DHM - 9 -

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Baca novel cinta?" Hafiz tersenyum melihat Hariz yang sedang berbaring dan membaca novel melayu.

Hariz diam. Diteruskan sahaja pembacaanya yang tergendala sebelum solat isyak tadi.

"Banyaknya novel? Hariz pinjam dari perpuskataan kampung tu ke?" tanya Hafiz lagi.

Dia cuba memancing adiknya untuk berbual. Sudah lama mereka tidak berbual mesra. Lagipun dahulu sebelum dia masuk penjara, Hariz masih lagi kanak-kanak. Kini Hariz sudah naik remaja. Banyak masanya terbuang di penjara tanpa menyedari adiknya telah besar panjang. Rasa rugi pula.

"Hariz pinjam dari Kak Hawa .., dia yang pinjamkan semua novel ni dari perpuskataan. Kalau Hariz sendiri, mereka tak benarkan Hariz mendaftar pun," balas Hariz. Ada nada suruh faham-faham sendiri di situ.

Hafiz mengeluh lepas.

"Tak patut diorang buat Hariz macam tu, Hariz bukan abang ..," sesal Hafiz telah sia-sia. Semuanya telah terjadi. Kerana kesalahan dirinya, semua ahli keluarga turut terhukum.

"Hariz dah biasa, dah lali dengan semua hukuman manusia tu," Hariz jawab acuh tak acuh sahaja. Dia menyelak muka surat selanjutnya.

"Abang minta maaf .., mungkin abang tak patut balik sini semula, kan?"

Hariz melepaskan novel yang dibacanya. Wajah abangnya ditenung. Saling tak tumpah seperti wajah arwah ayah mereka.

"Kalau abang nak tebus kesalahan tu, abang kena hadapi semua ni bersama ibu dan Hariz. Apa yang Pak Long kata tu baru sikit .., Ibu dengan Hariz pernah kena lebih dari tu," Hariz menelan air liurnya.

Pernah suatu ketika dahulu, ketika Hariz demam panas, Suriati meminta bantuan orang kampung untuk menghantar mereka ke hospital yang jauh di pekan. Tetapi tiada seorang pun yang sudi menumpangkan kereta, malah mereka mendoakan agar Suriati dan Hariz meninggal kerana demam panas itu. Sebaliknya Allah maha berkuasa, keesokan harinya demam Hariz surut dan dia kembali pulih tanpa perlu berjumpa pakar perubatan.

"Abang minta maaf," kesali Hafiz lagi.

"It's okay .., it's okay. Hariz dengan ibu dah redha," Hariz meneruskan pembacaannya.

Hafiz tersenyum kembali. Senang benar hatinya mendengar kata-kata Hariz. Dia tahu, walaupun Hariz masih muda, tetapi adiknya itu lebih bersikap matang. Berbeza dengan dirinya sewaktu seumur Hariz dulu. Hafiz sewaktu berusia lapan belas tahun sama sahaja seperti remaja yang lain. Bersemangat dan berkobar-kobar dengan kejayaan yang dimiliki. Landasan kejayaan terbuka luas apabila berjaya mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Menara gading yang tinggi dipanjat untuk membuktikan kekuatan, gunung yang cerun juga sanggup didaki. Apa yang ada di dalam hati ketika itu hanyalah untuk mencapai angan dan cita. Tidak dia sangka realiti akan menghempas dan menjatuhkan semangatnya selepas itu.

"Abang nak pinjam yang ni, boleh?" Hafiz mencapai sebuah novel yang berjudul, Kerana Syurga Bukan Percuma dari sisi tilam Hariz. Sedari tadi, tajuk buku itu menarik hatinya untuk membaca.

"Hmm, baca sajalah. Kak Hawa dah tolong renew-kan tarikh untuk dua minggu ni," izin Hariz.

"Siapa Kak Hawa tu? Girlfriend Hariz ke? Baik pula hati dia nak tolong Hariz pinjamkan buku ni dari perpuskataan," usik Hafiz.

"Ish, abang ni. Tak kan lah Hariz nak bercinta dengan Kak Hawa pula? Dia tu jauh lebih tua dari Hariz. Hariz anggap dia sebagai kakak angkat sajalah." balas Hariz laju.

"Manalah tahu .., dalam hubungan cinta ni, beza umur tu tak penting ... yang penting berbeza jantina." sakat Hafiz lagi. Dia tersenyum sendiri dapat mengusik adiknya itu.

Hariz sekadar berdehem kasar. Malas dia mahu balas usikan itu. Kalau dibalas, pasti akan jadi panjang ceritanya.

Suriati turut tersenyum di sebalik dinding yang memisahkan biliknya dengan bilik kedua-dua anak lelakinya itu. Dinding yang diperbuat dari papan plywood itu membuatkan dia dapat mendengar dengan jelas perbualan anak-anaknya. Air mata yang bergenang ditepis lembut.

"Terima kasih ya Allah .., dalam kesusahan yang kau timpakan, kau kurniakan kami kekuatan," ucapnya tulus.

***

"Jadi betullah ya, abang?" tanya Asnida sekali lagi. Tidak sabar lagi dia mahu tahu cerita yang dibawa suaminya pulang dari surau.

"Entahlah .., abang pun tak pernah jumpa dia lagi. Manalah abang tahu," Haji Rauf membuka topi putih yang dipakainya dan diletakan di atas meja. Dia kemudian duduk menyandar di atas kerusi di ruang tamu rumah.

Asnida turut mengekori. Dia juga duduk di sebelah suaminya.

"Milah pun ada cakap masa saya pergi kedai dia semalam .., katanya banduan tu dah terlepas," kata Asnida lagi. Mukanya dicebik dengan rasa tidak enak.

"Dia bukan terlepas .., hukuman dia telah diringankan. Sebab tu polis lepaskan dia," sangkal Haji Rauf. Kepala digeleng perlahan.

"Samalah tu .., keluar penjara." Asnida menjeling tajam.

"Tak kisahlah .., yang penting dia dah balik sini, dia tak buat hal lagi macam yang di bandar tu dulu." Haji Rauf berfikiran positif.

"Eh, abang ni ... mana ada orang yang keluar-keluar dari penjara tak buat hal balik? Dah banyak dah orang yang keluar masuk penjara dengan kes-kes macam tu. Ei, tak kuasa saya. Nasib baik kita tak ada anak lelaki, kalau ada .., mahunya terjebak dengan spesis syaitonirojim macam itu." kutuk Asnida lagi.

"Saya tak berapa berkenan tau dengan cara awak ni ... suka sangat menghukum orang. Awak belum pernah lagi jumpa dia ... manalah tahu kalau-kalau dia betul-betul dah berubah? Hisy, asyik nak mengata saja. Patutlah orang pun nak mengata awak saja," balas Haji Rauf sambil mengeluh lepas.

Asnida mencebik buat tidak peduli.

"Abang tu pula ... sama juga tak pernah jumpa dia lagi. Dari mana abang tahu dia dah berubah?" katanya.

"Tok imam ada cerita, masa mula-mula dia datang ... dia ke surau, laungkan azan. Masa tu jemaah pun jadi ramai sebab dengar suara merdu dia, sedangkan waktu tu waktu asar. Tak pernah lagi surau tu penuh waktu-waktu macam itu. Bukan ke itu tandanya Allah memilih dia untuk menyeru orang-orang untuk solat berjemaah?" ujar Haji Rauf lagi.

Asnida menjuih bibir. Macamlah dia mahu percaya.

"Tok imam tu saja cakap lebih-lebih .., sebelum dia datang tu, surau memang selalu je penuh. Dia tak puji siapa-siapa pun,"

"Astagfirullah al azim, suka hati awaklah kalau tak mahu percaya. Saya dah tegah awak dari sifat sangka buruk ... tapi awak degil. Hati tu dah nak gelap, susahlah!" Haji Rauf lantas bangun dari kerusinya dan berjalan masuk ke dalam bilik tidur.

Asnida memusingkan bola mata ke atas. Kata suaminya diendahkan sahaja. Apa yang penting dia sudah dapat melepas geram kepada orang yang dimaksudkan. Bukan kerana orang itu pernah melakukan kejahatan kepadanya, tetapi kerana orang itu mempunyai rekod buruk. Bibirnya tersenyum sinis.

*
1015
14 Januari 2019
19:51
*

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro