BAB 6: ABUSED

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

AZALEA berbaring di atas lantai mozek yang sejuk. Tiada selimut untuk menghangatkan tubuhnya. Kepalanya berbantalkan lengan. Dia mengiringkan badan ke arah dinding kaca untuk memandang kota raya yang sentiasa hidup sama ada malam ataupun siang. Kaca mata tidak lepas memandang langit yang sudah bertukar warna gelap kepada biru.

Dia tidak dapat melelapkan mata walau sesaat cuma. Ini bukan kali pertama dia tidak dapat tidur. Azalea sudah lali dengan dirinya sendiri. Namun, cuma hari ini hidupnya rasa tenang. Mungkin dia tidak perlu berjumpa dengan Sarimah. Dia tidak akan dapat makian, hinaan dan pukulan Sarimah. Dia lega buat hari ini.

Retinanya pegun memandang langit. Hilang bulan dan bintang di siang hari seolah-olah tidak pernah wujud. Tapi sebenarnya mereka ada. Sentiasa ada cuma hanya sesetengah orang sahaja yang menghargainya pada waktu malam.

Azalea bangkit daripada perbaringan. Lutut dirapatkan pada dada. Dagunya disangkut pada lutut. Matanya tidak lepas memandang langit yang dihiasi dengan awan putih yang gebu. Saat ini, dia rasa tenang. Buat kali pertama dia rasa tenang begini. Tapak tangan dilekapkan pada dinding.

Air jernih mula merembes keluar dari tubir mata. Jatuh membasahi pipinya yang masih terasa sakit akibat didera oleh Sarimah. Bukan fizikal sahaja yang terasa pedih. Tetapi fikirannya turut sama perit. Sampai bila dia terpaksa hadap dengan semua ini? Sampai bila dia perlu hidup begini? Alangkah senangnya jika dia mati.

Tapak tangan menyeka air mata daripada tumpah. Dia bangun. Matanya melilau di segenap ruang itu mahu mencari sesuatu yang mampu menolongnya saat ini. Kakinya mengelilingi setiap sudut bilik itu untuk mencari benda yang dia mahu. Azalea berhenti di hadapan meja. Dia menarik semua laci yang ada. Sebuah playar dijumpai di dalam laci itu.

Azalea mengambil alatan tersebut. Dia menggenggam kemas playar itu seolah-olah hidup dan matinya bergantung pada playar. Muncung playar menghala pada pergelangan tangannya.

“Azalea Medina.”

Suara garau yang menyeru namanya membuatkan tindakan Azalea mati. Dia memandang ke arah empunya suara itu yang sedang berdiri di muka pintu. Lelaki itu melangkah ke arahnya sambil menjinjit beg kertas lalu diletakkan di atas meja. Azalea dapat melihat renungan marah dari lelaki itu.

“Give me that thing,” arah Rayan dengan suara tegas.

Azalea menyorokkan playar tersebut di belakang badannya. Jejaka itu merapatinya dengan wajah yang serius membuatkan langkah Azalea mengundur ke belakang. Langkah demi langkah sehingga tulang belakangnya bertembung dengan dinding. Dia sudah tiada ruang untuk mengelak daripada lelaki itu.

Lengan si gadis disauk dengan kejap membuatkan Azalea mendecit kesakitan. Rayan terpaksa melonggarkan genggaman apabila tangannya hanya rasa tulang sahaja. Playar di tangan Azalea dirampas sebelum diselitkan ke dalam poket. Dia melangkah pergi dari situ tetapi terbantut di muka pintu.

“I doesn’t like my victim is not afraid of death. It will be no fun at all,” ucap Rayan tanpa menoleh.

Pintu bilik gelap dikunci semula. Dia memandang ke arah Haq yang setia berdiri di situ dari tadi lagi.

“Mana Hud?” soalnya.

“Dalam pejabat bos.”

Mereka berdua sama-sama masuk ke dalam lif. Haq menekan nombor sebelas. Dia menjeling majikannya yang berwajah serius daripada tadi lagi. Walau sekejam mana Rayan Edrise, lelaki itu tidak akan buat mangsanya kelaparan. Setelah kenyang, mangsa akan diseksa kembali. Perkara itu akan berulang-ulang sampai mangsa mengaku kesalahannya.

Lima tahun Haq berkerja dengan Rayan, ini kali pertama dia melihat mangsa lelaki itu dilayan dengan baik. Tidak diseksa malah tidak diugut seperti kebiasaannya. Adakah mangsa kali ini perempuan? Tapi layanan Rayan dengan mangsa lelaki dan perempuan sama. Tidak pernah menunjukkan rasa simpati. Kali ini lain.

Azalea Medina mangsa istimewa.

“She was abused.” Tiga patah perkataan keluar dari mulut Rayan.

Doom!

Bunyi hentakan kuat kedengaran. Lif bergegar sedikit. Rayan menjeling ke belakang. Matanya menangkap dinding lif yang sedikit kemik. Wajah pengawal peribadinya sudah merah padan menahan amarah apabila mendengar kenyataannya. Haq tidak pandai menyimpan perasaan. Apatah lagi berkaitan dengan penderaan.

“Arah aku untuk bunuh orang yang dah…”

“Kau dan Hud sama,” cantas Rayan.

Kerutan di wajah Haq hilang. “Kita semua sama.”

RAYAN tidak sanggup membaca laporan Hud mengenai Azalea Medina. Seorang gadis berumur 27 tahun diseksa dan didera oleh mak angkatnya. Gadis itu dijadikan anak angkat kepada Sarimah yang masih bujang ketika masih bayi lagi. Dia didera sejak boleh berjalan sehingga sekarang.

Tiada jiran yang berani melaporkan perbuatan Sarimah walaupun mengetahui perbuatan terkutuk itu. Tiada yang mahu bersuara atas nasib malang yang menimpa Azalea. Mereka hanya mampu melihat dan menunjukkan rasa simpati sahaja. Manusia lebih kejam daripada binatang. Manakalah Sarimah lebih kejam dari syaitan.

Azalea langsung tidak menyuarakan rasa sakitnya. Mulutnya dikunci rapat oleh Sarimah. Fikiran gadis itu mesti sudah diracuni dengan kata-kata wanita itu sehingga tidak mampu mempertahankan diri sendiri. Sebab itulah gadis itu tidak peduli sama ada dirinya diculik ataupun diseksa lagi.
Gadis ini hanya mangsa penderaan.

“Cik Azalea tak ada kena-mengena dengan Datin Haliza dan Datuk Khalid,” kata Hud.

“Lepaskan dia sebelum tengah…”

“Aku tak setuju!” bantah Haq dengan wajah merah.

“Kau boleh tak jangan jadi bodoh! Kita dah kurung dia! Kau faham tak?” marah Hud. Inilah dia tidak suka dengan abangnya sendiri. Tidak mampu mengawal perasaan apabila melihat orang lain didera walaupun bukan darah daging mereka.

“Sejak bila kita jadi baik, hah?” balas Haq.

“Habis kau nak seksa dia dekat sini lagi?”

“Kau dah siasat betul-betul ke pasal dia? Macam mana kalau dia tu…”

“Cik Azalea bukan Sumayyah!”

Lantang Hud melontarkan suara untuk memastikan abangnya sendiri tidak meletakkan apa-apa harapan pada orang lain. Bukan semua orang yang didera ialah Sumayyah. Dia sendiri perlu menyedarkan Haq bahawa Sumayyah sudah lari daripada hidup mereka.

Haq menyepak sofa untuk melepaskan amarah sebelum melangkah keluar dari pejabat Rayan. Dia tidak betah berada di situ lebih lama lagi.
Rayan hanya jadi pemerhati antara pergaduhan kecil antara dua-beradik itu. Ini bukan kali pertama dia mendengar nama Sumayyah.

“Lepaskan dia selepas dia habis makan,” ucap Rayan.

Irisnya tidak lekang memandang skrin komputer yang menunjukkan Azalea sedang makan. Kamera litar tertutup yang dipasang dalam bilik gelap membuatkan dia dapat melihat gerak-geri gadis itu sejak dari semalam lagi. Dia tahu yang Azalea tidak pernah melelapkan mata semalam.

Gadis itu didera dari segi fizikal dan mental sepanjang hidupnya. Sebab itulah Azalea rela pilih mati di tangannya daripada mati di tangan Sarimah. Sinar mata gadis itu sudah lama mati.

Rayan menarik nafas berat sebelum menutup skrin itu. Dia tidak mahu terlibat dengan masalah orang lain. Hidupnya sudah dipenuhi dengan masalah hidup dan mati. Dia punya matlamat yang tersendiri untuk membongkarkan apa yang Datuk Khalid dan Datin Haliza lakukan pada 27 tahun yang lalu.

“So, here I’m at RA’ED Corp. Accept your invitation.”

Damien melangkah masuk ke dalam pejabat Rayan. Matanya tidak lekang mengitari ruang kerja lelaki itu. Sangat mewah dan eksklusif untuk Rayan seorang. Sejak dia menjejaki empayar Rayan, ada perasaan kagum yang menyelinap dalam dirinya. Abang angkat yang dibuang keluarga kini berjaya malah kaya-raya. Jika dibandingkan dia yang hanya menumpang kesenangan arwah datuk.

Mereka berdua duduk di atas sofa sambil menikmati secawan kopi yang dihidangkan oleh Hud. Rayan menanti jejaka itu membuka mulut untuk mengatakan tujuan Damien datang ke sini. Pasti ada sesuatu yang Damien inginkan sehingga sanggup menjejakkan kakinya di sini.

“Aku takkan kahwin semata-mata untuk mewarisi harta arwah datuk,” ujar Damien. Dia meletakkan cawan di atas piring.

“Aku tetap akan balas dendam pada keluarga kau,” balas Rayan tenang.

“Kau boleh dapatkan semua yang kau nak. Aku dan famili aku akan berambus dari sini seperti yang kau nak.”

“Kau fikir semudah itu nak berambus dari sini walaupun Datin Haliza tak nak? Kalau keluarga kau sanggup berambus dari rumah agam tu, aku tetap aku buru sampai ke lubang cacing,” ugut Rayan tanpa rasa bersalah.

“Kenapa kau benci sangat pada keluarga aku?” soal Damien. Suaranya bergetar menahan marah. Pasti ada sebab yang kukuh membuatkan Rayan tekad mahu keluarganya terseksa.

“Kau dah tahu jawapannya. Buat apa kau tanya lagi? Mak bapak kau rampas kebahagian mama aku. Buat dia jadi gila. Lepas tu kau halau dia tanpa pengetahuan aku. Kau fikir aku boleh maafkan famili kau dengan mudah?” Gigi Rayan dikacip geram membuatkan tulang rahangnya terasa tegang.

Damien bungkam. Dia tahu tentang perkara itu. Tapi sengaja berpura-pura tidak tahu. Kemarahan Rayan terhadap mama dan papa lebih tebal dari yang dia sangka.

“Bukan kau tak tahu macam mana mama aku jadi gila, kan? Sejak Datin Haliza jejakkan kaki dalam rumah agam tu. Semuanya dah berubah. Datuk Khalid langsung tak pedulikan isteri dia yang meroyan disebabkan kehilangan anak. Mak kau sisihkan dia dari ke rumah pondok belakang rumah agam tu. Rampas semua hak mama aku. Tapi dalam keadaan dia macam tu, dia nampak kau yang kau tu anak dia yang masih hidup,” ujar Rayan.

Jiwa Damien terasa dirodok dengan belati. Pedih mendengar kenyataan yang keluar dari mulut Rayan. Dia terlalu mentah untuk mengetahui perkara yang berlaku dalam rumah agam itu. Apabila meningkat dewasa dia mula sedar.

Sejak dia boleh berjalan, dia suka mengekori Rayan ke mana jua Rayan pergi. Lelaki itu tidak pernah mempedulikan dia. Tapi Rayan tidak pernah melarang dia daripada ikut ke rumah pondok. Marina selalu melayan dia seperti anak sendiri sehingalah usianya mencecah 12 tahun. Segala-galanya berubah.

Pulang dari sekolah, dia terus ke rumah pondok untuk bertemu dengan Tengku Marina tetapi tiada. Semua pembantu rumah menguncikan mulut saat dia mengajukan soalan. Dia mahu bertemu dengan Rayan tetapi dilarang oleh mamanya. Keesokan harinya, barulah dia tahu yang Rayan sudah pergi belajar ke luar negara disebabkan papa. Dan dia tidak tahu di mana Tengku Marina.

Damien meraup wajah untuk menahan diri daripada tersungkur di hadapan Rayan.

“Kau takkan dapat ubah apa-apa, Damien.”

Damien bangkit. Dia membutangkan kembali blazer yang dipakai. Langkahnya diatur keluar dari pejabat Rayan. Memori yang dia hampir lupa kembali menjengah  fikirannya. Dia lupa bahawa dia pernah sayang pada Tengku Marina. Dia lupa yang dia pernah panggil Marina, mama sehingga Datin Haliza mengamuk.

Kewujudannya membuatkan Tengku Marina lagi terseksa kerana teringatkan anak yang tidak mampu dipeluk dan dicium. Dia sangka dia mampu jadi pengganti rupa-rupanya dia hanya jadi tuba dalam hidup Tengku Marina dan Rayan. Layakkah dia untuk mendapatkan kemaafan mereka?

Dia perlu fikir macam mana untuk menamatkan masalah ini. Hanya satu sahaja jalan penyelesaiannya itu cari di mana Tengku Marina dan siasat punca kematian arwah anaknya. Anak Marina yang berkongsi tarikh lahir yang sama dengannya.

“Cik Azalea nak masuk kerja,” beritahu Hud. Baru sekarang dia dapat menyampaikan perkara itu kerana tidak mahu mengganggu perbualan Rayan dan Damien.

“Let her,” ujar Rayan. Bukan urusan dia kalau gadis itu mahu masuk kerja seperti biasa dalam keadaan begitu. Lagipun, dia yang kurung Azalea di tingkat atas.

Rayan kembali ke meja mahu menyiapkan kerja yang terbengkalai. Banyak urusan yang perlu diselesaikan memandangkan dia sudah kembali di sini. Tangan yang sibuk menyelak helaian dokumen tersentuh tetikus. Skrin komputer menyala dengan memaparkan pergerakan Azale di dalam bilik gelap.

Bota matanya kaku apabila melihat gerak-geri gadis itu yang sedang menanggalkan pakaian. Jarinya pantas menekan butang off pada komputer. Ini bukan kali pertama dia melihat wanita berbogel. Tapi kenapa dia rasa bersalah melihat keadaan gadis itu begitu?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro