PROLOG

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Ika faham tak ni?" Letih bibir menukilkan jawapan. Wajah kusam cuba dijaga agar tidak memendungkan langit hati.

"Fahim yang tak faham. Ika minta cepatkan kita kahwin je." Lensa matanya sudah berkaca-kaca. Titik perhubungan mereka acap kali berombak apabila ditujah soal mahu kahwin.

"No means no. Ika tu baru je tahun dua di kuliyah." Fahim bertegas. Sedikit pun kesedihan Zulaikha tidak menggoyahkan keputusannya.

"Kenapa susah sangat nak halalkan Ika? Ika tak pernah minta hantaran tinggi sampai berpuluh ribu ringgit. Kalau Fahim nak bayar hantaran kahwin harga RM1 pun Ika sanggup. Asalkan kita berdua jadi suami isteri." Lain pula bagi Zulaikha. Langsung tidak mengisahkan statusnya yang merupakan pelajar medikal tahun dua di universiti tempatan.

"Fahim dah kata benda yang sama berulang kali. Kita kahwin lepas Ika habis belajar. Titik." Mata dipejamkan rapat. Dia benci bergelut soal ini.

Air jernih berlinangan di lekukan wajah gadis itu. "Ika nak kahwin tahun ni juga... Atau bulan depan."

Di saat terbukanya kelopak mata, kesedihan gadis itu menular ke sanubarinya. Ada satu janji yang perlu dipenuhi. Dia sudah berjanji dengan Iskandar Dzulkarnain akan satu perkara. "Kalau perkahwinan yang boleh bahagiakan Ika, Ika pergilah kahwin dengan orang lain. Fahim redha."

Ayat yang tidak pernah disangkakan menutur di mulut lelaki muda itu telah terlantun. Zulaikha yang berdiri di tepi meja batu seakan mahu ketawa. Makanan mereka tidak bersentuh menyejuk begitu sahaja. "Fahim tak nak pertahankan Ika? Mudahnya lepaskan Ika lepas bertahun kita bercinta."

Nafas dalam ditarik Fahim Luth. Satu butang baju teratas dileraikan bagi mengizinkan angin petang menyapa jenjang lehernya. Selang beberapa detik, dia mengambil tempat duduk kembali di atas kerusi batu berdekatan.

"Ika tak pernah nak faham apa yang Fahim cakap. Daripada Ika sengsara menanti nak kahwin cepat-cepat dan Fahim tak boleh nak tunaikan. Baik Ika pergi cari mana-mana lelaki yang boleh angguk dengan permintaan Ika."

"Fahim nak lepaskan Ika?"

Wajah Zulaikha dipandang sedetik. Helaan nafas terbit. "Kalau itu yang membahagiakan Ika. Fahim sanggup... Sanggup untuk tengok Ika bahagia walaupun bukan dengan Fahim."

Zulaikha tidak mengerti. Sungguh tidak faham bagaimana pola pemikiran seorang lelaki. Perkenalan mereka sejak di bangku sekolah kini telah menjangkau lapan tahun. "Fahim memang tak pernah sayang Ika."

"Ika tak tahu betapa banyaknya sayang Fahim pada Ika dan... Nain."

"Jadi kawinlah! Ika tunggu Fahim balik Malaysia selama empat tahun ni. Setiap malam Ika berjaga untuk mesej Fahim. Ika tak suka kita berhubungan haram macam ni. Halalkan sahajalah."

'Haram'

Fahim menjatuhkan kepala mengerti. Zulaikha tidak mahu mereka bergaul sebegitu meskipun atas dasar tanya khabar setiap hari. Dia sudah cuba untuk menjadi seorang teman yang baik kepada Zulaikha, hampir kepada pengganti kepada figura seorang abang yang dikosongkan Iskandar Dzulkarnain.

"Saya dah cakap Zulaikha. Saya tak boleh tunaikan sekarang. Kalau itu yang Ika concern kan. Saya tak akan berhubung dengan Ika untuk beberapa waktu. Kalau Ika nak kahwin dengan lelaki lain pun saya takkan halang." Mendatar suara lelaki berkenaan, seakan telah menyerahkan sebulatnya pada takdir.

"Kenapa dengan Fahim ni? Susah sangat..." Wajah kemerahan itu menggeleng. Kecewa dan marah bergabung menjadi entiti yang mencucuk dalam hati.

"Seseorang pernah cakap. Cinta dan perkahwinan bukan memerlukan orang yang tepat sahaja. Tapi kita perlukan waktu yang tepat."

Madah pujangga itu berlalu di angin petang. Zulaikha tidak endah bahkan amat geram keinginannya untuk memperoleh cinta halal terhalang. "Siapa yang cakap ayat macam tu?"

"Seseorang yang dekat."

"Jadi sebab dialah Fahim keras kepala tak nak berbincang langsung soal ni? Mana dia? Biar Ika yang cakap dengan dia."

"Tak perlu. Dia dah tak ada. Ika pergilah tenangkan diri. Hubungan kita tak akan berhasil kalau asyik lawan mulut macam ni."

"Fahim nak tinggalkan Ika?" Kembang kempis hidungnya menahan sebak. Zulaikha benar-benar berharap Fahim Luth akan menarik kata-kata tadi kembali.

"Tak. Saya selalu tunggu Zulaikha dari dulu. Cuma kita belum bersedia. Nanti saya akan datang untuk halalkan Ika. Itupun kalau Ika belum pergi pada lelaki lain. Mana-mana pun tak apa. Saya cuma nak tengok Ika bahagia." Bekas makanan dimasukkan ke dalam plastik. Pandangannya tidak mahu bertemu gadis itu. Disibukkan diri dengan mengemas meja batu berkenaan sambil tingkahnya diperhatikan. Kunci kereta yang tersadai di atas meja lantas diambil. Dia akan pulang ke Kuala Lumpur.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro