32

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

                  “Astaghfirullah hal azim... " Tuan Zamri menggeleng kepala. Entah apalah nak jadi pada isterinya ini. Serupa dirasuk syaitan pula. Orang datang dengan niat yang baik dibalas pula dengan perbuatan jahat.

"Awak ni dah kenapa Hajah? Kira baik dia minta nak kahwin dengan Hana daripada dia terus bawa lari anak kita dan duduk serumah tanpa ikatan yang halal. Sudah-sudahlah dengan perangai lama awak tu! Jangan buat Rayden macam dia tu manusia paling jahat dalam dunia ni boleh tak? Awak tu pun bukannya sempurna sangat sampai nak hina latar belakang orang!" herdik Tuan Zamri.

Puan Hajah menjeling. Tangan Tuan Zamri yang mencangkam lengannya ditepis kasar. Dia beralih memandang suaminya dengan cerlungan tajam.

"Abang ni pun satukan... tak pernah berbelah bahagi pada saya. Nanti kalau anak kita ni masuk neraka, puncanya semua kerana abang! Abang sanggup lepaskan Hana pada lelaki yang tak ada agama macam dia.   Saya ni walaupun bencikan Hana, saya masih lagi ambil berat tentang dia. Saya tak nak dia dapat suami yang berasal daripada lorong hitam macam si Rayden ni! Masuk Islam pun tak sampai beberapa hari dah keluar! Nampak sangat yang dia ni main-main dalam bab agama!"

"Cukup!" Tuan Zamri mula meninggikan suara. Sekelip mata Puan Hajah terdiam. Matanya membulat terkejut.

"Awak sedar tak awak cakap apa sekarang ni? Si Rayden keluar islam puncanya sebab awak tahu tak?! Kita sebagai orang islam kena bimbing dia tapi awak tidak! Lagi hina dia! Lagi menjatuhkan semangat dia! Memanglah dia tiada ilmu sebab kita yang tak beri dia ilmu tu! Awak jangan sedap tekak nak tuduh dia macam-macam sedangkan semua tu berpunca daripada awak sendiri!"

"Fine! Nak kahwinkan sangat dia dengan si Hana, kahwinlah! Tapi abang ingat ek... saya tak restu langsung hubungan mereka berdua. Abang jangan marah saya kalau saya tak layan Rayden dengan baik kerana dia bukan pilihan saya! Faham?!" bentak Puan Hajah. Dia menjeling tajam ke arah Rayden sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Bainon yang berdiri ditengah-tengah pintu terus dilanggarnya sahaja bahu sehingga Bainon sedikit terenjak ke tepi. Mujur dia sempat mengimbangi diri daripada jatuh terjelepok ke tanah.

Rayden mengetap bibir, geram. Jujur dia sebenarnya rasa hendak bunuh perempuan tua itu. Tapi kerana Tuan Zamri yang membelanya, dia sabar. Memang daripada dulu Puan Hajah tidak suka dengan dirinya. Entah apa yang terlebih atau terkurang dia tidak pasti.

Tuan Zamri menghela nafas berat. Dia kembali berpaling memandang Rayden dan Hana. "Maafkan isteri Pak Cik, Rayden. Pak cik bukannya tak nak jadi wali kamu, tapi tengoklah isteri pak cik tu macam mana? Dia langsung tak suka kamu. Pak cik tak nak kamu tertekan lagi dengan dia. Pak cik tak nak disebabkan keluarga kami, kamu berpaling daripada agama." ujar Tuan Zamri. Rasa serba salah pula apabila dia terkenangkan kisah lama yang pernah terjadi dalam hidup lelaki itu. Dia tahu, bukan senang Rayden yang baru memeluk Islam diuji dengan sikap manusia yang tak pernah berfikiran positif. Asyik negatif sahaja pemikirannya.

Malah Rayden menggeleng kepala. "Aku tak kisah lagi tentang isteri kau. Aku cuma nak halalkan Hana dan pergi daripada sini. Aku janji, aku takkan tunjuk batang hidung aku di hadapan perempuan tu lagi."

"Rayden... "

"Tolonglah. Tolong jadi wali aku Tuan Zamri... " rayu Rayden. Dia mengenggam kedua-dua belah tangan orang tua itu. Wajahnya turut berkerut merayu agar lelaki itu menerimanya sebagai seorang lelaki yang mampu bertanggungjawab ke atas Hana. Dia tahu bukan senang seorang Bapa ingin melepaskan anak kepada lelaki lain. Tapi aku buat semua ini untuk membela Hana juga.

"Ayah... " Bainon menyapa bahu Tuan Zamri daripada belakang.

"Bainon tak rasa abang Rayden main-main dalam soal ni. Daripada kita biarkan Hana duduk dalam jagaan Rayden tanpa ikatan yang sah, baik ayah satukan sahaja mereka. Tak perlu pedulikan tentang mak. Mak tu usu lusa baiklah hati dia." ujar Bainon. Dia turut menyokong jika Hana dan Rayden disatukan. Daripada dulu lagi, dia nampak lelaki berdarah kacukan cina itu jujur dan ikhlas menerima Hana. Lama juga Tuan Zamri membisu. Fikirannya pula berbolak-balik memikirkan sama ada patut teruskan atau tidak. Tak lama selepas itu dia mengangguk kepala. Senyuman nipis diukirnya.

"Baiklah. Kita ke masjid sekejap lagi. Seeloknya kita solat zohor dulu."








                            
                                SATU persatu langkah ditunjukkan dengan perlahan cara-cara mengambil air wudhuk dengan betul. Bermula dengan mengumur mulut sehinggalah ke celahan jari-jemari kaki. Rayden pula hanya mengikut sahaja gerak tangan Tuan Zamri yang sedang mengambil wudhuk dengan lincah. Manakala Hana dan Bainon pula sedang menyiapkan sejadah dibilik solat.

Mereka sudah menyarung telekung di kepala. Hanya menunggu kehadiran Rayden dan Tuan Zamri yang masih lagi berada di bilik air. Bainon berpaling ke arah ruang tamu. Keningnya berkerut memandang Puan Hajah yang masih lagi leka duduk di ruang tamu sambil menonton rancangan ditelevisyen.

"Mak? Mak tak ambil wudhuk lagi ke mak? Abang Rayden dengan ayah dah nak siap tu. Nanti terlepas pula solat berjemaah." ujar Bainon.

Puan Hajah menjeling. "Tak ingin aku nak solat berjemaah dengan lelaki kotor tu." sinisnya. Bainon mengeluh kecil. Kepala digelengnya perlahan.

"Mak... tak baik cakap macam tu. Jomlah solat berjemaah."

"Betul tu, mak. Jomlah kita solat sekali. Hana dah lama tak solat jemaah dengan mak, dengan ayah. Kali ni sahaja peluang Hana untuk solat sama-sama dengan keluarga. Dulu masa Hana kahwin dengan Ziat, dia tak pernah lagi teringin bawa Hana ke sini." sampuk Hana. Sungguh, dia rindu sebenarnya untuk solat berjemaah bersama keluarga. Dulu, sewaktu dia bersama Ziat. Jangan dikatakan solat berjemaah, malah solat pun tidak. Subuh hinggalah ke Isyak entah ke mana. Asyik tumpu pada kerja-kerja terkutuk itu sahaja.

Puan Hajah merengus geram. Dia bangun daripada sofa dan terus meluru ke arah Hana dengan rasa tidak puas hati.

"Hei, kau ni kenapa huh? Tiba-tiba nak kaitkan Ziat? Apa? Kau nak bandingkan Ziat dengan jantan tak guna kau tu? Kau dengan bakal suami neraka kau tu... sama-sama boleh melingkup!"

"Mak!"

"Kamu diam, Bainon!" herdik Puan Hajah. Bainon terdiam.

"tak kisahlah sayang mana lelaki tu pada kau sekalipun, aku akan tetap suruh Ziat ambil kau semula. Cukup-cukuplah kau sahaja yang kotor dalam keluarga aku, tak perlu tambahkan lagi kotor dalam keluarga ni. Dosa kau pada bekas suami kau Ziat masih lagi berjalan sebab kau minta cerai pada dia! Engkau ni... harap aje anak sulung tapi perangai langsung tak boleh dibuat contoh untuk adik kau, Bainon. Kalau boleh muka kau ni nak sahaja aku tampar biar puas hati aku." sinis Puan Hajah berserta amaran. Terasa gatal tangannya ingin menampar wajah wanita itu. Namun, belum apa-apa lagi Rayden sudah tercongok di hadapan Hana. Dia menarik senyuman kecil yang begitu sinis.

"Kalau kau berani tampar Hana depan aku, jangan ingat aku tak berani balas tamparan kau tu semula." bisik Rayden perlahan dengan membawa maksud amaran. Cukup untuk dia dan Puan Hajah sahaja yang mendengarnya. Puan Hajah mengetap bibir geram. Dia kembali menjatuhkan tangannya ke bawah. Lantas berlalu pergi daripada situ. Rayden menjeling. Dia terus berpaling ke belakang memandang Hana.

Dia lihat anak mata wanita itu sudah mula berkaca. Kata-kata puan Hajah tadi sungguh menikam ke dadanya. Benarlah, lidah itu lebih tajam daripada sebilah pedang. Sekali tusuk, berdarah terus. Lebih-lebih lagi apabila ia diluahkan oleh ibu sendiri. Pedih dan perit.

Sehelai tisu dihulurkan ke arah Hana. Hana mengerut kening. Lambat-lambat dia mencapai tisu itu sebelum mendongak memandang wajah Rayden.

"Jangan menangis depan aku, aku tak suka." ujar lelaki itu. Tak dingin. Tak kasar. Sungguh tenang dan bersahaja. Dia terus melangkah masuk ke dalam bilik solat setelah mendengar azan zohor dilaungkan oleh Tuan Zamri. Hana membisu tanpa sebarang kata-kata. Lekas dia mengelap air mata dipipi sebelum masuk ke dalam bilik solat.


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro