Bab 4

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

                   “CEPAT! Diaorang dah nak dekat tu!" jerit Adam. Dia menggenggam kemas tangan kanan Nur. Mereka berlari memasuki ke satu laluan gelap. Perut sudah terasa senak kerana berlari terlalu laju. Dia tidak boleh lagi meneruskan larian. Namun, lelaki itu tampak masih lagi gagah.

Sekilas Adam menoleh memandang muka Nur yang berubah pucat keletihan. Jika dia meneruskan larian ini, mungkin gadis itu boleh pengsan. Melihat lima orang lelaki itu yang masih lagi berada jauh di belakang. Anak mata Adam sempat mengerling ke sekitar kawasan mencari tempat untuk bersembunyi.

"Dekat sana, jom!" ajak Adam. Dia menarik tangan Nur mengekornya ke arah kotak-kotak lama yang disusun secara meninggi. Mereka duduk bertinggung di belakang kotak. Nafas dikawal agar tidak kedengaran oleh lelaki-lelaki jahat itu.

"Cis! Mana diaorang?!" bentak suara garau itu, membuatkan Nur tersentak. Perasaan takut mula menyerbu ke dalam hatinya. Pantas Adam menarik Nur rapat ke dalam pelukannya. Tak semena-mena kepala Nur tersembam ke dadanya yang berombak.

"Syhh... diam." bisik Adam, lembut. Sesekali dia cuba menjenguk ke atas, lelaki-lelaki jahat itu masih lagi sedang berdiri di situ. Sedang merungut sesuatu. Kedengaran nada suaranya jelas tidak puas hati. Bengang kerana mereka terlepas!

"Kurang ajar betul lelaki tu! Kalau aku dapat dia, memang nahas aku kerjakan nanti!" bentaknya dengan gigi yang terkacip-kacip menahan amarah. Tong sampah yang berada di tiang itu disepak dengan kuat sehingga terpelanting ke tepi. Menunjukkan amukan.

"Sudah, jom blah!" dia mendengus keras. Dan akhirnya, mereka beredar meninggalkan kawasan itu. Setelah memastikan kelibat mereka sudah tiada, barulah dia dapat bernafas dengan lega. Adam mengatup mata sesaat penuh bersyukur. Apabila menyedari Nur masih erat dalam pelukannya, terus dia melepaskan tubuh gadis itu. Kasar sekali caranya. Mujur sahaja Nur sempat berpaut pada kotak di sebelah. Kalau tidak, pasti sudah tersungkur jatuh.

"Kau ni memang sengaja cari masalah, kan?!"

Bahu Nur terangkat. Tengkingannya benar-benar membuatkan Nur terkejut. Dia menunduk bungkam memandang tanah. Kemudian, Adam kembali berdiri dengan tegak. "Kau buat apa dekat tempat macam tu? Dah teringin sangat nak jadi perempuan murahan huh?!"

Nur mendongak memandang Adam. Kali ini dia mendengus tidak puas hati. Suka-suka hati sahaja nak labelkan aku perempuan murahan! Lantas, Nur berdiri menghadap lelaki itu. "Awak siapa nak kata saya macam tu?"

"Kau boleh fikir sendiri tempat tu sesuai untuk orang macam mana, kan? Yang kau pandai-pandai pergi dekat situ buat apa?! Kalau aku tak ada tadi, sah-sah kau jadi lauk diaorang!" herdik Adam. Serta-merta Nur terdiam. Matanya membulat memandang lelaki itu. Cara dia marah, seperti terlalu merisaukan tentang aku. Ah, tak mungkin!

Nur menggeleng kepala. "Saya tak sengaja ada dekat tempat tu." ujar Nur, kali ini nada suaranya bertukar lembut dan serba-salah.

"Habis tu? Kenapa tak terus balik je?"

"Saya tak ada lesenlah. Lagipun, saya datang dengan Midah! Dia yang bawa saya naik motor. Takkan saya nak balik jalan kaki?"

"Jadi, mana kawan kau?" soal Adam, serius. Nur menjeling menyampah. Sakit hati bila teringat tentang perbuatan Hamidah tadi! Dia tinggalkan aku seorang diri. Padahal tadi, dia yang beria kata nak bertanggungjawab jika ada apa-apa terjadi kepada aku. Sekarang, dia pun entah ke mana? Geram!

"Dia tinggalkan saya. Dia pergi ronda-ronda dengan boyfriend limited edition dia tu!" ejek Nur.

Lelaki itu tersenyum sinis. "Lain kali kalau kawan kau ajak teman jumpa boyfriend dia, jangan ikut. Lebih-lebih lagi bila dia ajak berjumpa dekat tempat macam ni! Tak sesuai untuk perempuan macam kau." pesan Adam lembut dan tegas bunyinya. Nur hanya mampu mengangguk kepala. Menelan sahaja pesanan lelaki itu untuk kebaikan dirinya juga.

"Tapi awak buat apa dekat tempat macam tu?" soal Nur pula. Daripada tadi asyik tegur aku tak sesuai ke tempat macam itu. Habis lelaki ni sesuai sangat ke?

"Huh?" Kening Adam berkerut, tidak faham.

"Oh, saya tahu. Awak mesti setiap hari ke tempat macam tu, kan? Patutlah awak kerap ponteng sekolah. Rupanya malam-malam selalu melepak dekat sini, layan perempuan. Tapi awak jangan risau. Saya takkan bagitau sesiapa. Saya bukan jenis suka buka aib orang lain."

"Siapa yang cakap aku macam tu?" soal Adam dengan nada serius. Anak matanya merenung tajam ke arah Nur.

"Kawan saya yang kata. Dia kata awak per..."

"Aku bukan macam tu." bidasnya.

Nur terdiam.

"Aku cuma cari sekadar ambil angin dekat sekitar kawasan situ. Tiba-tiba aku nampak kau. Jadi, aku selamatkan kau. Bukannya, aku sengaja lepak dekat situ dan layan perempuan. Atau pun... jual dadah." ujar Adam. Seperti tahu-tahu sahaja apa yang bermain di fikiran Nur waktu itu. Dia juga tahu, pelajar di sekolah itu sering bercerita buruk tentangnya. Konon seseorang yang pervert dan jual bahan terlarang. Dan dia tahu siapa yang menyebarkan khabar angin itu.

"Oh..." Nur tak tahu ingin membalas apa. Sekadar menunduk kepala ke bawah kerana termalu dengan diri sendiri.

"So? Aku dah selamatkan kau. Jadi kiranya kau berhutang dengan aku lah, kan?"

"Huh?!" Nur terkejut. Membulat matanya memandang Adam. Kenapa tiba-tiba berhutang pula ni?

Adam tersenyum penuh makna. "Bukannya sikit apa yang aku buat tadi. Tengok ni." Dia menunjukkan kesan luka di buku limanya.

"Sampai luka. Jadi... lepas ni kau kena tunaikan permintaan aku pula."

"Tapi..."

"Don't worry. Aku takkan minta benda bukan-bukan dekat kau. Jadi, Nur Mastura, mulai sekarang kau akan jadi kawan aku." ujarnya. Nur mengerut kening. Macam mana lelaki ini tahu namanya?

"Macam mana..."

"Aku hantar kau balik, jom!" ajak Adam. Tanpa berlengah, dia terus melangkah ke arah Yamaha RXZ berwarna hitam miliknya yang terparkir tidak jauh dari situ. Nur hanya mengekor dari belakang. Lelaki itu sudah naik ke atas motorsikal itu. Ada dua helmet yang tergantung di kiri dan kanan handle.  Dia mengambilnya satu lalu dicampak ke arah Nur.

Pantas Nur menangkapnya. Mujur tak terkena kepala tadi.

"Pakai." arahnya ringkas. Dia terus memakai helmet. Manakala Nur pula masih lagi tersesat di dunia sendiri. Helmet ditangannya dipandang lama. Takkan aku nak naik motorsikal ini dengan dia? Kalau nampak dekat ayah nanti, pasti teruk aku dikerjakan!

"Sa... Saya naik motor dengan awak ke?" soal Nur, gagap. Dia mengangkat kepala memandang Adam.

"Habis, kau ada pilihan lain lagi ke sekarang?" soalan berbalas soalan. Nur mengeluh kecil.

"Saya tak biasa naik motor dengan lelaki. Lagipun..."

"Aku pun tak biasa bawa mana-mana perempuan naik motor ni dengan aku. Jangan risau, aku takkan main brek." ujarnya. Ada senyuman nakal di bibirnya. Nur mengecilkan sedikit mata merenung lelaki itu. Dia faham apa yang dimaksudkan Adam. Kata tak pervert, tapi tahu pula pasal benda macam itu!

Lagilah buat aku takut nak naik motor dengan dia.

"Apa maksud awak main brek?"

"Ah, tak kesahlah. Kan aku dah cakap tadi, aku bukan pervert. Kau kena percayakan aku. Kalau tak, sampai esok kau akan tercegat dekat sini. Kau tak ingat ke, esok kita program matematik? Semua orang wajib hadir."

"Saya tahulah."

"Habis tu? Yang kau tercongok lagi dekat situ kenapa? Naiklah!"

Nur mencebik bibir. Nak tak nak, terpaksa juga dia menumpang motorsikal lelaki itu. Dah tiada pilihan lain lagi. Hamidah pun satu, tak guna! Esok jangan harap aku nak duduk sebelah dia waktu program matematik.

Lantas helmet dipakainya. Lambat-lambat dia naik ke atas Yamaha RXZ itu yang agak sedikit tinggi baginya.

"Kau peganglah mana-mana yang kau rasa nak pegang. Sebab aku bawa laju sikit." Ujar Adam. Nur memegang erat besi di belakang motosikal itu dengan kuat. Nak pegang bahu dia, nanti dia kata aku gatal pula.

"Awak hantar saya separuh jalan je tau. Saya risau kalau ayah saya nampak."

"Ya, aku tahu. Pegang kuat-kuat." lantas motorsikal itu terus bergerak laju meninggalkan laluan sunyi itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro