16 : The Question

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

JERITAN kapten keretapi yang memberitahu bahawa sekejap lagi keretapi bakal bergerak, langsung tidak diendahkan oleh gadis itu. Dia masih tidak mahu melepaskan tatapan matanya pada tajuk akhbar pada hari ini. Ada dua berita tergempar yang sedang heboh ketika ini.

     Pertama, sudah tentulah berkaitan dengan kebakaran yang menimpa isteri dan anak-anak Tuan Arlond. Berita yang kedua ini agak memuaskan kerana si pembunuh keluarga bangsawan Arlond ini telah ditemui bunuh diri di sel penjaranya sendiri. Apa yang membuatkan orang ramai sedikit ngeri adalah cara Udell membunuh dirinya.

     Dia tidak menggantungkan diri seperti kes-kes bunuh diri sebelum ini. Sebaliknya, Udell menamatkan riwayatnya dengan mencucuk sebatang pen yang tajam tepat pada leher lelaki itu. Pihak polis berkata, Udell masih boleh diselamatkan jika dia ditemui lebih awal.

     "Cik dengar atau tidak? Keretapi sudah mahu bergerak."

     Lamunan Bella terhenti serta merta. Badan dipusing menghadap Louis di belakangnya.

     "Maaf," ucap Bella lalu bergegas menaiki keretapi diikuti Louis.

     "Yang lain?" tanya Bella setelah lama menyedari ketiadaan rakan-rakan sepasukan bersama mereka berdua.

     "Mereka sudah lama mengambil tempat," jawab Louis seraya bergegas ingin membukakan pintu kabin buat Bella.

     Bella terhenti di ambang pintu. Tindakannya itu menyebabkan Louis berkerut dahi. Mereka salah kabin kah? Rasanya, tidak. Kabin 32. Ya, ini kabin mereka.

     "Saya lapar. Apa kata kita pergi makan dulu," cadang Bella dan hanya mendapat anggukan akur daripada Louis.

     Sempat lagi Louis meninggalkan beg pakaiannya di dalam kabin. Pintu ditutup rapat lalu dikunci daripada luar. Beg-beg pakaian Bella sudah lama dibawa masuk oleh salah seorang pramugara yang dia panggil semasa di luar tadi.

     Setibanya mereka di gerabak kafe, kehadiran mereka disambut mesra oleh seorang pelayan wanita. Kebetulan pada masa itu, meja kosong cuma tinggal satu sahaja lagi. Pelayan wanita itu lantas membawa Bella dan Louis untuk duduk di situ. Pesanan diambil seperti biasa sebelum si pelayan berlalu meninggalkan mereka.

     Sementara menunggu, Bella mengambil masa ini dengan membuang pandang ke luar jendela. Pemandangan di luar sana sungguh menenangkan hati sesiapa yang melihat. Ketenangan itu tidak bertahan lama apabila suara gelak ketawa mereka-mereka yang duduk di meja belakang Bella memecahkan perasaan itu.

     "Apa kau lupa perlawanan tahun lepas? Kuda-kuda milik keluarga Aqashah kalah teruk!" ujar seorang lelaki bangsawan dengan kuat. Seperti dia itu tertelan mikrofon sahaja.

     "Aku bukan bermaksud untuk merendahkan Aqashah, tetapi demi kebaikan kau dan wang yang bakal kau pertaruhkan nanti. Kau kenalah pilih pihak yang bakal memberikan keuntungan!" bicara seorang lagi daripada empat lelaki bangsawan di situ.

     Louis memandang sekeliling. Rata-rata para pelanggan di situ agak kurang senang dengan sikap tidak sopan mereka. Ini termasuk Bella dan juga dirinya. Ya, Louis tahu perbualan mereka itu tersangatlah hangat tapi tengoklah juga pada keadaan. Bukan mereka sahaja yang berada di sini.

     "Maafkan saya?" serentak, Bella dan Louis mengangkat wajah.

     "Tuan Herman Aqashah?" belum sempat Louis bangkit untuk menyambut hormat, lelaki pertengahan 50 itu terus menghalangnya.

     "Boleh saya menumpang duduk di sini?" tanya Tuan Herman lebih kepada Bella. Gadis itu sekadar mengangguk. Lagipun, meja di sini cukup besar untuk menampung tiga ke lima orang pelanggan.

     Duduk diselesakan sedikit sebaik sahaja Tuan Herman melabuhkan punggung. Dia sedar akan renungan daripada Bella dan itu telah membuatkan Tuan Herman melepaskan keluhan berat.

     "Kamu dengar apa yang mereka cakap?" tanya Tuan Herman sekadar untuk kepastian. Dia faham makna disebalik renungan gadis itu.

     Bella sekadar mengangguk. Sebenarnya, dia kasihankan nasib bangsawan Aqashah yang sudah kalah lumba kuda selama tiga tahun berturut-turut. Bukan keluarga ini tidak memiliki kuda yang pantas mahupun sihat, cuma nasib masih belum menyebelahi mereka.

     "Itulah topik kegemaran mereka. Setiap hari, bila ada peluang sahaja, pasti akan diheboh-hebohkan. Macamlah orang ramai tidak tahu," keluh Tuan Herman. Kesal dengan mulut jahat rakan-rakan niaganya.

     "Ayah saya selalu pertaruhkan wang dengan pertandingan lumba kuda. Apa yang saya ingat, ayah saya tak pernah salah untuk memilih kuda untuk dipertaruhkan." Bella tertawa kecil. Agak geli hati di situ.

     Bila diingat semula, mamanya selalu juga membebel berkenaan dengan sikap ayahnya yang satu itu. Suka membazirkan wang dengan pertandingan yang entah apa-apa. Bagi Puan Karmila, ya. Ia sangat membazir. Tapi, tidak pada Tuan Khalid kerana dia tahu kuda mana yang memiliki strategi yang baik dan boleh mendatangkan faedah kepadanya.

     "Saya yakin, ayah kamu bijak orangnya. Sebab itulah, ayah kamu senang mempertaruhkan wangnya." Tuan Herman turut tersenyum. Suka mendengar cerita gadis muda itu.

     "Segala hal yang kita lakukan di dunia ni memerlukan jalan cerita yang cuma kita sahaja tahu. Hasilnya? Biarlah menjadi satu persembahan buat orang ramai nanti." Ujar Bella seraya membuang pandang ke luar jendela semula.

     Di luar sana, pandangan mata penumpang dihidangkan dengan beberapa ekor kuda liar yang sedang berlari menyaingi kelajuan keretapi. Kalau tidak silap, kehadiran kuda-kuda liar itu adalah satu petanda bahawa tidak lama lagi mereka akan tiba di stesen Pekan Burham. Antara pekan yang terkenal dengan perlawanan kuda.

     "Maksud kamu?" soal Tuan Herman. Kurang mengerti.

     Dia turut menoleh memandang ke luar jendela, tapi keinginannya untuk mengetahui maksud disebalik kata-kata pujangga gadis itu lebih tinggi berbanding minatnya terhadap kuda-kuda di luar sana.

     "Strategi."
     "Strategi?"

     Dia akui, selama dia mengetuai kuda-kuda keluarganya untuk bertanding, dia tidak pernah menyusun atau merangka sebarang strategi. Apa yang dia tahu, kuda-kuda yang pantas dan berkebolehan akan dia bawa ke pertandingan.

     "Nak saya tolong Tuan Herman?" Bella kembali memandang wajah tua itu semula. Senyuman manisnya masih tidak lari daripada dua ulas bibirnya itu.

     "Maaf tapi bolehkah saya percayakan kamu? Sebelum inipun, sudah ramai pakar strategi yang saya upah. Namun, hasilnya tetap sama." Tuan Herman masih was-was dengan keputusannya. Separuh daripada dirinya mempercayai Bella, separuh lagi masih kurang.

     "Saya buat apa yang termampu sahaja. Perang bermalaikat, sabung berjuara." Hanya itu yang mampu Bella katakan untuk menyakini Tuan Herman.

     "Baiklah. Saya setuju untuk dengar strategi kamu," kata putus daripada Tuan Herman melegakan Bella sedikit. Bella memulakan bicaranya dan tanpa sedar telah membangkitkan semangat Tuan Herman untuk mendengar dengan lebih lagi.

     Bertuah benar Tuan Herman rasa ketika ini kerana gadis bangsawan itu dengan sukarela ingin membantu. Kepala dijatuhkan beberapa kali sambil mulutnya tidak lepas dari mengucapkan ucapan terima kasih.




MALU bukan kepalang lagi Badri ketika ini apabila perutnya dengan tiba-tiba mengeluarkan bunyi yang tersangatlah memalukan. Walaupun malu, Badri tetap melakarkan senyuman di wajah buat mereka-mereka yang mungkin terdengar bunyi pelik-pelik itu. Bibir bawah digigit. Alahai, perut! Kita belum sampai kafe lagi kau sudah memalukan aku!

     Sememangnya, Badri kini dalam perjalanan menuju ke gerabak kafe di mana selang lagi dua gerabak daripada gerabak kabinnya. Setibanya pensyarah muda itu di ambang pintu kafe, dia dikejutkan dengan bilangan pelanggan yang memenuhi setiap meja makan di situ. Badri menoleh ke kiri dan ke kanan. Mencari kalau-kalau masih ada satu tempat buatnya mengisi perut.

     Hampanya terasa apabila tiada satu meja pun yang tinggal. Tanpa sedar, Badri melepaskan keluhan berat. Terpaksalah dia memesan makanan sahaja dan membawanya ke kabin. Itupun kalau pekerja-pekerja di sini laju membuat kerja.

     "Kalau tuan tak kisah, marilah duduk bersama kami."

     Suara seorang gadis menyapa gegendang telinga. Badri pantas menoleh ke arah sumber suara tadi. Suara itu agak perlahan kedengaran, namun cukup untuk menarik perhatian Badri.

     Kelihatan seorang gadis dan seorang lelaki bertubuh agak sasa duduk berhadapan di meja berhampiran dengan pintu masuk. Badri kurang yakin dengan pelawaan gadis itu tadi. Iyalah, adakah ia ditujukan buatnya atau orang lain? Buat malu kali kedua sahaja nanti.

     "Ya, tuan lah. Pensyarah Universiti Tinggi Edith," sambung gadis itu lagi lantas memalingkan wajah. Satu senyuman dilemparkan khas buat Badri.

     "Te...terima kasih!" ucap Badri penuh rasa lega dan bersyukur.

     Tempat kosong di sebelah lelaki sasa menjadi tempat Badri melabuhkan punggung. Belum sempat dia memanaskan tempat duduk, meja mereka didatangi oleh seorang pelayan yang kebetulan sedang menghantar pesanan mereka berdua.

     "Tuan Badri mahu pesan apa?" tanya si pelayan yang sememangnya cukup mengenali Badri.

     "Bagi saya teh susu suam dan set sarapan nombor dua," pesan Badri dan mendapat anggukan daripada si pelayan.

     Perginya pelayan wanita tadi telah menjadikan suasana di antara mereka semakin canggung. Lewat ekor mata, Badri memerhati setiap apa yang dilakukan oleh si lelaki sasa dan si gadis. Lelaki itu terlalu asyik membuang pandang ke luar jendela. Si gadis pula sedang menikmati sarapan paginya tanpa sedikit rasa terganggu dengan keriuhan yang berlaku di meja sana.

     "Ah, leganya!" satu jeritan daripada tepi meja membuatkan mereka serentak mengangkat kepala.

     Seorang lagi lelaki menyapa mata Badri. Dapat Badri rasakan lelaki muda darinya itu adalah sebahagian daripada mereka berdua.

     "Ma... Maaf, meja semua sudah penuh. Jadi, saya tumpang meja kamu bertiga." Ucap Badri seakan-akan faham dengan riak wajah lelaki muda itu.

     Lelaki itu kelihatan kecil dan pendek dibandingkan dengan si lelaki sasa yang agak tinggi. Senyuman yang Badri berikan dibalas dengan senyuman nipis sahaja oleh lelaki itu.

     "Kak Maya, inikah orangnya?" tanya lelaki itu setelah dia selamat melabuhkan punggung di sebelah gadis bernama Maya itu.

     Maya sekadar menganggukkan kepala. Lelaki itu kembali memandang Badri. Merenung pensyarah muda itu bagai tidak mahu lepas. Badri rasa seperti dia itu seorang penjenayah sahaja kerana direnung lama sebegitu.

     "Ameer..." Teguran daripada si lelaki sasa berjaya melarikan pandangan lelaki bernama Ameer daripada Badri.

     "Maaf sebab tenung kau macam tu. Aku, Ameer. Ameer Falco." Ucap Ameer berserta sedikit perkenalan diri. Badri sekadar mengangguk.

     "Lelaki sebelah kau tu Tristan dan gadis ni pula Kak Maya," sambungnya lagi. Kali ini, satu senyuman terbit di bibir Ameer menandakan dia amat menyenangi akan kehadiran Badri di situ.

     "Saya..."

     "Sir Aidan Badri anak keturunan bangsawan Darren, pensyarah matematik Universiti Tinggi Edith, betul?" Cantas Tristan lantas berpaling menghadap Badri.

     Perlahan-lahan, Badri menganggukkan kepala. Tidak tahu pula mereka kenal siapa dirinya. Bukan sekadar nama, pekerjaan pun mereka tahu. Tepat pada masa itu, pelayan yang sama datang bersama air minuman Badri.

     "Sarapan tuan akan siap sebentar lagi. Harap tuan boleh tunggu," pinta si pelayan. Kepala dijatuhkan tanda tidak mengapa.

     Badri sedar, tiga pasang mata kini tertumpu pada cawan teh susu suamnya. Mahu cakap mereka teringin untuk minum teh, mereka sudah memesan air masing-masing. Badri agak pelik apabila tindakannya menyisip sedikit teh susu turut diperhatikan.

     "Ada apa-apa yang menganggu kamu bertiga?" tanya Badri, akhirnya. Maya menggelengkan kepala mewakili mereka bertiga.

     "Apa kau lupa perlawanan tahun lepas? Kuda-kuda milik keluarga Aqashah kalah teruk!"

     Gelak ketawa daripada para lelaki bangsawan di meja tidak jauh daripada mereka sedikit membuatkan masing-masing rasa tidak selesa.

     "Aku bukan bermaksud untuk merendahkan Aqashah, tetapi demi kebaikan kau dan wang yang bakal kau pertaruhkan nanti. Kau kenalah pilih pihak yang bakal memberikan keuntungan!"

     Serentak, tiga pasang mata itu kembali fokus kepada Badri tatkala terdengar lelaki itu melepaskan tawa kecil. Tristan dan Ameer berpandangan. Agak hairan dengan lelaki itu. Adakah dia turut terhibur dengan topik lelaki-lelaki bangsawan tidak beradab itu?

     "Kenapa, Sir Badri?" tanya Maya ingin tahu.

     "Panggil Badri sahaja," sempat lagi Badri berkata begitu sebelum menjawab pertanyaan Maya tadi.

     "Tiadalah. Saya cuma geli hati dengan kata-kata mereka. Iyalah, mereka ada pakar strategi. Jadi, apa pun yang mereka kata tidak menakutkan mereka. Tapi, kalau saya lah, strategi sahaja tidak cukup."

     "Kalau kau berkesempatan untuk jadi pakar strategi untuk keluarga Aqashah, apa yang kau akan buat untuk bantu keluarga tu?" soal Tristan, jadi ingin tahu. Dengar dari apa yang dikatakan Badri tadi, nampak macam dia ada strategi yang sesuai.

     "Kalau awak, Tristan. Macam mana awak susun kuda-kuda untuk bertanding nanti?" soalan dibalas dengan soalan.

     Tristan diam buat seketika. Memikirkan strateginya sendiri untuk pertanyaan Badri tadi. Tidak hanya Tristan, Ameer dan Maya pun turut memikirkan strategi sendiri.

     "Susun kuda mengikut kepantasan masing-masing. Jadikan kuda yang kurang pantas di garisan permulaan, kuda sederhana untuk pertengahan dan kuda paling pantas untuk penamat." Jawab Ameer setelah lama memikirkan jawapan yang sesuai.

     Maya dan Tristan mengangguk-angguk. Menyetujui pendapat Ameer. Lagipun, dalam setiap perlawanan yang melibatkan larian sudah tentulah menggunakan strategi yang sama seperti Ameer katakan tadi.

     "Bagi saya, strategi tu terlalu terkenal dan mudah dibaca oleh semua orang." Komen Badri. Langsung membuatkan ketiga-tiga mereka berkerut dahi.

     "Kau tak setuju?" tanya Ameer dan tanpa ragu-ragu Badri mengangguk mengiyakan.

     "Jadi, apa pula jawapan kau? Kami mahu dengar," pinta Tristan. Dia sudah lama mengalah dalam teka teki ini. Berteka-teki dengan pensyarah muda itu sama sahaja seperti berteka-teki dengan Bella.

     "Minda mereka. Itu apa yang kita perlu," jari telunjuk tepat berada di dahinya sendiri. Makin berkerut mereka bertiga jadinya.

     "Berbalik kepada soalan awak tadi. Saya akan letak kuda kurang pantas sebagai permulaan, kuda paling pantas untuk pertengahan dan kuda sederhana pantas sebagai penamat." Pertanyaan mengenai strategi daripada Tristan akhirnya dijawab.

     "Kenapa kau letak kuda lemah untuk permulaan sedangkan kuda-kuda yang akan bertanding bersamanya nanti adalah kuda-kuda hebat?" Tristan kedengaran agak tidak berpuas hati di situ. Jika difikirkan semula, memang benar apa yang dikata oleh Tristan.

     "Kalau kita mulakan dengan kuda yang lemah, sudah tentu pihak lawan akan lebih merendah-rendahkan kita lagi!" sokong Ameer turut tidak berpuas hati. Dia perlukan penjelasan yang konkrit untuk jawapan Badri tadi.

     "Betul! Semua kuda memang ada kelemahan dan kekuatan tersendiri. Bila kita mulakan yang lemah, maka yang lain pun akan menganggap kuda-kuda seterusnya juga lemah. Tapi, sasaran kita ialah minda mereka."

     "Permulaan yang kelihatan lemah akan membawa hasil yang mengagumkan."

     Semua automatik terdiam sebaik sahaja Badri memberikan sedikit penjelasan. Segalanya sudah terjawab. Mengapa Badri menyusun kuda-kudanya seperti itu? Manipulasi dalam strategi. Ya, itulah dia.

     "Tapi, boleh berjayakah?" pertanyaan daripada Ameer kembali membuatkan mereka semua berfikir dengan dalam.
     "Ini usaha kita. Tuhan yang tentukan segalanya." Jawab Badri.

     Tiba-tiba, mereka dikejutkan dengan gelak tawa kecil daripada Tristan. Masing-masing memandang lelaki sasa itu dengan kerutan. Permukaan meja dihentak tidak terlalu kuat tidak juga terlalu perlahan. Cukup untuk memberikan petanda bahawa Tristan amat berpuas hati dengan apa yang dituturkan Badri.

     "Terima kasih, Badri! Kau buat aku puas! Aku sudah lama mendengar perbualan mereka dan aku juga sudah lama tercari-cari strategi yang boleh membantu keluarga Aqashah. Tapi, kau? Dengan mudahnya menyusun strategi dalam masa yang singkat!" Tristan sambung ketawa lagi.

     Maya sekadar menggeleng-gelengkan kepala. Masak benar dengan sikap Tristan yang terlalu ingin tahu sampai membuatkan dirinya terbeban dengan sikapnya itu. Namun, memiliki Bella di sisi mereka sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban Tristan. Begitu juga dengan kehadiran Badri untuk hari ini.




KERETAPI berhenti tepat di stesen Pekan Burham. Orang ramai mulai berpusu-pusu untuk keluar kerana tidak lama lagi majlis perasmian untuk pertandingan kuda akan berlangsung. Ramai yang tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan para kuda setiap peserta dipersembahkan sebelum hari perlawanan esok. Turut tidak terkecuali, Bella dan mereka yang lain.

     Mereka agak bertuah kerana rumah yang mereka sewa berada berdekatan dengan kawasan perlawanan. Masing-masing membawa kerusi dan duduk sebaris di luar balkoni rumah. Menunggu tuan pekan untuk menghabiskan bicaranya di atas pentas sana.

     Bunyi beberapa tembakan angin mulai kedengaran diikuti dengan tepukan gemuruh daripada para penonton. Masa yang dinanti-nantikan pun tiba. Setiap seorang wakil keluarga bangsawan akan keluar bersama kuda-kuda yang akan dipertandingkan lalu dipersembahkan di hadapan semua orang.

     Sementara yang lain menikmati pertunjukan di bawah sana, hanya Louis sahaja yang fokus merenung Bella. Gadis itu tidak sama sekali menunjukkan sebarang reaksi. Sekejap-sekejap sahaja bibir itu menguntum senyuman kecil tanda dia amat suka dengan pertunjukan di bawah. Tapi, dia tahu apa yang bermain di minda gadis itu. Sudah tentulah mengenai pertemuannya dengan si detektif persendirian semasa di stesen keretapi tadi.

     "Boleh kita bercakap sekejap?"

     Dari memandang Louis yang sedang menyusun beg-beg pakaian di dalam bonet kereta, Bella berpaling perlahan menghadap gerangan yang menegurnya itu. Satu senyuman diberikan buat si gadis bangsawan di hadapannya kini.

     "Aku nak bercakap mengenai strategi yang kau susunkan untuk Tuan Herman. Maaf,  bukan niat aku untuk curi-curi dengar. Tapi..."

     "Awak tertanya-tanya tentang hasilnya?" potong Bella. Gadis itu diam buat seketika sebelum mengangguk mengiyakan.

     "Aku akui, aku suka dengan cara kau susun strategi. Tapi, bagaimana dengan hasilnya? Aku tertanya-tanya kalau kau ada terfikir mengenai hasilnya nanti?" tanya gadis itu bertubi-tubi.

     Bella mengukirkan senyuman. Entah kenapa, dia agak suka dengan sikap ingin tahu gadis itu.

     "Boleh saya tahu nama awak?" lain yang ditanya, lain pula yang dijawab oleh Bella.

     "Charlotte Ammara." Jawab gadis bernama Charlotte itu tanpa segan-silu. Kepala dijatuhkan tanda faham.

     "Ada kalanya, kita perlu tewas untuk mencapai kemenangan." Jawab Bella dan tepat pada masa itu kedengaran Louis sudah menghidupkan enjin kereta.

     "Cik Catherine, boleh saya tanya?" pertanyaan daripada Brian menarik perhatian Bella. Sekaligus, mematikan lamunan panjang Louis.

     Bella sekadar mengangguk.

     "Cik kenal siapa gadis tadi?" tanya Brian kedengaran bimbang. Entah bimbang disebabkan apa pun Bella tidak tahu.

     "Kenapa tanya?" soalan dibalas dengan soalan.
     "Saya sendiri pernah kenalkan awak semua dengan mereka. Mestilah saya kenal," sambung Bella lagi dengan nada bergurau.

     Mengenai Donny, Bella ada memperkenalkan Badri. Mengenai kes keluarga Arlond, pun Bella ada memperkenalkan Charlotte.

     Brian tidak jadi mahu membalas. Melihat Bella yang sudah fokus, terpaksalah dia membatalkan niatnya. Brian kembali memandang ke hadapan. Dia risaukan Bella. Adakah Bella sedar dia berhadapan dengan siapa?

     Tanpa sedar, Louis melepaskan keluhan berat. Cukup dia sahaja yang mendengarnya kerana mereka yang lain begitu teruja dengan apa yang berlaku di bawah sana. Dia kembali memandang sisi wajah Bella.

     Sebenarnya, apa tujuan awak untuk memperkenalkan mereka berdua? Awak kenal Badri siapa, dan tahu Charlotte itu juga siapa. Awak boleh agak apa yang mereka akan buat pada awak di akhir nanti. Tapi, kenapa?

     "Kenapa kami tak boleh agak apa yang sebenarnya awak rancang?"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro