17

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Malam itu Yujun tidur dengan nyenyak bersama Seeun di dalam bilik. Namun suasana pada waktu malam ini tidak selalunya indah. Tiba-tiba sahaja dia terdengar bunyi ketukan pintu yang kuat dari luar sambil terpekik-pekik nama seseorang.

"BUKA SEKARANG, SEEUN! AKU TAHU KAU ADA DEKAT DALAM!"

Seeun tersedar dari tidurnya. Dia segera menuju ke ruang tamu meninggalkan Yujun seorang diri dalam bilik. Yujun pada mulanya mahu menemani Seeun tetapi dia dihalang bahkan Seeun juga menyuruhnya untuk menutup telinga kuat-kuat.

"BUKA PINTU NI SEBELUM AKU TENDANG!" Jerkah Tuan Park dari luar rumah. Seeun mengheret satu lagi laci meja untuk menghalang pintu tersebut daripada dibuka.

"KAU JANGAN JADI ANAK DERHAKA, SEEUN! AKU SURUH BUKA SEKARANG! INI RUMAH AKU!"

"BLAH LAH! TAHU PULA AYAH NAK BALIK RUMAH!"

Balas Seeun dengan nada yang kuat sehingga membuatkan Yujun terkejut. Dia melangkah keluar dari bilik untuk melihat keadaan Seeun yang berada di ruang tamu seorang diri. Yujun lihat wajah Seeun bercampur baur sekarang. Dia seperti ketakutan dan pada masa yang sama dalam kepenatan.

"BERANI KAU HALANG AKU MASUK YA! KAU MEMANG NAK KENA NI!"

"PERGILAH! PERGI! JANGAN DATANG SINI LAGI! SAYA BENCI AYAH!" Teriak Seeun menyebabkan suasana serta merta menjadi senyap dan sunyi. Tuan Park mendengus geram lalu dia berjalan meninggalkan rumahnya selepas dihalau oleh Seeun.

Anak mata Yujun terbuntang luas melihat Seeun terduduk lemah di hadapan pintu sambil menangis teresak-esak. Yujun terkaku. Ini kali pertama dia melihat Seeun menangis. Tangisan Seeun juga agak sayu... Pasti sudah lama dia pendam perasaan ini seorang diri.

Seeun perasan bahawa dirinya sedang diperhatikan oleh Yujun. Dia sedaya upaya cuba untuk berhenti menangis dan memberikan senyuman kelat kepadanya. Dia bangun dan menghampiri ke arah Yujun yang dari tadi terkaku seperti patung.

"Maaf sebab buat kau tak lena tidur." Ucapnya dengan suara yang serak. Yujun menggelengkan kepala. Dia mendekati Seeun lalu memeluknya dengan erat membuatkan Seeun terkaku buat seketika.

"Yu-yujun?"

"Nak peluk kau kejap. Mana tahu cara ni boleh tenangkan kau..." Ujar Yujun perlahan. Satu senyuman nipis terukir pada bibir Seeun. Dia membalas semula pelukan Yujun sambil mengusap rambut kawannya itu perlahan.

"Terima kasih..."

---------------------

Matahari terbit menyinari kawasan bandaraya Seoul. Cuaca pada pagi ini begitu baik. Selesai sahaja bersarapan, Seeun dan Yujun mula mempersiapkan diri untuk pergi ke sekolah. Seeun menuju ke biliknya untuk mengambil sedikit wang saku yang tadinya tersimpan dalam tabung kecil. Lalu duit tersebut diberikan kepada Yujun.

"Nah. Seperti yang aku janjikan semalam." Katanya membuatkan aktiviti Yujun terhenti buat seketika.

Yujun menjadi serba salah pula untuk menerima kerana dia tidak meminta pun duit itu daripada Seeun. Namun melihat Seeun seperti memaksanya untuk terima sahaja duit itu maka dia pun mengambil dengan penuh segan.

"Terima kasih," ucap Yujun segan. Seeun sekadar tersenyum kecil.

"Aku hairan dari mana kau dapat duit, Seeun? Bukankah kau tak kerja?"

Yujun bertanya dengan penuh rasa ingin tahu. Dia perasan bahawa hampir setiap hari Seeun membawa duit yang banyak untuk berbelanja di sekolah mahupun di luar. Malah setiap kali dia bekerja juga, Seeun pasti akan masuk dalam kedai untuk membeli sekurang-kurangnya satu barang.

"Aku kan pernah jadi model untuk syarikat besar dulu. Jadi duit yang aku ada ni hasil daripada kerjaya aku dulu lah," balas Seeun tenang tanpa memandang pun wajah Yujun di hadapannya. Dia masih leka meletakkan semua bukunya di dalam beg.

Yujun mengangguk faham. Dia terlupa bahawa Seeun pernah menjadi model dahulu. Tidak hairanlah dia ada banyak duit... Gaji model juga agak besar biarpun dia masih bergelar pelajar sekolah. Yujun segera menyandangkan beg sekolah di atas bahunya. Dia juga sudah siap memasang kasut sekolah. Kini dia menunggu Seeun untuk mengunci pintu rumah sebelum mereka berjalan menuju ke sekolah bersama.

"Terima kasih Seeun sebab ajak aku tidur dekat rumah kau. Sekarang aku rasa tenang sikit," ucap Yujun ikhlas. Sungguh dia amat terhutang budi pada Seeun kerana Seeun banyak membantunya ketika dia dalam kesusahan.

"Hal kecil sahaja. Aku tolong mana yang mampu. Cuma... Aku ada satu permintaan untuk kau."

Yujun agak hairan apabila Seeun berkata begitu. Lalu dia menyuruh Seeun untuk katakan sahaja.

"Apa dia?"

"Tolong jangan hilangkan senyuman daripada wajah kau. Aku nak kau merasai kegembiraan walaupun kau masih dilanda masalah. Aku nak kau tabah dan teruskan kuat untuk diri kau."

Terkedu Yujun dibuatnya selepas mendengar permintaan Seeun sebentar tadi. Dia tidak menyangka bahawa itulah permintaan Seeun. Ia agak pelik... Tetapi dalam masa yang sama ia juga adalah satu pesanan yang penting buat dirinya.

Yujun mengangguk kepala sambil tersenyum nipis ke arah Seeun.

"Baiklah. Aku janji aku tak akan hilangkan senyuman aku."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro