Bab 9

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

DENGAR saja Amyza nangis-nangis dalam talian telefon, Muna, isteri Ben terus cari Ben keliling rumah.

"Ben! Ben!" Muna menjerit.

Diam. Tak ada pun dengar jawapan suara Ben.

"Bennn!" jerit Muna lagi.

Diam juga. Muna mula naik geram. Baru kejap tadi suaminya ada. Sebelum telefon dia berdering tadi tubuh suaminya masih berkeliaran di dalam bilik mereka. Kejap benar lesapnya.

"Bani Adaaam!!!" jerit Muna seraya menuju ke pintu utama rumah. Dia tahu ke mana suaminya pergi apabila tak ada suara ni.

Waktu itu Ben terus terjengul di muka pintu. Jika Bani Adam muncul mesti Muna sudah dilanda emosi, Ben tak boleh buat main-main.

Muna sudah bercekak pinggang menghadap Ben. Bermuka garang.

"Saya tak buat salah apa-apa. Saya cuma cuci tayar kereta. Tadikan langgar tahi lembu."

"Yang betul?"

"Ya, betul!"

Ben angkat sebelah tangan ke muka. Macam sumpah bagi mengiakan apa yang dia cakap memang benar. Tahu apa yang Muna maksudkan. Muna takut dia pergi usyar jiran sebelah. Anak-anak dara cun ramai weh tinggal di situ. Itu yang Muna selalu bimbang. Alahai Maimuna, jangan khuatir, suamimu tak akan curang!

"Kantoi nanti siap!"

Muna bagi amaran. Pantang dia jika si suami berlegar-legar di halaman rumah. Suami-suami sekarang mesti dipantau keras. Sebab anak-anak dara yang daring-daring banyak aja berkeliaran. Tidak seperti zaman dahulu, gadis-gadis kebanyakan pemalu-pemalu, calon suami semua ibu bapa yang carikan. Bahagia juga sampai mati.

Ben sengih. Tak ada maknanya kantoi. Dia kalau nak buat, dia buat saja terang-terangan. Sembunyi-sembunyi buat sakit hati saja. Serabut!

"Ribut-ribut tadi kenapa?"

Muna tepuk dahi.

"Ya Allah... Boleh lupa pasal Myza."

"Kenapa Myza?"

"Kecemasan. Cepat siap! Kita ke rumah Khairi!"

Muna gesa-gesa masuk ke bilik semula. Dia hendak tukar pakaian.

Ben ikut buntut Muna. "Kecemasan?" Ben cuak.

"Apa berlaku?" soal Ben.

Khairi tu kawan baiknya. Bukan baik saja tapi rapat! Sama-sama dari Malaysia, sama tempat kerja dan sama-sama suka jalan-jalan cari makan. Bezanya, isteri Khairi orang Malaysia dan dia kahwin dengan orang sini. Muna tu orang Indonesia. Tapi jangan tak percaya, Ben telah berjaya asah lidah dia supaya bertutur bahasa Melayu dengan baik.

"Kecemasan! Harus cepat pergi lihat."

"Lagi-lagi kecemasan! Apanya yang berlaku?"

Muna angkat bahu. Geleng kepala.

"Enggak tahu!" Cukup lengkap cara jawapannya.

"Habis tu?"

"Myza meraung-raung sama aku. Nak jumpa kamu, mau ketemu aku. She needs us! Desperately."

"Kenapa?"

"Lorrr... Berapa kali mahu bilang?"

Muna sudah bercekak pinggang semula. Slow banget suaminya ini. Selalu bikin dia penat mengulang cakap benda yang sama.

"Okey-okey... Kita pergi sekarang!" Ben angkat dua-dua tangan, mengalah. Sebelum kena bebel panjang-panjang.

"Jangan ribut-ribut. Tak comel! Nanti suami lari nikah dengan orang sebelah!"

"Apa dia? Sila ulang?"

"Isteri saya paling cun, paling seksi. Bikin saya sasau selalu!"

Muna jeling. Tak jadi sambung marah. "Jom cepat!"

"Yalah... Yalah mem besar!"

Ben baling baju busuknya ke arah Muna. Hendak juga Muna baling balik ke arah Ben. Tapikan jika dia balas, subuh pagi esok pun dia orang tak sampai ke rumah Myza. Melalaklah perempuan tu sorang-sorang.

DI HALAMAN belakang rumah banglo Khairi, Amyza tak henti-henti menangis. Di hadapan Muna dan Ben lagi menjadi-jadi tangisnya. Tunjuk kasihan sangat. Lepas satu, satu tisu dicampak. Yang terkena ke muka Ben pun ada. Haprak betul perempuan ni. Main suka-suka tangan dia aje nak baling. Patutlah laki lari kat betina lain, seranah Ben dalam hati. Hangat hatilah juga apabila tisu yang ada hingus-hingus tu mendarat ke muka dia. Bini dia pun tak pernah buat macam tu.

"Sabar, Myza. Mesti cuma salah faham. Biasalah kehidupan suami isteri, pasti ada ribut-ribut. Kejap aja kemudian aman semula," pujuk Muna. Sudah dengar apa masalah Amyza sehingga tak henti-henti kawannya itu menangis. Memang besar masalah tu. Jika berlaku kepada dirinya, mungkin lebih teruk dia melalak.

Amyza meraung semakin kuat. Sehelai lagi tisu yang digumpal mendarat ke pipi Ben. Muna hanya memandang. Kasihan suaminya. Ben cuba mengelak, tetapi tak kena gaya. Ben tarik muka.

"Bukan salah faham lagi Muna. Betul-betul terjadi. Khairi sudah cakap mau nikah dengan perempuan tu."

"Sudahlah tu Myza. Buruk tau nangis lama-lama."

"Kau beritahu aku betul-betul, Ben. Kau tahu ke tak pasal Khairi dan perempuan tu?"

Teragak-agak Ben menggeleng. Lepas tu dia angguk kemudian geleng balik. Tak lama kemudian angguk, geleng, sehinggalah ketam sepit dia sekali di lengan.

"Ben!" Muna menyergah.

"Jangan main-mainlah! Myza kok tengah sedih."

"Errr... Errr, aku tahu dia ada ramai kawan, tapi taklah aku sangka dia akan serius dengan perempuan ni sampai nak kahwin bagai."

"Cantik?" soal Amyza laju.

"Beb... Gila hot!" Laju juga jawapan Ben.

Muna menyiku suaminya sekali. Peringatan! Jujur benar Si Ben. Agak-agaklah kalau nak jawab pun.

"Kamu ni enggak membantu langsung!" marah Muna.

Ben sengih. "Sorry... Sorry, aku acah-acah saja. Kalau nak dibandingkan dengan kau, kau jauh lagi hot beb."

"Bohong!"

"Apa pula bohong? Kau ada lesung pipit apa, perempuan tu tak ada. Aku pun suka sangat dengan lesung pipit kau! Manis!"

Di bawah meja, kaki Muna yang berkasut tinggi diangkat lalu dihempas ke kaki Ben.

"Aduh!" Terkejut Ben dibuat bininya.

"Kalau aku hot, tak adalah dia nak cari perempuan lain, kan?" Lirih suara Amyza. Air mata Amyza mula nak mengalir lagi. Mukanya yang putih melepak tu dah kemerahan macam udang galah bakar. Sedih, kecewa, marah dan geram punya pasal.

"Sabarlah, beb. Aku pun terkejut juga bila kau beritahu pasal ni tadi. Nantilah, aku cuba bincang dengan dia bila masuk ofis nanti. Kalau boleh aku nasihat, aku nasihatlah. Itupun kalau dia makan nasihat. Kau faham-faham ajelah orang lelaki ni, bila dah buat keputusan nak kahwin, payah dah nak U-turn."

"Isy, Ben... Apa ni?"

Mulut Muna berjalan seiring dengan tangan. Kali ini paha Ben pula mendapat habuan. Hari ini seluruh badan Ben mendapat denda kerana mulut tuannya yang terlalu jujur berbicara.

Amyza menangis. "Muna... Kau rasa aku dah nampak tua sangat ke?"

Perlahan-lahan Muna menggeleng.

"Taklah tua... Tapi kena adjust sikitlah... Kau kena..." Ben menjentik jarinya beberapa kali, cuba mengingati sesuatu.

"Makeover! Ha... Kau kena makeover!"

Amyza memegang kedua-dua belah pipinya. "Teruk sangat ke muka aku ni, Muna?"

Dipandang wajah sahabatnya dengan wajah memohon simpati.

Muna serba salah. Hati marahkan keceloparan mulut Ben. Harus sekolahkan balik mulut suaminya ini. Lupa daratan sungguh apabila dapat bercakap.

"Seorang suami yang baik akan terus setia bersama isterinya walau dia sudah tua seperti nyai-nyai sekalipun..."

Ben gelak. "Ya..."

"Nanti kalau saya jelik, kamu mahu selingkuh juga, gitu?"

"Mmm... Eh, tak, tak... Mana bisa hidup tanpa kamu, sayang. Aduh!"

Ben mengaru-garu kepalanya. "Kalahlah macam ini, dua lawan satu memanglah kalah habis saya."

Ben mengalah. Seram kena lepuk lagi dengan Muna jika masih nak menang. Tak payah menang tak apa, bukan dapat apa-apa ganjaran pun. Kena lepuk tu sakit!

Muna memandang muka Amyza. "Aku ada idea... Tapi kamu harus berani ambil risiko."

"Aku sanggup buat apa saja asalkan Khairi tak kahwin dengan perempuan tu."

"Okey... Macam ni..."

Muna jeling suaminya. Pantas dia tangkap kedua-dua tangan Ben dan memaksa Ben menutup kedua-dua telinga supaya tidak dengar akan cadangannya. Lepas tu baru dia bisik-bisik di telinga Amyza.

Terangguk-angguk Amyza. Setuju dengan pelan Muna...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro