2

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Aidilfitri datang lagi. Takbir yang berlagu syahdu, menghantar sayu dihati dua manusia yang terbuang dek satu hal yang dinamakan cinta. Seorang, dek cinta yang didustai. Seorang lagi, dek cinta yang setulus hati. Dua pasang mata itu saling bertatapan. Dua pasang tangan pula saling bergenggaman, erat. Kemeriahan raya menjadi hening, menyaksikan dua hati yang larut dalam perasaan.

"Su sayang..."

Suzana angkat muka. Wajah lelaki hebat di atas muka bumi ini baginya, dipandang dengan mata yang mulai menitiskan air jernih. Butir demi butir hingga akhirnya mencucur deras. Mizal menarik wanita yang sangat disayanginya itu kedalam dakapan. Tubuhnya ikut bergegar digoncang esakan Suzana. Dia faham benar isi hati wanita itu. Ini aidilfitri yang kesekian kali dia beraya sebatang kara. Ibu Mizal masih menolaknya. Keluarga sendiri pula membuangnya. Kasihan cinta hatinya itu... Setiap raya, pasti berteman airmata, kesunyian dan menderita.

"I tak akan kemana - mana kalau you nak I disini."

Suzana geleng. Senget - benget baju melayu Mizal dek geselan mukanya. Dia masih membenam wajahnya didada Mizal dan dalam pelukan Mizal. Sepertinya dia memang tidak mahu lelaki itu pergi.

"Dah tu, Su peluk abang macam ni, apa maksudnya? Tak bagi abang pergilah, kan?"

Suzana bungkam. Wajahnya dijauhkan dari tubuh si suami. Kemudian dia mulai melepaskan pelukannya pula. Lambat - lambat.

"No. No. You must go and see her. Mak abang mesti tunggu tu," kata Suzana sambil membetul - betulkan baju Mizal.

"Abang boleh balik sebelah petang atau kalau Su nak, esok aje."

Suzana geleng - geleng. Berayunan rambut separas bahu berwarna keperangan gelap itu. "Nanti mak tertunggu - tunggu, lepas tu dia ingat Su pula yang tak bagi abang balik."

Bukan tidak pernah terjadi. Mertuanya menelefon marahkannya sebab Mizal tidak balik pada raya tahun itu. Walhalnya Mizal cuma lewat sebab terpaksa membaiki tayar yang kempis kerana tertusuk paku. Telefon Mizal pula entah macam mana, dalam mod senyap menyebabkan panggilan dari Halijah semuanya tidak berjawab.

"Ibu! Ibu!"

Teriakan kanak - kanak yang meluru masuk ke bilik mereka, merentap momen sayu itu.

"Ibu, along ni cakap, angah tak handsome." Anak kedua, Carl Hakimi, mengadu. Berusia 5 tahun, mulutnya memang petah.

"Bukanlah, bukan cakap macam tu!", si sulung, Carl Muzammel, membidas. "Along cakap along lagi handsome dari angahlah."

"Babah, ibu, tengok along!"

Suzana dan Mizal ketawa saja mendengar dua hero mereka bertingkah siapa paling kacak.

Mizal menarik anak - anaknya dan memangku mereka, seorang dikiri, seorang dikanan. Suzana memerhati saja.

"Anak - anak yang soleh tak boleh bergaduh macam ni. Lagi pun, hari ni hari raya. Hari orang minta maaf dan bersilaturrahim. Along, angah kena salam, minta maaf. Nanti babah bagitau, siapa paling handsome."

Dua budak lelaki itu bersalaman dan berpelukan.

"I am sorry, angah. I love you," tutur si abang, seperti mana yang diajarkan sang ibunya selalu.

"I love you too, along. Angah sorry."

"That's my precious boys! Ibu love you both, handsome, smart guys!", Suzana teruja. Dicium pipi anak - anaknya.

Kemudian tiga pasang mata menancap ke roman Mizal. Mizal angkat kening, tanda bertanya 'apa'.

"Siapa paling handsome?", tanya Suzana sambil mengenyit mata. Mizal senyum, dia faham muslihat itu.

Dua anak lelakinya dipandang dengan bersungguh sampai berkerut dahinya. Jarinya mengurut dagu seolah sukar benar mahu membuat keputusan. Budak berdua itu hampir tidak berkedip melihat rupa ayah mereka.

"Along, handsome. Angah... Pun handsome. Dua - dua mancung, macam ibu. Mata besar, macam babah. Babah tak boleh pilihlah. Sebab..."

"Why, babah?", sampuk Hakimi, tidak sabar.

"Sebab... Babah mana boleh kalah? Mestilah babah yang paling handsome. Betul tak?"

Muzammel dan Hakimi ketawa sambil terangguk - angguk. Suzana turut terhinggut - hinggut bahu menahan gelak. Semestinya Mizal memberi jawapan selamat!

****

Suzana duduk termenung di dalam kereta. Jauh dia dihanyutkan angan dan kenangan sehingga tidak perasan masa berlalu sejak mula dia menunggu disitu. Muzammel sudah lena dikerusi belakang. Sedap tidur dalam hembusan nyaman penghawa dingin. Ini adalah sambutan raya yang ke enam, dia menyambutnya dengan cara ini. Duduk menunggu dalam kereta berdua dengan Muzammel, dari tenghari sampai ke petang. Kemudian, mereka akan pulang ke rumah dan beraya pula dengan jiran - jiran yang tidak balik kampung.

Bukan Suzana tidak bosan. Muzammel pun kadang - kadang meragam sebab terpaksa menunggu lama tapi untuk melarang Mizal balik ke rumah emaknya bukanlah sifat yang Suzana mahu 'bela' dalam dirinya. Lelaki itu terlalu baik untuk dihalang berbuat baik! Biarlah dia beralah, dua atau tiga jam saja pun. Kalau Muzammel meragam, pandailah dia memujuk tapi untuk memutuskan silaturrahim anak beranak, memang tidak! Yang dibuang, cuma dia. Yang tidak diterima, pun cuma dia. Bukan Mizal. Oh... Bukan cuma dia tapi kini, Muzammel pun terbabit sama! Spontan Suzana menoleh ke belakang. Teduh saja wajah tanpa dosa itu lena. Dia memaling semula ke depan selajur airmata berantaian jatuh ke pipinya. Maafkan ibu, sayang... Anak ibu ikut terpalit kotor yang menyaluti ibu selama ini sedangkan kamu begitu bersih... sebersih kain putih. Bibir digigit kuat. Terasa sakit... tapi lebih sakit lagi hatinya mengenangkan malang Muzammel. Kerana salahnya yang menuruti jiwa muda, anak tanpa dosa itu turut terbuang sama. Terhinggut - hinggut bahunya menahan tangis.

Ketukan bertalu - talu dicermin, mengejutkan Suzana. Dia menangis hingga tertidur rupanya. Wajah manis Mizal terpapar di depan mata. Hakimi disebelahnya. Senyum Mizal, meredakan gelora jiwa Suzana.

Pintu depan dan belakang, dibuka. Hakimi meloloskan dirinya di tempat duduk belakang, di belakang pemandu. Abangnya, di belakang tempat duduk si ibu. Mizal menutupkan pintu sebelum dia sendiri masuk ke dalam kereta di bahagian pemandu. Mizal menoleh ke sisi, memandang raut si isteri yang lesu. Kasihan isterinya. Berkorban rasa setiap kali hari raya, entah sampai bila.

"Sayang...", panggil Mizal, lembut seraya meletakkan tapak tangannya di atas kekura tangan Suzana.

Suzana hanya membalas dengan pandangan dan senyuman.

"Terima kasih."

"Sama - sama."

"Abang harap sangat satu hari nanti kita boleh beraya dengan mak, sama - sama. Abang sedih sangat tengok sayang macam ni."

"Su terima keadaan ni, abang, dan Su redha. Apa yang penting, selagi mak sayangkan abang, abang kena jaga hati dia. Su tak apa - apa."

Mizal tertunduk. Terharu dan hiba mendengar tutur tulus seorang isteri. Semakin kuat dia menggenggam tangan Suzana. Kenapalah perempuan sebaik ini, begitu berat Tuhan menguji? Dan... apakah cukup apa yang dia beri kepada perempuan ini selama dia menjadi isteri?

"Babah," suara Muzammel memecah tembok emosi yang berselimut bisu.

"Ya, anak babah... What is it?"

"Kenapa angah je yang boleh raya rumah nenek? Kenapa along tak boleh? Nenek tak sayang along ke, babah?"

Tersentak tangkai jantung Mizal. Berlaga pandangannya dengan Suzana. Lama keduanya tergamam memikirkan kata - kata yang terbaik sebagai penjelasan. Muzammel dan Hakimi pula, sama - sama terlopong menanti jawapan.

Suzana terkebil - kebil mata. Dadanya bagai dibadai ombak yang ganas. Mizal berdehem - dehem. Soalan telus dari seorang anak yang masih berfikiran bersih, macam soalan peperiksaan berfikir aras tinggi! Tiada jawapan yang salah tapi apa jawapan yang sesuai?

"Nenek, errr... Nenek cakap... Mmm..," kepalanya digaru - garu. Di kerusi belakang, anak kecil itu sabar menanti jawapan yang ditagihnya.

"Nenek marah dengan ibu sebab ibu dah ambil anak nenek ni," jari dituding ke dada Mizal. "... jadi babah along. Sebab tu nenek tak nak jumpa kita. Dia masih marah la tu," tutur Suzana tiba - tiba.

"Poor ibu, nenek marah," spontan Muzammel membalas.

"Kan ibu cakap, jangan ambil barang orang. Tak baik," sampuk Hakimi. "Kenapa ibu ambil anak nenek?"

Soalan tahap aras tinggi yang lain pula ditanya. Mizal dan Suzana hampir pecah ketawa.

"Sebab ibu nak anak yang handsome, smart boy, macam angahlah," sahut Suzana lagi. Mizal mula tergelak. Makin dilayan, makin macam - macam pula soalan ditanya.

"Along pun handsome - lah!", bidas Muzammel, tidak mahu kalah dengan si adik. "Lepas tu, along pandai mengaji. Along dah quran. Angah, iqra'," tambah Muzammel.

"Ya, betul... Dua - dua handsome, good boy and anak soleh," Mizal bersuara. Dia perasan anak - anaknya mulai lupa tujuan soalan sebenar. Suzana berjaya mengalih topik perbualan mereka.

"Kita pergi makan makanan Korea, nak tak?", Mizal melencong terus ke topik makan sebelum soalan lain pula muncul.

"Angah nak chinese food!", pantas Hakimi bersuara.

"Along.. Along..." Muzammel teragak - agak membuat pilihan. Makanan Korea dia suka, makanan Cina pun dia suka juga.

"Ibu lapar nasilah."

Ketiga - tiga jantina lelaki itu terdiam. Bila perempuan paling penting dalam hati mereka itu sudah bersuara tentang pilihannya, kenalah diikutkan. Selalunya begitulah!

"So... We all go for nasi!" Mizal memasukkan gear undur dan seterusnya memacu keluar dari kawasan perumahan ibunya. Dia menoleh ke arah Suzana, berbalas pandang lalu ketawa. Lenyap hiba yang sempat singgah tadi.

Kereta usang yang berjasa itu gigih merayap diatas jalanraya. Didalamnya, duduk di kerusi belakang, Muzammel dan Hakimi, berbalah tentang menu mereka hari itu sehingga lupa langsung tentang nenek yang masih marah..

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro