BAB 39

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

PUAN HALIMAH menekan ikon berwarna merah untuk mematikan panggilan. Dia baru sahaja selesai membuat panggilan dari anak tunggalnya, Siti Safea. Puan Halimah berasa lega apabila mendengar suara anaknya. Telefon bimbit diletakkan di atas meja kopi.

Sekeping kertas berwarna putih bersaiz A4 diambil. Puan Halimah memicit kepalanya. Kertas putih itu merupakan borang tuntutan fasakh. Ya… Puan Halimah sudah nekad untuk meminta fasakh. Suaminya memang sejenis manusia yang tidak akan berubah. Itu semua sandiwara sahaja.

Sekarang ini pun, Encik Sharifuddin sudah pun menghilang. Sudah beberapa minggu dia tidak pulang ke rumah. Pada mulanya, Puan Halimah berasa risau juga. Tetapi, setelah dia terserempak melihat suaminya di sebuah kedai judi membuatkan Puan Halimah sungguh berasa marah. Dia sudah nekad. Dia amat kenal dengan suaminya. Encik Sharifuddin takkan pernah berubah. Dia sahaja yang bodoh mempercayai kata-kata suaminya. Puan Halimah sungguh tidak tahan. Lagi bagus kalau mereka berpisah. Lagipun selama ini, dia sudah biasa membesarkan Siti Safea berseorangan tanpa bergantung dengan seorang lelaki yang bernama suami.

Seusai Puan Halimah meletakkan borang fasakh itu di atas meja, tiba-tiba pintu rumah diketuk dengan kuat. Terhinjut bahu Puan Halimah. Jantungnya sudah berdegup kencang. Dia terus berdiri sambil memandang pintu rumahnya yang sedang diketuk dengan kuat.

"Woi! Bukak!"

Puan Halimah terus mengambil penyapu yang kebetulan berdekatan dengannya. Puan Halimah tidak ada pilihan lain lagi. Dia kena buka juga pintu itu. Ketukan pintu semakin kuat. Dia pun tidak tahu gerangan yang mengetuk pintu itu. Itu bukan suara suaminya. Dia amat pasti tentang itu.

Puan Halimah sudah berada betul-betul di hadapan pintu. Tangannya sudah terketar-ketar sambil memegang tombol pintu. Dengan lafaz bismillah, Puan Halimah memusing tombol pintu. Pintu itu ditarik. Puan Halimah terkaku apabila melihat ada beberapa lelaki berbadan sasa sedang merenung tajam ke arahnya. Puan Halimah sudah ketakutan. Dia menutup pintu semula tapi ada seorang lelaki berkepala botak sempat menahannya.

"Kenapa lu mau takut, amoi? Wa bukan cincang badan lu, ma," ujar lelaki cina yang memakai baju pagoda putih itu. Sempat dia menghembuskan rokoknya sambil memandang Puan Halimah.

Puan Halimah sudah tidak boleh bertenang lagi. Sudahlah dia sahaja yang berada di dalam rumah pada waktu malam begini. Dia tidak tahu mahu lari ke mana lagi. Dia juga tahu lelaki cina itu ialah Ah Chai. Lintah darat yang kejam. Apa yang lebih malang lagi ialah Encik Sharifuddin telah berhutang dengan geng Ah Chai. Dia sungguh-sungguh risau kalau mereka melakukan perkara yang tidak baik.

"A… aku kenal korang. Korang nak apa? Orang yang kau cari tak ada. Jangan babitkan aku dengan anak aku. Aku merayu…. Kau pergi minta hutang kat lelaki jahanam tu..." rayu Puan Halimah sambil menangis teresak-resak meminta simpati. Dia tahu geng Ah Chai sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat duitnya semula.

Ah Chai hanya tersenyum sinis. Rayuan Puan Halimah itu dia tidak hiraukan. Sebaliknya, dia terus masuk ke dalam rumah tanpa meminta izin. Puan Halimah cuba menghalang tetapi dia hanyalah seorang wanita. Kudratnya tidak setanding dengan mereka.

Ah Chai melihat sekeliling. Tiba-tiba, matanya tertancap ke arah gambar seorang gadis yang berada di atas kabinet. Ah Chai tersenyum sinis. Dia tahu gambar itu adalah satu-satunya anak kepada Encik Sharifuddin iaitu Siti Safea.

Dia menghampiri ke arah Puan Halimah semula. Kepalanya digerakkan sedikit sebagai tanda arahan kepada pekerjanya untuj memegang lengan Puan Halimah. Darah Puan Halimah mula berderau. Dia meronta-ronta untuk melepaskan diri.

"Lepaslah! Apa yang korang nak? Ya Allah!" Pegangan semakin kejap. Pelbagai fikiran buruk yang menerjah di benak Puan Halimah. Ah Chai semakin menyeringai. Seusai dia betul-betul berdiri di hadapan Puan Halimah, Ah Chai terus sahaja mencengkam dagu Puan Halimah.

"Lu dengar sini, kalau Din tak bayar itu hutang… Wa ambil itu anak… jadi anak ayam, ma. Wa tahu lo… lu ada anak perempuan. Ayam muda. Mesti 'sedap' ma… wa kasi itu tempoh tiga bulan. Okey, amoi." Sinis sahaja suara Ah Chai semakin menyinis. Pipi Puan Halimah ditepuk perlahan.

"Kau jangan apa-apakan anak aku! Din yang berhutang dengan kau! Aku dengan anak aku tak terlibat dengan benda ni semua. Kalau kau sentuh anak aku, aku bunuh kau!" jerit Puan Halimah. Sempat lagi dia beranu meludah ke muka Ah Chai. Memang patut pun diludah. Kalau ada Encik Sharifuddin, suaminya yang tak guna itu pun dia akan ludah ke mukanya.

Ah Chai sudah mula berang. Mahu sahaja dia membunuh Puan Halimah. Tak ada satu orang pun yang berani meludah ke mukanya. Akhirnya, dia melempang muka Puan Halimah dengan begitu kuat sehingga pecah bibirnya. Puan Halimah sudah meringis kesakitan. Darah sudah mengalir dari bibirnya.

"Amoi… amoi... lu jangan cabar wa. Ingat itu amoi… duit or lu punya anak amoi bagi kami 'ratah'. Kalau lu mahu lari… lu dengan anak lu amoi… wa cincang badan lu bagi anjing. Lu jangan lupa, amoi. 30000, amoi. Mati atau langsai itu hutang."

Seusai Ah Chai berkata begitu, dia pun menyuruh orang suruhannya menolak Puan Halimah ke tepi. Dahi Puan Halimah terkena bucu almari dan membuatkan dia meringis kesakitan. Geng-geng Ah Chai beransur keluar dari situ tanpa menutup pintu.

Puan Halimah bangun perlahan-lahan. Tangannya mengusap bahagian dahinya. Tangannya pula dibelek. Ada kesan merah disebabkan pegangan lelaki-lelaki itu yang begitu kejap. Puan Halimah tidak dapat menahan air matanya lagi. Apa lagi ujian kali ini? Kehidupan dia dan Siti Safea tidak begitu aman. Ini semua gara-gara suaminya yang tak guna itu. Pada masa yang sama, dia bersyukur Siti Safea tidak ada di rumah pada waktu sekarang ini. Kalau anaknya itu ada sekarang, mesti Ah Chai akan melakukan sesuatu perkara yang tidak baik.

Puan Halimah mengusap air matanya. RM 30,000. Itu adalah sejumlah wang yang sangat besar. Dia bukan golongan yang berada. Kenapa Ah Chai tidak mencari lelaki tidak guna itu? Kenapa dirinya pula yang terbeban? Apa yang perlu dia buat sekarang ini untuk menyelamatkan dirinya dan menjamin keselamatan Siti Safea? Puan Halimah buntu.






PADA malam itu, SMK Seri Meranti mengadakan sedikit majlis pembukaan. Semua ahli jawatankuasa dan kru-kru jamuan gigih berkerja untuk memastikan segala hal dalam majlis ini berjalan dengan lancar. Mereka mestilah peka dengan bufet-bufet yang disediakan supaya makanan sentiasa mencukupi.

Jawatankuasa di bahagian teknikal juga penting dalam menjayakan sesebuah majlis kerana mereka inilah yang menjaga segala sistem teknikal seperti mikrofon, lampu dan sistem bunyi.

Siti Safea hanya makan dengan begitu khusyuk sekali. Sudah lama dia tidak mejamu nasi beriyani. Malam itu menu bufet adalah nasi beriyani dan ayam goreng berempah. Ada sedikit kuih karipap dan donat. Ulam-ulaman seperti timun dan ulam raja juga turut disediakan.

Azrin hanya memerhati Siti Safea dari jauh sahaja. Kebetulan Haziq dan berapa peserta lelaki duduk di bahagian meja hadapan. Manakala peserta perempuan duduk di bahagian belakang. Azrin memandang sahaja ayam yang tidak habis dimakan. Dia sudah risau. Sejak petang tadi, Siti Safea tidak mahu menegurnya. Muka gadis itu amatlah sugul. Takkanlah mengenai kisah Haziq Arfan dan dirinya?

Siti Safea meletakkan pinggan kotor di tempat yang telah disediakan. Dia mahu untuk mencuci tangannya di tandas. Dia mahu meminta tolong Pavitra untuk menemaninya, tapi tidak jadi untuk berbuat demikian lerana Pavitra tengah khusyuk bersembang bersama pelajar lain.

Tanpa membuang masa, Siti Safea keluar dari dewan tersebut. Lalu, dia terus melangkah ke hujung dewan kerana tandas untuk pelajar perempuan sudah tersedia di situ. Setelah membersihkan tangan dan membetulkan sedikit tudung bawalnya, Siti Safea terus meninggalkan tandas tersebut untuk kembali semula ke dewan.

Tiba-tiba, matanya tertancap ke arah Azrin yang sedang menyandar ke dinding sambil berpeluk tangannya. Siti Safea mengerutkan dahinya. Pelik apabila melihat Azrin yang tiba-tiba sahaja ada di sini.

"Azrin, awak buat apa kat sini?" tanya Siti Safea kehairanan.

Azrin hanya mengurutkan belakang tengkuknya. Sebenarnya, semasa Siti Safea jalan berseorangan untuk pergi ke tandas, Azrin terus sahaja mengikut Siti Safea secara senyap-senyap. Dia sudah membuat keputusan. Keputusan untuk menceritakan peristiwa bagaimana dirinya dan Haziq Arfan boleh bermusuhan. Dia tidak mahu untuk menyimpan rahsia ini lagi.

"Sebelum kita berdebat esok, aku nak cerita kat kau. Dan kau… mesti tertanya-tanya, apa kaitan aku dengan Haziq, kan?" jeda Azrin. Dia cuba menghembuskan nafas. Ada beberapa orang pelajar lain yang sedang lalu lalang.

Siti Safea terkedu. Dia hampir lupa tentang hal itu. Siti Safea melihat wajah Azrin. Nampaknya, wajah itu seperti menyimpan satu rahsia yang amat besar. Di sekolah, memang timbulnya satu gosip yang menular di sekolah bahawa Haziq Arfan dan Azrin bergaduh disebabkan berebut jawatan tinggi kelab. Tetapi pada masa itu, Siti Safea tidak mengambil kisah pun tentang gosip itu kerana dia hanya sibuk memerhatikan Haziq sahaja. Maklumlah, dia sedang angau ketika itu.

"Kau diam je. Maknanya betul la tu." Azrin tersenyum sedikit. Siti Safea hanya tersenyum janggal. Kenapa pula jantungnya berasa berdebar-debar?

"Haziq dengan aku dulu kawan baik. Kitorang rapat sangat. Dah macam adik beradik. Mesti kau tahu kan, dulu Haziq jadi pendebat sekolah dua tahun lepas. Aku mengaku dia seorang pendebat yang sangat-sangat bagus. Lagi bagus dari aku. Cikgu-cikgu dan senior dulu dah plan nak lantik Haziq tu pengerusi kelab debat nanti. Tapi… plan diorang tak jadi sebab… ada benda yang berlaku." Jeda Haziq seketika.

Siti Safea terpegun. Tak sangka pula Haziq itu pandai serba serbi. Hebat dalam olahraga. Pandai pula berdebat. Patutlah juga ramai pelajar perempuan suka berdampingan dengannya. Tak kira pengawas atau pelajar biasa.

"Oh! Tapi saya tengok awak dengan dia macam… tak rapat je. Macam bergaduh."

Azrin hanya tersenyum seraya berkata, "Ya… memang kitorang dah tak rapat. Mungkin salah aku jugak." Keadaan menjadi sedikit canggung. Siti Safea menggigit bibirnya.

"Maksud awak?"

Azrin menghelakan nafasnya. Mata Siti Safea dipandang seraya berkata, "Aku mula cemburu dengan Haziq. Ramai orang suka kat dia. Ramai orang nak sangat berkawan dengan dia. Pernah sekali tu… aku yang tolong sehabis baik untuk aktiviti kelab debat. Tapi yang dapat nama Haziq… Haziq dan Haziq. Selepas tu, Hanna nak jumpa aku. Masa tu, dia dah couple dengan Haziq. Hanna bagitahu Haziq tu hanya gunakan aku. Sebab dia nak jawatan pengerusi kelab tu."

Siti Safea ternganga. Hal yang baru dia dengar tadi memang tidak disangka-sangka. Siti Safea hanya diam sahaja. Sekarang ini dia tidak mahu menghakimi sesiapa.

"Aku pun tak tahu kenapa aku percayakan Hanna. Aku dengan Haziq berkawan macam biasa tapi aku pulak… senyap-senyap tukarkan nama Haziq dalam senarai wakil debat pada masa tu. Debat tu sangat-sangat penting. Haziq memang nak sangat pergi debat tu sebab peringkat antarabangsa. Tapi… disebabkan aku plan tukar nama dia dengan nama aku. Harapan dia musnah. Masa tu aku seronok sebab aku dapat kalahkan dia. Entah macam mana dia tahu plan aku, kitorang bergaduh besar. Selepas itu, Haziq buat keputusan untuk tinggalkan kelab debat. Ramai yang terkejut termasuk cikgu-cikgu. Aku tahu dia kecewa sangat dengan aku. Tapi… aku buat semua ni sebab salah dia jugak. Dia gunakan aku."

Siti Safea sudah terkelu. Memang dia tidak sangka kebenarannya begini. Betullah kata Rafiq, Azrin adalah seorang yang tamak. Haziq pula seorang yang suka mengambil kesempatan. Siti Safea terfikir juga adakah Hanna sengaja mereka-reka cerita ataupun dia bercakap benar. Siti Safea mengeluh perlahan. Banyak sangat drama!

Tanpa Azrin dan Siti Safea sedar, ada seseorang yang sedang melihat mereka di sebalik dinding. Rina mengetap bibir menahan geram. Telefon bimbit dikeluarkan lalu Rina menangkap gambar secara senyap-senyap. Senyuman sinis terbit di bibir.

"Muka menggerutu tapi gedik dengan jantan."




ShaDhia

Bersambung...















Azrin tu mana baik sangat... Dia pun ada dark side 😌😌

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro