Bab 3

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

GENAP seminggu berlalu, Airil langsung tidak menghubunginya. Mesej pun tiada apatah lagi panggilan telefon. Ingatkan ada la pujukan seperti selalu tetapi hampeh, Kayyisa dibiarkan melayan perasaan seorang diri. Mungkin memang benar, Airil sedikit pun tidak kesah dengan hubungan mereka. Kalau tidak, sudah tentu dia mempertahankan Kayyisa. Tapi, sekarang? Bayang pun tak nampak.

Dan itu membuatkan Kayyisa turut memilih untuk menangkan egonya. Tak rasa ingin mengalah dan mencari Airil terlebih dahulu. Apa yang terjadi antara mereka, berpunca daripada lelaki itu dan bukanlah dia. Jadi, buat apa dia nak bertindak dan terhegeh-hegeh? Cukuplah apa yang Airil katakan tempoh hari melukakan sekeping hatinya. Saat itu, ego Kayyisa benar-benar tercalar. Seolah hanya dia yang mahukan sebuah perkahwinan.

Punyalah ralit dalam emosi, Kayyisa tak perasan langsung Hajar yang sedari tadi memerhati tindak-tanduknya. Apabila gadis itu membuka mulut, barulah dia tersedar daripada lamunan.

"Jauh awak termenung, Kayyisa. Awak ada masalah ke? Tak nak share dengan saya?" tanya Hajar, entah sudah kali ke berapa. Lakaran muram di wajah Kayyisa membimbangkan dia. Jawapan gadis itu tetap sama, hanya gelengan dan sedikit senyuman untuk menyorokkan perasaan sebenar.

"Sempat lagi kalau awak nak meluah sekarang, sementara tunggu abang awak dengan walid saya sampai," pujuk Hajar lagi, tidak berputus asa. Dia tidak betah melihat kawan baiknya sendiri muram seperti ini. Sejak pulang daripada rumah masing-masing minggu lepas, Kayyisa banyak berdiam dan mengasingkan diri daripada dunia luar. Selalunya, gadis itu memang tak melekat di rumah sewa. Ada saja nak keluar ke mana-mana bersama Airil. Namun sekarang, lain pula.

Mendengarkan bicara lembut Hajar, lama Kayyisa berfikir. Sama ada patut atau tidak dia memberitahu tentang Airil. Namun, apabila mengenangkan tiada sesiapa lagi yang mampu mendengar isi hatinya selain Hajar, Kayyisa berkeputusan untuk menceritakan saja tentang kejadian minggu lalu.

"Saya dengan Airil..."

"Gaduh?" Belum apa-apa, Hajar meneka laju.

Kayyisa mengangguk lemah. Terlalu ketara agaknya perubahan mood dan perangai dia selama seminggu ini.

"Saya tak tahulah apa salah saya, Hajar. Sampai Airil yang tak pernah marah saya, tiba-tiba marah disebabkan benda ni. Tak patut ke saya tanya dia pasal kahwin? Salah ke niat saya nak jadi isteri dia?" Kayyisa menunduk ke bawah. Sedih bercampur sakit hati apabila teringat semula perbualan antara dia dengan Airil.

"Ya Allah, kenapa sampai macam tu sekali? Airil tak nak kahwin dengan awak ke?" bicara Hajar bernada risau.

"Entahlah, saya tak pasti apa yang dia fikir. Cuma dia bagitahu, perkahwinan bukanlah keutamaan dia. Dia rasa kahwin tu tak penting pun selagi dia tahu saya sayang dia. Senang kata, Airil tak ada perancangan pun nak kahwin dengan saya sekarang."

Mengucap Hajar dengar apa yang keluar dari mulut Kayyisa. Apa si lelaki ingat perempuan tempat dia lepaskan bosan ke? Nak hanya untuk keseronokan saja? Perempuan bukan mainan untuk mereka miliki sesuka hati.

"Apa dia fikir sampai cakap macam tu? Jadi selama ni, apa niat dia bercinta dengan awak? Empat tahun bukan tempoh yang singkat untuk dia ambil mudah. Lagipun, dia dah habis belajar, dah ada kerja tetap, jadi saya tak nampak apa masalahnya kalau kau orang kahwin. Bercinta lama-lama, tak menjamin pun awak akan kahwin dengan dia di penghujungnya." Jujur Hajar meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Riak wajah cuba dikawal daripada perasaan bengang. Dia pula yang sakit hati bagi pihak Kayyisa.

Kayyisa tak mampu nak bangkang sebab dia tahu apa yang Hajar katakan benar belaka. Nak mempertahankan Airil pun dia tidak berdaya.

"Saya sayang dia lagi, Hajar. Tapi, saya dah tak nampak hala tuju hubungan ni kalau saya masih bersama dengan dia. Apa saya nak buat?" soal Kayyisa. Benar-benar ingin mencari jawapan.

"Awak kena tanya diri awak, Kayyisa. Apa yang awak nak dalam hubungan tu dan ada ke kebaikan kalau awak memilih jalan tu. Awak lebih tahu apa yang terbaik untuk diri awak sebab awak yang akan melaluinya," nasihat Hajar dengan tulus. Dia sebagai seorang kawan, ikhlas ingin melihat Kayyisa bahagia dengan jodoh yang terbaik.

Kayyisa berfikir sejenak. Bicara Hajar membuatkan dia termenung jauh. Apa yang dia mahukan sebenarnya? Mempertahankan atau melepaskan? Yang mana satu keputusan terbaik?

"Saya masih nak kan Airil. Cuma saya rasa, saya tak patut teruskan sebab terang-terang hubungan ni salah. Saya tahu, saya pun bukanlah baik sangat. Tapi, apa gunanya bercinta tanpa hala tuju? Saya pun teringin nak ada hubungan yang halal macam perempuan lain. Saya pun ada rasa nak dibimbing ke arah jalan yang benar. Kenapa sekarang baru saya kena rasa macam ni? Kenapa selepas empat tahun? Kenapa selepas saya dah sayang dekat Airil?" Berkali-kali Kayyisa mempersoalkan. Dia menemui jalan buntu untuk membuat keputusan.

Hajar mengusap belakang badan Kayyisa seraya menenangkan gadis itu. Dalam hati, dipanjatkan syukur kepada Ilahi kerana akhirnya Kayyisa sedar apa yang dia buat itu adalah salah di sisi agama. Mungkin ini juga suatu bentuk hidayah kepada rakan baiknya.

"Untuk segala persoalan awak, Dia ada segala jawapan, Kayyisa. Jadi walau apa pun, awak carilah Dia, mintalah petunjuk daripada Dia supaya awak dapat cari jawapan yang terbaik untuk diri awak."

Kayyisa kaku mendengar kata-kata Hajar.

Bagaimana nak cari Dia?

Sedangkan sudah begitu lama Kayyisa lupakan Tuhan.

︵‿︵‿୨♡୧‿︵‿︵

TIBA saja di mahligai indah dua tingkat milik Encik Hasan dan Puan Sajidah, Kayyisa melangkah keluar dari perut kereta. Bonet belakang Honda kepunyaan Eijaz dibuka lalu bagasi bersaiz kecil diambil sebelum dia menapak ke pintu rumah. Sepasang kasut lelaki jenis oxford menjamah matanya terlebih dahulu saat ingin menanggalkan sepatu. Kayyisa hairan sebentar. Kasut siapa pula ini? Tak pernah nampak pula.

Malas nak ambil pusing, Kayyisa masuk ke dalam rumah tanpa fikirkan apa-apa. Tujuannya cuma satu iaitu ke bilik tidur. Tetapi belum sempat mengambil banyak langkah, suara Encik Hasan memenuhi ruang tamu sehingga kakinya terhenti. Tika itu, Kayyisa benar-benar letih fizikal dan emosi jadi dia sedikit malas memandang ke arah abinya. Apabila ada wajah si jejaka asing itu lagi, makin Kayyisa tak berdaya nak pandang.

"Ya, abi."

Senyuman Encik Hasan yang panjang itu sangatlah menyeramkan Kayyisa.

"Pergi letak beg dulu, nanti duduk sini. Berkenalan sikit dengan Fayyad." Ujaran Encik Hasan menimbulkan kerutan halus di dahi Kayyisa.

Dah kenapa pula nak suruh berkenalan? Dia dah tahu dah anak kesayangan abi itu bernama Zayn Al-Fayyad, bekerja sebagai cikgu Bahasa Melayu di sekolah menengah yang sama dengan abang long. Apa lagi yang dia perlu ambil tahu?

"Kayyisa penatlah, abi. Nanti-nanti je la," balas Kayyisa. Dah habis sopan dah ni.

"Kay..." Encik Hasan menggeleng kepala. Tak sempat nak habiskan ayat apabila anak perempuannya itu terlebih dahulu bergerak ke arah biliknya yang berada di tingkat dua.

Sampai di kamar beradu, Kayyisa terus menghempaskan badannya ke arah katil. Siling dipandang dengan beribu kekusutan. Bosanlah hidup dia di rumah selama lima hari kerana cuti umum. Nak keluar pun tak boleh apabila hubungan dia dan Airil tak baik-baik. Entah bilalah lelaki itu ingin mencarinya semula. Kayyisa mengeluh. Berjuta kali fikirkan tentang Airil pun tiada apa yang berubah.

Mata dikatup rapat. Ingin merehatkan diri dari masalah dunia. Baru saja ingin tenggelam di alam mimpi, bunyi ketukan pintu mengejutkan Kayyisa. Hampir saja dia menyumpah apabila masa rehatnya diganggu.

"Nak apa?" Kayyisa melaung kuat dari dalam bilik. Punyalah malas nak bangun membuka pintu.

"Keluar kejap."

Kayyisa mendecit kuat. Menyampah betul dengar suara abang ngah dia ini.

"Ha, nak apa?" Kasar Kayyisa menyoal dengan mata yang layu.

"Tak elok tidur lepas asar. Cubalah turun, pergi borak dengan Fayyad tu. Tak dengar ke apa abi cakap tadi? Jangan ikut kepala kau je. Balik rumah, tahu nak berkurung. Tak berkurung, pergi dating. Bagus sangatlah tu."

Berdarah telinga Kayyisa mendengar kata-kata itu. Sudahlah dia tengah mengantuk sekarang ini. Rumah ni memang meragut ketenangan dia betullah. Itu tak boleh, ini tak boleh. Asyik kena ikut cakap orang lain saja.

"Abang ngah ni kenapa nak cari pasal dengan Kayyisa? Tahu tak Kayyisa penat. Kayyisa nak tidur pun tak senang. Apa yang penting sangat Fayyad tu sampai nak suruh Kayyisa borak-borak dengan dia?" Bebola mata diputar ke atas. Terherot-herot bibir Kayyisa menjawab. Tengok gaya Eijaz memasukkan tangannya ke dalam kocek seluar lagilah buatkan dia menyampah.

"Pergi je la. Jangan banyak cakap. Cuba dengar cakap orang tua. Jangan nak melawan je kerja."

"Eh, suka hat..."

"Kayyisa... Eijaz... kenapa ni? Gaduh-gaduh depan pintu."

"Tengoklah dia ni, Kak Waji. Eei menyampah Kayyisa dengan abang ngah."

Wajihah yang kebetulan baru keluar dari bilik sebelah, terhenti sama di hadapan kamar Kayyisa. Menggeleng kepala dia melihat dua orang adik ipar saling bertengkar. Niatnya nak ke dapur siapkan apa yang patut untuk tetamu.

"Macam-macam la kau orang berdua ni. Kayyisa... pergilah dekat abi sekejap. Mungkin ada la tu abi nak cakap apa-apa. Kalau tak, takkan abi saja-saja panggil, kan?" Wajihah menegur lembut. Biarlah dia yang menjadi air di antara dua api ini.

Nak tak nak, Kayyisa akhirnya akur. Dengan pakaian yang sama, dia turun ke bawah untuk ke ruang tamu.

Dari jauh, kelihatan Encik Hasan tersenyum saat melihatnya kembali.

"Ha, Kayyisa. Kenalkan, ni Zayn Al-Fayyad. Dan Fayyad, ni Cinta Kayyisa, anak perempuan tunggal pak cik. Maaflah, Fayyad. Dah lama Fayyad datang sini tapi pak cik baru terfikir nak kenalkan Fayyad betul-betul dengan Kayyisa."

Fayyad terkebil-kebil seketika namun dia tetap pamerkan senyuman kepada Encik Hasan dan Kayyisa. Selepas itu, dia kerling ke arah Nadhif di sebelah. Melihat lelaki itu tahan senyum, Fayyad terfikirkan sesuatu. Adakah Nadhif memberitahu Encik Hasan apa yang dia tanya pasal Kayyisa tempoh hari?

"Tak apalah, pak cik. Saya tak kesah pun."

Nadhif tiba-tiba pula batuk. Hei, memang sengaja betul si Nadhif ni. Fayyad tetaplah tersenyum walaupun Kayyisa tak sudah-sudah tunjuk muka tak suka kepadanya.

"Setahu pak cik, Fayyad ni tak ada kekasih, kan?" Soalan mengejut Encik Hasan menyentakkan Fayyad. Dengan Kayyisa sekali merasa aneh. Mesti ada muslihat abi suruh dia ke sini.

"Siapalah nak saya, pak cik. Kerja biasa-biasa je, perempuan pun tak pandang."

Kayyisa menjeling tatkala dengar ayat minta kasihan itu.

"Mana ada biasa-biasa. Bagi pak cik, hebat kerjaya seorang guru. Memberi ilmu tu besar pahalanya, Fayyad. Rugilah perempuan yang tak pandang Fayyad tu. Dah la hormat orang tua, rajin solat dekat surau, kerja pun bagus. Kan, Kayyisa?"

"Hmm... bukan main abi puji dia lebih-lebih." Kayyisa berkata lancang. Tak kawal langsung riak wajahnya.

"Betullah apa abi cakap. Sejuk hati abi kalau ada menantu macam Fayyad. Tak la abi risau sebab abi yakin Fayyad dapat jaga anak abi dengan baik. Tak begitu, Fayyad?"

Fayyad telan liur. Dalam hati, sudah berbunga-bunga apabila dipuji. Lebih-lebih lagi, dia seakan diberi restu untuk mendekati Kayyisa. Tapi... sayangnya gadis itu sudah kepunyaan seseorang.

"InsyaAllah, pak cik."

Kayyisa tayang muka jelik. Makin lama makin merisaukan topik ini berpanjangan.

"Abi dah bagi greenlight, Fayyad pula malu tapi mahu. Ehem, Kayyisa macam mana?" Nadhif memberi usikan.

"Elok sangatlah kalau Fayyad yang jadi menantu abi." Eijaz pula menambah seraya menyokong si abang sulung. Kalaulah ada anak ketiga sekali di sini iaitu Anaqi, sudah tentu-tentu dia bersetuju juga.

"Jangan nak merepeklah abang long, abang ngah. Kayyisa dah ada boyfriend okey," ujar Kayyisa dengan nada menjengkelkan. Tak cukup dengan kawal apa dia nak buat, kali ini nak kawal pula siapa bakal suami dia? Lambat lagi Kayyisa nak dengar cakap. Walau buruk mana pun Airil, dia masih sayang lelaki itu dan bukanlah Fayyad.

"Tak habis-habis kau punya Airil. Empat tahun dah kau bercinta dengan dia tapi tak ada pula dia datang rumah nak beramah mesra ke, nak masuk meminang ke. Betul ke dia sayang kau ni? Nak jugalah aku nampak batang hidung dia." Tajam bicara Eijaz sehinggakan tercalar hati Kayyisa. Eijaz, tak sah kalau tak kasar. Kadang tu bukanlah niat dia nak sakitkan hati Kayyisa tapi adiknya yang seorang ini degilnya lain macam. Jadi, inilah cara Eijaz nak memberi dia kesedaran.

"Jaz, apa kau ni. Janganlah kasar sangat." Nadhif menggeleng.

Fayyad selaku orang luar di situ hanya terkaku. Dia rasa dia tak patut menyaksikan benda yang sama lagi. Risau pula kalau Kayyisa malu dengan kehadiran dia.

"Kayyisa, abi terus terang je la. Sungguh, abi memang berkenan dengan Fayyad. Tapi, abi hormat juga keputusan anak abi. Kalau Kayyisa ada pilihan sendiri, bawalah dia datang rumah, jumpa dengan abi. Abi tak suka anak abi keluar merata tak ada ikatan dengan lelaki. Tak manis orang tengok. Jika betul dua-dua sayang, kahwin terus lepas habis belajar nanti," nasihat Encik Hasan.

Kayyisa gigit bibir. Tak tahu nak sakit hati atau sedih. Patutkah dia malu sekali dengan Fayyad? Tapi, baguslah juga Fayyad dengar semua ini supaya dia sedar yang dia tak ada ruang sedikit pun dalam hati Kayyisa.

Kayyisa mengeluh. Tarik muka. Semua orang di dalam rumah ini memang memberi tekanan kepadanya.

"Okey, kalau itu yang semua orang nak, Kayyisa akan bawa Airil datang rumah."

︵‿︵‿୨♡୧‿︵‿︵

"AWAK ada jampi keluarga saya ke? Sampai semua orang dalam rumah ni suka awak."

Terperanjat Fayyad apabila tubuhnya hampir berlanggar dengan Kayyisa di hadapan bilik tetamu. Kiri kanan dipandang, tak ada orang yang lalu-lalang, menambahkan lagi kesunyian bilik ini kerana terletak di ruang yang agak tersembunyi.

"Kalau saya nak jampi, baik saya jampi awak sekali. Biar awak pun suka saya juga." Fayyad menjawab tenang walaupun dia diberi renungan begitu membunuh oleh Kayyisa. Gadis itu memeluk tubuh di hadapannya dengan muka yang ketat.

"Ingat kelakar ke?"

"Saya tak buat kelakar."

Kayyisa ketap gigi. Mamat ini nak berloyar buruk pula dengan dia.

"Okey, apa-apalah. Saya cuma nak pesan sikit. Apa pun yang abi, abang long dengan abang ngah saya cakap tadi, awak tak payahlah ambil serius sebab saya pun dah ada boyfriend. Dan awak boleh cari perempuan yang lebih sesuai dengan awak," terang Kayyisa dengan jelas.

"Kenapa? Awak tak sesuai ke dengan saya?" Tak tahulah apa yang sedang menyampuk, soalan itu tiba-tiba meluncur dari bibir Fayyad. Kalau pun benar dia tiada jodoh dengan Kayyisa, dia mahu tahu apa yang kurang di dalam dirinya.

"Perlu ke saya jawab?" Kayyisa menyoal semula. Sebelah keningnya terangkat.

"Kayyisa? Fayyad? Buat apa lagi dekat sini? Bukan kau kata nak balik ke tadi, Yad?" Nadhif mencelah di ruangan itu.

"Ha'ah, nak baliklah ni. Baru tukar seluar," balas Fayyad. Memang nak pulang ke rumah pun tadi tapi Kayyisa pula menghalang jalannya.

Ikutkan, dia mahu balik terus memandangkan rumahnya di dalam taman yang sama, cuma berlainan lorong. Tetapi, Encik Hasan menyuruhnya untuk tukar seluar dulu sebab terkena kopi. Kalau sikit tak apa, ini sampai banyak. Risau kereta pula bersemut nanti. Itu yang Fayyad memakai comfy pants Eijaz yang kebetulan lebih kurang saiz dengannya. Walaupun nampak pelik sikit sebab dia masih pakai kemeja.

Kisahnya, mengapa dia ke rumah Encik Hasan hari ini sebab nak menghantar Nadhif. Sewaktu nak pulang ke rumah tadi, kereta lelaki itu tak dapat berfungsi pula. Itu yang dia ke sini lepas balik kerja. Encik Hasan pula ajak minum-minum dulu sambil sembang petang. Sudahnya, melarat sampai pukul enam.

"Dah-dah, jangan berduaan sangat. Syaitan menemani nanti."

Kayyisa menjeling tajam. Ingat dia nak sangat ke berduaan dengan Fayyad?

~

Nak update, kena komen dulu hshs.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro