BAB 10 MAHA KARYA!

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


MAHA KARYA

"Gerombolan Melaka sedang menuju ke paseban agung. Seandainya tuan hamba berhajat menyertai mereka, hamba berbesar hati mengiringi tuan hamba ke sana."

Daripada kata-kata lelaki itu, aku simpulkan dia kenal aku. Aku yang tak kenal dia siapa. Oleh itu aku hanya berdiam diri. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Sebaliknya aku lepaskan kelegaan. Ternyata apabila rencana manusia bertemu rencana Tuhan, apa yang Tuhan rencanakan jauh lebih baik. Ada hikmahnya kasut bertumit ini melekap di kaki. Ia mengembalikan aku kepada status quo. Berkecuali.

Menyedari diri telah lepas bebas daripada menjadi Mak Turut, aku putuskan untuk buat apa sahaja yang aku suka. Tak lain dan tak bukan, berpunduk. Tak buat apa-apa! Hahaha 

Perlahan-lahan aku berpusing, melangkah lambat-lambat ke pinggir jalan. Aku perasan di bahu jalan yang berturap batu kasar ini ada banyak kerusi kayu. Lega sungguh dapat duduk dan meregang kaki. Dah terbiasa bersenang-lenang di persekitaran moden dengan kemudahan kenderaan. Selain beriadah, jangan harap aku sengaja nak menyusahkan diri berjalan jauh sebegini.

Aku ketuk-ketuk lutut yang kelenguhan. Jalan kampung dengan kasut bertumit bukan padanan yang baik. Malangnya, pilihan bukan milik aku. Celik sahaja mata, baju ini dah siap tersarung di badan. Kasut pun sama. Sebentar sahaja ruang kosong sebelah aku telah diduduki. Lelaki itu lagi. Tak bolehkah dia biarkan hari aku aman? Apa yang dia nak dari aku? Hurm, lantak kaulah. Aku buat hal aku dan biarkan lelaki itu buat hal dia sendiri. Luaran nampak seperti aku berteman tetapi hakikatnya kami berasingan.

Walaupun baru tiba di Majapahit, aku dapat merasakan ada keserasian  antara aku dan daerah ini. Penempatan di tengah belantara menyalurkan udara yang begitu nyaman. Sesuatu yang pelik apabila memikirkan hanya dengan menghela nafas boleh buat aku gembira. Apabila angin semakin galak berhembus, aku memejam mata menikmati elusan bayu rimba. Memang mendamaikan kerana udara membawa aroma hutan dan haruman flora bersamanya.

Payah nak halang senyuman dari meniti di bibir. Alam adalah terapi jiwa yang paling mudah dan murah. Hurm, di sinilah kot. Di kota metropolitan mana nak jumpa kedamaian sebegini. Baru melepasi garis sempatan kota, terus terpaksa menghadap kenderaan yang bertali arus yang entah pukul berapa nak reda. Pagi-pagi lagi kepala dah semak. Itu belum lagi terperangkap dalam sumpahan kesesakan lalu lintas petang Jumaat. Bertambah malang jikalau hari hujan.

Tak lama aku melayan perasaan sebelum pandangan aku kembali mencecah gapura. Keindahan pintu gerbang itu benar-benar memabukkan.

"Tuan hamba mahu melihat seisi pura dari atas sana?" Sekian lama meminggir sepi, lelaki itu bersuara. Hujung telunjuknya tinggi terarah ke menara gapura. Kebal hati Mas Jawa ini. Layanan dingin aku langsung tidak memberi kesan kepada dia. Manis wajahnya juga masih kekal, sikit tak luak. Pandai dia baca bahasa muka aku. Atau aku yang tak pandai melindungi keterujaan. Telah berkali-kali impian kurang siuman sebegitu singgah di kepala. Berkali-kali juga aku tolak. Nak panjat gapura setinggi menara tele-komunikasi itu satu hal. Nak panjat dengan kebaya pendek satu hal lagi. Cuma aku terfikir andai idea itu diutarakan oleh orang lain, berkemungkinan halangan di mata aku sebenarnya bukan masalah.

Uhuk uhuk. 

Batuk yang disengajakan terkuat sedikit sehingga terasa pedih di tekak. Aku harap rasa bersalah dan malu keluar sekali dengan batuk itu. Nak buat macamana.
Orang berbudi, kita berbahasa. Orang mempelawa, kita merasa, bukan?

"Boleh ke?" Suara aku berbaur was-was. Bukan dengan cadangan dia tetapi terhadap keyakinan diri sendiri.

"Bisa." Ayat bertokok lagi bersama kenyitan mata. "Asalkan ada hamba."

Ewah, berani betul! Tetapi, ada aku kisah? Ngeh Ngeh Ngeh

Mungkin teruja aku keterlaluan sehingga perlakuan sebegitu aku pandang sebelah mata.

Bingkas lelaki itu bangun dan berkata, "Sila ikuti hamba."

Yihaa! Aku terus campak jambangan bunga Melati sebelum membontoti lelaki itu. Si Pemuda orangnya tinggi dan kakinya panjang. Tetapi dia sengaja memperlahankan rentak langkah agar jalan kami bergandingan.

Laluan ke gapura berteduhkan deretan pohon beringin yang besar dan rendang. Kehadiran pohon-pohon beringin ini mengingatkan aku akan nama jolokan sepasang mercu yang telah memasuki lensa mata. Gapura Wringin Lawang bermaksud pintu gerbang pohon Beringin. Melihat susun atur lanskap di bahagian luar kota, kehadiran pohon-pohon Beringin ini laksana sempadan darjat di antara autokrat dan marhaen, di antara pasar rakyat dan istana Raja serta pembesarnya.

"Bunga tadi, tidak mengapakah andai dibuang sebegitu? Ia adalah pemberian yang istimewa, bukan?"

Kalau hal bunga yang Sultan Melaka beri kepada aku pun dia tahu, itu bermakna dah lama dia perhatikan aku. "Kalau awak nak, ambillah. Saya tak kisah."

Mendengar jawapan aku, ketawa lelaki itu meletus sehingga langkahnya terhenti. Aku terus sahaja berjalan meninggalkan lelaki itu di belakang. Di saat ini tiada suara lain yang aku dengar melainkan bunyi degupan jantung aku sendiri. Kuat paluannya di telinga. 

Denyut jantung aku sekencang letusan obsesi remaja yang menyaksikan konsert artis K-Pop idola mereka. 

Degup jantung aku sederas keterujaan paparazzi yang membuat liputan eksklusif berita paling gempak negara. 

Detak jantung aku selaju denyutan nadi ahli politik yang sedang berdiri di lautan manusia, bergembira dengan kejayaan helah manipulasinya.

Sedangkan warna rambut manusia pun kini sudah tidak sama hitam, apatah hati manusia, memang lain-lain. Hal yang mencanakkan graf nadi aku adalah pemandangan di dalam bingkai pemandangan. Lensa mata dalam perspektif garisan.

Aku berhenti betul-betul di hadapan gapura. Pintu gerbang yang terbelah dua tanpa bumbung itu laksana bingkai gambar yang sempurna merakam padanan warna alam yang begitu indah. Hijau muda padang rumput diapit hijau tua deretan pohon lalu dikurung oleh bingkai batu merah. Biru langit menyempurnakan sentuhan warna alam tersebut. 

Maha karya! "Subhanallah." 

Bibir mengucap tasbih bersama hembusan nafas. Hakikat atau mimpi, kesempurnaan kejadian sememangnya milik Allah selaku Pencipta segala yang baharu.

"Tidak mahu masuk?" soal lelaki itu setelah melihat aku masih tidak memijak anak tangga gapura.

"Ah, ya. Jom, jom." 

Aku kawal ledakan emosi gembira. Hanya serpihan senyuman aku berikan kepada lelaki itu. Dua pengawal menunduk hormat ketika aku tiba di kaki candi bentar. Langkah aku amat perlahan meniti anak tangga. Dalam masa yang sama aku larikan jemari menyentuh dinding batu merah. Walaupun hawa di luar panas, batu merah menyimpan sejuk. Dingin pada tapak tangan aku meresap sehingga ke jiwa. Aku mendongak ke mercu gapura yang sayup menjulang tinggi lalu melepaskan ketawa. Hati telah menghukum diri sebelum niat dilaksanakan. 

Giler tinggi puncak gapura. Memang menggeletarlah kepala lutut aku nanti. Habislah kau, Hana.

Lelaki itu menanti aku di hujung laluan . Ada tangga yang bersandar di sisi rata dinding gapura. Laju anak mata dia berlari ke tubuh aku dari tudung sehingga ke kasut. Keningnya sedikit berkerut sebelum bertanya, "Tuan hamba sudah bersedia?"

Pandangan aku tinggi mencecah mercu gapura sebelum jatuh ke wajah lelaki itu semula. Mata dia tidak sebening sebelumnya. Ada curiga bergenang-genang di situ. Kalau last minute kau nak batalkan rancangan, siap kau!

Ternyata sangkaan aku salah. Lebar senyuman yang dia tayang lalu mempelawa, "Silakan." 

Gerak langkah aku penuh yakin sehinggalah aku memegang batang tangga kayu. Ada sesuatu yang berpusing-pusing di benak. Aku hadap dia semula sambil tebarkan tangan dan membuat tawaran semula, "Silalah. Saya ikut belakang awak."

 * Gapura Wringin Lawang

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro