PART 1 - ENCOUNTER

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

“RAYA macam ni baru best. Ramai-ramai duduk rumah opah.” Kata-kata mama kuabaikan. Aku mengambil tuala mandi dan beberapa peralatan seperti sabun, berus gigi dan syampu dari dalam beg.

“Min nak mandi dulu, ma,” ucapku pendek.

Mama mengangguk kecil.

“Tahu tak mana bilik air?” soal mama yang masih sibuk memunggah barang kami adik beradik.

“Tahulah...” jawabku sambil keluar dari bilik tidur.

Keluarga kami diberi bilik bawah berhadapan dengan ruang tamu. Bilik air kena kongsi dekat dengan ruang tamu. Sepatutnya dapat bilik atas tapi keluarga Mak Ngah Tia dulu yang sampai, jadi dia orang dapat master room padahal dia orang tiga beranak je. Aku ni terpaksa bersesak enam orang dalam bilik kecil.

“Min nak pergi mana?” Ada suara yang menyapa sewaktu aku menghampiri bilik air.

“Mandi,” balasku sepatah ketika melihat Mak Ngah Tia berdiri di pintu dapur.

“Kak Yana, katanya sakit perut. Dari tadi duduk dalam bilik air tak keluar lagi. Min pakai je bilik air kat atas tu. Mak ngah tak kunci.”

“Oh, terima kasih.”

Kak Yana tu, sepupu aku, anak sulung mak lang. Tapi masa aku datang tadi tak nampak pula dia kat mana-mana.

“Mandi cepat, lepas tu tolong mak ngah potong bawang. Esok je ni raya.”

Alah, dah dapat arahan mandatori pula... Aku menapak menaiki tangga dengan muka cemberut. Ni lah benda yang aku tak suka bila berkumpul ramai-ramai. Kita orang juga yang jadi mangsa buat kerja-kerja leceh.

Menyapu la, potong bawang la, cuci pinggan la, penat tau. Dah la aku makan pun bukan lima pinggan, tapi kena basuh hampir 50 pinggan!

Aku masuk ke bilik air dan perasan pintu bilik air tak boleh nak kunci. Akhirnya aku kunci pintu bilik mak ngah.

Selesai mandi, aku mengemas segala peralatan ke dalam plastik. Selepas tu aku ambil baju t-shirt yang kusangkut di penyangkut pakaian. Baru aje nak pakai, tiba-tiba pintu ditolak dari luar.

Oleh sebab terkejut sangat, aku tak sempat buat apa selain menoleh memandang ke arah pintu.

“Err?”
Terkebil-kebil.
Dua saat.

“Ma!!!” Akhirnya keluar juga suara dari mulut melihat lelaki itu tidak berganjak dari merenung diriku.
Dia terus menutup pintu bilik air tanpa menunggu.

“Kenapa? Kenapa?” Aku dengar suara dari luar bilik air.

Cepat-cepat aku memakai pakaianku sesempurna yang mungkin. Wajahku jadi pijar. Malu. Geram dan marah!
Orang tu dah nampak aku dengan tuala kecil ni aje!

“Tak ada apa... along nak pakai bilik air, tapi ada orang dalam bilik air.”

“Oh, mama suruh Azmin pakai bilik air kita. Along tak perasan ke ada orang guna bilik air? Kenapalah along ni, pintu tu dah tutup, tak kan la tak tahu ada orang dalam tu?”

“Along tak sengaja, ma.”

“Dah, keluar sana. Seganlah Min nak keluar kalau along ada kat sini.”

“Alah, budak kecil lagi.” Suara lelaki itu singgah di telingaku.

“Budak kecil apanya, 11 tahun dah dia. Reti malu tu, along. Along keluar bilik dulu, biar mama yang tunggu Min.”

“Cakap dekat dia sorry, along tak nampak apa-apa.”

Kurang asam! Jelas-jelas mata dia tengok kat aku tadi, boleh dia kata tak nampak apa-apa... Aku menyumpah di dalam hati.

“Min, keluarlah. Along dah tak ada.”
Mendengar suara Mak Ngah Tia, aku membuka pintu bilik air lambat-lambat. Air mukaku sedikit masam kerana dikuasai rasa malu dan marah.

“Maaf ya, mak ngah lupa bagitahu along yang Min nak pakai bilik air.”
Aku mengangguk kecil.

“Min belum kenal lagi along, kan? Along tu anak angkat mak ngah.”

Aku tahu mak ngah ada ambil anak angkat tiga tahun lepas. Tapi aku tak pernah jumpa anak angkat dia. Mak ngah ambil sebab mak ngah tak ada anak. Mama aku bagitahu mak ngah ambil dia sebab dia baru kematian parents sebab kemalangan jalan raya. Lagipun parents budak tu kawan baik mak ngah.

“Min okey tak ni?” Air muka mak ngah bertukar apabila melihat aku diam tanpa sepatah kata.

“Okey,” balasku.

“Along nampak Min tak pakai baju ke tadi?”

Aku mengangguk kecil.

“Astaghfirullah... Mak ngah minta maaf ya Min...”

Mak Ngah Tia bergegas memeluk tubuhku dan mengusap belakang kepalaku.

“Tak apa, Min kecil lagi,” balasku sebelum menolak tubuh Mak Ngah Tia dan keluar dari bilik tidur mereka.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro