BAB 22: EGO

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

TANPA RESTU

Entah sudah berapa kali Tok Batin Andak mengeluh. Tidak juga keluhan itu dapat menenangkan gelodak di hatinya. Fikirannya terbang ke arah adik iparnya Mustafa. Baginya Mustafa sudah melampau. Adila milik Orang Bukit. Maka Orang Bukit menentukan masa depan Adila termasuk siapa jodohnya. Bukan Mustafa yang lebih kerap bermain dengan ikan jerung daripada anaknya sendiri. Ini adat Orang Bukit. Adat yang dipegang entah sudah berapa kurun. Siapa Mustafa nak menghalangnya?

Lagipun, itu janji Mustafa ketika mengambil adiknya Amnah sebagai isteri yang membawa seluruh ahli masyarakat Orang Bukit itu memeluk Islam.

Janjinya, jika anak Amnah perempuan, Orang Bukit akan menentukan siapa calon suaminya. Mustafa sudah bersetuju.

Malah, Orang Bukit sudah bertolak ansur apabila Mustafa membawa Adila ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran.

Bukankah Islam ajar janji mesti ditepati?

Kenapa Mustafa menghalang rancangannya?

Apa salah Zarif?

*****

IMBAS KEMBALI

"Abang Andak. Saya tahu Adila bertemu budak itu di sini. Saya tak benarkan dia orang bertemu lagi."

Begitu tegas kenyataan Mustafa beberapa hari sudah. Adik iparnya itu, angin tidak, ribut tidak tiba-tiba muncul di Post Bukit Tunggal.

Muncul bukan nak tanya khabar. Tapi nak marah-marah.

"Eh? Kenapa pulak? Raja Zarif tu baik sangat. Kalau bukan kerana dia dengan kawannya peguam yang tinggi lampai tu, entah-entah kami semua dah jadi warga Siam."

Mustafa tahu Tok Batin Andak maksudkan peguam alam sekitar yang terkenal, Ezhar. Tetapi semua itu tidak relevan bagi Mustafa. "Andak tahu kan dia cicit Raja Puteh Akhir yang cuba bunuh datuk saya Raja Mohsin?"

"Aku tahu ... Kan dia dah dihukum?" bidas Tok Batin Andak.

"Lima tahun atas kesalahan cubaan membunuh?" Mustafa mencemik. "Lepas tu keluar, jumpa orang ramai, macam tak bersalah saja."

"Kamu ni ... Datuk kamu selamat. Berhentilah berdendam. Sekarang Raja Puteh Akhir dah mati pun. Kamu dah dapat semua harta yang dirampas tok nenek demer dulu. Kamu nak marah apa lagi?"

Tok Batin Andak tak faham mengapa Mustafa begitu berdendam kepada keluarga Hadwan Shah. Baginya, harta yang paling utama ialah persaudaraan dan Adat mereka. Lagipun Adat mereka turut diiktiraf oleh Istana.

"Dia tetap ada darah pengkhianat itu." Mustafa terus membantah.

"Kamu ini nama saja tinggi ilmu. Tapi masih tak boleh fikir dengan jelas. Islam pun tak kata cucu-cicit tanggung dosa nenek-moyang. Sama macam Adat kami Orang Bukit."

"Pokoknya, Adila anak saya," tegas Mustafa.

Perjumpaan selama dua jam itu tidak ada penamatnya. Mustafa tetap dengan pendiriannya. Tok Batin Andak pula enggan tunduk kepada kehendak Mustafa. Baginya Adila perlu dikahwinkan dengan lelaki yang ada semangat seperti Orang Bukit.

Zarif Azhad memiliki semangat itu.

*****

KEPUTUSAN

"Abang Andak. Kenapa termenung di sini. Kejap lagi majlis nak mula." Kedengaran suara isterinya menerobos ke cuping telinganya.

Tok Batin Andak berpaling.

"Murni ... Kamu fikir apa yang aku buat ni betul ke?"

Murni ialah nama Mak Andak yang tercatat pada kad pengenalannya. Di perkampungan itu dia hanya dikenali sebagai Mak Andak.

"Kita dah buat mesyuarat Adat. Pemangku Ketua Adat kita pun dah seronok nak serah tugas kepada Adila. Kak Nana kata, dia letih. Tahu sajalah, budak-budak sekarang. Banyak sangat gangguan. Ada yang nak jadi penyanyi ... Eh ... Macam-macam!" Mak Andak membebel.

"Itulah yang aku fikirkan. Kita ni dah tua. Biarlah orang muda ambil alih."

Perbualan mereka diganggu Raymond yang membawa Zarif dengan Adila. Lepas mereka duduk berhadapan Tok Batin Andak, Raymond meninggalkan kumpulan kecil itu. Raymond tak boleh mendengar penerangan Tok Batin Andak kepada Zarif dan Adila. Dia masih bujang.

Tok Batin jelaskan apa rancangannya malam itu. Terkejut besar Zarif dan Adila.

"Tok Batin. Bukan saya tak mahu kahwin dengan Adila. Itu impian saya. Tapi kita kena ikut cara yang betul." Adila yang tunduk dipandangnya sekilas.

"Kamu dah janji dengan aku. Kamu nak berdalih apa lagi?" Suara To Batin Andak menjadi keras. Hilang panggilan 'Tuan' yang selalu digunakannya.

"Adila perlu kebenaran Daddy dia ..."

"Kalau ikutkan hati aku, nak aku panggil jurunikah Siam ke sini. Bukan jauh sangat tempat demer. Tapi sebab aku masih mahu Mustafa restu anak dia, aku nak buat upacara Adat saja," jelas Tok Batin Andak.

Pemangku Ketua Adat yang dipanggil Tok Nana, menganggukkan kepalanya. Walaupun faham bahasa Melayu, dia hanya petah berhujah dalam bahasa Orang Bukit. Zarif garu kepalanya yang tidak gatal.

Adila angkat kepala. "Pak Andak ... Kalau Daddy marah, macam mana?"

Sebenarnya, sebaik sahaja Adila kembali ke Cyberjaya, dia menyiasat siapa sebenarnya Raja Zarif Azhad Bin Raja Hadwan Shah. Nama Hadwan Shah itu dia pernah dengar dari mulut peguam bapanya. Ia muncul dalam kes tuntutan harta yang dirampas oleh penjarah yang bersekongkol dengan penjajah. Hasil siasatannya sendiri menakutkannya. Lantaran itu Adila merahsiakan hubungannya dengan Zarif daripada pengetahuan ayahnya.

Adila mungkin seorang gadis yang memiliki PhD. Tetapi semua yang dilakukannya selama ini ada tangan Mustafa di belakangnya. Inikan pula soal berumah tangga.

Tetapi sampai bila? fikirnya.

"Biar Andak urus Daddy kamu. Dia tak berani lawan Andak," jawab Tok Batin Andak, penuh yakin. "Lepas balik ke Kuala Lumpur, kamu mengaku depan dia. Tengok apa dia kata."

Zarif sudah tahu apa keputusan Mustafa. "Dia akan perintahkan kami supaya berpisah."

"Kamu kan peguam ... Tentu pandai cakap," tegas Tok Batin Andak.

"Ini lain, Andak," ujar Zarif.

Tok Batin Andak mendengus. Pantang rancangannya ditentang.

Mata Adila pula sudah berkaca-kaca. Tidak pernah Zarif melihat Adila menangis. Dia tak akan benarkan malam itu menjadi yang pertama kali.

"Kita sama-sama hadapinya, Adila," pujuknya.

"Maknanya abang setuju?" soal Adila.

"Abang setuju. Nanti kita sama-sama jumpa Daddy, jelaskannya."

*****

UPACARA ADAT

Sebelum memeluk agama Islam, Orang Bukit pengamal aminisme. Mereka menyembah api, sungai dan pokok tualang. Bagi mereka semua itu punca tenaga dan kehidupan. Sungai memelihara ikan untuk mereka. Api memasak makanan. Pokok tualang menaungi kehidupan tebuan yang membuat madu, iaitu sumber tenaga dan perubatan mereka.

Setelah memeluk agama Islam, mereka sudah percaya, ada lagi yang lebih hebat daripada sungai, api dan pokok. Dialah Yang MAHA ESA dan yang kekal. Tidak seperti api yang padam disiram air. Tidak kering seperti sungai di musim kemarau, dan tidak mati terkena penyakit seperti pokok.

Dahulu, dalam adat mereka, selain dimulai dengan ritual mandi di sungai, mereka akan menanam pokok tualang dan berjalan keliling api. Kini, mereka kekalkan mandi di sungai dan menanam pokok tualang. Tetapi tidak lagi berkeliling api. Walau bagaimanapun unsur api itu tetap wujud sebagai alat untuk menerangkan malam perkahwinan, walaupun sekarang mereka ada generator untuk memasang lampu.

Pengantin perempuan membawa tangkai padi secekaknya. Padi melambangkan kesuburan isteri yang diharapkan mempunyai anak yang ramai.

Mereka dipakaikan gelang yang dianyam daripada rotan tunggal. Gelang dipakai di tangan kanan sebagai ingatan itulah tangan yang digunakan untuk mencari rezeki dan mempertahankan kehormatan diri dan keluarga. Gelang itu jika buruk boleh digunting dan ditanam. Gelang baharu harus dipakai untuk mengganti yang buruk itu.

Barulah Zarif faham kenapa dia diajak mencari rotan tunggal oleh Tok Batin Andak sebelum dia pulang. Rupanya itu syarat penyatuan antara lelaki dan perempuan mengikut adat mereka.

Tok Nana memberi tazkirah tentang apa yang boleh dan tak boleh dilakukan oleh pasangan yang berkahwin. Tok Batin terjemahkan. Orang Bukit sifatnya monogamous. Poligami tidak dibenarkan oleh adat Orang Bukit, kerana mereka mengamalkan sistem matriarkal. Pihak yang curang akan dihukum dengan berat dan dibuang dari kelompok mereka.

Dalam kehidupan berkomuniti, anak dikenali melalui ibunya. Ini kerana si bapa sering berpergian ke dalam hutan sama ada mencari madu, Kacip Fatimah, Tongkat Ali, Cendawan Susu Harimau, Kunyit Hitam atau Gaharu. Semua bahan-bahan itu sama ada untuk jualan bagi membeli gula, garam, rempah dan pakaian atau kegunaan sendiri. Ada suami yang tidak kembali.

Jika berlaku sedemikian, isteri boleh berkahwin lain. Tetapi jika tidak, kebajikan mereka tetap dipelihara oleh ahli komuniti itu.

Begitulah adat Orang Bukit demi memelihara keharmonian rumah tangga.

*****

SWEETHEART

Selesai upacara mengikut Adat itu, mereka menjamu hidangan ubi kayu bakar dengan sambal ikan kering. Ia simbol kehidupan yang sederhana. Lepas makan ubi kayu, dihidang pulut kuning berlauk ikan panggang dan kerabu tujuh jenis pucuk tumbuh-tumbuhan renik. Antara yang wajib ada, pucuk tenggek burung dan pucuk putat. Boleh disaji bersama sayur rebung masak lemak dengan ikan masin. Kerabu itu dikira makanan mewah bagi mereka.

Bukan senang nak cari bahan-bahan itu. Seluruh ahli komuniti Orang Bukit digembeling untuk mencarinya sampai dapat.

Tidak ada kek bertingkat.

Selepas makan malam, Zarif dan Adila dibenarkan duduk berdekatan. Tujuannya berkenal-kenalan, mengikut Adat mereka (walaupun Zarif dan Adila sudah kenal antara satu sama lain). Ini kerana pada zaman dahulu hampir semua perkahwinan adalah diatur oleh keluarga, tidak kira sama ada sesama Orang Bukit atau dengan orang luar.

Orang lain tidak digalakkan melihat mereka, kecuali Ketua Adat. Dia hanya perlu menegur jika terdapat kelakuan yang tidak senonoh.

"Nama saya Zarif Azhad Bin Hadwan Shah," kata Zarif. "Panggil Abang Zarif."

Adila ketawa melihat wajah serius Zarif.

"Nama saya Adila Fairuz Binti Mustafa Kamal. Panggil Adila."

"Nak panggil 'Sweetheart' boleh?" soal Zarif.

"Abang ni, buat siaran ulangan pulak."

Zarif ketawa.

"Abang janji, lepas ini hari-hari abang akan buat siaran ulangan."

*****

PENGORBANAN

Zahrah yang duduk di tangga pondok Adila memerhati Zarif dengan perasaan bercampur-campur. Dia bersyukur kerana Zarif gembira. Akhirnya Abang Ngah kesayangannya benar-benar jatuh cinta. Dia tidak lagi umpama pungguk yang merindui bulan.

Tetapi ... Besarnya pengorbanan Abang Ngah demi cinta ini.

Kerana mempertahankan cintanya Zarif bertengkar dengan keluarga sendiri.

Zahrah tahu kenapa ibunya begitu bersungguh-sungguh mahu Zarif memilih Wan Amelia. Bukannya ibunya suka sangat Wan Amelia pun. Tetapi ibunya mahu menyelamatkan syarikat Raja Izzat yang memegang saham majoriti Royal Dusk Development Sdn Bhd. Syarikat abang sulungnya itu menanggung hutang mencecah berbilion ringgit kerana projeknya dirampas bagi membayar balik hutang kepada waris Raja Ahmad Iqram Ataullah.

Semuanya gara-gara mereka kalah dalam perbicaraan di Mahkamah England ekoran tuntutan Mustafa, Zahari dan saudara-mara yang terbabit, ke atas harta moyang mereka. Syarikatnya kini berdepan dengan masalah kecairan yang mencecah hampir RM1.0 bilion.

Mustahil mamanya membenarkan Zarif berkahwin dengan Adila yang bapanya menjadi penyebab anak sulungnya muflis.

Zahrah mengusap air matanya yang berlenang. Dia harap Adila menghargai pengorbanan Zarif. Jangan dia berundur kerana tekanan ayahnya, Mustafa a.k.a. Raja Mustafa Kamal, yang dia tahu, daripada gosip rakan di kalangan profesyen guamannya, juga sangat ego.

Bagi Zahrah, permusuhan dua keturunan Orang Besar Negeri itu mesti dihentikan. Tetapi setakat ini fikirannya buntu bagaimana hendak menguruskannya.

*****

NOTA:

Zahari ialah bapa Arman. Sila baca Rindu Kamilah kalau nak kenal Arman yang merebut cinta pertama Zarif.

*****

*Maaf. Bab ini agak dry, sebab ia menceritakan Adat Orang Bukit*

*Pokok Tenggek Burung. Pokok kecil ini dipercayai mempunyai banyak khasiat perubatan - seperti mengecutkan rahim, menurunkan tekanan darah tinggi dan melancarkan pengaliran darah. Gambar dari https://myagri.com.my/*

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro