JASMINE (BAB 1)

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Langit sudah meredup gelap dan ada tanda-tanda yang hujan bakal turun tak lama lagi. Beberapa orang di padang latihan mula meninggalkan latihan masing-masing atas arahan jurulatih masing-masing.

Di tengah lapangan padang latihan ada seorang lelaki dengan tinggi 1.81 meter, berjersi putih biru dengan nombor 9 tertampal besar di belakang tubuhnya. Farhat Maliki, nama yang sangat tampan diberi oleh umi dan abinya. Siapa sangka nama itu akhirnya sudah beberapa kali mengharumkan nama Malaysia dengan posisi striker yang dipegang lelaki itu untuk pasukan bola sepak negara.

Farhat sapu peluh di rahang dengan baju jersi dipakainya. Dia raup rambut yang sudah basah dengan peluh dan air yang dia siram pada muka sebaik latihan tamat tadi.  Saat dia angkat wajahnya, mata  terpandang Azhad, si penyerang pasukan sedang membantunya mengemas kon yang mereka guna tadi.

"Apa kau nak cakap tadi? Sorry, aku tak boleh fokus, mak aku call." Farhat hampiri Azhad sambil dia tindih kon yang dibawanya ke atas kon yang dikutip Azhad. Sebelum latihan bermula, Azhad ada datang ke arahnya tadi dengan gaya seperti orang mahu sampaikan berita penting. Malangnya Farhat harus jawab panggilan wanita kesayangannya terlebih dahulu.

"Fasal apa?" Azhad kerut dahi. Benda dah dua jam. Mana nak ingat.

"Alaa tadi, sebelum mak aku call. Kau cakap ada berita panas. Apa yang panas?" Farhat cekak pinggang memandang Azhad. Sungguh hari itu stamina mereka dikerah habis-habisan untuk perlawanan di Indonesia minggu hadapan.  Jadi tak ada masa untuk mereka berborak atau bersantai sepanjang latihan.

"Oh fasal Jasmine." Azhad membalas tenang.

"Jasmine? Siapa tu?" Farhat kerut dahi. Ada ke dia kenal mana-mana perempuan nama Jasmine? Setahu dia, tak ada.

"Alahai kau ni, buat-buat tak kenal pula. Jasmine Salsabila tulah. Crush lelaki Malaysia ni!" Mulut Farhat berbentuk O dan dia angguk-angguk kepalanya. Siapa tak kenal Jasmine Salsabila. Pelakon terkenal dengan wajah cantik semula jadinya dan setahunya perempuan itu sudah begitu lama dalam dunia seni sebagai pelakon. Asyik muka dia je masuk televisyen dan naik pentas dapat anugerah.

Tipulah kalau dia tak kenal. Dia pun kadang rajin juga teman uminya layan drama melayu petang-petang.

"Kenapa dengan dia?" soal Farhat hairan.

"Dia akan join kita pergi Indonesia untuk program TV khas masa game kita nanti. Gila, kau bayangkan dapat duduk satu cabin dengan Jasmine Salsabila."

"Seronoklah masing-masing." Farhat juih bibir tak berminat dengan berita itu. Ingatkan berita apalah nak disampaikan, rupanya nak cakap ada pelakon yang akan sertai mereka ke Indonesia. Lagipun, dia bukan peminat tegar Jasmine Salsabila. Tengok drama yang dilakonkan perempuan itu di televisyen cukup sekadar membuang bosan dan temankan umi.

"Tapi kita ni sedar diri. Jasmine mana nak pandang orang macam kita. Orang yang digosipkan dengan dia semua bukan calang-calang."

Farhat jeling Azhad sekilas dan membongkok mencapai botol air mineral. Banyak pula si Azhad ni kumpul gosip Jasmine.

"Aku peminat dia walaupun tiap tahun ada je gosip tak elok pasal dia." Azhad sambung lagi.

Jasmine tak cukup terkenal sebagai pelakon sahaja, tetapi hidupnya penuh dengan gosip buruk yang entah betul entah tidak.

"Ada orang cakap dia kaki club. Ada yang cakap dia sanggup tidur dengan orang berpengaruh semata-mata nak jadi famous. Gosip dia paling panas yang pernah aku tahu, dia join sex party masa kat London tahun lepas." Keluhnya.

"Orang cakap, Azhad. Semua orang boleh cakap, tapi tak semua orang boleh tahu kebenaran. Macam kaulah, kau boleh aje minat dia, tapi belum tentu kau boleh miliki dia." Mudah kata-kata Farhat dengan tawa kecil dia hadiahkan pada Azhad.

"Betul. Tak dapat miliki, dapat tengok pun cukuplah." Minat dan sayang tu kan berbeza.

"Dahlah. Malas aku nak layan merapu kau." Farhat angkut kon dan berlalu meninggalkan Azhad yang terkebil-kebil di tengah padang. Tak berminat dia nak dengar perihal orang yang dia tak kenal. Lebih baik dia cepat-cepat mandi dan isi perut.

Sekarang ini tiada apa yang lebih penting selain tidur dan rehat yang cukup sebelum sesi latihan esok pagi.

BEG jenama Louis Vuitton dihempas di atas sofa. Rambut keperangan semula jadi miliknya diraup ke belakang sebelum mata tajam itu menjeling tajam ke arah si pengurus.

"Boleh tak kau tanya kebenaran aku dulu sebelum approve any unnecessary appointment dengan orang?" Agak kasar soalan Jasmine aju pada pengurusnya.

"Meeting dengan Dato' Izhad ni pun penting, Jasmine. Dia bukan orang biasa." Yusra si pengurus membalas tanpa riak bersalah.

"Penting? Penting celah mana Yusra? Sepanjang meeting tu dia duk bercerita tentang niat dia nak berbini dua. Dia tak habis nak promote benefit jadi bini kedua dia!" Separuh menengking Jasmine balas kata-kata Yusra.

"Sikap kau ni dah buat aku hilang chance interview dengan majalah LADIES MALAYSIA!! Kau tahu tak betapa besarnya peluang aku nak baiki balik nama buruk dan karier aku dengan majalah ni? Tup-tup esok keluar lagi gosip, aku skandal Dato' Izhad!" Turun naik nafas Jasmine menghambur marahnya. Sabarnya sudah lama dipendam tapi makin lama sikap Yusra makin membuat kepalanya mahu pecah.

"Aku tak sangka kau sanggup marah dan tengking aku sebabkan nama! Kau lupa siapa yang ada dengan kau dari kau susah sampai sekarang?!" Nyaring suara Yusra menengking kembali.

Itulah modal Yusra. Itulah modal yang selalu digunakan Yusra jika mereka bergaduh. Kononnya mereka sudah baik sejak di rumah anak-anak yatim. Yusralah teman baik Jasmine yang menyokong Jasmine dari bawah hingga gadis itu berjaya membina nama di seluruh Malaysia.

Hakikatnya, Jasmine yang memberi rezeki kepada Yusra supaya menjadi pengurusnya agar gadis itu boleh mencari duit poket sendiri.

"Aku tahu kau kawan aku. Tapi kau kena sedar, kau pengurus aku. Kau tak boleh buat sesuka hati kau, Yusra. Ingat, sebabkan kau nama aku makin hari makin buruk dengan gosip yang aku sendiri tak buat!" Sebaik menutur kata itu, Jasmine capai beg tangan dan berlalu masuk ke dalam biliknya.

Pintu bilik ditutup kasar dan dia hempas tubuh di atas katil. Dia penat dengan semuanya. Dia penat nak hadap kebencian orang. Dia penat mahu menangkis segala kata benci dan fitnah yang akan dilempar padanya nanti.

Dia tiada ibu dan ayah. Begitu juga Yusra. Mereka saling bergantung seperti keluarga selama ini. Walaupun Yusra sudah buat pelbagai perkara yang memburukkan namanya, dia tetap memaafkan gadis itu dengan alasan, Yusra satu-satunya tempat dia bergantung harap saat dia sakit dan susah.

Itulah sebab dia masih bertahan dengan segala gosip dan kebencian yang dilempar orang padanya.

SEPERTI JANGKAAN, gosip mula tersebar. Ditambah hangat dengan perisa tambahan membuatkan nama Jasmine Salsabila membuak-buak menjadi sebutan para pembenci.

Kali ini segalanya menjadi lebih panas apabila tajuk artikel 'Kalau ada jodoh, kami tak menolak.' tersebar apabila seorang wartawan menemu bual Dato' Izhad yang kononnya tertangkap menjalani hubungan cinta dengan pelakon muda, Jasmine Salsabila.

Tak cukup itu, Isteri Dato' Izhad, Datin Sha Iskandar yang dulu juga seorang artis terkenal bersuara meluah rasa kecewa kepada Jasmine dah suami sendiri. Dia sedang berbadan dua, dia juga sudah ada dua orang anak bersama Dato' Izhad. Semestinya dalam kejadian ini, si penjahat yang jelas akan dipersalahkan adalah Jasmine. Yang bakal dilabel kaki penyondol, orang ketiga dan mata duitan. Sedangkan tuan badan sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku kepada dirinya.

"Ramainya reporter." Silau mata Farhat saat dia berjalan menuju ke balai pelepasan, flash kamera tak henti menangkap gambar-gambar mereka. Tapi yang hairannya, wartawan sebelum ini tak seramai hari ini. Mereka nak pergi perlawanan persahabatan sahaja, bukanya liga antarabangsa.

"Takkan kau tak tahu. Kejap lagi Jasmine tu datang. Kan baru dua tiga hari lepas gosip dia dengan Dato' Izhad tu. Haih, dalam ramai-ramai orang, kenapa si tua tu juga dia pilih." Tak mahu percaya tapi Dato' Izhad sudah terang-terang memberi petunjuk. Akhirnya Azhad kecewa sendiri.

"Kan best kalau dia tukar huruf I tu kepada A. Sah-sah aku orangnya."

"Pft!!" Farhat berhenti berjalan dengan tawa. Baru dia sedar Izhad dan Azhad lebih kurang aje namanya. Jauh betul kawan dia seorang ni berangan.

"Boleh tak kau move on? Patah hati kau ni boleh ganggu performance game kita nanti tau!" Farhat ketawa lagi.

"Pehal ni?" Ikwan tepuk bahu Farhat yang mengekek ketawa tak sedar bahawa diri sedang diperhatikan wartawan.

"Biasalah kawan kau ni. Patah hati sebab Jasmine dia dah ada lelaki lain." Farhat selamba membalas, buatkan Ikwan menyungging senyum.

"Move onlah, Azhad." Ikwan menambah.

"Hish! Aku tak cakap pun aku patah hati! Sudah! Tu  Farhat, peminat kau! Lambai sikit Abang Farhat..." Azhad tolak tubuh Farhat menghadap kerumunan para gadis yang mula berteriak saat Farhat menoleh memandangnya.

Kekok Farhat tersenyum dan sebelah tangannya diangkat oleh Ikwan lalu dipaksa melambai ke arah kerumunan itu. Dia seperti robot yang sedang dikawal oleh kawan-kawan sendiri.

Ikwan dan Azhad kalau bab mengusik orang memang laju!

'GOOD LUCK FARHAT MALIKI!' Ada seorang dari mereka mengangkat banner dan Farhat tersengih sambil dia melambai.

"Abang Farhat! Abang Farhat!"

Mengekek Ikwan dan Azhad ketawa di belakang Farhat saat mendengar peminat Farhat menjerit panggilan itu.

Tak mahu membuang masa, dia menghampiri kerumunan peminatnya. Menjerit masing-masing menghulur pen dan kertas. Farhat melayan dengan tenang. Meninggalkan tandatangan lantas bergambar.

Tak terkecuali Ikwan dan Azhad yang turut ditarik peminat-peminat mahukan autograf dan bergambar. Mereka cuma pemain bola sepak negara. Sepatutnya menjadi idola para peminat sukan. Tapi entah dari mana peminat perempuan lebih ramai dari peminat lelaki.

Tak dinafikan dalam ramai-ramai pemain, Farhat paling ramai peminat memandangkan lelaki itu mempunyai rupa paras yang elok dan juga sangat cemerlang dalam padang. Farhat siap ada kelab peminat sendiri. Apa nak pelik, tahun lepas dia mendapat anugerah pemain paling lincah. Sebabkan itu dia paling menyerlah diantara pemain-pemain yang lain.

"Terima kasih, Abang Farhat!"

"Terima kasih, abang!"

"Sama-sama." Farhat senyum menghulur pen kepada peminatnya. Baru dia ingin melangkah pergi. Sekali lagi dia dikejutkan dengan kekecohan dari arah lain.

"Jasmine! Jasmine!" Seorang gadis diiring oleh dua orang pengurus dan beberapa pengawal keselamatan melangkah ke arah mereka. Wajah tak berperasaan mahu menyahut panggilan wartawan-wartawan yang sudah berjam-jam menunggu kehadirannya di lapangan terbang itu.

Farhat pandang tanpa riak. Kalau dia jadi Jasmine, lagi bagus gadis itu duduk sahaja di rumah daripada menyertai program televisyen ke Indonesia. Tak pasal-pasal jadi serangan wartawan. Sudahnya dia jongket bahu sendiri. Buat apa peduli pasal orang, Farhat.

Laju sahaja Jasmine berjalan melepasi tubuh Farhat. Dan wartawan-wartawan tak mengalah mengejar mahu mendapatkan kenyataan daripada tuan badan sendiri. Apa taknya, sejak gosip tersebar, Jasmine masih diamkan diri dan tak memberi apa-apa kenyataan.

"Jasmine! Tolong beri keterangan tentang hubungan awak dengan Dato' Izhad?"

"Awak akan berkahwin dengan Dato' Izhad ke?"

"Betul ke gosip tentang awak dan Dato' Izhad?"

Jasmine berdiri tepat di hadapan Farhat yang berdiri kaku di situ. Kini Farhat tenggelam dalam kerumunan wartawan yang lebih berminat mahu mengetahui gosip tentang pelakon muda itu.

"Farhat! Yang kau jadi tugu kat sini kenapa? Jom!" Ikwan tarik lengan Farhat hingga jejaka itu terdorong ke belakang.

"Saya tak ada apa-apa hubungan dengan Dato' Izhad. Semua yang tersebar itu cuma salah faham!" Jelas dan tegas kenyataan diberi Jasmine. Lengkap masuk ke dalam rongga telinga Farhat yang sedang berjalan melintasinya.

Sebaik memberi jawapan itu, Jasmine terus berlalu.

"Jasmine! Jasmine!"

"Macam mana pula dengan kenyataan yang dah diberi oleh Dato' Izhad?!"

Jasmine abaikan panggilan wartawan dan terus menonong ke hadapan. Dia sudah tidak tahan lagi. Lama-lama dia di situ, dia mungkin akan diserang haters. Sebelum ianya berlaku lebih baik dia pergi.

"JASMINE, air?" Ailah datang membawa sebotol air lalu dihulur kepada majikannya. Ailah, pengurus kedua Jasmine. Disebabkan terlalu banyak huru-hara dibuat Yusra. Pengarah produksi, Datin Darwina melantik Ailah sebagai pengurus kedua Jasmine dan meminta Jasmine memecat Yusra daripada menjadi pengurus gadis itu. Andai Yusra tahu, Jasmine pernah merayu pengarah mereka, Datin Darwina agar Yusra tetap bersamanya walau hampir dibuang wanita itu. Tapi Yusra masih juga buta tidak menghargai pengorbanan dia. Itu pun dia dimarahi Datin Darwina habis-habisan.

Yusra sekarang diam memeluk tubuh sambil duduk di atas kerusi di balai perlepasan. Lagak tak bersalah dengan segala berita yang sudah tersebar. Beberapa kru untuk program televisyen, 'Bola Malaysia' sudah tiba. Hari itu mereka akan bergerak serentak dengan pasukan bola itu sendiri. Hotel dan kelengkapan sudah disediakan oleh pihak penaja memandangkan penaja pasukan bola sepak dan penaja untuk program televisyen Bola Malaysia daripada syarikat yang sama. Sebab itu mereka harus bergerak sekali dengan pasukan bola itu.

Bunyi gelak tawa pemain bola sepak buat Jasmine tak jadi meneguk air yang dihulur Ailah lalu menoleh memandang lelaki-lelaki itu.

Kemungkinan hotel yang mereka diami juga satu hotel dengan pemain-pemain bola sepak itu. Dia tak peduli, asalkan tiada wartawan mencarinya di situ. Duduk di Malaysia dan dikejar wartawan angkara gosip terlalu melelahkan untuknya.  Puas dia pesan pada diri sendiri, semuanya akan berakhir. Tetapi segalanya tetap sama. Tiada apa yang berubah. Makin hari, ia makin melelahkan sehingga dia muak dengan dunianya sendiri.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro