Bab 35: Diekori

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"ABANG rasa Ian jadi macam tu sebab Lea ke?" soal Azalea.

Dia ceritakan segala-galanya apa yang terjadi pada Rayan sebaik sahaja suaminya pulang dari kerja. Dia rasa bersalah atas apa yang terjadi Ian. Remaja itu dibuang sekolah kerana mempertahankan diri. Dia yang menjadi penyebab Ian berani melawan mereka.

"Kenapa Lea yang salah? Bukan Lea yang ajar budak tu pukul orang, kan?"

Azalea terdiam. Dia tidak pernah beritahu Rayan bahawa Ian belajar cara mempertahan diri dari Haq. Dia yang memaksa pengawal peribadi itu mengajar Ian. Kalau suaminya tahu, pasti dia kena marah. Lebih baik dia diamkan diri sahaja.

"Tapi Lea puas hati bila dapat tahu Ian pukul balik pembuli dia."

"Lea suka Ian pukul pembuli dia?"

"Dah lama Ian kena buli. Datin Haliza tak pernah pedulikan tentang anak dia. Bila dapat tahu anaknya kena buli teruk, terus berubah muka dia. Sekarang baru nak sedar yang dia penyebab anak dia terseksa. Padan muka!" ujar Azalea meluahkan perasaan senang apabila melihat wajah terkejut wanita itu.

Dalam diam, Rayan menarik nafas lega apabila Ian sudah berhenti datang ke sini. Dia takut remaja itu akan lebih terpengaruh dengan perkara tidak baik. Lebih-lebih lagi Azalea sendiri yang mengajarnya. Risau budak tu jadi mangsa berubah kepada pembuli.

"Lea, dah siap ke belum?" Rayan terus menukar topik. Malas berbahas tentang orang yang tiada kaitan dengannya.

"Dah. Tapi abang..."

"Kenapa pula?"

"Lea tak dapat nak zip gaun ni," adu Azalea.

Rayan senyum melihat gelagat si isteri yang terkial-kial mahu menarik zip di belakang. Sempat dia mencium belakang badan isterinya sehingga meninggalkan kesan merah. Dia menarik zip ke atas. Azalea pantas berpaling ke arahnya.

"Abang nanti orang nampak la."

"Ada dalam baju Lea. Bukan dekat luar. Dah jom keluar."

Baru sahaja mereka memijak tangga terakhir, Tengku Marina keluar dari bilik.

"Rayan dan Lea nak pergi mana ni?" tegurnya untuk beramah mesra. Seharian dia berada di dalam bilik kerana tidak mahu bertemu Datin Haliza. Kalau dia buat kacau, nanti Rayan akan mempersalahkan dirinya pula.

"Kami nak keluar sekejap."

"Ke mana?"

"Abang cepatlah!" gesa Azalea.

"Kami pergi dulu."

"Hati-hati memandu."

Tengku Marina senyum. Dia hanya menghantar mereka di muka pintu. Pengawal peribadi dan seorang lagi sekretari Rayan juga menyusuli anak-anaknya. Ini bermakna dia hanya tinggal seorang sahaja di rumah. Sebaik sahaja kereta mereka menghilang dari situ, Tengku Marina mendail nombor seseorang.

"Mereka dah keluar," beritahunya.

"Bagus. Kau cuma tunggu dan dapat berita dari mereka aje. Lepas tu, kita buat hal masing-masing."

"Kau nak buat apa dengan mereka? Tak boleh ke kau tak libatkan Rayan?" soal Tengku Marina.

"Hei, Marina! Dia bukan anak kau. Buat apa kau risaukan dia. Lagipun, kau kutip dia sebab nak tutup semua perangai jahat kau."

Tengku Marina tidak dapat menyangkal kata-kata itu. Tujuannya untuk jadikan Rayan sebagai anaknya untuk menutup rancangannya. Dia mahu Rayan berpihak kepadanya setelah apa yang berlaku pada dirinya. Tetapi dia tidak sangka anak angkatnya memilih Azalea berbanding dirinya.

"Semua orang yang aku sayang dah tak ada. Mama cuma ada kamu, sayang."

BARANG keperluan untuk menyambut kelahiran anak mereka sudah banyak di beli. Dari baju, tilam, botol susu sehingga permainan dibeli oleh Rayan. Semuanya barang berjenama yang mempunyai kualiti yang bagus. Dia perlu sediakan yang terbaik antara yang terbaik untuk anaknya.

"Abang, kaki Lea lenguh. Nak duduk," adu Azalea.

"Kita duduk dekat sana."

Mereka duduk di atas bangku. Rayan melutut di hadapan isterinya. Dia menanggalkan kasut yang dipakai oleh isterinya. Dia urut sedikit untuk menghilangkan lenguh pada kaki Azalea. Orang yang lalu-lalang sudah menjeling ke arah mereka berdua. Ada juga yang berbisik seperti mereka ada buat salah.

"Abang tak payah la urut kaki Lea. Orang dah tengok lain macam." Azalea tidak selesa dengan pandangan orang awam berikan kepadanya.

"Biar la mereka nak tengok pun. Lagipun, abang buat macam ni bukan untuk mereka tapi untuk isteri abang juga."

"Mesti mereka ingat Lea ni manja."

"Lea memang manja pun. Sikit-sikit panggil abang. Sikit-sikit nak abang yang buatkan. Kalau abang tak ada, tak tahulah macam mana Lea nanti," bebel Rayan.

"Lea tak boleh hidup tanpa abang. Abang muncul dalam hidup Lea saat Lea hampir putus asa. Abang beri Lea harapan baru. Abang ajar Lea erti kepercayaan, kebahagiaan dan kasih sayang. Lea tak nak hidup sendiri. Lea nak abang sentiasa di sisi Lea."

Rayan bangkit. Dia duduk di sebelah isterinya.

"Kalau bukan sebab Lea, abang takkan berubah jadi baik macam ni."

"Abang dah baik."

"Abang baik dengan Lea aje. Sakit lagi kaki Lea?"

"Tak."

"Kita balik ya? Rasanya dah banyak barang kita beli."

SEPERTI biasa, Haq dan Hud akan mengekori kereta Rayan dari belakang dengan jarak tiga kilometer sahaja. Dia memperlahankan kereta kerana lampu isyarat sudah bertukar warna oren. Saat dia mahu berhenti di belakang kereta majikannya, sebuah kereta warna kelabu memotong dari arah sisi. Haq terpaksa memberhentikan kereta secara mengejut.

"Orang Malaysia memang macam ni ke? Selalu potong line orang," bebel Hud.

"Macam la kau tu ada adab sangat bila drive," bidas Haq.

"Dia ni dah melampau. Sikit lagi nak rempuh kereta kita. Kalau tercalar Tesla ni, mampus  nak bayar dengan Rayan. Habis duit aku."

Dia memerhati kereta kelabu yang berada di hadapan kenderaannya. Cermin kereta gelap menyukarkan Hud untuk melihat siapa di dalamnya. Kalau dia tahu, boleh dia bagi nasihat sepatah dua.

Apabila lampu isyarat bertukar warna hijau, kereta di hadapan mereka tidak berganjak. Hampir sepuluh saat, pemandu kenderaan itu tidak bergerak. Haq sudah menekan hon diikuti dengan pengguna jalan raya yang lain. Dia cuba mengintai kereta yang dipandu oleh Rayan sudah jauh meninggalkan mereka di belakang.

Kereta kelabu di hadapannya mula bergerak. Tetapi perlahan dari yang dia sangka. Haq cuba memotong kenderaan itu. Namun, tidak berjaya kerana jalan sebelah kiri penuh dengan kereta. Dia tidak mahu membahayakan orang awam yang tak bersalah. Dia terpaksa mengekori kenderaan itu dari belakang termasuklah pemandu yang lain.

Haq sudah resah kerana tidak nampak Tesla yang dipandu oleh Rayan. Kenderaan di hadapannya mula menambah kelajuan. Dia memecut di jalan raya mencari kelibat kereta majikannya tetapi tidak jumpa. Dia menjeling cermin pandang belakang. Ada sebuah lagi kereta kelabu mengikuti mereka secara rapat.

"Ada orang ikut kita," beritahu Haq.

"Ya, ya, aku tahu."

Hud sudah bergerak ke belakang kereta untuk membuka kerusi penumpang. Dia mengeluarkan senjata yang sesuai untuk menumpaskan musuh yang sedang mengejar mereka. Bumbung Tesla terbuka. Hud memijak kepala kerusi kereta sebelum badannya dilonjakkan keluar dari bumbung kenderaan. Belakang disandarkan pada birai bumbung dengan kaki memijak kepala kerusi kereta untuk mencari keseimbangan.

Muncung senapang yang dihala ke arah kereta yang berada belakang mereka. Hud memasang alat penyenyap agar tembakan yang dilepaskan tidak menarik mana-mana orang. Senapang di tangan diangkat untuk mencari titik sasaran.

Cermin sisi kereta pecah berderai gara-gara tembakan Hud yang mengena. Dia jadikan tayar kereta sebagai sasaran yang seterusnya. Tembakannya tepat apabila kenderaan ittu mula hilang kawalan dengan merempuh kereta pemandu lain. Hud mengubah kedudukannya.

Bang!

"Sial!" sumpah Hud. Dia cepat-cepat turun dari bumbung kereta apabila musuh mereka menyerang balas. Kereta yang dipandu Haq hilang arah untuk mengelak dari tembakan tersebut.

"Kau dah call Rayan?" soal Hud.

"Tak dapat."

"Mereka dah rancang tapi kita yang lalai."

Cermin kereta diturunkan oleh Haq. Adik kembarnya itu sudah bersedia menjatuhkan kereta kelabu yang berada di hadapannya. Musuhnya itu tidak berhenti melepaskan tembakan membuatkan pemanduannya tidak stabil.

"Kau tahu bawa kereta tak?" marah Hud.

"Kau diam sebelum bersepai kepala kau nanti!" balas Haq.

Hud mendengus keras. Dia mengeluarkan muncung senapang terlebih dahulu sebelum menjengukkan kepala sedikit dari tingkap. Apabila pergerakan kereta dalam keadaan mendatar, Hud terus melepaskan tembakan. Musuh yang melepaskan tembakan tadi tumpas di tangannya. Hud menyasarkan tayar kereta dengan tepat membuatkan kereta kelabu itu terus terbabas merempuh tiang elektrik.

"Bos, kami kena kepung! Bos dekat mana?" soal Haq sebaik sahaja taliannya bersambung.

"Aku dekat..."

Boom!

Dalam sekelip mata sahaja kereta yang dipandu oleh Haq dirempuh oleh sebuah van dari arah sisi. Kenderaan itu tidak berhenti serta-merta sebaliknya Tesla ditolak sehingga merempuh ke penghadang besi. Panggilan dengan Rayan tadi terputus serta-merta.

Keadaan kereta remuk di bahagian sisi kiri dan kanan. Hud dan Haq sudah tercedera kerana tersepit di dalam kenderaan itu. Hud berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan keadaan bajunya basah dengan berdarah. Haq cuba mengekalkan dirinya agar sentiasa sedar. Tangannya cuba menyentuh perut yang terasa pedih. Serpihan cermin kereta tertusuk di bahagian sisi perutnya.

"Hud," panggilnya buat kali terakhir.

RAYAN memukul stereng dengan marah apabila panggilannya dengan Haq berakhir dengan satu bunyi rempuhan yang sangat kuat. Musuhnya menumpaskan mereka berdua terlebih dahulu sebelum mendapatkan dia dan Azalea.

Dia perlu fokus pada pemanduan biarpun risaukan tentang keadaan si kembar itu. Nyawa dia dan isterinya dalam bahaya saat itu.

"Macam mana dengan Haq dan Hud, abang?" soal Azalea yang jelas kerisauan. Bunyi yang dia dengar melalui panggilan tersebut sangat kuat.

"Abang tak tahu."

Rayan menjeling cermin pandang belakang. Terdapat sebuah kereta berwarna hitam yang sedang mengejar rapat dari belakang. Dia menambah kelajuan untuk menjarakkan jurang di antara mereka. Setelah mereka dapat tumpaskan Hud dan Haq, dia dan Azalea menjadi mangsa mereka seterusnya.

Bang!

Satu tembakan dilepaskan dari belakang seolah-olah mahu memberi amaran kepadanya. Kenderaan yang dipandu terhuyung-hayang ke kiri dan kanan untuk mengelakkan tembakan yang bertubi-tubi oleh musuhnya. Rayan mengacip gigi melihat kereta hitam masih dapat mengejar mereka dengan rapat.

Azalea memegang erat tali pinggang yang dipakainya apabila pemanduan suaminya jadi tidak stabil. Dia cuma tidak menunjukkan rasa panik dalam keadaan ini. Biarpun hati sudah berdebar hebat. Situasi ini bukan pengalaman pertamanya. Dulu, dia masih berani kerana hanya ada dia dan Rayan berbeza dengan sekarang. Azalea sangat risaukan keadaan dirinya sedang mengandung. Dia yakin suaminya tidak akan mengambil risiko untuk membahayakan keadaan mereka bertiga.

Ketiadaan Hud dan Haq dalam melindungi mereka buat hatinya jadi galau. Dia berharap pasangan kembar itu tidak apa-apa selepas semuanya berakhir.

Dum!

Kereta hitam di belakang Rayan mencucuk belakang Tesla yang dipandu olehnya dengan kuat. Akibat daripada perlanggaran itu, kenderaan Rayan bergegar kuat menyebabkan dia hilang fokus pemanduan. Gegaran itu membuatkan badan Azalea terdorong ke depan sedikit. Tangan Azalea berusaha memeluk perutnya sendiri untuk melindungi kandungannya.

"Lea tak apa-apa, sayang?" soal Rayan dengan penuh risau.

Dia hanya dapat melihat sekilas sahaja ke arah isterinya. Perhatiannya harus dicurahkan pada situasi itu. Dia perlu mencari cara untuk melepaskan diri daripada musuh mereka. Jalan penyelesaian yang tidak membahayakan Azalea dan anak dalam kandungan.

"Lea okey."

Kereta hitam tadi muncul di sisi Rayan. Penjahat itu cuba menghimpit kereta mereka dari sisi membuatkan Rayan hilang kestabilan mengawal kenderaan. Namun, dia tidak membiarkan mereka buat sesuka hati dengan membalas kembali perbuatan yang sama. Rayan kerap kali merempuh kereta itu dari sisi sehingga badan kenderaan itu jadi kemik. Setelah itu, dia kembali memecut laju mahu melepaskan diri dari musuhnya.

"Abang minta maaf Lea. Tak sepatutnya abang ajak Lea keluar malam-malam macam ni," ucap Rayan dengan penuh rasa bersalah. Sudah tiga bulan musuhnya menyepi, dia tidak menyangka mereka menanti dia dan Azalea pada malam ini.

"Bukan salah abang." Azalea cuba menenang hati suaminya yang sedang risau saat itu. Apa yang berlaku bukan salah sesiapa. Dia sendiri tak terfikir yang musuh mereka menanti saat mereka cuai begini.

Kereta hitam yang kemik tadi muncul kembali di belakang Rayan. Tembakan juga telah dilepaskan bertalu-talu ke arahnya. Dia terpaksa membawa kereta dalam keadaan bengkang-bengkok agar sasaran penjahat tidak mengena pada bahagian tayar atau di mana-mana sahaja. Rayan perlu melakukan sesuatu untuk menumpaskan mereka. Penanda jalan raya menunjukkan ada selekoh ke kiri kira-kira dalam 2 kilometer lagi.

"Lea, ambil pistol abang dalam dashboard," arah Rayan.

Azalea tidak menyoal banyak. Senjata yang dimaksudkan oleh suaminya diambil lalu diserahkan kepada Rayan yang memandu dengan sebelah tangan sahaja. Selekoh ke kiri hanya berjarak 500 meter di hadapan. Rayan menurunkan cermin kereta. Tesla yang dipandu membelok ke kiri lantas dia mematikan enjin dalam keadaan kereta masih bergerak. Saat itu, Rayan terus melepaskan tembakan yang bertubi-tubi ke arah kereta yang muncul bertentangan dengannya.

Tembakannya mengena tepat pada cermin hadapan kereta sehingga pecah berderai. Kenderaan musuhnya hilang kawalan terus melanggar sebatang pokok yang terletak di tepi jalan sebelah tangan.

Rayan menghidupkan enjin kereta kembali untuk mengawal Tesla yang sudah terkeluar dari garisan putih. Cermin kereta dinaikkan semula. Rayan terus menambah kelajuan kenderaan yang dipandunya.

Baru sahaja dia mahu menarik nafas lega, dua buah motosikal muncul mengejarnya dari belakang. Rayan mendecit kegeraman.

Penunggang motosikal tersebut mempunyai seorang penumpang. Setiap orang daripada mereka mempunyai senjata api yang akan menembak pada bila-bila masa. Penunggang motosikal itu dapat mengejar Rayan dengan mudah sambil mencelah dicelah-celah kederaan awam yang lain.

Bang!

Seperti jangkaannya, salah seorang daripada musuhnya melepaskan beberapa buah peluru dari arah sisi menyebabkan Rayan tidak dapat mengelak daripada serangan penjahat itu. Spontan Rayan melepaskan stereng untuk melindungi isterinya. Dia palingkan badan ke kiri dengan mengelakkan isterinya terkena peluru sesat.

"Abang, abang..." panggil Azalea.

"Abang tak apa-apa, sayang."

"Abang tak perlu risaukan Lea. Abang buat apa yang abang mampu." Azalea rasa bersalah kerana membuatkan suaminya tidak boleh melakukan sesuatu gara-gara dia.

"Abang takkan bahayakan Lea."

Rayan kembali mengawal Tesla yang sempat diubah kepada auto-memandu. Salah seorang penunggang motosikal berjaya mengikut rapat dari sisi kanan kereta. Rayan memulas stereng ke kanan dengan melanggar musuhnya ke tepi beberapa kali. Apabila melihat mereka dalam keadaan terhuyung-hayang, dia terus melepaskan tembakan ke arah musuhnya tanpa henti. Pembonceng belakang tumbang dari motosikal.

Dia kembali mengawal stereng dengan merempuh penunggang motosikal sehingga jatuh tergolek di atas jalan raya. Kini hanya tinggal sebuah sahaja lagi motosikal yang mengekorinya dari belakang. Rayan membuat pusingan U dengan tajam menukar arah bertentangan dengan motosikal yang meluncur laju di jalan raya.

Tanpa melengahkan masa, dia terus memecut ke arah motosikal tersebut. Apabila kenderaan semakin hampir, cepat-cepat Rayan brek secara mengejut menyebabkan berlaku pertembungan yang kuat.

Sekali lagi, Rayan melindungi isterinya dengan badannya sendiri.

Akibat daripada pertembungan itu, motosikal yang melanggar Tesla melantun ke udara sebelum terhumban di sisi jalan. Dua orang penunggang sudah terbaring di atas jalan raya dalam keadaaan tidak sedarkan diri.

"Lea tak tercedera dekat mana-mana kan?" soal Rayan. Badan Azalea diperiksa dengan penuh teliti. Dia menarik isterinya dalam pelukan kerana lega Azalea tidak apa-apa.

"Abang," panggil Azalea.

Dia ternampak sebuah van berwarna putih muncul datang dari sisi. Van tersebut langsung tidak memperlahankan kenderaannya. Malah lampu besar dipasang sehingga menyilaukan mata. Sebaik sahaja Rayan menoleh ke sisi, semuanya telah terlambat. Kedua-dua tergamam melihat maut yang muncul di hadapan mata.

Dum!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro