Cerita Ahmad

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Adha dipanggil semula ke pejabat. Soal Guru HEM, "Adha, betul Ali yang tumbuk awak?"

Air mata Adha telah pun kering. Dia hanya memuncungkan mulut dan mengangguk. "Ali tumbuk saya."

Ali yang sudah bertenang dengan certa-cerita di rumah, kembali melenting. "Hari ini saya tak tumbuk Adha!" Kulit yang cerah bertukar seperti udang dibakar. Merah menyala.

"Ali tumbuk Adha! Kalau tak percaya, tanyalah Ahmad. Ahmad nampak Ali tumbuk Adha!"

Seperti Ali, Ahmad juga turun dengan langkah yang lewah. Perlahan, umpama tiada kebimbangan. Berjalan dengan mengheret kasut sambil menepuk-nepuk dinding balkoni. Peluang keluar daripada kelas, benar-benar dinikmati.

Adha dan Ahmad bukanlah kawan yang paling karib. Jika di kelas, pantang ada masa lapang, dua orang itu pasti bercakaran. Meskipun duduk berjauhan, seorang di pintu hadapan dan seorang lagi di dinding sebelah sana. Namun begitu, tahu-tahu sahaja sudah hampir bertumbuk. Seorang gemar mengusik, dan seorang pantang diusik.

Sampai di pejabat, Ahmad terus dijemput memberi keterangan. "Betul awak nampak Ali tumbuk Adha hari ini?"

Ahmad menggaru-garu kepala yang tidak gatal. "Hari ini saya tak nampak Ali tumbuk Adha."

Wajah Adha bertukar kecewa. Saksi yang diharapkan membela, langsung tidak membantu.

Kemudian, sambung Ahmad, "Ali tumbuk Adha semalam."

Guru HEM mengurut-urut dahi. "Ali, betul awak tumbuk Adha semalam?"

Ali mengangguk. "Betul, semalam saya tumbuk Adha!"

"Kenapa awak tumbuk Adha?"

"Siapa suruh dia usik adik saya? Saya tumbuklah!" Jawab Ali bersahaja.

Walaupun Ali kelihatan mudah naik angin, dia merupakan seorang abang yang penyayang. Adik perempuan Ali, Aliah namanya yang berada di Tahun Dua, kerap naik ke kelas mencari Ali untuk mengadu. Adakala dia berdiri di luar kelas Ali sambil air mata bercucuran. Kemudian, Ali akan memujuk dan membimbing Aliah kembali ke kelas.

Jadi, apabila punca tangisan itu berpunca daripada Adha, abang yang panas baran itu mengambil tindakan sendiri. Ali menunjukkan demo bagaimana dia menumbuk Adha semalam. "Saya tumbuk sekali di muka."

"Kemudian, adakah Adha terjatuh?"

"Ya, Adha terjatuh. Apalah, saya tumbuk bukannya kuat! Itu pun boleh terjatuh. Lembik betul!"

Guru HEM hanya menggeleng. "Ali, awak ibarat sebatang pokok yang berdiri tegak dan kukuh. Pokok Adha pula kecil dan goyang. Tentulah ada perbezaan."

Guru HEM mengerling kerani yang setia menjadi saksi. Biarpun Ali seorang murid yang nakal, mereka yakin bahawa Ali tidak berbohong. Dia akan mengaku dengan mudah sekiranya melakukan kesalahan. Sebaliknya, jika dituduh atas kesalahan yang tidak dilakukan, Ali akan serta-merta naik baran.

Soal Guru HEM, "Jadi, bagaimana pula Adha boleh berdarah hari ini?"

Pantas Ahmad menyampuk, "Tadi Adha kata dia jatuh tangga!"


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro