BAB 4: EKSOTIKA

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

KETURUNAN ATAULLAH

Kata-kata Adila sebelum masuk ke hutan semalam mengganggunya. Hampir membuatnya berjaga sepanjang malam. Selama ini dia hanya berkonflik dengan dirinya. Seorang environmentalist sepatutnya tidak merokok. Tidak mencari alasan untuk terus merokok. Kerana seorang environmentalist wajar tahu keburukan merokok. Tetapi dia dan Ezhar telah terjebak dalam perangkap rokok itu sejak di zaman persekolahan lagi.

"Kita marah kepada barat kerana diri kita dijajah. Tetapi setelah merdeka, kita biarkan jiwa kita terus dijajah," kata Adila.

Argh! Kenapa?! Kenapa?! Hatinya menjerit.

Pagi itu wajahnya mirip panda di tanah besar China. Matanya yang menang sepet itu kelihatan semakin sembab kerana tak cukup tidur. Dia pakai cermin mata hitam. Baru nampak segak. Dia ajak Raymond keluar menemaninya ke Kuala Kangsar. Raymond suka saja kalau diajak keluar. Lebih-lebih lagi ke Kuala Kangsar. Bolehlah dia main snooker. Dia sangat suka dan sangat bagus dalam permainan itu. Baginya main snooker itu macam menyumpit juga. Malah lebih mudah lagi.

"Kamu nak main snooker?" soal Zarif setibanya di Kuala Kangsar.

"Nak Tuan." Orang mengantuk disurungkan bantal.

Zarif beri Raymond sedikit wang. "Kamu pergi dulu. Nanti aku join."

Siapa sebenarnya Adila?

Sebenarnya dia ke Kuala Kangsar hanya kerana mahu mendapatkan Wifi yang tiada sambungannya di Pos Bukit Tunggal yang terpencil itu. Sebaik sahaja Raymond pergi, dia terus melayari internet melalui telefon bimbitnya.

Mula-mula dia cari nama Adila Fairuz.

Dia dapat beberapa hits dan imej.

Dia baca dari daftar kepakaran Biomedical Institute:

Dr Adila Fairuz Binti Mustafa Kamal Ataullah. PhD Biomedical Science. Age: 26

Kemudian dia baca dari sebuah portal online:

Dr Adila Fairuz ialah wanita Malaysia yang mendapat PhD pada usia 21 tahun. Beliau telah pergi ke Amerika Syarikat dalam usaha untuk mengembangkan pencapaian akademiknya yang cemerlang. Beliau dibawa pulang oleh Kerajaan untuk menjalankan penyelidikan dalam program perubatan holistik yang menggabungkan rawatan konvensional dan alternatif khusus untuk penagih dadah dan rokok.

Dalam kumpulan penyelidikan itu, semuanya profesor dari university terkenal negara, termasuk Adila. Rupanya Adila Fairuz anak Mustafa Kamal Ataullah, Pengarah International Ecology Defenders Association (Asia Pacific Region) atau lebih dikenali sebagai 'IEDA'.

Zarif tahu Mustafa amat dikenali dalam kalangan pejuang alam sekitar di seluruh dunia. Dia sendiri pernah bertemu Mustafa dalam satu forum alam sekitar dunia yang dihadirinya.

Terdapat beberapa gambar Adila dan Mustafa yang dikongsi di media sosial, Facebook milik Adila. Rakan-rakan Facebook Adila hampir semuanya profesor dalam bidang berkaitan perubatan. Hakikat itu sedikit menggugat keyakinannya.

Keyakinan tentang apa?

Keyakinan untuk mendekati Adila.

Kenapa harus menyusahkan diri mendekati Adila? Berpuluh lagi gadis di luar sana yang boleh didekati. Malah, di pejabat Exco pun ada. Mungkin tiada di pejabat Exco yang dia Pegawai Khas, tetapi ada di pejabat lain. Sebabnya, ada Exco yang sengaja cari perempuan cantik sahaja. Tapi bukan di pejabatnya.

Tahulah masa usianya dua puluhan, memang wajahnya 'jambu'. Kini sudah masuk tiga siri, takkan nak dikata jambu lagi. Itu sudah satu penghinaan. Sengaja dia buat mukanya ketat dan jarang senyum, sehingga akhirnya digelar 'Encik Beku' oleh gadis-gadis di pejabatnya. Gelaran itu selama ini menyelamatkannya daripada diburu mereka. Memang dia rimas apabila peminat-peminat drama Korea atau drama Taiwan di pejabatnya sering membanding-bandingkannya dengan Artis pujaan mereka. Dia tahu perkara ini kerana pembantu peribadinya yang pecahkan rahsia kenapa mereka sering berbisik-bisik apabila dia masuk ke pejabat.

Hisy! Meluat sungguh, desisnya setiap kali teringat gadis-gadis di pejabatnya.

Dia sendiri tidak pernah menonton drama Korea atau mana-mana drama cinta-cinta dari Negara berkenaan.

Zarif terus mencari-cari maklumat tentang latar belakang Mustafa Kamal Ataullah. Tetapi tiada apa-apa lagi, kecuali kelulusan akademik dan profesion serta beberapa kertas kerja yang pernah dibentangnya dalam beberapa persidangan antarabangsa.

Tetapi dia tahu siapa yang ada nama Ataullah di belakang namanya, iaitu Raja Ahmad Iqram Ataullah. Tetapi lelaki itu hidup di zaman penjajahan.

Apa kaitan Mustafa Kamal Ataullah dengan Raja Ahmad Iqram Ataullah? Hatinya tertanya-tanya.

Dia simpan telefon bimbit ke dalam poket dan pergi menemui Raymond.

Ketika dia sampai di pusat snooker, Raymond sudah dikerumuni pemain-pemain yang teruja dengan permainannya.

Zarif hanya berdiri dengan berpeluk tubuh, di tepi dinding memerhatikan sahaja.

Raymond dicabar oleh seseorang dan pemain lain mula membuat taruhan siapa yang akan menang dan bagaimana skornya.

Mulalah diorang ni berjudi, desis Zarif.

Mahu Zarif menjerkah mereka. Tetapi dia fikir lebih baik diam. Dia cuma perlu pastikan Raymond tidak terlibat dalam perjudian pemain-pemain snooker itu. Lagipun pusat ini tidak nampak seperti dimiliki gangster.

Mungkin mereka nak berseronok sahaja.

Seorang lelaki Cina menegurnya.

"I don't speak Chinese," jawab Zarif. Sebenarnya dia sekolah jenis kebangsaan Cina sehingga ke tingkatan lima. Dia boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dengan fasih, dan sedikit-sedikit dalam bahasa Cantonese. Ia berguna dalam profesion guamannya. Tetapi di sini lebih baik dia pura-pura tak faham bahasa Cina.

"You are not Chinese?"

Zarif geleng kepala.

"Sorry," kata lelaki itu.

Dia sorry menyangka aku Cina, atau dia sorry kerana aku bukan Cina?

Selesai Raymond main berlawan dengan lelaki Cina itu, baharulah Zarif dapat bermain beregu dengan Raymond. Memang tumbanglah semua kaki-kaki judi snooker itu.

*****

PENGACAU

Hari itu dua orang penguasa hutan datang menghantar dua ekor ikan besar yang dipancing dari Tasik Temenggur. Mereka dibayar dengan dua botol madu tualang original. Setiap satu kira-kira 500 ml. Dulu ada orang tengah yang mahu membeli madu. Tetapi Tok Batin Andak sudah belajar ekonomi. Dia tak mahu jual. Siapa untung siapa rugi dalam perniagaan madu untuk ikan ini entahlah. Penguasa hutan itu tak bayar untuk dapat ikan, kecuali sedikit usaha memancing. Orang Bukit juga tidak keluarkan duit untuk dapatkan madu tualang. Ambil dari atas pokok sahaja.

Anak keduanya Rustam, yang belajar sampai Diploma Perniagaan, menjual hasil hutan di R & R seminggu sekali. Anak lelaki ketiga, Jamil turut menjadi jungle tracker. Tetapi tidak secekap Raymond.

Hubungan antara pihak penguatkuasa hutan dan Orang Bukit amat baik. Orang kata 'Ada ubi ada batas, ada budi ada balas.' Di zaman komunis, Orang Bukit menjadi perisik untuk pasukan keselamatan Negara. Orang Bukit berbudi dan berjasa. Datuk Adila sendiri turut mendapat pingat keberanian daripada Kerajaan.

Namun mereka juga menerima natijah daripada tekanan kapitalis yang tamak. Kegilaan kepada durian Musang King dan entah apa lagi jenama durian yang baharu, untuk jualan ke Negara China menyebabkan perampasan tanah nenek orang Orang Bukit yang dikongsi dengan suku kaum Orang Asal lain di hutan itu. Kerana itu EZHAR & ZARIF begitu bersungguh-sungguh membantu mereka mempertahankan tanah milik nenek moyang tercinta.

"Siapa tu Andak?" soal seorang pegawai ketika melihat Adila yang sibuk memasukkan data ke dalam komputernya.

"Anak saudara aku dari Kuala Lumpur," jawab Tok Batin Andak. Dia tahu Adila tinggal di Cyberjaya. Tetapi tetap dia sebut Kuala Lumpur.

"Tak tahu Andak ada anak saudara lawa," kata penguasa yang muda sambil tersenyum-senyum. Zarif nampak pada bajunya ada tanda nama: Johari.

Dia terus menuju ke arah Adila, diikuti oleh rakannya yang memakai tanda nama Riduan.

"Saya Johari, ini Riduan," katanya memperkenalkan diri.

"Adila."

"Dr Adila Fairuz," kata Zarif.

Entah kenapa menyampah pula dia tengok dua orang mamat penguasa hutan ini. Macam jejaka gersang sahaja. Memanglah kerja mereka terpaksa berjauhan daripada keluarga. Kedua mereka berpaling ke arah Zarif.

"Macam kenal ..." kata Johari.

"Memang patut kenal," kata Tok Batin Andak. "Dia Pegawai Khas Exco Pembangunan Luar Bandar dan Alam Sekitar."

Kedua-kedua penguasa hutan itu ketawa. Entah apa yang menggelikan hati mereka. Kemudian mereka kembali berpaling kepada Adila.

"Tempat kami pun ada rest house. Selalu profesor universiti yang buat kajian tinggal dengan kami," ujar Johari.

Adila angkat muka dan senyum. "Saya suka tinggal di sini."

"Di sini pak saudara dia jaga," jawab Tok Batin Andak dengan nada bangga.

Adila malas nak bertelagah pasal tempat tinggal. Dia sudah bertelagah semasa di institiut sebelum dia bertolak lagi. Akhirnya pihak Institiut mengalah kerana Profesor June menyokongnya. Masalahnya, Tok Batin Andak tak dapat mengeluarkan resit rasmi untuk tuntutan kewangan. Itu saja. Akhirnya dia dapat menghubungi Raymond dan dapat tahu resit boleh dikeluarkan oleh agen yang dilantik oleh peguam EZHAR & ZARIF Agen itu YAYASAN TANAH PERTIWI tak mengambil satu sen pun komisyen kerana kerja pentadbiran itu. Tak sangka, rupanya Pengerusi YAYASAN TANAH PERTIWI itu Zarif, yang sekarang duduk merenungnya sejak dari tadi.

Ah! ... Kecilnya dunia ini.

Lepas sembang-sembang, Johari menawarkan diri untuk jadi jungle tracker mencari sampel tumbuh-tumbuhan 'eksotik' yang jarang ditemui.

"Esok pagi saya datang," katanya sebelum mereka pulang ke base.

"Adila nak pergi ke?" soal Zarif setelah kelibat kedua mereka tidak kelihatan lagi.

"Pergi ke mana?" soal balik Adila, keliru, tanpa memandangnya.

"Cari tumbuh-tumbuhan 'eksotik' dengan Johari." Seperti ada nada cemburu di situ.

"Maybe ..."

"Kalau Adila pergi abang nak ikut."

Adila mengangkat muka dan memandang Zarif, "Abang tak bosan ke nanti?"

"Tak."

"Adila kalau pergi pun, bodyguard mesti ada."

"Bodyguard?"

"Raymond."

Zarif rasa sedikit lega. Tapi dia tetap nak ikut kalau Adila masuk hutan dengan Pegawai Penguasa Johari. Rasa tercabar pula.

Esok paginya Johari sudah muncul dari celah-celah semak. Dia merentas jalan melalui tasik seperti yang dilakukan oleh pelancong dan penguasa hutan. Johari memakai baju seragamnya.

Mereka memasuki hutan, Johari di hadapan, diikuti Adila, Zarif dan Raymond di belakang sekali.

Becok mulut Johari bercakap tentang tumbuh-tumbuhan hutan. Rupanya Johari berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Perhutanan. Dah kena sangat. Kerjanya hampir sama dengan Daddy Adila. Usianya pula sebaya dengan Adila. Kalau dia masuk meminang, mungkin akan diterima 100%. Zarif menelan air liur. Mahu saja dia menolak budak itu pergi jauh-jauh. Atau tinggalkan saja dalam hutan tebal itu.

Mengarutlah kamu ni Zarif. Dia pegawai hutan. Tentu dia pandai cari jalan keluar dan masuk hutan.

Mereka masuk di kawasan hutan yang agak tebal yang tiada lorong yang dimasuki manusia. Adila menoleh ke arah Raymond. "Kita tidak pernah sampai ke sini ya Raymond?"

"Aku dah sampai. Adila belum," jawab Raymond.

"Kenapa tak bawa Adila ke sini?"

Raymond tidak menjawab. Kawasan itu dekat dengan sempadan. Dia fikir, Kalau aku seorang, datang penyeludup, senang lari. Tetapi kalau dengan Adila, jadi apa-apa aku yang kena, Bukan selalu kawasan itu didatangi perempuan secantik Adila.

Tetapi dengan penguasa hutan yang memakai pakaian seragam, Raymond rasa penyeludup akan fikir dua tiga kali sebelum menyergah mereka. Lagipun Johari membawa alat komunikasi khusus untuk kerja-kerja dalam hutan. Bukannya dia datang berlenggang sahaja.

*****

💚

*Hutan tropika*


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro