Bab 1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

CUTI semester sudah berakhir, maka Izara mula meneruskan hidupnya sebagai seorang pelajar yang hakiki. Semester baru, nafas baru. Tapi...

Bunyi jam loceng yang dipasang pada telefon pintarnya sudah bergetar buat kali kesepuluh namun sekujur tubuh itu masih diulit mimpi yang indah. Siap pakej tarik selimut hingga menutup kepala pula tu.

"Hmm... bising la," gumam empunya suara itu.

Pintu bilik tidur Izara dibuka dari luar. Satu tubuh yang sudah bersiap untuk ke kerja mula melangkah masuk. Kepala menggeleng perlahan melihat Izara liat mahu bangun. Tanpa berlengah, dia terus menarik selimut yang membaluti tubuh Izara dengan kuat.

"Oi, kau punya telefon tu macam nak retak dah bunyi alarm."

Gara-gara terkejut selimutnya direntap, terus tubuh Izara terduduk dari pembaringan. Perkara pertama yang dia lihat adalah wajah abangnya sedang berdiri sambil tangan mencekak pinggang macam bapa orang dah.

"Apa ni... kacau aku pagi-pagi buta. Kau nak pergi kerja, pergi je la," omel Izara. Dia berura-ura untuk menyambung tidur semula.

"Bukan kau kata hari ni semester baru dah mula? Kelas kau jam berapa?" soal Izhar. Dia masih ingat kata-kata adik perempuannya tempoh hari bahawa semester baru akan bermula pada hari ini.

Sepasang mata Izara yang layu itu terus segar bugar apabila menangkap setiap butir perkataan yang meluncur laju keluar daripada mulut abangnya. Sesaat dia sudah seperti lipas kudung dengan mulut mengomel tanpa henti.

"Kenapa kau baru kejut aku sekarang? Pukul berapa dah ni? Aduh, mesti dah lambat!"

Izhar malas mahu melayan perangai Izara terus berlalu pergi sambil menutup pintu bilik adiknya. Tak kuasa dia nak hadap emosi Izara sekarang.

Apabila menilik jam yang elok tergantung di dinding, terus Izara mencapai sehelai tuala di penyangkut. Pagi ni dia hanya mandi ala kadar macam kartun, yang penting dia gosok gigi dan cuci muka.

Tangan ralit sumbat beberapa buah buku dan komputer riba ke dalam beg sandangnya selepas mandi. Tak sempat dia nak berdandan sangat, sekadar tepek bedak dan pelembap bibir. Izara berlari turun ke tingkat bawah.

"Makan," tegur Izhar sambil mengunyah sekeping roti bakar yang disediakan oleh ibunya.

"Tak sempat. Bye." Sekejap bayangan Izara sudah hilang dari situ.





BIBIR Izara tak berhenti mengomel sejak memandu kereta dari tadi. Sudah la jalan sesak sebab awal pagi kan ramai berpusu-pusu nak ke tempat kerja, sekolah dan kelas. Tak cukup dengan jalan sesak, sekarang dia ada masalah untuk cari tempat parkir kereta yang kosong.

"Tenang, Zara. Tenang. Buat satu pusingan lagi, kalau tak ada juga... terpaksa la kau parkir jauh-jauh," bisik Izara pada dirinya sendiri sekadar untuk menenangkan jiwanya.

Dari jauh dia sudah nampak satu kotak parkir kereta yang kosong, dengan menggunakan kuasa kakinya dia memijak pedal minyak agak kuat untuk dapatkan parkir tersebut. Baru saja dia mahu memusingkan stereng kereta, tiba-tiba sebuah kereta yang datang entah dari mana terus masuk ke kotak parkir.

Tercengang Izara dibuatnya. Manusia mana pula curi tempat letak kereta dia ni? Sudah la dia dah lambat ke kelas, sekarang ni apa dia nak buat? Cermin tingkap diturunkan, amarahnya bergelodak dengan pemilik kereta yang tiada adab itu. Buta ke?

"Helo, cik abang. Tak nampak ke kereta saya nak masuk parkir ni tadi? Selamba je kan awak masuk macam tu!" Wajah Izara mula berubah mencuka. Geram.

Seorang lelaki yang baru keluar dari perut kereta hanya memandang Izara sekilas lalu. Sambil mengambil beg bimbitnya, dia berkata. "Ya? Siapa suruh lambat masuk."

Rahang Izara jatuh. Gila! Sudah la tidak meminta maaf, pastu tuduh dia lambat masuk kotak parkir? Dia punya la nak parkir secara mengundur untuk senang dia keluarkan kereta bila habis kelas kelak.

"Kut ya pun, minta maaf la. Miskin adab betul."

Lelaki itu seperti tidak terkesan dengan kata-kata Izara malah wajah Izara langsung tidak dipandang. Hampir gila Izara dibuatnya apabila tiada respons daripada lelaki itu.

"Dah la saya lambat ke kelas, sekarang awak makin melambatkan saya! You know what, I wish you will have a bad day." Sumpah, dia mahu mendoakan lelaki itu akan mengalami hari yang teruk pada hari ni sebagai balasan.

Izara sudah bersedia untuk memandu pergi untuk mencari tempat letak kereta yang masih kosong. Belum sempat dia menaikkan cermin kereta, telinganya menangkap satu suara.

"Masalah saya ke kalau awak lambat? Dari meroyan kat sini, baik cari parkir baru." Cermin mata hitam dipakai sebelum berlalu pergi dari situ.

Bibir diketap sekuat hati agar tidak mengeluarkan kata-kata kesat. Sabar, Izara. Sabar itu separuh dari iman. Kenapa la malang sangat nasibnya hari ni.

Sengaja Izara memandu laju melintasi lelaki itu dengan senyuman sinis. Mata mengerling cermin pandang belakang dan dapat dia lihat reaksi lelaki itu seperti terkejut dengan tindakannya.





KAKI mengorak langkah selaju yang boleh sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Namun, Izara langsung tak pedulikan semua itu kerana yang penting dia harus tiba ke kelas sekarang. Kenapa la dia rasa bilik kuliah ini terasa jauh walhal tidak la jauh mana.

Apabila kakinya sudah berhenti di hadapan pintu bilik kuliah, Izara sudah doa banyak-banyak dalam hati agar pensyarahnya masih belum masuk. Kalau dah masuk pun, harap hati dia selembut sutera untuk memaafkan kelewatannya pada hari pertama. Ada juga dia mesej kepada Sabrina fasal pensyarah tapi kawannya itu tak baca pula.

Jam tangan ditilik, ah dia sudah lewat dua puluh minit. Kalau la lelaki tadi tak mengambil tempat parkir keretanya tadi pasti dia tak selewat ini. Sudah la keretanya diparkir agak jauh membuatkan dia berlari kepanasan.

Perlahan tombol pintu dipulas dan Izara segera mencari figura Sabrina. Bilik kuliah terasa sunyi serta merta. Alamak!

Izara menebarkan pandangan ke sekeliling namun tidak kelihatan pensyarah di atas pentas. Belum masuk lagi ke? Malas mahu fikir, Izara mengambil peluang ini untuk berlari ke arah Sabrina dan duduk di sebelah kawan baiknya itu.

"Apasal kau lambat?" soal Sabrina.

"Aku lambat bangun tadi pastu, tadi kan..."

"Kau tahu kan hari ni hari pertama. Dah, dah. Eh, kau tahu tak Madam Baizura cuti bersalin? Sekarang ni, ada pensyarah baru masuk yang gantikan dia," ujar Sabrina. Dia harus menyampaikan berita itu kepada Izara berbanding mendengar asbab kelewatan kawannya itu.

Izara hanya menayang muka selamba. "Cuti bersalin lagi?"

Laju tangan Sabrina memukul lengan Izara. "Kau ni..."

Izara menyengih. "Maaf. Tapi, betul la. Rasa macam baru tahun lepas dia beranak tau."

"Lantak dia la nak beranak dua kali setahun ke apa. Tu tak penting. Yang penting sekarang ni, pensyarah baru kita." Mata Sabrina bersinar seperti ia berita penting.

"Siapa? Prof. Ahmad ke?" Apa yang teruja sangat si Sabrina ni? Takkan la Ji Chang Wook pula jadi pensyarah mereka. Kalau artis korea tu jadi pensyarah, memang dia sudi datang ke kelas hari-hari.

Sabrina memuncungkan bibir. "Kau ni obses betul dengan Ji Chang Wook tu. Bukan la, pensyarah kita hot stuff. Muda, hensem, tegap... ahh lengkap la satu pakej."

"Mana kau tahu?"

"Dia dah masuk tadi. Tu... barang dia kat atas meja. Cuma dia keluar kejap pergi tandas rasanya. Kau kena tengok tau! Semua tadi terkejut tengok pensyarah tu." Sabrina sudah memanggung kepala sambil menghalakan pandangan ke atas pentas walau tiada sesiapa disitu.

Izara menggeleng perlahan. Pensyarah baru saja, bukannya ada apa sangat pun. Rupa pun tak penting sebab dia langsung tak berminat dengan pensyarah walau kacak sepuluh kali ganda dari Ji Chang Wook. Bercinta dengan pensyarah? A big NO!

"Eh, kejap! Dia dah ambil kehadiran ke?" soal Izara.

"Dah."

"What the... apasal kau tak cakap?!" Izara kembali cemas kerana dia lewat pada hari pertama malah terlepas untuk ambil kehadiran. Alasan apa yang dia harus beri kepada pensyarah nanti? Lewat bangun? Parkir kereta kena curi? Semua alasan tu langsung tak munasabah.

Fikir, Zara. Fikir.

Pintu ditolak dari luar. Kemudian, seorang lelaki dengan penuh karisma melangkah masuk ke dalam bilik kuliah. Semua pelajar di dalam bilik kuliah mula memberi fokus kepada lelaki tersebut.

"Weh, dia dah masuk!" bisik Sabrina.

Izara mengalihkan pandangannya ke atas pentas. Lelaki itu...

Izara memincingkan matanya sambil merenung satu figura yang sudah berdiri di hadapan kelas. Mikrofon dipegang sebelum pandangan mereka bertaut. Mata Izara membulat besar apabila dia mula mengecam figura tersebut.

Itu kan... lelaki kat parkir tadi!

Tak lepas pandangan lelaki tersebut dari terus menerus merenung ke arah Izara sehingga menimbulkan rasa kekok pada Izara.

"Saya rasa... semua kehadiran dah ambil tadi kecuali seorang. Siapa yang masuk lewat tadi? Boleh berdiri?"

Izara tahu lelaki itu sengaja berkata sedemikian walhal sudah tahu dia la pelajar yang lewat. Hanya dia seorang. Izara menggerutu dalam hati, rasa mahu baling batu ke arah lelaki itu.

Semua tumpuan mula diberi kepada Izara. Dengan perasaan yang sangat menyebalkan, Izara mula berdiri.

"Perkenalkan diri since ini kali pertama kita jumpa."

Hujung bibir Izara tarik satu senyuman senget. Kali pertama konon! Dia ni hilang ingatan ke atau pura-pura lupa?

"Izara."

"Kenapa datang lambat? Awak tahu kan kelas kita jam berapa?" soal lelaki itu.

Kalau tadi Izara berasa panik untuk memikirkan alasan yang patut diberi namun kini tidak lagi apabila mendapat tahu siapa pensyarah tersebut.

"Tak ada alasan."

Dapat Izara melihat dengan jelas lelaki di hadapan kelas itu mengukir senyuman seolah-olah mengejeknya. Wah, wah. Interesting.

"Ini kali pertama kita jumpa, Sir tak nak perkenalkan diri?" balas Izara dengan wajah selamba. Dia mahu tahu nama lelaki itu.

Dengan senada lelaki itu membalas. "Fahd Huzayr. Panggil saya Sir Huzayr. Okey kelas, mulai hari ini saya berkhimat di universiti ini dan kelas awak adalah kelas pertama saya disini. Memandangkan pensyarah awak yang patut mengajar subjek ini sedang cuti bersalin, saya akan menggantikan tempat dia sepanjang semester ini."

Sepanjang semester ini? Biar betik!

"Izara, lain kali jangan sesekali datang lewat ke kelas saya."

"Sir pun lewat tadi, kan?" balas Izara.

Fahd hanya senyum nipis. Dalam hatinya hanya Tuhan saja tahu betapa geram dia terhadap Izara. Nampaknya dia mempunyai hubungan yang kurang baik dengan salah seorang pelajar barunya gara-gara kejadian di parkir kereta tadi.

Oh, Izara. You don't know me so well.





TERASA bahunya disenggolkan dengan lengan Sabrina, terus Izara memandang kawannya itu. Muka Sabrina mengoyakkan sengihan lebar. Dah kenapa? Sawan miang tak hilang lagi ke macam mana?

"Kau kenapa? Tak cukup sawan miang, kau dah kena sampuk dengan setan mana?" ujar Izara sambil menjinjing begnya sambil mengorak langkah keluar dari bilik kuliah memandangkan kelas pertama pada hari ini sudah tamat.

"Kau dengan Sir Huzayr ada sorok apa-apa ke?" soal Sabrina tanpa kiasan.

Izara hampir tersedak air liurnya. "Kenapa kau fikir macam tu? Aku dengan Sir Huzayr baru je jumpa kat kelas tadi."

"Habis tu kenapa dia tenung kau macam nak telan dan kau tenung dia macam harimau nak terkam kambing? Hah, kenapa?" Bukannya Sabrina tak perasan sesi renung merenung di antara Sir Huzayr dan Izara. Ketara sangat kut! Mereka berdua pernah jumpa ke?

"Kau salah pandang kut. Buat apa aku nak terkam Sir Huzayr tu? Bukannya hensem pun. Macam kambing busuk!" Sedap lidah Izara mengutuk pensyarah baru itu.

Sabrina menyengetkan senyuman. "Hah, tengok tu. Jarang Nur Izara mengumpat pensyarah. Ni baru kenal dah kutuk. Ada apa sebenarnya ni?" Sabrina masih tidak berpuas hati dengan jawapan daripada Izara.

"Tak ada apa la. Aku cakap fakta kut. Tapi, kau kan mana boleh kalau aku kutuk mana-mana lelaki hensem di mata kau. Huh!" Izara membuka langkah seluas mungkin. Dia mahu ke kafeteria untuk mengisi perutnya yang berdondang sayang. Nasib baik ada masa untuk rehat sebelum kelas seterusnya.

Ketawa kecil meniti di bibir Sabrina. "Tapi, Sir Huzayr tu memang hensem, kan? Muda pun muda. Aku rasa dia pensyarah paling muda la. Sebab kalau kau tengok Sir Bahar tu, tak ada la muda sangat."

Izara langsung tak berminat dengan topik hensemnya Sir Huzayr yang dibuka oleh Sabrina. Tak ada topik lain ke nak dibualkan? Lelaki beruang kutub sombong tu juga la nak disebut-sebut, nanti tiba-tiba muncul...

"Apa-apa je la, Sab. Kau jaga barang aku. Aku nak beli makanan." Lekas Izara meletakkan beg sandangnya di atas meja yang terletak di kafeteria sebelum meninggalkan Sabrina yang terpinga-pinga disitu. Kalau melayan bual dengan Sabrina, gamaknya kebuluran la dia.

Sedang elok Izara sedang beratur menunggu giliran untuk mengambil lauk, matanya tertancap pada suatu arah. Tinggal seekor ikan keli masak sambal dalam dulang. Aduh, tu salah satu masakan kegemarannya! Mata mengerling orang di hadapan, berharap agar tiada siapa yang ambil!

Mata Izara bersinar-sinar apabila orang di hadapannya sekadar mengambil ayam goreng dan kuah sayur masak lemak. Dengan senang hati, tangan Izara laju menangkap senduk untuk mengambil ikan keli tersebut.

Zzzap!

Seekor ikan keli sambal tadi tiba-tiba hilang dengan sekelip mata. Hampir terjerit Izara dibuatnya apabila ikan kegemaran itu sudah disambar seseorang. Pantas Izara menoleh ke sebelah kanan. It's him. Again?!

Nafas Izara sudah turun naik. Sudah la dia kebulur sebab tak sempat sarapan pagi tadi, masih mengamuk perihal parkir kereta, ditambah pula ikan keli disambar! Ini bikin perang besar.

"Helo, tak reti beratur dulu ke? Tak nampak ke saya besar gedabak depan ni nak ambil ikan tu?" Mata Izara sudah menjegil. Dia dah tak peduli status lelaki di hadapannya. Pensyarah atau tidak, itu bukan satu halangan untuk dia mahu keadilan disini.

Fahd hanya tarik senyum sinis. "First come, first serve. Gotcha!"

Hampir jatuh rahang Izara. Sumpah la di hadapannya ini seorang pensyarah? Apasal perangai macam budak tak cukup sifat?

"Dah tahu 'first come first serve', tak reti ke nak beratur? Saya tak boleh bertolak ansur kali ni. Tu... lauk kegemaran saya. Pulangkan!" Pinggan yang berisi nasi putih dihalakan kepada Fahd. Tolong la, bagi dia makan sebelum jadi raksasa disini.

Fahd tak mahu kalah. Dia tahu salahnya kerana potong barisan tapi ikan keli ni pun makanan kegemaran dia dan dia yang ambil dulu. Jadi, dia punya la kan? Tapi, minah di hadapannya kini kelihatan tekad dan bila-bila saja akan meletus.

Apa nak buat eh?

Dengan segera Fahd mencubit isi ikan keli tersebut lalu disuap ke dalam mulutnya. "Oups! Dah makan. Tak elok la kalau saya bagi bekas saya, kan?"

Sekali lagi rahang Izara jatuh. Benarlah, lelaki ini cuba mencari fasal dengan dia. Sabar, Izara. Kau matang... bukan macam lelaki beruang kutub tu.

"Sudah, sudah. Jangan gaduh. Dik, ni ada lagi lauk ikan keli. Kejap acik pi tambah, ya." Seorang pekerja di kafeteria itu yang menyaksikan perbalahan di antara Fahd dan Izara mula masuk campur.

Fahd sudah berlalu pergi. Izara masih menggerutu geram dengan sikap Fahd. Nasib baik ada lauk lagi, kalau tidak... dia sendiri akan kokak kepala pensyarah itu. Geram!

"Nah, dik. Ambil cepat."

Kelam kabut Izara mengambil seekor ikan keli masak sambal dan diletakkan di dalam pinggannya sebelum dicuri lagi.





Order ebook Dear Sugar,
011 6236 4862 — Admin Fairy

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro