bab 44

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

DAHLIA ARISSA selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Tengku Syed Adam sendiri yang mengazankan anaknya sendiri. Mendayu sekali. Air mata Dahlia Arissa menitis lagi. Tanda kesyukuran pada Yang Maha Esa. Tetapi dia sedikit hairan apabila ahli keluarganya yang lain belum menjenguknya di situ.

"Abang, mana yang lain?" tanya Dahlia Arissa yang masih lagi lemah itu.

"Abang pun tak tahu, sayang. Kan sejak dari tadi abang temankan sayang je. Abang dah try call papa, tapi tak angkat. Abah dengan ibu baru je gerak dari rumah."

"Kalau boleh abang panggilkan dia orang semua ya. Termasuk mama. Tak sabar nak tunjuk anak kita ni dekat mama," pinta Dahlia Arissa sambil tersenyum.

Tengku Syed Adam sekadar mengangguk. Baru sahaja dia hendak melangkah keluar, muncul wajah Tan Sri Mokhtar. Namun kesan air mata yang masih bersisa di pipi Tan Sri Mokhtar membuatkan Dahlia Arissa dan Tengku Syed Adam berpandangan sesama sendiri. Apa yang sudah berlaku?

"Dahlia taulah papa happy sebab dapat cucu lagi, tapi janganlah menangis sampai macam tu sekali. Dah tak handsome dah..." seloroh Dahlia Arissa.

Namun reaksi daripada papanya amatlah memeranjatkan apabila tangisan papanya semakin menjadi-jadi. Tidak lama selepas itu, Daniel Amriza pula melangkah masuk. Turut menangis. Kalau dah kedua-dua lelaki ni menangis macam ni, mama pulak karang entah macam manalah. Bukan main excited dia orang ni bila aku dapat baby, bisik hati kecil Dahlia Arissa sedikit riang.

"Lia... abang ada benda nak bagitau ni," ujar Daniel Amriza perlahan. Air matanya masih laju membasahi pipi. Rasanya dia tidak pernah melihat abangnya menangis seperti itu.

"Mama mana? Kenapa mama tak nak masuk lagi?" Dahlia Arissa pula bertanya. Tidak menghiraukan kata-kata abangnya. Dia sebenarnya sudah tidak sabar untuk menunjukkan anaknya kepada mamanya itu. Kalau ya pun ada benda nak cakap, nanti-nantilah... getus hati kecilnya. Matanya memerhati pintu. Setia menanti kedatangan mamanya.

"Mama Lia dah tak ada," sambut Tan Sri Mokhtar.

Tengku Syed Adam sudah mula tidak sedap hati.

"Mama pergi mana?" Laju sahaja Dahlia Arissa bertanya. Baru pagi tadi mamanya ada mengikutnya ke hospital. Dan baru malam tadi juga mamanya berjanji tidak akan ke mana-mana sepanjang dia berpantang. Takkan mama mungkir janji pula?

"Mama... mama..."

"Kenapa dengan mama?" tanya Dahlia Arissa lagi apabila Daniel Amriza sudah tersekat-sekat untuk bersuara.

Tan Sri Mokhtar memeluk Dahlia Arissa yang masih dalam keadaan tertanya-tanya. Tengku Syed Adam yang sejak tadi mengendong anak mereka hanya menanti dengan penuh sabar berita yang bakal dibawa oleh keluarga isterinya itu.

"Mama Lia dah meninggal. Dia kena langgar kejap tadi," beritahu Tan Sri Mokhtar.

Dahlia Arissa melepaskan pelukan papanya. Kepala digelengkan beberapa kali. Dia tidak percaya.

"Tak mungkin! Papa jangan nak bergurau benda macam ni, pa. Mama dah janji nak tengok anak Lia!" bentak Dahlia Arissa. Matanya beralih pula pada suaminya yang sudah tergamam itu.

"Abang, tolong panggilkan mama."

"Dahlia, mama dah tak ada! Mama dah pergi tinggalkan kita..." celah Daniel Amriza pula.

"Lia tak percaya! Abang, tolong Lia abang. Lia nak jumpa mama. Tolong, abang..." rayu Dahlia Arissa kepada suaminya.

Tengku Syed Adam serba salah. Saat itu juga Tengku Syed Idris dan Tengku Najihah masuk. Mereka juga sudah tahu berita mengenai Puan Sri Melati. Tengku Najihah mengambil cucunya daripada pegangan Tengku Syed Adam. Bayi itu dicium penuh kasih. Perasaan terkilan mula hadir di dalam hatinya apabila teman baiknya, Puan Sri Melati tidak sempat melihat cucu mereka itu. Tetapi semua itu kerja Allah. Tiada sesiapa yang mampu menghalangnya.

"Ibu ada jumpa mama Lia tak? Dari tadi Dahlia tunggu mama ni tapi mama tak masuk-masuk pun..." tanya Dahlia Arissa seperti merajuk.

Pernyataan yang diungkapkan oleh papa dan abangnya masih disambut dengan perasaan tidak percaya. Kedua-dua ibu bapa Tengku Syed Adam beristighfar bila mendengar kata-kata menantu mereka itu. Tan Sri Mokhtar sudah pun bersandar di dinding. Kenapa Melati pergi dalam keadaan anak kita macam ni? Rintihnya dalam hati.

"Lia, dengar sini apa yang abang nak cakap. Mama kita dah tak ada. Tak ada! Mama dah meninggal dunia." Tegas Daniel Amriza sambil memegang pipi adiknya. Walaupun adiknya itu masih lemah, tetapi kebenaran itu tetap perlu diberitahu juga.

"Mama... mama dah meninggal? Mama dah tak ada?" ulang Dahlia Arissa lagi lantas serta-merta empangan di birai matanya pecah. Tubuh yang sememangnya lemah makin bertambah lemah. Baru malam tadi dia bersembang dengan mamanya. Patutlah lain benar butir bicara mama malam tadi.

"Kenapa mama cepat sangat pergi? Mamakan dah janji dengan Lia? Mama tak tengok lagi anak Lia. Lia nak jumpa mama. Lia nak tunjuk anak Lia pada mama..." rayu Dahlia Arissa sambil memeluk abangnya.

Tengku Syed Adam yang masih berdiri di tepi katil mengusap lembut bahu isterinya. Terlalu sukar untuk dia membayangkan gelora perasaan isterinya saat itu.

"Sabar, sayang... ni semua dugaan untuk sayang. Abang tahu sayang kuat," pujuk Tengku Syed Adam perlahan. Air mata yang hampir gugur itu cuba ditahan. Dia perlu kuat melawan perasaan sedihnya itu demi Dahlia Arissa. Ya, dia perlu kuat untuk isterinya itu. Teringat dia akan kebaikan arwah Puan Sri Melati kepadanya sepanjang dia bercinta dan berkahwin dengan Dahlia Arissa.

"Ibu akan jaga Lia," celah Tengku Najihah sayu. Cucunya itu diserahkan kepada Dahlia Arissa apabila diminta oleh menantunya itu. Melihat sahaja wajah anaknya, hati Dahlia Arissa meruntun pilu.

"Sayang, tokma dah tak ada. Tokma dah tinggalkan kita. Kesian anak mama tak dapat jumpa tokma, kan?" kata Dahlia Arissa teresak-esak sambil memandang wajah anaknya.

Tengku Syed Adam mengambil semula anaknya apabila melihat keadaan isterinya yang semakin lemah. Daun pintu yang ditolak dari luar itu memaksa mereka semua berpaling.

"Maaf encik, jenazah Puan Sri Melati sudah boleh dibawa pulang..." beritahu pegawai yang bertugas itu.

"Mama!!!" laung Dahlia Arissa sebelum rebah tidak sedarkan diri.











DAHLIA ARISSA bersandar lesu di kepala katil sambil matanya memandang sayu anaknya yang sedang nyenyak tidur. Tengku Syed Adam yang baru sahaja balik dari pengebumian jenazah arwah Puan Sri Melati sempat mencuri pandang wajah isterinya. Tanpa menunggu lama, dia terus masuk ke dalam bilik air untuk mandi. Selepas itu dia perlu bercakap dengan Dahlia Arissa. Tidak tegar rasanya dia membiarkan isterinya itu terus bersedih.

"Boleh ibu masuk?" Tengku Najihah bertanya setelah pintu diketuk berkali-kali dan terdengar suara serak Dahlia Arissa menyahut.

"Masuklah."

Tengku Najihah merapati menantunya itu. Hatinya turut dipagut hiba apabila melihat mata menantunya itu bengkak akibat menangis. Sedar sahaja dari pengsan, Dahlia Arissa sudah meronta-ronta untuk melihat arwah mamanya sehingga lupa akan kesakitan yang dihadapi setelah bersalin pada pagi itu.

"Dahlia okey?" Hanya itu sahaja soalan yang mampu ditanya oleh Tengku Najihah. Dahlia Arissa mengangguk lemah.

"Ibu akan jaga Lia dalam tempoh berpantang ni, ya."

"Terima kasih, bu," ucap Dahlia Arissa kepada mak mertuanya.

Air matanya gugur kembali. Melihat wajah Tengku Najihah membuatkan hatinya diamuk rindu pada arwah mamanya yang sudah pergi menghadap ilahi. Walaupun pemergian mamanya itu belum sampai dua puluh empat jam, tetapi rindu di dada sudah tidak dapat dibendung. Tengku Najihah memeluk menantunya. Dan di bahu Tengku Najihahlah Dahlia Arissa menghamburkan semula tangisannya.

"Jangan menangis, sayang. Ibu kan ada. Mungkin ibu tak dapat menggantikan tempat mama Lia, tapi percayalah yang ibu dah lama sayangkan Lia macam anak ibu sendiri. Ingat tu..." pujuk Tengku Najihah sambil membelai rambut menantunya itu.

Tengku Syed Adam yang baru sahaja keluar dari bilik air hanya memandang pilu kedua-dua wanita penting dalam hidupnya itu.

"Dahlah tu menangisnya ibu, sayang..." tegur Tengku Syed Adam. Lagipun tidak elok meratap orang yang sudah meninggal dunia.

Tengku Najihah melepaskan pelukan menantunya lantas berpaling memandang anaknya pula.

"Ibu ingat nak bawak kamu berdua dusuk rumah ibu je. Senang sikit ibu nak jaga Lia ni," cadang Tengku Najihah.

Tengku Syed Adam memandang isterinya. T-shirt putih disarungkan ke badan dan diikuti dengan seluar track hitam.

"Tak apalah bu, buat sementara ni kita orang duduk sini je dulu. Maisarah boleh jaga Lia. Lagipun Abang Amri cakap Mummy Melur akan sampai tak lama lagi, jadi dia pun boleh tengok-tengokkan Arissa..." terang Tengku Syed Adam.

"Ibu jangan salah faham pulak. Mama baru je meninggal, jadi macam tak sesuai je kalau kita orang tinggalkan rumah ni..." sambung Tengku Syed Adam lagi. Takut pula ibunya terkecil hati. Tengku Najihah mengangguk. Dia faham keadaan anak menantunya saat itu.

"Kalau macam tu, pagi-pagi ibu datang sini jenguk Lia. Nanti rindu pulak ibu dekat cucu ibu ni. Hah, Adam... siapa nama cucu ibu ni?" soal Tengku Najihah ingin tahu.

"Tengku Syed Muiz!" Serentak Tengku Syed Adam dan Dahlia Arissa menjawab.

"Okey jugak nama tu. Ibu nak keluar dulu, nak tolong apa yang patut. Dahlia rehat dan tenangkan fikiran. Jangan nangis-nangis. Lia kena kuat dan reda. Ingat, ibu sayangkan Lia," pesan Tengku Najihah lalu mencium pipi menantunya.

"Lia pun sayangkan ibu," balas Dahlia Arissa.

Tengku Najihah mencium dahi Tengku Syed Muiz pula.

"Muiz, cepat-cepat besar tau! Sebab nenek tak sabar nak main dengan Muiz," bisik Tengku Najihah sebelum berlalu.

Hilang sahaja kelibat Tengku Najihah, Tengku Syed Adam terus mengambil tempat yang ditinggalkan oleh ibunya sebentar tadi. Dahlia Arissa menginjak ke dalam sedikit untuk memberi ruang kepada suaminya.

"Sayang dengar apa yang abang nak cakap ni..." kata Tengku Syed Adam sambil memegang kedua-dua belab tangan isterinya.

Redup sahaja mata Dahlia Arissa memandang suaminya. Menanti kata-kata yang akan dituturkan oleh lelaki di hadapannya itu.

"Abang tahu sayang sedih atas kehilangan mama. Tapi abang nak sayang kuat, bukan untuk abang tapi untuk sayang jugak. Untuk anak kita. Sayang kena lawan perasaan tu. Bukan abang suruh sayang lupakan mama, tapi sayang kena terima hakikat yang mama dah tak ada. Dan sayang jangan lupa, sayang masih ada ibu dengan Mummy Melur..." ujar Tengku Syed Adam perlahan.

Dahlia Arissa menyembam kepalanya ke dada suaminya. Tangisannya terhambur lagi. Terlalu sukar untuknya menerima kenyataan yang mamanya telah pergi pada masa yang sama dengan kelahiran anaknya.

"Sabar ya, sayang. Abang tahu sayang abang ni kuat. Lagipun sayang tak kesian ke kat Muiz kalau sayang terus macam ni?" pujuk Tengku Syed Adam lagi.

Mendengar nama anaknya disebut membuatkan Dahlia Arissa mengangkat muka. Pandangannya menghala kepada putera sulung mereka.

"Mungkin sayang dah kehilangan mama tapi Allah dah anugerahkan Muiz untuk kita. Bukan sebagai pengganti mama tapi sebagai tanda ingatan kita pada mama. Sayang jangan nangis lagi ya." Tengku Syed Adam tidak jemu-jemu memujuk. Air mata yang mengalir di pipi isterinya diseka dengan jarinya. Satu kecupan sayang diberikan kepada Dahlia Arissa.

"Terima kasih, abang..." ucap Dahlia Arissa perlahan. Terasa sedikit kekuatan menjelma di dalam dirinya setelah mendengar kata-kata daripada suaminya itu.

Ya, aku perlu kuat. Aku perlu tabah menghadapi hari-hari mendatang tanpa mama. Sekurang-kurangnya, aku masih ada papa, Abang Amri, Maisarah, ibu, abah, mummy, daddy, dan yang paling penting suami dan anakku. Ya Allah, aku reda dengan ketentuan-Mu. Aku juga tahu Kau tidak akan menguji hamba-Mu ini di luar kemampuanku. Dahlia Arissa berbisik di dalam hati. Dengan perlahan pipi anaknya dicium penuh kasih.










QAISARAH merengek apabila pipinya dicium oleh Daniel Amriza. Maisarah menarik tangan suaminya supaya tidak mengganggu anak mereka yang baru sahaja hendak melelapkan mata itu.

"Abang ni, dia baru nak tidur tu. Karang tak pasal-pasal dia mengamuk. Tu kat luar tu, Abang Khalil nak jumpa abang tu," beritahu Maisarah kepada suaminya.

Sebelum keluar dari bilik dia mencium lagi pipi anaknya. Maisarah menggeleng-gelengkan kepala.

"Lama dah Abang Khalil sampai?" tanya Daniel Amriza kepada abang sepupunya itu.

Khalil Asyraf menggeleng lantas mencapai air Milo panas yang dihidangkan oleh bibik. Beberapa orang tetamu masih lagi kelihatan di halaman rumah. Lagipun sebentar tadi mereka telah mengadakan solat berjemaah di situ.

"Baru je. Maaf sebab abang tak dapat datang siang tadi. Abang ada emergency dekat hospital..." kata Khalil Asyraf sedikit perlahan. Dia mengetahui berita Puan Sri Melati meninggal dunia daripada bapanya sendiri, Dato' Kamal.

"Tak apa, Am faham."

Amir Haikal yang baru sahaja selesai makan di dapur menghampiri Daniel Amriza dan Khalil Asyraf. Seperti biasa dia bersalaman dengan Khalil.

"Macam mana aunty boleh kena langgar?" soal Khalil Asyraf ingin tahu. Walaupun peristiwa itu terjadi di hospital tempat dia bertugas, tetapi dia tidak tahu jalan cerita yang sebenar.

"Masa tu mama nak ambik handbag dia dalam kereta. Time melintas tulah mama kena langgar." Daniel Amriza memberitahu. Amir Haikal yang duduk di sebelah Daniel Amriza mengerutkan dahi.

"Tapi, kalau kawasan hospital selalunya mana ada kereta laju-laju," luah Amir Haikal tidak puas hati dengan kejadian yang menimpa emak saudaranya itu. Khalil Asyraf turut mengiakan kata-kata Amir Haikal. Daniel Amriza menarik nafas panjang.

"Masa kejadian tu aku ada nampak nombor plat kereta tu. Jadi aku terus buat report polis dan selepas asar tadi ada beberapa pegawai polis datang sini. Dia orang bagitau orang langgar mama dah kena tahan."

"Menurut kata pegawai polis tadi, orang yang langgar mama tu melarikan kereta curi. Tu yang dia kelam-kabut semacam sampai dia tak perasan dengan mama," cerita Daniel Amriza. Masih terbayang-bayang kejadian yang meragut nyawa mamanya siang tadi.

"Sabarlah, Am." Hanya itu yang mampu dikatakan oleh Khalil Asyraf.

Dalam masa yang sama matanya melilau mencari bayang Dahlia Arissa. Pasti Dahlia Arissa dirundung kesedihan, tambahan hari ini juga dia melahirkan seorang anak lelaki. Teringin sahaja dia bertanya mengenai Dahlia Arissa, tetapi mengenangkan suasana di dalam rumah itu masih diselubungi kesedihan, maka dia mematikan hasratnya.

"Dahlia macam mana?" Amir Haikal mula bertanya kerana sejak dia sampai ke rumah itu, kelibat Dahlia Arissa masih belum kelihatan.

Khalil Asyraf menarik nafas lega apabila Amir Haikal mengutarakan soalan yang bermain-main di dalam hatinya sejak tadi lagi.

"Dia okey. Cuma susah sikit dia nak terima semua ni. Diakan baru dapat baby, lagipun mama antara orang yang paling teruja nak tengok anak dia, tapi alih-alih mama tak sempat nak tengok pun," balas Daniel Amriza.

Amir Haikal mengangguk faham. Dia juga seperti Khalil Asyraf, ingin sekali melihat keadaan Dahlia Arissa. Cuma dia tidak punya kuasa untuk berbuat demikian.














Panjang sikit bab ni, Vote :))

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro