Bab 48: If You're a Devil, So Am I

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

AZALEA resah menunggu di dalam kereta yang diparkir jauh dari kawasan kilang yang terbiar. Sudah sejam setengah Hud dan Haq pergi menyelamatkan suaminya. Dia berharap rancangan mereka berjalan lancar seperti mereka tetapkan.

Namun, keadaan terlalu tenang buat dia tidak senang duduk. Cara mereka menceroboh kawasan musuh terlalu senang. Tidak mungkin Sarimah begitu bodoh membiarkan kawasannya dapat dimasuk dengan mudah. Pasti ada sesuatu yang dirancang oleh wanita.

Dia melangkah keluar dari kenderaan. Azalea tidak betah berada di dalam kereta dengan keadaan begini. Kawasan Azalea berada dikelilingi semak samun yang tumbuh meliar.

Bunyi cengkerik menyapa telinga. Dia keluar dari kawasan tersebut. Ada sebatang lampu jalan yang sudah malap tidak jauh dari tempat dia berdiri. Dari situ dia dapat melihat bangunan usang. Mungkin itulah kilang yang terbiar.

Langkahnya maju ke hadapan untuk mengikuti jalan yang digunakan oleh Had dan Hud tadi. Namun, tapak kasut pegun di situ apabila irisnya menangkap satu figura yang berdiri di bawah lampu jalan. Seorang wanita berambut panjang memakai kot panjang sedang tersenyum sinis ke arah Azalea. Dia kenal perempuan itu. Jururawat yang telah berjaya memperdayakan dirinya.

"Kau datang juga, Azalea. Aku ingatkan kau takut. Aku tak sangka Azalea yang lembik dah semakin berani."

"Kau... Sarimah?" soal Azalea.

Dia memerhati penampilan perempuan itu dari atas dan bawah. Jauh benar rupa Sarimah yang dulu dengan sekarang. Fizikal wanita itu sudah berubah jadi ramping. Wajahnya juga kelihatan muda dari sebelum ini. Pasti Sarimah melakukan pembedahan plastik untuk mengubah bentuk asalnya.

"Kau sepatutnya panggil aku, mak. Aku yang besarkan kau! Aku yang cuci berak kau! Aku yang bagi kau makan minum!" Sarimah bersuara keras.

"Kau bukan mak aku. Kau tu setan yang dera aku!" tegas Azalea membalas.

Ketawa Sarimah meletus apabila mendengar ayat yang dilemparkan oleh gadis itu. Azalea yang pendiam. Si anak angkat yang takut untuk bersuara. Bunga yang selalu layu setiap kali dipukul olehnya. Azalea yang tidak berani memandang ke arah mukanya.

Semuanya hilang. Azalea Medina di hadapannya sudah banyak berubah. Semakin berani setelah bebas dari cengkamannya. Malah semakin bahagia sejak kahwin dengan anak angkat Tengku Marina.

"Kau fikir kau dah menang? Aku nak tengok macam mana rupa suami kau dapat kau yang bodoh jatuh dalam perangkap aku. Tangkap dia."

Tiga orang lelaki muncul dari belakang Sarimah. Langkah Azalea mundur ke belakang apabila orang suruhan wanita itu datang menghampirinya. Dia menoleh ke belakang untuk melarikan diri. Tetapi konco-konco Sarimah muncul di belakangnya mahu mendekati Azalea. Dia sudah tiada ruang untuk melarikan diri. Sekali lagi dia buat keputusan bodoh. Kalau dia tidak keluar dari kereta, pasti dia tidak akan terserempak dengan Sarimah.

"Kalau kau nak jumpa laki kau, lebih baik kau ikut aku. Mana tahu kau nak cakap kata-kata terakhir pada laki kau sebelum kau mati," ugut Sarimah.

Badannya ditolak dari belakang supaya mengekori Sarimah. Azalea tidak mampu berbuat apa-apa selain mengikut langkah wanita itu. Mereka menuju ke kilang terbiar itu. Bunyi orang bertumbuk jelas di pendengaran. Azalea berharap suaminya dalam keadaan selamat. Saat dia tiba di hadapan pintu masuk, Azalea ternampak susuk Rayan sedang membelasah seorang lelaki.

"Ab-abang!" panggilnya.

"Lea..." Rayan mengetap gigi apabila melihat isterinya berada di dalam genggaman Sarimah.
Kalau dia marah sekalipun melihat Azalea di sini, isterinya tetap akan datang kepadanya.

Azalea mahu mengangkat kaki berlari ke arah Rayan. Tetapi rambutnya direntap kasar dari belakang oleh seorang lelaki. Azalea sudah mendesis kesakitan gara-gara cengkaman itu. Dia meronta-ronta mahu melepaskan diri walaupun cubaannya tidak bermakna.

"Lepaskan aku! Kau dah janji nak bagi aku jumpa suami aku!" jerit Azalea.

"Kau dah jumpa, kan? Buat apa kau pergi dekat laki kau? Kau tengoklah dia sepuas-puasnya. Aku bagi kau masa lima minit tengok dia. Sebelum aku tembak kepala kau," ujar Sarimah.
Pelipis Azalea ditekan oleh hujung pistol.

"Kau nak apa sebenarnya? Tak cukup lagi ke lepas apa yang kau dah buat pada isteri aku?" marah Rayan.

"Aku tak nak apa-apa. Aku cuma nak Azalea. Tapi kau! Kau ambil dia dari aku! Aku terpaksa ubah diri aku! Jual harta yang aku ada semata-mata nak dapatkan betina ni! Macam-macam aku buat untuk dapat Azalea balik. Kau selalu ada selamatkan dia!" Sarimah mencerlung marah.

Mendera Azalea adalah satu kepuasan baginya. Sehari tidak menyeksa gadis itu buat hidupnya rasa tidak bermakna. Tapi, lepas Azalea hilang satu hari. Gadis itu pulang dengan membawa satu perubahan. Azalea berani melawan dan menikam matanya. Dia tidak akan benarkan Azalea terlepas begitu sahaja selepas apa yang gadis itu buat. Lagipun, Tengku Marina sendiri yang menolongnya untuk dapatkan Azalea.

"Tengku Marina tu bodoh! Selamatkan aku selepas aku kena tikam dengan betina ni. Dia yang tolong aku dapatkan orang yang boleh bunuh Azalea selama ni. Dia takut nak bunuh orang. Sekarang kau tengok apa yang jadi pada Tengku Marina? Dia masuk penjara atas sebab rancangan aku. Bodoh! Tapi memang patut pun, kan? Perempuan tu angkuh sangat! Bodoh sombong nak balas dendam pada Haliza. Tapi diri sendiri yang masuk penjara!" Sarimah ketawa di hujung katanya.

Puas hati apabila dapat tahu Tengku Marina jatuh ke dalam perangkapnya. Dia berjaya membodohkan wanita itu semata-mata kerana dendam pada Datin Haliza.

"Kenapa aku jadi mangsa kau? Apa yang aku dah buat pada kau? Kenapa kau dera aku?" soal Azalea.

"Kenapa? Aku mulakan dari awal. Haliza suruh aku jaga kau dengan balasan dia bagi duit. Bila dia dah bahagia, dia terus lupakan aku yang penat jaga kau. Masa kau umur 12 tahun, aku jumpa Marina. Dia yang datang cari aku. Dia cakap kau ni anak Haliza. Betina tu bagi duit kalau aku bawa lari kau jauh dari mak kandung kau. Masa tu aku dah start benci pada dua orang perempuan yang buat aku macam orang suruhan. Sebab kau ada kena-mengena dengan mereka, aku dera kau sampai hati aku puas! Lama-lama jadi kebiasaan bagi aku."

"Itu aje? Sebab kau dera aku? Dan sekarang kau nak bunuh aku sebab aku dah bahagia?"

"Memang! Kau sepatutnya kena seksa di tangan aku buat selama-lamanya! Aku takkan benarkan kau bahagia! Sekarang aku nak kau tengok macam mana orang yang lindungi kau mati!"

Bang!

Beberapa das tembakan dituju ke arah Haq. Sarimah perlu membunuh lelaki yang selalu ada dengan Azalea. Pengawal peribadi itu rebah ke lantai apabila bahagian perut, dan bahu terkena peluru. Haq sudah mengerekotkan badan sambil mengerang kesakitan yang mencucuk badannya. Azalea hanya mampu mengacip gigi melihat lelaki itu rebah.

"Aku nak kau tengok macam mana laki kau mati secara perlahan-lahan. Buka mata kau luas-luas! Dan kau... kalau kau melawan sikit, kepala isteri kau pecah. Pukul jantan tu!"

Orang-orang suruhan Sarimah yang ditumbangkan oleh Rayan dah Haq kembali bangkit mengepung Rayan. Satu tendangan singgah di belakang badan Rayuan membuatkan dia terdorong ke depan. Irisnya bersambung dengan Azalea yang lurus memandangnya dengan mata yang berkaca-kaca. Rayan cuba mengukir senyuman untuk menenangkan isterinya. Tetapi air jernih itu telah pun mengalir pada pipi mulus itu.

"Abang... Jangan diam aje. Lawan. Pedulikan Lea..." ujar Azalea.

Tumbukan bertubi-tubi singgah pada perut Rayan membuatkan suaminya terbatuk -batuk sehingga memuntahkan darah. Rayan masih lagi gagah berdiri di situ. Dia terus memandang wajah isterinya tanpa mempedulikan tubuhnya menjadi mangsa serangan pihak lawan.

"Don't cry, mi diosa... Ugh!"

"Jangan macam ni, abang... Lawan la balik. Tak payah risaukan Lea..." rayu Azalea sambil menangis.

Kali ini satu terajang dilepaskan pada dada Rayan membuatkan lelaki itu rebah ke lantai. Penjahat itu memaksa Rayuan bangun sebelum menyepak kepala suami Azalea sehingga terteleng ke kanan. Rambutnya dicengkam kuat memaksa Rayan melihat isterinya sebelum perut Rayan ditumbuk berkali-kali. Tindakan penjahat itu membuatkan Rayan memuntahkan sejumlah darah sekali lagi. Namun, mereka masih tidak puas membelasah suaminya.

"Berhenti! Jangan pukul suami aku! Kau nak aku, kan? Kau pukul aku! Kau dera aku! Kau seksa aku! Macam mana kau buat dulu! Lepaskan suami aku! Kau dah janji, kan?" tempik Azalea.

Pang!

Satu penampar singgah di wajah Azalea membuatkan kepalanya terteleng ke kiri.

"Kau fikir aku akan lepaskan kau dan laki macam tu aje? Kau ingat aku bodoh! Malam ni, aku yang akan bunuh kau berdua! Biar anak kau pula, aku seksa! Hahaha..."

"Tak guna kau, Sarimah!" tempik Azalea.

Azalea naik minyak apabila anaknya disebut-sebut. Dia menepis pistol yang melekap pada tepi kepalanya. Dia meronta-ronta mahu melepaskan diri dari rambutnya dicengkam oleh orang suruhan Sarimah. Dia memusingkan badan ke belakang melihat gerangan yang memegang rambutnya. Lantas Azalea menyepak lutut penjahat itu sebelum menendang di bahagian sulit lawannya. Genggaman pada rambutnya terlepas.

Azalea menerkam ke arah Sarimah yang hanya berada lima langkah membelakanginya. Rambut panjang wanita itu ditarik sekuat hati membuatkan kepala Sarimah terdongak ke belakang. Saat itu, Azalea dapat melihat parut pada kelopak mata perempuan itu.

Namun, Sarimah memusingkan badannya menghadap Azalea. Rambut gadis itu dicengkam olehnya. Tetapi Azalea bertindak menghantuk dahinya dengan kuat pada muka perempuan itu. Sarimah menjerit kesakitan sehingga pegangan pada rambut terlepas. Akibat daripada itu, hidungnya sudah terasa meleleh dengan darah. Sarimah kesat dengan belakang tangan.

Pang!

Satu penampar singgah di pipi Sarimah buat wanita itu terpinga-pinga. Azalea sedang merenung tajam ke arahnya.

"Kau jangan sentuh keluarga aku! Kau jangan sebut nama mereka! Kalau kau nak bunuh aku, kau patut bunuh aku dulu! Bukan sekarang! Kau fikir aku takut ke? Tak! Aku tak pernah takut pada kau! Aku memang dah lama tunggu saat ni!" marah Azalea.

"Ja-jangan dekat dekat aku! Kau tengok apa? Pegang dia!"

Dua orang lelaki mengaut lengan Azalea dari belakang menghalang dia merapati Sarimah. Namun, hanya seketika sahaja dua penjahat itu rebah dengan tiba-tiba dengan dahi berlubang kecil. Satu-persatu, penjahat itu rebah ditembak oleh Hud dari atas bumbung. Tiada siapa yang perasan kehadiran lelaki itu di situ.

"Haq, sudah-sudah la berlakon. Kau tak kesian kan bos dan bini dia ke?" Hud bersuara. Dia tidak sanggup melihat keadaan majikannya sekarang ini.

Haq mendecit marah. Dia bangkit kembali untuk melawan konco-konco Sarimah. Tidak sanggup dia mendengar Rayan dibelasah tanpa henti dan suara tangisan Azalea.

Senapang yang tersangkut pada musuh yang telah mati dirampas oleh Azalea. Dia maju ke hadapan mendapatkan Sarimah bersama senjata di tangan.

"Ja-jangan dekat dengan aku!" Sarimah terundur ke belakang. Orang upahannya tumbang satu-persatu ditembak oleh Hud dari atas bumbung.

"Kenapa kau takut? Tadi kau berani sangat? Kau kata nak bunuh aku? Bunuhlah aku!" tempik Azalea.

Senapang di tangannya dilibas pada kepala Sarimah dengan kuat. Dahi wanita itu sudah berdarah. Azalea tidak puas hati melihat darah yang mengalir. Sudah banyak darah yang suaminya tumpah gara-gara betina ini. Malah Sarimah menyeksa Rayan tanpa belas kasihan sehingga baju yang suaminya pakai berubah warna merah. Buat apa dia kesian pada wanita yang hidup semata-mata mahu menyeksa dia?

Sekali lagi, senapang dihentak pada kepada dan badan Sarimah. Pistol di tangan perempuan itu terlepas dari genggaman apabila Azalea memukul tangannya dengan kuat. Wanita itu sudah mengerang kesakitan. Tetapi Azalea tidak peduli. Saat dia didera, perempuan itu langsung menghiraukan keadaan yang sudah terluka. Buat apa dia memberi simpati pada betina kejam seperti Sarimah?

"A-aku mi-minta maaf, Lea. Aku ni mak kau..." rayu Sarimah. Wajah sudah berdarah-darah. Dia tidak menyangka Azalea seberani ini mengambil risiko menyerangnya.

"Kau tu setan! Aku takkan maafkan kau sampai kau mampus!" jerit Azalea.

​Senapang ditala ke arah Sarimah. Tetapi wanita itu dapat menangkap dengan mudah. Dia merenggut senjata itu ke hadapan membuat Azalea terdorong ke arahnya. Seraya itu dia menendang perut Azalea sekuat hati. Gadis itu terbongkok kerana senak. Sakit disebabkan pembedahan kembali mencucuk badannya.

​Rambut Azalea dicekau dengan kuat lantas menolak badan gadis itu. Sarimah mencari pistol yang sudah terpelanting entah ke mana. Dahi Azalea terhantuk pada bucu dinding. Ada cecair merah mengalir pada wajahnya. Jari Azalea menyeka darah yang menitis pada mukanya. Keningnya bertaut melihat warna merah yang mencemari tangannya.

​Amarah mula menguasai Azalea. Serpihan bata sebesar tapak tangan dikutip. Dia meluru ke arah Sarimah yang sedang membongkok mengutip pistol yang terperosok di celah tong besi. Bata di dalam telapak tangannya dihentak kuat pada kepala wanita itu.

​Duk!

​Kepala Sarimah sudah berdenyut-denyut kesakitan dengan rambut terasa basah. Saat dia menoleh ke belakang, Azalea muncul dengan memukul mukanya pula. Hidungnya berdarah-darah. Matanya sudah berpinar-pinar. Azalea yang sedang memandang bengis ke arahnya sudah menjadi dua dan tiga. Serpihan bata ditala ke arah wajahnya sekali lagi membuatkan dahinya tersembur dengan darah. Tubuh Sarimah jatuh terlentang di atas lantai simen.

​Azalea menindih badan wanita itu. Bata di tangan tidak berhenti dihentak pada muka Sarimah sehingga berubah warna merah. Muka perempuan itu sudah robek dipukul oleh Azalea yang sedang mengamuk.

​"Kenapa kau buat aku macam ni? Kenapa kau seksa aku? Kenapa kau tak bunuh aku dari awal? Kenapa kau sakitkan orang yang aku sayang? Apa salah aku pada kau? Tak cukup lagi ke kau buat hidup aku macam ni? Kenapa?" jerit Azalea marah. Air mata bergenang di tubir.

​Bata di tangan di angkat setinggi-tingginya. Perasaan untuk membunuh Sarimah membuak-buak di dada. Sikit pun dia tidak rasa bersalah melihat wajah perempuan itu merubah merah. Tangannya yang sudah cemar dengan darah Sarimah akan mengambil nyawa perempuan itu.

​"Aku memang lemah. Tapi aku takkan diam bila kau sentuh keluarga aku. Aku sanggup jadi pembunuh demi orang yang aku sayang. Kau..."

​"Lea... Azalea... Azalea Medina..."

​Tindakan Azalea untuk menghentak muka Sarimah buat kali terakhir terhenti apabila namanya diseru oleh Rayan. Dia menoleh ke tepi melihat Rayan sedang menggagahkan diri untuk merapatinya. Luluh hatinya memandang wajah suami yang bengkak, luka dan berdarah di sana-sini.

​"Lea, dah... It's over, Lea," ujar Rayan.

​Saat itu, barulah dia sedar bahawa konco-konco Sarimah sudah tidak dapat bergerak lagi. Azalea melemparkan bata ke tepi. Dia bangkit mendekati Rayan yang kelihatan tempang sedikit. Keadaan suaminya diperhatikan dari atas sehingga bawah. Penuh dengan darah dan luka. Air mata mengalir pada pipinya.

​Jari Rayan naik menyeka air mata yang menitis di wajah isterinya. Matanya teralih pada dahi Azalea yang terluka sedikit. Sekali lagi bunga kesayangannya terluka gara-gara dia yang lemah. Macam-macam perkara yang terjadi pada isterinya. Dia memang tidak mampu menjaga Azalea dengan baik.

​"You hurt again. Abang gagal lindungi Lea..."

​Azalea menggeleng lemah.

​"Abang salah... Abang selalu lindungi Lea. Abang selalu tolong Lea. Dan sekarang Lea nak buat apa yang abang pernah buat pada Lea. Lea sanggup buat apa sahaja demi abang. Lea sanggup jadi pembu..."

​Rayan menekup mulut isterinya agar tidak dapat menyudahkan ucapan Azalea. Dia tidak sanggup mendengar perkataan itu keluar dari bunganya.

​"Biar abang sahaja yang jadi jahat. Abang tak nak Lea jadi macam abang. You should see beautiful things."

​"Abang lupa satu benda. Azalea Medina isteri kepada Rayan Edrise. Abang ajar Lea jadi kuat untuk pertahankan orang yang abang sayang. Jadi, Lea akan buat benda yang sama. Jahat abang, jahat Lea. If... If you're a de-devil, so am I."

​Azalea mengukir senyuman nipis. Sejak dia kenal Rayan, dia tidak pernah kisah apa yang suaminya buat. Dia mahu hidup bersama dengan lelaki yang dicintai. Dia mahu berada di sisi lelaki yang telah mengeluarkannya dari neraka. Jika Rayan pimpin dia ke jalan bahaya, dia sanggup redah bersama-sama lelaki itu.

​"Azalea Medina!" tempik Sarimah. Dia bangkit perlahan-lahan sambil memegang pistol di tangannya. Wajah berdarah mencerlung tajam ke arah pasangan suami isteri itu.

​"Kau fikir semuanya dah selesai? Aku takkan biarkan kau gembira!"

​Muncung pistol ditala ke arah Azalea. Dia perlu tembak kepala gadis itu kerana badan Azalea memakai baju kalis peluru. Namun, pandangan matanya sudah berbalam-balam kerana darah yang menitis ke dalam matanya. Sarimah tidak peduli. Jarinya menekan picu.

​Bang!

​Mata Sarimah terbuntang luas saat melihat Azalea sedang mengacukan pistol ke arahnya. Bahagian abdomennya terasa sakit yang mencucuk-cucuk.

​Bang!

​Satu das tembakan singgah pada perutnya sekali lagi. Pegangan pada pistol kian melonggar. Dia tetap gagahkan diri melihat ke arah Azalea yang sedang menembak ke arahnya. Ada tangan lain yang sedang membantu Azalea mencari titik sasarannya.

​Bang!

​Kali ini, sebutir peluru tembus ke dalam dadanya. Mata pandangan yang kabur jadi jelas. Irisnya bertemu dengan Azalea yang memandang garang ke arahnya. Gadis itu kelihatan kuat dan teguh saat menarik picu ke arahnya. Tiada sangsi dan ketakutan pada wajah polos itu.
Saat itu, dia sedar bahawa Azalea tidak pernah lemah. Dia yang beri peluang kepada gadis itu untuk bangkit melawannya.

Sarimah rebah di atas lantai serta-merta. Darahnya mula membasahi lantai. Dia menghembuskan nafas terakhir tanpa sedikit penyesalan apa yang dia pernah buat pada Azalea. Matanya yang luas terbuntang kaku sehingga jantungnya terhenti berdegup.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro