perhatianku.

"Inilah Seri Hidayah. Pelakon baru. Nama dia tengah meningkat naik sekarang."

Oh! Seri Hidayah...

Cantik! Komenku dalam hati.

Aku ingin melihat foto yang lain pula. Siapa tahu, hanya foto yang tadi sahaja yang nampak cantik. Yang lain? Lantas aku kembali ke feed. Scroll ke bawah... dan aku tertarik pada sesuatu. Aku tekan foto tersebut dan dadaku berdebar tiba-tiba. Yes, inilah dia!

"Lelaki sebelah dia ni siapa?"

Telefon dihalakan kembali pada tuannya. Nama yang bakal disebut oleh Azyyati nanti adalah nama insan yang aku jumpa tempoh hari. Ya, jejaka di warung Mak Cik Zaiton.

"Kekasih dia, Faris Naufal."

Dan entah kenapa, keterujaanku turun menjunam dan hatiku kecewa tanpa sebab. Mereka pasangan kekasih? Jadi, jejaka itu sudahpun mempunyai teman wanita. Patutlah dalam gambar itu, mereka nampak mesra saja. Ah, Rissa! Apa yang kau harapkan? Bersatu dengan jejaka itu? Sedarlah diri. Golongan seperti mereka takkan pandang pun walau sebelah mata pada orang biasa seperti aku.

"Tapi aku dengar, Seri Hidayah tu kaki skandal. Belakang si Naufal, dah banyak kali curang."

Rasanya aku dah boleh agak bidang kerjaya yang Azyyati boleh ceburi. Dia boleh jadi wartawan. Dia boleh jadi perisik. Dia boleh jadi internet bergerak tanpa data.

Semua benda dia tahu!

"Tak baik lah, kau. Mana tahu tu cuma fitnah semata-mata," balasku meski tidak yakin.

"Naif betul kau ni. Tak layan X (twitter) ke?"

"Aku dah lama tak buka. Lupa password."

Aku sengih tak bersalah. Azyyati pula geleng kepala.

"Dia orang tu dah dua tahun bercinta. Sebelum mereka jadi artis lagi. Si Faris Naufal tu setia gila dekat si Seri walaupun banyak kali kantoi curang. Aku pun tak tahu kenapa yang lelaki ni boleh stay dan nakkan perempuan yang dah terang-terang main kayu tiga."

"Manusia. Bila dah dapat yang baik, selalu nak mempergunakan kebaikan seseorang tu. Bila dah ditinggalkan, mulalah mengemis cari kemaafan." Kata-kata yang spontan keluar dari bibirku.

"Betul, aku setuju! Tapi kan... kita ni tak nak balik ke apa? Seronok betul bergosip!"

Tatkala mengingatkan hal itu, aku terus melepaskan tawa. Betul juga. Sudah melarat dah ni. Orang lain sejak tadi sudah menghilang. Haih, jarang tau seorang Arissa nak melayan gosip-gosip seperti ini!

Tapi sekurang- kurangnya hari ini, aku tahu tentang dua benda baru. Pertama, tentang Faris Naufal.

Dan kedua...

Escort girl.

HABIS berborak dengan Azyyati tadi, aku tidak terus menuju ke rumah Pak Su. Sebaliknya, aku singgah ke sebuah rumah yang agak lama tidak ku jejaki. Rumah ayah. Ya, bekas rumah kami sekeluarga.

Tidak mudah sebenarnya untuk aku mengambil keputusan ke sini. Kalau bukan disebabkan mahu mengambil wang tabung, aku pun tiada hati mahu datang. Tapi hanya pada waktu sekarang sahaja yang terbaik. Ayah aku pasti tiada di rumah. Bekerja. Dia seorang pemandu e-hailing. Dan aku yakin, pasti hanya perempuan itu yang berada di rumah sekarang ini.

Aku mendaki tangga dan membuka pintu tanpa mengetuk atau memberi salam. Nyata, tidak berkunci. Haluanku semestinya terus ke arah bilik tidurku. Mungkin kerana bunyi tapak kaki berjalan, yang membuatkan isteri kedua ayah kini keluar menjenguk. Matanya sedikit meluas. Terkejut dengan kehadiranku.

"Aku datang nak ambil duit tabung aku." Lekas-lekas aku memberitahu tujuanku. Takut dia ingat aku nak serang dia pula. Nanti mesti nak mengadu pada ayah!

Setelah itu, aku meninggalkan dia dan memasuki bilik tidur. Aku membuka laci dan terus mengambil tabung milikku. Hatiku sedikit lega tatkala isinya masih berat. Bukan hanya tabung, aku juga mengambil beberapa lagi helai baju yang tertinggal disini. Maklumlah, tempoh hari aku tak sempat nak masukkan semua baju. Selesai urusan, aku keluar dari bilik dan bertembung semula dengan perempuan itu. Aku terus tayang muka dingin.

"Rissa tak nak makan dulu? Umi ada masakkan ayam masak kicap."

Sekejap... Umi?

"Sejak bila pula aku ni anak kau? Pandai-pandai pula nak gelarkan diri tu umi. Satu lagi, tak payah nak tunjuk baik sangat boleh tak? Menyampah! Kalau dah nama tu perampas, memang tetap dianggap busuk. Bonda aku kena strok, sebab kau! Sekarang ni, hidup keluarga aku huru-hara sebab kau. Dan kau boleh pula sesenang hati tinggal dekat sini? Rumah keluarga aku?!" Nada tidak berperikemanusiaan dari seorang Arissa.

Wajah perempuan itu berubah dan aku perasan air matanya mula bertakung. Dah mulalah tu!

"Ayah kamu tak salah, Rissa." Perempuan itu berkata kesal. Menyebelahi ayah.

"Memang dia tak salah. Sebab kau yang goda dia kan? Kalau kau bukan penggoda, mesti ayah aku takkan sesuka hati nak kahwin dengan kau."

"Tak apalah. Aku pun tak mahu lama-lama dekat rumah orang ni. Baik aku jaga bonda aku yang tengah strok tu daripada membazir masa dengan kau dekat sini. Minta diri dulu, ya? Jangan lupa, nanti bagitahu suami kau tu yang anak tak guna dia ni balik sebab nak ambil tabung aje. Bukan hantar tangkai sihir pemisah. Jangan risau, okey!" sambungku. Sempat lagi hadiahkan senyuman yang penuh makna.

Haih, kalau ikutkan hati mahu saja aku smackdown perempuan ini. Dia, punca kepada segala permasalahan aku. Dasar perampas!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro