Bab 33: Nama Anak

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

KEADAAN biliknya bersepah dengan peralatan mekap yang pecah dan bertaburan di atas lantai. Bantal yang sudah terkeluar isinya bersepah di setiap sudut bilik. Pasu bunga yang berada di atas kabinet pecah berderai meninggalkan serpihan kaca yang kecil. Semua itu tidak dapat mengurangkan kemarahan yang melanda dalam dirinya.

Langkahnya mundar mandir di balkoni. Tangannya naik mengusutkan rambut yang kelihatan beruban sedikit. Perbuatannya terhenti apabila gegendang telinga menangkap deringan telefon. Dia mencapai telefon yang berada di atas katil sebelum kembali semula ke balkoni.

"Kau dah buat apa yang aku suruh?" soal suara yang menyapa dari hujung talian.

"Aku dah buat apa yang kau nak," balas Tengku Marina.

"Mana buktinya? Mana bukti perempuan tu mati?" jerit suara itu.

"Hei! Kau ingat aku ni pembunuh macam kau ke hah?" marah Tengku Marina. Dia tidak gila lagi membunuh orang.

"Kau lupa ke Marina? Kau yang mulakan semua ni! Kau sama aje macam pembunuh!" tuduh suara itu.

Tengku Marina mengetap gigi geram mendengar tuduhan yang tidak berasas. Dia bukan pembunuh. Dalam rancangannya, dia tidak berniat membunuh sesiapa. Dia mahu melihat Haliza menderita atas apa yang wanita itu lakukan padanya. Dia mahu Haliza sedar bahawa merampas semua kebahagiaannya merupakan satu kesilapan besar.

Dia juga tidak boleh melupakan bagaimana Haliza dan Khalid memperbodohkan dia selama ini. Mereka berdua berjaya mempermainkan perasaannya disebabkan itulah dia sanggup buat apa sahaja untuk membalas kembali perbuatan mereka. Biarpun anak-anak mereka menjadi mangsa. Dendamnya harus dilunaskan.

"Memang aku mulakan semua ni! Aku tak ada nak bunuh orang macam kau!" garang Tengku Marina membalas.

"Marina... Marina... Kau dan Haliza sama. Aku sangka Haliza tu dah kejam. Tapi kau lebih kejam dari dia. Kau nak tahu apa beza kau dengan dia? Haliza curi anak kau nak buat kau gila meroyan semata-mata nak hidup senang atas harta kau. Itu aje. Tapi kau? Apa kau dah buat? Kau..."

"Diam! Diam! Diam!" jerit Tengku Marina dengan amarah menggunung.

Suara di hujung talian sudah ketawa berdekah-dekah apabila mendengar wanita itu menjerit bagaikan orang gila. Memang tidak ada masalah Tengku Marina jadi gila sebab dia pernah berlakon jadi gila semata-mata mahu keluar dari rumahnya sendiri.

"Sebab tu kau kena ikut cakap aku sebelum rahsia yang kau simpan terbongkar depan anak-anak kau sayang."

"Aku dah cuba! Aku dah cuba pisahkan Rayan dengan Azalea semua tak berhasil! Rayan takkan percaya cakap aku!"

Tengku Marina sudah buntu untuk memisahkan hubungan suami isteri itu. Pelbagai cara dia lakukan untuk memecahbelahkan rumahtangga Rayan dan Azalea. Tetapi tidak berhasil. Dia tidak mampu menggoyahkan kepercayaan antara anak-anaknya. Walau pelbagai lakonan dibentangkan, Rayan masih lagi mampu meredakan ketegangannya dengan Azalea.

Dia fikir dapat memisahkan mereka berdua dengan senang kerana Azalea kelihatan senang tunduk pada sesiapa. Malah jarang membantah apa yang diucapkan oleh Rayan. Sebab itu dia berani menimbulkan kesalahan antara Rayan dan Azalea agar mereka jadi benci antara satu sama lain. Tetapi tidak!

Bukan Azalea yang tunduk pada suaminya. Tetapi Rayan yang tunduk pada isterinya sehinggakan anak angkatnya itu tidak dapat membalas kata. Seolah-olah kuasa sebenar terletak dalam tangan Azalea. Sebab itulah gadis itu dapat buat apa sahaja yang dia mahu di dalam rumah ini.

"Guna cara aku lebih senang," ujar suara itu.

"Aku tak nak!"

"Aku nak tengok apa agaknya reaksi anak-anak kau bila tahu mama kesayangannya lebih kejam daripada syaitan!"

"Baik! Aku ikut cara kau. Tapi kali ni aje aku tolong kau dapatkan apa yang kau nak." Tengku Marina terus bersetuju.

"Kau jangan risau. Aku takkan mungkir janji."

Panggilan terus tamat.

Tengku Marina terduduk di atas birai katil. Dia menyesal berkomplot dengan orang itu. Jika dia tidak menyambut tangannya, rahsia yang disimpan berpuluh tahun akan terbongkar. Dia perlu bertahan sehingga apa yang dia rancang berjaya walaupun Azalea jadi galang gantinya.

"Maafkan mama, Lea," gumam Tengku Marina sambil tersenyum sinis.

Pintu gelangsar ditutup kerana hari sudah menginjak tengah malam. Dia perlukan tidur yang secukupnya untuk melaksanakan rancangan mereka esok. Demi dendam, dia sanggup buat apa sahaja.

Haq berdiri di bawah balkoni bilik Tengku Marina melangkah keluar daripada situ. Sudah lama dia berada di situ atas arahan Rayan. Dia perlu jumpa majikannya untuk beritahu apa yang dia dengar tadi.

"TENGKU Marina berkomplot dengan seseorang. Aku tak dapat dengar perbualan mereka. Tapi berdasarkan apa yang dikatakan oleh Tengku Marina, dia sudah lama merancang untuk apa-apakan isteri bos," beritahu Haq.

Rayan tidak mahu percaya atas apa yang diucapkan oleh pengawal peribadinya. Apabila mengenangkan apa yang telah berlaku sejak mama tinggal di sini, pelbagai salah faham yang berlaku antara dia dan Azalea. Semuanya berpunca daripada Tengku Marina.

Tidak mungkin isterinya sengaja mencetuskan masalah dengan mama. Sedangkan awal-awal lagi Azalea menyuarakan tidak selesa dengan Tengku Marina. Dia kenal Azalea.  Kalau dah tak suka, isterinya takkan suka sampai bila-bila. Azalea bertahan sebab dirinya.

"Aku nak kau perhatikan dia dalam diam. Kalau boleh, kau jangan bagi dia dekat dengan Azalea. Kau boleh pergi dari sini," arah Rayan. Hanya itu sahaja yang mampu dia buat sekarang.

Haq beredar dari situ.

Apabila mengetahui niat sebenar wanita itu, Rayan jadi buntu. Dia terlalu percayakan Tengku Marina. Malah terlalu hormatkan wanita yang telah menggelarkan dia sebagai anak.
Masa dia berumur lima tahun, Tengku Marina itu mengambil sebagai anak angkat biarpun mama bakal menimbang cahaya mata sendiri.

Kehadirannya di dalam rumah agam itu mengejutkan Datuk Khalid. Tetapi lelaki itu menerimanya dengan baik walaupun hubungan mama dan papa sudah renggang saat itu. Dia cuba jadi anak yang baik untuk merapatkan mereka berdua. Keadaan bertambah parah apabila Datuk Khalid memperkenalkan Datin Haliza yang juga sarat mengandung.

Rayan tidak sanggup melihat Tengku Marina menangis siang dan malam gara-gara perbuatan suami membawa masuk wanita lain ke kediaman sendiri. Sejak itu, dia tekad untuk buat apa sahaja demi Tengku Marina.

Datuk Khalid dan Datin Haliza memalsukan kematian Azalea dan serahkan bayi itu kepada Sarimah. Tengku Marina hilang kewarasan atas kematian anaknya. Kemudian, dihalau dari rumah. Rayan tidak dapat menjejaki keberadaan wanita itu. Dia terpaksa ke luar negara atas paksaan Datuk Khalid.

Sebab apa Tengku Marina mahu mengapa-apakan isterinya? Sepatutnya wanita itu gembira anaknya masih hidup. Bukan mahu menghancurkan kebahagian anak-anak sendiri.

Azalea dan Damien berkongsi tarikh lahir yang sama. Hospital yang menyambut kelahiran mereka juga sama. Masa mereka melahirkan hanya berbeza lima minit sahaja. Seolah-olah mereka sepasang kembar. Jika dia tidak tahu mereka dilahirkan ibu yang berlainan, sudah tentu dia anggap isteri dan adik angkatnya itu kembar.

Atau mereka betul-betul kembar? Tetapi terpisah disebabkan ibu bapa sendiri?

Tak mungkin!

"Abang, Lea nak tidur." Suara isterinya menyapa telinga.

"Abang ingat Lea dah tidur."

"Lea mana boleh tidur kalau abang tak ada."

Rayan bangkit dari kerusi mendapatkan Azalea yang berdiri di muka pintu bilik kerjanya. Pinggang isterinya dipaut sebelum mereka berjalan beriringan masuk ke bilik tidur mereka. Dia membantu Azalea berbaring di atas katil sehingga isterinya selesa dengan posisi tidurnya.

Dia berbaring secara mengiring sambil mengusap perut si isteri yang sudah berusia lapan bulan. Tinggal dua minggu sepuluh hari sahaja lagi, mereka akan menimang cahaya mata. Antara takut dan teruja sudah menjadi satu. Siapa sangka dia yang sekejam syaitan mampu mempunyai sebuah keluarga.

Begini agaknya perasaan Noah saat bertemu dengan orang yang dicintai. Rasanya sahabatnya itu juga bakal menimang cahaya mata.

"Kenapa abang senyum-senyum?" soal Azalea.

"Lea masih ingat Noah?"

"Kawan abang kan?"

"Kami berdua ni boleh diibaratkan manusia paling kejam. Tapi semua dah berlalu. Masing-masing dah ada hidup sendiri bersama orang yang boleh terima sisi buruk kami."

"Maknanya, kawan abang dah kahwin?"

"Dia pun akan ada anak juga. Macam kita."

"Sekejam-kejam mafia masih ingin mencari kebahagiaan biarpun dah bunuh ramai orang," ujar Azalea.

"Mafia has their own rules, mi diosa. But, let's not talk about that. Abang nak tahu tentang anak kita ni macam mana hari ni. Dia masih menyorok lagi ke?"

"Setiap kali nak scan jantina mesti dia sorok. Dia ingat kita ni penjahat agaknya," balas Azalea.

Rayan ketawa. Seronok mendengar reaksi si anak yang suka menyorok jantina sendiri. Mungkin nak bagi kejutan pada dia dan Azalea.

"Baby pun nakal macam Lea."

"Mana ada. Nakal macam abang la," nafi Azalea.

"Abang harap sangat dia macam Lea. Semua yang baik-baik ikut Lea. Jangan jadi macam abang. Anak kita tak boleh jadi macam abang." Rasa pahit saat Rayan menuturkan ayat ini.
Memang itu harapan Rayan. Dirinya tidak boleh dijadikan contoh.

"Dia boleh jadi macam abang. Dia boleh jadi penyayang, prihatin, dan kuat macam abang. Suka melindungi orang yang lemah, ambil berat tentang perasaan orang dan setia pada orang yang dia sayang macam abang. Lagi satu, anak kita mesti ada mata kelabu macam abang." Azalea senyum.

Rayan memeluk erat bunga kesayangannya. Wajah Azalea dicium sepuas-puasnya. Hanya isterinya sahaja yang nampak kebaikannya. Bunga itu sahaja yang mampu mencari sisi baiknya biarpun telah melihat kejahatannya. Sebab itulah dia tidak mampu melepaskan isterinya walau apa pun yang terjadi.

"Sebab itu abang sangat sayangkan, Lea. You always see me as a good man."

"Abang... Kalau Lea jadi jahat, abang masih sayang Lea?"

Rayan menatap wajah isterinya. Senyumannya melebar di bibir.

"If you do something bad, I always bow down to you, mi flor. Lea terima abang yang macam ni. Macam tu jugalah abang akan terima Lea."

Azalea membalas pelukan suaminya. Tetapi hanya buat seketika dia merenggangkan pelukan. Ada satu persoalan yang bermain di fikirannya.

"Abang, kita nak letak nama anak kita apa?" soal Azalea.

"Hah?" Rayan tercengang.

Dia tidak terfikir tentang perkara ini. Kandungan isterinya sarat. Tidak lama Azalea akan melahirkan anak mereka. Nama anak sendiri belum difikirkan lagi.

"Abang pernah baca tentang pemilihan nama anak ni penting. Kalau maksud baik, nanti baik jugalah untuk dia. Nanti kita fikir lain kali, Lea. Kita pun tak tahu dia lelaki ke perempuan."

"Kita pilih nama lelaki satu dan perempuan satu."

"Nanti abang cari nama apa yang sesuai. Dah tidur. Dah lewat malam dah ni."

Nama anak. Masalah besar juga ni. Dia nak tanya pendapat siapa agaknya?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro