33: Tiga Gadis

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"A-ampun tu-tuan-ku-ku ..," ucap Nurin dengan berhati-hati.

Hari ini merupakan hari pertama dia belajar dengan seorang guru yang bakal membuatkan tuturnya lancar seperti orang lain. Dia merasa sungguh bertuah kerana tengku mahkota sudi mengupahkan guru khas untuknya.

Pada hari pertama dia belajar juga, tengku mahkota sudi menemaninya. Nurin melihat sekilas tengku mahkota yang sedang duduk di bawah pohon kayu di laman istananya. Dilihatnya tengku sedang menajamkan sebatang ranting menggunakan pisau. Satu senyuman tipis terukir di bibirnya.

"Ehem!" suara berdehem seseorang membuatkan Nurin menumpukan semula pandangannya kepada tok guru di hadapan ini.

Tengku Afkar tersenyum melihat wajah merah padma dayang Nurin yang sedang diajari oleh tok guru, Tun Ali. Dia faham perasaan gadis itu yang masih malu dan takut lagi dengan kekurangan yang dimilikinya, kerana itulah dia sudi menemani hari pertama gadis itu berguru pada hari ini.

Sesekali dia terlihat dayang Nurin terangguk-angguk mendengar tutur tok gurunya. Kemudian dia disuruh menguatkan suara. Cara Tun Ali sememangnya tegas kepada muridnya.

"Ampun tuanku, ... tuanku sultan sedang menunggu tuanku di Balai Anggerik." ucap Awang Wadi yang baru datang membawa pesanan.

Tengku Afkar bergaru kepala.

"Sekarang ini?"

"Ya, sekarang, tuanku." Jawab Awang Wadi lagi.

Tengku Afkar melangkah ke arah Tun Ali dan dayang Nurin serta memberitahu kepergiannya.

Tun Ali mengangguk begitu juga dayang Nurin. Akan tetapi di dalam hatinya merasa sedikit hampa.

"Usahlah pipit mendambakan enggang, yang eggang sama enggang, pipit sama pipit." kata Tun Ali. Sedari tadi, dia memahami pandangan mata anak gadis ini. Dia cuba menasihati agar gadis ini tidak mengharap terlalu tinggi.

Nurin menundukan kepalanya. Dia sangat faham maksud kata tok guru ini. Dia juga sedar akan taraf kedudukan dirinya. Sedaya upaya dia menepis segala perasaan yang mungkin ada di dalam hatinya.

❀❁❀❁❀❁

"Ampun tuanku," sembah salam Tengku Afkar kepada tuanku sultan.

Ayahandanya itu dilihat sedang duduk di atas singgahsana bersama Tun Seri Dahlia yang juga duduk di sisinya.

Entah mengapa hatinya terdetak simpati melihat Tun Seri Dahlia yang kelihatan sedikit pucat. Di tangan kanannya juga terdapat sehelai sapu tangan untuk dia menutup mulut jika berbatuk.

"Anakanda ... sebelum ayahanda memulakan bicara ini, ayahanda harap anakanda tidak terasa hati ataupun melenting secara tiba-tiba," tuanku sultan menarik nafas dalam-dalam serta melihat sekilas wajah Tun Seri Dahlia di sisinya.

Tengku Afkar juga melakukan hal yang sama. Perkara yang bakal dibicarakan oleh ayahandanya ini seakan sudah dapat dia teka arahnya.

"Bonda Seri Dahlia telah memilih beberapa calon terakhir untuk penilaian ayahanda memilih bakal tengku puteri ... ada tiga orang gadis ..," tuanku sultan menghembus nafas lega. Tun Seri Dahlia pula berbatuk-batuk kecil.

"Tiga orang? Bukankah sepatutnya hanya dua orang sahaja calon terakhir yang perlu ayahanda nilaikan? Mengapa ada tiga orang pula?" soal Tengku Afkar kehairanan.

Tuanku sultan dan Tun Seri Dahlia berpandangan.

"Ini adalah atas nasihat daripada bendahara Tun Abu Jabaar. Dia telah mencadangkan anak Tun Kassim bagi mengelakan penilaian ini tidak terlihat seperti pemilihan berat sebelah, kerana anakanda kepada sahabat lama ayahanda juga terpilih ..." jelas tuanku sultan.

Tengku Afkar hampir mendengus mendengar nama si bendahara itu. Dia sememangnya tidak suka akan cadangan-cadangan yang ayahandanya terima daripada lelaki itu. Seolah-olah dia boleh mencium niat lain daripada pembesar berkenaan.

"Ayahanda benar tidak akan bersikap berat sebelah?" tanya Tengku Afkar ragu-ragu.

"Ayahanda berjanji. Akan tetapi pemilihan ini bukan sahaja penting untuk anakanda, ianya juga penting untuk rakyat jelata anakanda," jawab tuanku sultan.

"Oleh itu, bonda Seri Dahlia mencadangkan anakanda juga perlu hadir semasa ujian terakhir itu kelak." sambung tuanku sultan lagi.

Mata Tengku Afkar terus tertumpu ke arah Tun Seri Dahlia yang juga sedang menatapnya.

"Patik bercadang agar tuanku turut memperkenalkan diri kepada ketiga-tiga gadis tersebut .., dan jika ada diantara ketiga orang gadis itu memberikan jawapan yang tuanku sultan serta tengku mahkota inginkan, maka keputusan akhir adalah di tangan tengku mahkota." ujar Tun Seri Dahlia bersama sebaris senyuman.

Tengku Afkar mengangguk seketika. Dia mulai tertarik akan cadangan daripada wanita itu.

"Jika anakanda bersetuju, pada hari tersebut anakanda harus bersiap dengan kemas dan hadir di ..."

"Sebentar," pintas Tengku Afkar.

Tuanku sultan dan Tun Seri Dahlia berpandangan lagi.

"Anakanda bersetuju. Cuma, anakanda akan mendengar sahaja tetapi tidak melihat." kata Tengku Afkar.

"Lalu bagaimana anakanda mahu memilih?" tanya Tuanku sultan. Dia jelas tidak memahami apa yang dikatakan oleh puteranya ini.

Tengku Afkar tersenyum dan berkata, "Hal itu, ayahanda akan tahu kemudian,"

Dia kemudian bangun serta menunduk hormat sebelum keluar daripada Balai Anggerik. Tuanku sultan mengeluh di atas singgahsana seraya menoleh ke arah Tun Seri Dahlia.

"Bagaimana?" tanya Tuanku Sultan kepada isterinya itu.

"Hmm, patik seakan dapat menangkap maksud kata Tengku mahkota. Tetapi patik juga tidak sebegitu pasti, uhuk-uhuk." kata Tun Seri Dahlia. Sesak pada kerongkong membuatkan bicaranya terputus-putus.

Tuanku sultan memandang jeda pintu masuk Balai Anggerik sambil mengusap-usapkan janggutnya. Dia cuba memahami kata-kata Tengku Afkar dan juga Tun Seri Dahlia.

❁❀❁❀❁

TUN Abu Jabaar menghentikan langkahnya. Dua susuk tubuh manusia yang sedang duduk di atas pondok laman Istana tengku mahkota itu dipandang lama.

'Tun Ali dan ... siapa?' hatinya tertanya-tanya.

Kelibat gadis yang duduk berhadapan Tun Ali itu dipandang lama. Seperti dia pernah melihat wajah itu, tetapi entah mengapa ingatannya seakan tengelam timbul.

"Ampunkan patik Tun bendahara, Tengku mahkota sedang bertemu dengan Tuanku Sultan di Balai Anggerik." kata Awang Wadi selaku ketua hulubalang penjaga Tengku Afkar.

Tun Abu Jabaar menoleh ke arah Awang Wadi. Persoalam di mindanya sekarang ini bukanlah mengenai Tengku mahkota itu, tetapi,

"Siapakah yang bersama dengan Tun Ali itu? Patik seperti pernah melihat wajah manis tersebut." tanya Tun Abu Jabaar dengan penuh minat. Tidak sangka ada gadis secantik itu di dalam Istana, bisik hatinya lagi.

"Err ... gadis itu,"

"Dayang yang ada di Istana beta, hanya beta sahaja yang perlu mengenalinya," pintas Tengku Afkar yang baru tiba.

Awang Wadi menarik nafas lega. Sekurangnya dia tidak perlu menjawab pelbagai soalan daripada lelaki tua di hadapannya ini.

Tun Abu Jabaat berdecit halus. Bagi dirinya yang pantang melihat gadis berdahi licin, dia rasa tercabar. Bagaimana adindanya Tuanku permaisuri boleh tersalah memberikan gadis secantik itu di Istana tengku mahkota? Sedangkan sudah dia pesan agar yang terbaik tidak perlu diberikan ke Istana ini. Biar putera sombong ini merasa malang dengan layanan dayang yang hodoh dan juga buruk.

Akan tetapi gadis yang duduk berhadapan Tun Ali itu sangatlah cantik dan kemas. Pasti adindanya membuat silap besar lagi. Fikirnya. Serta merta juga api kemarahan tercetus di dalam hati.

"Apa yang Tun bendahara perlukan hingga singgah ke Istana beta?" soal Tengku Afkar.

Tun Abu Jabaar tersentak. Dia sudah terlupa akan tujuannya ke mari.

"Em ... Ampunkan patik, patik terlupa," jawab Tun Abu Jabaar bersama senyuman yang dibuat-buat. Dia kemudian pamit meminta diri.

Tengku Afkar bercekak pinggang melihat Tun Abu Jabaar yang berlalu meninggalkan Istananya. Bibirnya mencebik dan tidak puas hati. Dia pasti Tun Abu Jabaar sengaja hendak menghendap-hendap Istananya ini.

Pandangannya dikalih ke arah dayang Nurin dan Tun Ali yang masih tidak perasan akan situasi tadi.

"Awang Wadi, jika orang tua itu mapir lagi ke sini, laporkan segera kepada beta." pesannya dengan tegas.

Awang Wadi mengangguk dan membalas, "baik, tuanku."

❈❀ Bersambung ❀❈

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro