11 : Dance to Death

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

KERIUHAN yang senantiasa mengisi kesunyian di restoran itu sedikit pun tidak menganggu si gadis di ruangan atas restoran. Dia masih duduk berpeluk lutut di tepi jendela sambil melayan perasaan. Sudah berjam-jam lamanya dia berada dalam situasi ini.

     Tidak makan dan tidak mahu bergaul dengan rakan sekerja mahupun majikannya, Kak Jane. Sedangkan kekasihnya, Zaquan ingin datang berjumpa pun dia tidak mahu. Bila Kak Jane tanya, kenapa dia tidak mahu turun berjumpa kekasih hatinya itu. Pandai pula Laura menjawab, kononnya ada salah faham sedikit.

     Jika ia salah faham, mengapa sampai menangis tidak ingat dunia? Kenapa sampai tidak lalu makan dan minum? Puas dipujuk, diberi makanan kegemaran, tapi Laura tetap berkeras. Termenung entah apa, menangis atas masalah apa. Semua itu, sudah ditanya tapi dijawab dengan gelengan kepala sahaja.

     Laura mengeluh untuk yang kesekian kalinya. Air mata dilap menggunakan lengan bajunya sendiri. Ini baru sehari dia tinggalkan universiti dan cinta hatinya. Belum lagi bertahun-tahun. Barangkali, masa itu Zaquan sudah mempunyai anak dan hidup bahagia bersama pilihan keluarganya, Rhea.

     Beberapa meter di bawah sana, hanya Kak Jane sahaja yang kurang sibuk berbanding para pekerjanya. Masing-masing sedang melayan pelanggan yang datang hanya untuk berfoya-foya. Mahu buat macam mana lagi? Restoran ini turut memberikan khidmat layanan 'sentuhan' kepada sesiapa sahaja yang mahu.

     Kecuali Laura. Kak Jane amat bertegas melarang Laura melayan pelanggan lebih dari layanan seorang pelayan restoran. Cukup hanya Laura mengambil pesanan dan menghantarnya sahaja. Bagi Kak Jane, Laura masih mentah dan harus dilindungi. Pedulikan pekerjanya yang lain yang sudah menyerahkan segalanya kerana sejak awal lagi mereka itu sudah rosak.

     Seseorang menghumban sepucuk sampul surat yang agak tebal tepat di hadapan mata Kak Jane. Wanita itu mendongak memandang gerangan yang kurang sopan itu dengan pandangan tidak puas hati. Dia kembali menunduk memandang sampul surat tadi dengan senyuman sinis.

     "Aku cuti. Tiada layanan untuk..."

     "Bukan kau. Tapi gadis yang bernama Laura itu." Pintas lelaki tadi dengan suara angkuhnya.

     "Jika wanita lain yang kau mahukan, aku boleh bagi. Tapi, tidak Laura. Dia masih dara." Jawab Kak Jane, agak tidak kedengaran ramah di pendengaran lelaki itu.

     "Kau kenal aku atau tidak? Kalau bukan disebabkan aku, Lauren tidak diterima masuk ke asrama Universiti Edith. Aku datang ke sini cara baik, mahu memujuk Laura supaya menyambung pengajiannya semula. Bukankah itu yang kau mahukan?"

     Kak Jane pantas mendongak. Matanya dikecilkan ketika dia sedang mengecam wajah lelaki itu. Sesaat kemudian, dia mula tersedar. Lelaki itu merupakan penyelia asrama, Donny Miller. Lelaki yang pernah dia berurusan bersama semasa proses pendaftaran Laura ke asrama.

     "Ak... Aku bukan apa, Encik Miller. Aku kurang jelas tadi. Maaflah jika aku berkelakuan kurang sopan sedikit." Sampul surat yang dipercayai berisi sejumlah wang yang banyak itu dicapai lalu isinya dikeluarkan.

     Donny tersenyum senget. Memang dasar orang kelas bawahan! Bagi duit sahaja, terus berubah sikap.

     "Laura ada di biliknya. Dia susah sedikit mahu dipujuk. Harapnya, Encik Miller berjayalah pujuk dia."

     Donny sekadar mengangguk dan terus mendaki tangga naik ke tingkat atas. Aras yang menempatkan bilik-bilik para pekerja dan juga bilik-bilik tempat mereka memberikan segala yang mereka ada untuk kepuasan pelanggan.

     Sepanjang perjalanannya menuju ke bilik yang terletak di hujung sekali, telinganya sering kali disapa dengan bunyi-bunyi pelik dari dalam bilik di kiri dan kanannya. Donny tersenyum senget sekali lagi. Sememangnya, golongan bawahan tidak berpelajaran. Hanya tahu memberi badan sahaja untuk mendapatkan duit. Langsung tidak mahu berusaha seperti mereka-mereka yang datang dari kelas atasan ini.

     Ketukan pada pintu menyentak lamunan gadis itu. Laju-laju dia mengesat air matanya seraya berdiri mengangkat punggung. Pintu kayu dipandang. Pasti itu Kak Jane datang memujuknya lagi. Kedengaran tombol pintu dipulas. Memang niat Laura untuk tidak mengunci pintu agar lebih memudahkan Kak Jane ataupun rakan sekerjanya datang menjenguk.

     "Cepat benar kamu bertindak, Laura."

     Gadis itu bagaikan terpandang sesuatu yang menyeramkan. Serta merta tubuhnya mengeras kerana ketakutan. Sungguh, dia tidak pernah menyangka kehadiran penyelia asrama itu. Bukankah dia sudah lakukan apa yang disuruh? Mengapa penyelia itu datang lagi? Atas urusan apa pula kali ini?

     "Ap... Apa yang sir buat dekat sini?" tanya Laura ingin tahu.

     "Rasanya, kamu berhenti dari universiti tidak cukup Laura. Lihatlah, masih ada yang mencari dan bertanya tentang kamu terutama sekali Zaquan. Selagi kamu wujud, selagi itu Zaquan akan datang dan cari kamu. Sudah pasti lama kelamaan kamu akan beritahu dia perkara yang sebenar."

     Laura menggeleng-gelengkan kepala. Bawah mata mula terasa panas. Pantas, gadis itu melutut di hadapan penyelia asrama itu. Kedua belah tangan disatukan bersama seperti dia itu sedang merayu.

     "Tak, sir. Saya janji saya tak akan bagitahu perkara ni pada sesiapa! Semua orang termasuk Kak Jane dan Zaquan! Saya janji sir..."

     Gadis itu sudah banjir dengan linangan air mata. Tangisannya itu langsung tidak diendahkan oleh Donny. Lelaki itu malah santai berjalan mengelilingi Laura.

     "Ini bukan salah kamu, Laura. Ini berpunca dari Zaquan sendiri. Dia nampak apa yang tidak sepatutnya dia lihat! Tapi, kenapa pula kamu yang jadi mangsanya? Jawapan senang, Laura. Hanya petik perkataan 'status', saya yakin kamu faham."

     Tanpa diduga, Donny yang selamat berdiri di belakang Lauren tiba-tiba sahaja mencekup mulut dan hidung gadis itu menggunakan kain. Laura mula meronta-ronta minta dilepaskan apabila bau kuat menusuk masuk ke dalam rongga hidung. Baunya sahaja cukup tidak menyenangkan.

     "Jika orang bawahan seperti kamu mati, tiada siapa yang akan cari! Sebab kenapa? Sejak kamu dilahirkan lagi, kamu memang tidak berguna!"

      Rontaan Laura semakin lama semakin perlahan. Mungkin disebabkan bau yang kurang menyenangkan itu. Selepas beberapa saat menyedari gadis itu mula melemah, Donny melepaskannya. Laura diam menunduk tanpa sedikit pergerakan. Donny tunduk membisikkan sesuatu.

     "Pergi, Laura. Zaquan di bawah sedang menunggu kamu untuk menari bersama."

     Sejurus selepas itu, Laura tiba-tiba berdiri. Dengan langkah yang lembut dan pergerakan seperti seorang penari ballerina, Laura menapak keluar dari biliknya. Gelak tawa halus mula kedengaran sepanjang gadis itu menari hingga ke bawah. Sempat lagi gadis itu mencapai sebilah gunting.

     Sebelum Laura sampai di aras bawah, Donny terlebih dahulu bergerak keluar dari restoran itu. Beberapa minit selepas Donny keluar, kelibat Laura yang masih menari-nari itu mula kelihatan. Kak Jane yang sedang mengira duit, terhenti seketika. Dilihatnya Laura dengan kerutan di dahi.

     Setelah berasa jauh dari kawasan restoran, Donny memberhentikan langkah. Kain yang sudah dicampurkan dengan cecair ekstasi di buang ke dalam tong sampah berdekatan. Baru sahaja dia ingin membuka langkah, telinganya tertangkap jeritan Kak Jane.

     Tunjuklah kematian di hadapan umum. Jika si mati datang dari golongan bawahan, tiada siapa yang akan peduli. Kerana, kematian golongan tidak berguna adalah sesuatu yang diperlukan oleh sesebuah negara untuk mencapai kemajuan.





"AWAL kamu datang, Encik Miller!"

     Sapaan daripada orang di belakangnya membuatkan Donny tersenyum lalu pantas berpaling. Pelanggan yang ditunggu-tunggu telahpun tiba. Barang sudah tersedia, hanya tinggal wang sahaja.

     "Wangnya di mana, Encik Falco?" Donny terus bertanyakan perihal wang tanpa perasaan malu terhadap pelanggan. Ameer mengukirkan senyum.

     Salah seorang pengikut Ameer menyerahkan dua sampul duit kepada Donny sebelum mengangkat tiga buah kotak berisikan barang itu. Ketamakan semulajadi Donny kian menyerlah ketika dia dengan tidak sabar-sabar membawa keluar sejumlah wang yang banyak dari dalam sampul tersebut.

     "Cukup?" Ameer bertanya sekadar inginkan kepastian.

     "Cukup! Terima kasih, Encik Falco!" jawabnya tanpa memandang walau sedikit pun. Ameer mengangguk dan mula beredar pergi.

     Semasa melintasi satu lorong yang gelap tanpa sedikit pencahayaan, Ameer memberhentikan langkah. Tanpa memandang gerangan yang sedang berdiri di bawah kegelapan itu, dia bersuara.

     "Giliran kamu."

     Zaquan mengangguk faham. Cloak hitam panjang yang dia pakai dibetulkan sedikit sebelum dia membuka langkah menghampiri penyelia asrama itu. Segala keraguannya sudah terjawab. Apa yang dia saksikan tempoh hari, adalah benar.

     "Sir Donny..."

     Terkejut dengan kehadiran anak muridnya di situ, cepat-cepat Donny menyembunyikan sampul duit tadi di belakangnya. Dia berusaha mengawal air muka agar tidak terlalu ketara.

     "Jadi, betullah apa yang saya nampak sebelum ini." Zaquan memulakan bicara. Donny dipandangnya tanpa sebarang reaksi. Dia kecewa dengan prasangka baiknya terhadap penyelia itu.

     Pada mulanya, Donny masih beriak terkejut. Namun, mengetahui mungkin pelajarnya itu tidak mampu berbuat apa-apa. Membuatkan dia kembali tenang. Dia kembali mengira duit di hadapan Zaquan.

     "Sir, apa jadi dengan Laura?"

     Walaupun sukar untuk dia bertanya, tapi dia perlukan kepastian. Dia masih mempercayai bahawa bukan Donny yang membunuh kekasih hatinya. Donny terhenti mengira duit. Sebut sahaja nama itu, membuatkan api kebenciannya hidup secara meluap-luap. Jijik, dan nama itu tersangatlah hina di pendengarannya!

     "Aku buat ini untuk kebaikan kamu, Zaquan! Bangsawan seperti kamu tidak seharusnya bersama dengan perempuan bawahan yang datang entah dari celah mana! Dia itu seperti kain buruk, tidak seperti kamu yang sentiasa dibersihkan! Usah dipedulikan tentang perempuan itu lagi!"

     Zaquan terpana. Begitu selambanya Donny menggelar kekasih hatinya seperti kain buruk hanya kerana Laura datang dari kelas bawahan.

     "Sepatutnya, kamu yang aku hapuskan. Tetapi, mengingat kamu boleh mendatangkan faedah kepada ku, aku terpaksa hapuskan Laura!" sambung Donny lagi.

     Zaquan benar-benar tidak menyangka. Kematian Laura di hadapannya matanya disangka hanyalah bunuh diri. Tidak sehingga Donny membuat pengakuannya sendiri. Dia sudah tidak tahan lagi. Tanpa berkata apa-apa, dia menoleh ke kiri.

     Memberikan isyarat kepada seseorang yang berdiri di bawah gelap untuk datang menghampiri. Donny sedikit berkerut melihat gerangan yang dipanggil Zaquan itu. Orangnya kemas memakai cloak panjang berwarna hitam yang menutupi keseluruhan tubuhnya.

     "Siapa kau?"

     Sedaya-upaya Donny cuba mengecam wajah di sebalik topeng masquerade yang dipakai gadis di sebelah Zaquan itu. Gadis? Bagaimana Donny boleh tahu dia adalah seorang perempuan? Ini disebabkan bentuk tubuh dan kasut yang sedikit bertumit gadis itu.

     "Biar aku tambah sedikit. Ganjaran yang kau terima sebagai seorang pensyarah langsung tidak memuaskan pada kau. Begitu juga dengan memegang jawatan sebagai penyelia asrama. Sebab itulah, kau berusaha mencari alternatif baru semata-mata untuk mendapatkan wang yang lebih banyak."

     Donny semakin berkerut. Entah siapa gadis itu, datang datang sahaja terus berbicara. Dijelingnya Zaquan yang masih setia berdiri di sebelah gadis misteri itu. Zaquan sepertinya kenal siapa gadis itu.

     "Kau jadikan pelajar lelaki bangsawan sebagai kambing hitam untuk menutup kegiatan haram kau. Semuanya berjalan dengan lancar tak sehingga Zaquan sendiri yang menjadi saksinya. Agak sukar untuk kau hapuskan Zaquan, sebab itulah kau jadikan Laura sebagai mangsanya."

    "Kau siapa! Macam mana kau boleh tahu segalanya?" jerkah Donny dengan amarahnya. Semua tentang kerja kotornya telah diketahui oleh gadis misteri itu dan ianya jelas sekali telah didengari oleh Zaquan.

     Gadis itu perlahan-lahan mencabut topeng masquerade yang dipakainya. Senyuman sinis dilemparkan ke arah Donny. Lelaki itu berkerut dahi. Sepertinya, dia pernah ternampak gadis ini di mana-mana, tapi siapa dia?

     Bella tidak menjawab. Dia malah mengambil langkah menghampirinya setapak demi setapak. Donny dikejutkan dengan tembakan yang dilepaskan tepat di hadapannya. Mujurlah, ia tersasar jauh dari kakinya. Donny memandang gadis itu semula. Pelik!

     Setiap kali gadis itu melangkah setapak, setiap kali itu juga sedas tembakan dilepaskan. Donny bagaikan seekor ayam yang bakal dihabiskan oleh seekor serigala. Dia umpama seekor rusa yang sudah tidak boleh lari dari jerat sang harimau.

     Bella berhenti melangkah tapi tidak tembakan yang datang entah dari arah mana. Berdas-das tembakan dilepaskan namun ianya seperti disengajakan agar tidak mengenai mana-mana anggota badan Donny.

     "Pergi, Miller. Teman menari sedang menunggu kau untuk menari bersama."

     Alangkah terkejutnya Donny saat menyedari sepucuk pistol yang kini berada digenggam Bella. Si gadis memberikan senyuman penuh makna sebelum menarik picu.

     "Teman menari yang aku beri nama, kesakitan." Sejurus berkata sebegitu, Bella terus melepaskan sedas tembakan dan peluru tepat terkena di bahu kiri Donny.

     Erangan kesakitan lelaki itu mula kedengaran. Kesan tembakan ditekan bagi menyukarkan darah keluar dengan banyak. Donny jatuh terduduk. Tidak! Dia tidak mahu mati dalam keadaan begini!

     "Kamu tahu apa langkah seterusnya, Zaquan."

     Setelah itu, Bella beredar pergi meninggalkan Donny bersama-sama Zaquan di kawasan terpencil itu. Sempat lagi dia menyerahkan pistolnya kepada Zaquan. Dari kejauhan, kedengaran seseorang sedang menjerit memanggil namanya.

     "Zaquan!"

     "Sir Badri?" Zaquan berkerut. Adakah gadis itu yang memanggil Badri datang ke sini?

     Dengan segera, Badri mendapatkan Donny yang bermandikan darah itu. Dia turut membantu rakan sekerjanya untuk menutup kesan tembakan agar tidak mengeluarkan darah dengan banyak.

     "Apa yang berlaku, Zaquan?"

     Ketika dia hendak pulang ke rumah, dia menerima sepucuk surat yang mengatakan Zaquan dalam bahaya. Bimbang jika ada perkara yang tidak diingini berlaku terhadap anak muridnya, Badri bergegas ke lokasi yang diberikan oleh si pengirim.

     Zaquan tidak menjawab. Dia malah mendongak memandang langit malam. Terbayang akan wajah tenang Laura setelah kes ini diselesaikan.






SURAT khabar ditutup selepas membaca topik yang sedang hangat ketika ini. Apa lagi kalau bukan pasal kes Donny Miller yang dalam diam memiliki kilang pemprosesan ekstasi. Itu topik hangat yang pertama. Topik hangat yang kedua pula mengenai Aidan Badri.

     Ketika Badri sedang berusaha membantu Donny, ketika itulah pihak berkuasa datang. Donny diberkas dan Badri dipercayai adalah orang awam yang berjaya membongkar segala kegiatan haram penyelia asrama itu. Puas Badri menafikan, datang pula Zaquan yang mengatakan bahawa ianya benar. Badri ialah orang yang membongkar semua itu.

     Nama seorang Aidan Badri sekali lagi meningkat naik. Bukan sahaja di universiti, tetapi juga di seluruh pelosok Bandar Edith. Bella mengukirkan senyuman. Segalanya berjalan seperti yang dia rancang. Sebenarnya, dia yang mengirim Telegram itu kepada Badri dan mengarahkan Zaquan menjadi saksi kepada Badri.

     "Cik Catherine?"

     "Ya?" jawab Bella tanpa memandang. Lewat ekor mata, dapat dia lihat betapa bimbangnya Tristan kala ini.

     "Tolong jangan buat macam tu lagi. Saya tidak kisah kalau saya perlu melepaskan tembakan kepada sesiapa pun. Tapi, jangan minta saya lepaskan tembakan dari arah belakang cik seperti semalam."

     Bella tersenyum lalu menoleh memandang Tristan, salah seorang rakan penjenayahnya. Tristan merupakan bekas tentera yang selalu dihantar dalam misi-misi sukar. Kebolehan Tristan dalam menembak dari jarak jauh menjadikan Tristan antara orang terpenting dalam misi ketenteraan. Tapi, itu dahulu.

     Sekarang, Tristan merupakan orang hadapan Bella selain Benjamin.

     "Kalau itu yang awak mahu, Tristan."

     Tristan mengeluh lega. Semasa menerima misi semalam, dia terus menolaknya. Dia menolak bukan kerana dia tidak berani tetapi dia tidak bersetuju dengan lokasi tempatnya bakal melepaskan tembakan. Ia tepat di belakang majikannya, Bella.

     Jika dia tersilap langkah, boleh mati Bella kerana terkena berdas-das tembakan yang dia lepaskan. Dia sama sekali tidak mahu itu berlaku. Dia sayangkan Bella seperti adik kandungnya sendiri. Cukuplah dia kehilangan ahli keluarganya beberapa tahun lalu. Janganlah dia kehilangan Bella pula.

     "Macam mana dengan Zaquan?" tanya Bella sebaik ternampak kelibat Louis menapak masuk ke dalam ruang tamu.

     "Zaquan kembali belajar semula dengan bantuan Marcell dan Fakhrul. Pensyarah dia, Sir Badri pula tak henti-henti menerima panggilan daripada wartawan dan stesen televisyen." Jelas Louis tanpa tertinggal maklumat walau sedikit pun.

     Bella mengangguk-angguk faham. Dia kembali membuang pandang ke luar jendela. Penat pula menjalankan misi semalam sampaikan dia tidak boleh tidur.

     "Percintaan yang tidak diterima hanya kerana perbezaan identiti sosial. Saya kasihankan budak Laura tu," keluh Maya setelah lama merenung topik hangat dalam akhbar yang dibaca Bella sebentar tadi.

     "Dunia tidak salah langsung dalam soal ini. Yang salahnya, orang yang menghuni dunia itu. Mereka menganggap percintaan di antara golongan bangsawan dan bawahan seperti satu ritual. Jika tidak diputuskan, salah seorang akan dikorbankan." Ujar Brian pula. Dia turut bersimpati dengan nasib yang menimpa pasangan yang baru mengecapi kebahagian itu.

     "Jika penghuni dunia mempunyai perasaan yang sama seperti dunia yang dihuninya, mereka pasti akan menjadi pasangan yang bahagia selamanya." Sambung Louis sambil-sambil dia mengambil langkah menghampiri Bella.

     "Sebab itulah, kita yang perlu mengubahnya." Bella berkata setelah lama diam mendengar.

     Serentak Maya, Tristan, Brian dan Ameer menghampiri majikan mereka itu. Mereka turut memandang ke luar jendela, melihat keindahan dunia bersama-sama Bella. Kunci yang bakal membuka mata dunia untuk memperjuangkan hak kesamarataan masyarakat.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro